Friday, January 18, 2013

FENOMENA KERUDUNG

1975


Awal tahun 70-an, saya masih di bangku sekolah menengah.  Kami ke sekolah berseluar pendek.  Pelajar perempuan pula memakai skirt. 

      Pada masa itu amat sukar untuk ketemu perempuan Melayu yang bertudung litup.  Malah, muslimat PAS pun hanya berselendang dan berjambul.    Presiden PAS ketika itu ialah Dato’ Asri Haji Muda.
1977
      Yang bertudung labuh pada masa itu kebanyakannya ialah muslimah ABIM.  Ketika itu ABIM dipimpin oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor yang pada peringkat awalnya hanya memangku jawatan Yang diPertua ABIM kerana  Saudara Anwar Ibrahim masih dalam tahanan selepas peristiwa Demonstrasi Baling.  Dikatakan zaman itu adalah zaman  kegemilangan ABIM kerana kaya dengan tokoh-tokoh berkaliber seperti Sidek Fadhil, Kamarudin Mohd Noor, Kamal Hassan, Kamarudin Jaafar, Fuad Hassan, Hadi Awang,  Dahlan Md Zain, Mahmud Zuhdi, Abu Bakar Chik, Zalikhah Mohd Nor, Mohamad Sabu, Sidek Baba, Harun Din, Ahmad Ibrahim, Razali Nawawi, Ahmad Awang, Nakhaie Ahmad, Uthman El-Muhammady, Ashaari Muhammad dan ramai lagi.  Ustaz Ashaari Muhammad menjawat jawatan sebagai Pengerusi Biro Dakwah ABIM Wilayah Persekutuan sebelum keluar daripada NGO tersebut dan menubuhkan Jamaah Al-Arqam. 
1978
      Muslimah PAS dilihat mula berjinak-jinak dengan tudung labuh pada akhir-akhir tahun 70-an.  Fenomena tersebut semakin ketara bila kepimpinan PAS berpindah kepada Ustaz Yusuf Rawa.  Beliau mula memegang jawatan sebagai Presiden PAS pada tahun 1982.  Seorang tokoh  yang amat diingati kerana pernah menewaskan Dr Mahathir dalam pilihan raya umum 1969.

      Di sekolah-sekolah, pertentangan antara pelajar yang memakai tudung dengan pihak pentadbir sekolah sering menjadi isu ketika itu.  Isu tersebut hanya agak reda sesudah Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling MEMBENARKAN pemakaian tudung pada tahun 1983. 

Wednesday, January 09, 2013

ANTARA DUA ZAMAN

..

          Zaman kami.  Asrama adalah tempat yang sangat istimewa.  Ada air paip, ada katil bertilam, ada nasi kawah dengan pelbagai jenis lauk bertukar ganti.  Di kampung, kami cuma mandi air telaga atau sungai.  Tidur beralas tikar mengkuang lusuh. Makan nasi berlauk ala kadar.

          Sebab itu bila dikhabarkan aku dapat masuk asrama di sebuah sekolah budak-budak cerdik, rasa diri bagai di awan biru.  Gembira tak terkata.

          Zaman anak kita.  Bilik air rumah kita taraf 5 bintang.  Bilik tidur ada aircon.  Dapur hanya kalah sikit sahaja daripada dapur Chef Wan.  Sekali sekala pekena pulak nasi mandy kambing atau siakap 3 rasa di restoran. 

          Sebab itulah bila dikhabarkan kepada anak kita bahawa dia terpilih ke asrama sekolah budak-budak cerdik, riak gembira kurang menyerlah.  Mungkin terbayang dimindanya tentang pelbagai ‘kehilangan’ yang bakal ditempuhi.