Sunday, August 31, 2014

BAB 19: SERGAH


BAB 19
Lebai Abu Bakaq tersenyum. Matanya merenung tajam ke arah seekor langsuir seksi yang sedang bermain buaian di atas pokok beringin di tepi semak di luar pagar rumah. Di pangkal pokok kelihatan berkerikut seekor hantu raya sedang tidur berdengkur.
"Kadang-kadang aku rasa mereka ni lebih baik... lebih siuman.." Bisik Lebai Abu Bakaq.
Sejak akhir-akhir ini Lebai Abu Bakaq memang sengaja lebih banyak mendiamkan diri. Kerana dia tahu suaranya pasti akan bercanggah dengan pandangan anak buah Sudin Boria. Bimbang kalau nantinya mereka dilihat sebagai puak caca marba. Dan pihak yang akan bertepuk tangan dan bersorak sorai sudah pastilah puak Bedul Jaykaykay.
Sudin Boria juga begitu. Namun yang menjadi masalah sekarang ialah kesukaran untuk mengawal anak buah masing-masing. Situasi sekarang bukan lagi situasi muzakarah. Tetapi lebih kepada perli-memperli dan sindir-menyindir. Kedua-dua pihak nampak dua kali lima.
Lamunan Lebai Abu Bakaq terganggu bila terdengar bunyi bising di dapur. Segera dia menjenguk. Beberapa ekor hantu spesis toyol sedang bertengkar di meja makan. Di atas meja kelihatan berselerak gelas yang dipenuhi teh tarik. Ada yang terbalik dan air teh tarik yang tumpah membasahi meja. Menitik dan membasahi lantai.
Lebai Abu Bakaq menyergah. Suaranya bagai halilintar. Tayol-toyol tersentak dan bertempiaran lari. Ada yang melompat melalui tingkap dan menghilang di dalam semak samun di belakang rumah.

No comments: