Friday, February 14, 2014

ALI AHMAD

Dalam dunia persuratan Melayu Malaya, ada 3 orang Ali Ahmad yg agak terkenal. Yang paling tersohor ialah Dato'Ali Hj Ahmad Menteri Kebudayaan dan Sukan yang terkorban dalam tragedi Tanjung Kupang. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum bergerak cergas dalam politik. Dalam dunia penulisan kreatif, beliau pernah menggunakan nama pena Aha. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dalam bidang kajian sastera. Banyak menyusun dan menyunting buku kajian kesusasteraan Melayu. Antaranya ialah Puisi Baharu Melayu , Rintisan (antologi cerpen sebelum Perang Dunia Kedua) dan Disekitar Pemikiran Kesusasteraan Melayu (kumpulan esei).
Aha
Ali Ahmad yang kedua ialah Ali Ahmad 'al-Arqam'. Menggunakan nama pena Nora, beliau lebih dikenali dalam menghasilkan karya kreatif novel, cerpen dan sajak. Novelnya yang terkenal ialah Gelandangan. Penyertaan Pak Nora dalam jemaah al-Arqam dikatakan banyak menyumbang kepada jemaah tersebut untuk meluaskan skop dakwah terutama melalui media sastera. Hari2 akhir hidup beliau agak mencabar bila diisytiharkan muflis dan bungalownya disita kerana dijadikan cagaran untuk jemaah al-Arqam membuat pinjaman bank dan jemaah tersebut tidak mampu melunasi pinjaman. Ia berlaku sesudah jemaah al-Arqam diharamkan dan Pak Nora sudahpun mengisytiharkan diri keluar dari jemaah al-Arqam.

Nora
Ali Ahmad yg ketiga ialah penulis yang menggunakan nama pena Alis Murni. Profesor di USM ini banyak memberi tumpuan dalam kajian puisi. Selain menulis puisi, beliau juga menghasilkan novel dan cerpen. Antara karya Dr Ali Ahmad ialah Letusan (novel), Kuala Lumpur (sajak - antologi bersama),  Hikayat Inderaputera (penyunting), dan  Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu  (Esei kritikan).
Alis Murni

Thursday, February 13, 2014

REKOK WOK



Lafaz sumpah pada zaman kami kanak-kanak kebanyakannya diringkaskan. Tapi kami cukup faham maksudnya. Lafaz 'kapir ah' atau 'kapir serani ah' bermaksud jika benar-benar kami melakukan kesalahan sebagaimana yang dituduh, kami rela menjadi kafir. Lafaz 'rekok ah' atau 'rekok wok ah' pula bemaksud kami rela cacat seumur hidup dengan tangan menjadi 'rekok' iaitu terpulas ke belakang dalam keadaan kejang dan tidak dapat digerak atau diluruskan.

Kami tidak pasti asal usul lafaz-lafaz sumpah tersebut. Namun ia tetap menjadi senjata ampuh untuk kami meyakinkan pihak pendakwa bahawa kami di pihak yang benar.

Zaman berubah. Kanak-kanak zaman sekarang tak lagi main dengan sumpah-sumpah sedemikian. Itu semua cerita kebodohan kami di zaman kanak-kanak. Namun kami rasa tahap kebodohan kami itu tidaklah seteruk kebodohan orang dewasa zaman sekarang bermain dgn sumpah.

Friday, February 07, 2014

POK MUD KAMPUNG LAUT


Pok Mud Kampung Laut kembali ke rahmatullah sesudah berkelana di muka dunia selama lebih 70 tahun.  Saya rapat dengan Pok Mud atas dua faktor. Pertama, sebab saya suka roti canai yang ditebarnya. Kedua, kami pernah berkongsi hobi yang sama iaitu merakam video menggunakan handycam. Kami sama-sama memiliki Sony Handycam Digital 8.

Pok Mud pernah bercerita kepada saya kegetiran hidup zaman remajanya. Pernah berkelana ke benua Siam mencari ayahnya yang menghilang di sana. Misi yg hampir mustahil itu ditakdirkan menemui kejayaan. Pok Mud tinggal bersama ayahnya di Siam dan bertemu jodoh di sana sehinggalah kemudiannya meringkuk di dalam penjara sesudah menjadi mangsa kepada satu konspirasi. Beliau berjaya lolos dari penjara dan pulang ke Malaya setelah pihak tertentu berjaya merasuah pihak berkuasa di Siam.

Sejak kematian Pok Mud saya belum lagi pekena roti canai di kedai makan yang kini diwarisi oleh anaknya. Saya percaya kualiti roti canai di kedai tersebut masih setaraf dengan roti canai tebaran almarhum Pok Mud Kampung Laut.

Tuesday, February 04, 2014

KAJANG BERLIPAT


Kajang berlipat hanya mampu dimiliki oleh golongan elit. Dipasang bila diperlukan dan bisa dilipat bila perahu mahu diluncurkan lebih laju. Berbeza dengan perahu yang dipasang dengan kajang tetap (fix) yang keadaan kekalnya menyukarkan kerja mendayung.

Antara material yg digunakan untuk menghasilkan kajang berlipat ialah anyaman mengkuang terpilih. Mengkuang yang telah layu tidak akan digunakan...


kajang tuan kajang berlipat
kajang saya mengkuang layu...

Baris-baris pembayang di atas ialah versi asal. Namun begitu, versi yang lebih tersohor ialah versi yang diungkapkan oleh Damak kepada bapa Sri Mersing.

kajang Pak Malau kajang berlipat
kajang hamba mengkuang layu...