Thursday, July 11, 2013

ALBARADEI TIDAK MAKAN BUBUR





Bagi Mubarak, pemerintahan kuku besi perlu dipertahankan untuk menghalang Ikhwanul Muslimin daripada menguasai Mesir.  Namun ElBaradei berkali-kali menyatakan bahawa Ikhwanul Muslimin hanya golongan minoriti.

    
    Sesudah menerima tekanan penunjuk perasaan, Mubarak akhirnya meletak jawatan.  Pilihan raya yang bebas akan dilaksanakan.  Menyedari apa yang diramalkan oleh Mubarak mungkin akan menjadi kenyataan, ElBaradei telah melakukan pelbagai usaha agar Ikhwanul Muslimin dihalang daripada menyertai pilihanraya.  Namun semuanya sudah terlambat. 

    
    Prof Dr Muhammad Mursi al-Hafiz menang dalam pilihan raya presiden.  AlBaradei terkesima.
 
    Namun sebagai orang Arab penganut akidah pragmatisme, AlBaradei  tidak terpengaruh oleh pepatah Melayu ‘nasi sudah menjadi bubur’.   Beliau masih mempunyai satu lagi senjata ampuh.  Tentera!  Matlamat menghalalkan cara...

Sunday, July 07, 2013

KERTAS AM: MENZALIMI DIRI SENDIRI


Penulis kelihatan sedang membelek surat khabar.  Mencari 'Berita Dunia'.
1980.  Aku dalam Tingkatan Enam Atas.  Hanya dalam subjek Kertas Am sahaja yang aku tak pernah ponteng kerana bertekad untuk sekurang-kurangnya lulus dalam dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Kertas Am.  

          Dalam subjek Bahasa Melayu, tak timbul isu ponteng atau tidak kerana subjek itu tidak ada guru.  Kami belajar sendiri.  Calon STP yang akan mengambil subjek ini pun cuma empat orang.  Pada masa itu subjek Bahasa Melayu adalah subjek pilihan.  Bagi kami yang beraliran sains, calon yang ingin mengambil Bahasa Melayu diwajibkan membuang satu subjek sains.  Aku buang subjek Fizik.  Ada kawan aku yang buang subjek Bio dan ada yang buang subjek Kimia.

          Kertas Am adalah subjek wajib.  Wajib lulus untuk dapat sijil penuh STP. Masa itu STP menggunakan sistem gred sijil penuh dan sijil separuh.

          Mahu tidak mahu subjek Kertas Am tidak boleh disambillewa.  Tetapi kami sangat beruntung kerana mendapat seorang guru yang berpengalaman.  Walaupun tidak banyak mengajar, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada soalan spot.

          Untuk bahagian esei, guru kami spot soalan berkaitan kegagalan PBB memainkan peranannya.  Beliau begitu yakin dengan ramalannya kerana isu yang hangat diperkatakkan ketika itu ialah isu pencerobohan Rusia di Afghanistan.  PBB dilihat tidak mampu menghalang segala tindak tanduk Rusia menceroboh negara-negara jirannya.

          Pelbagai tugasan diberi kepada kami berkaitan isu tersebut.  Kami adakan syarahan, debat, forum sehingga segala fakta dan analisis berkaitan isu tersebut cukup 'masak' dalam minda kami.  Sebab itulah bila ada sebuah NGO meminta bantuan kami untuk mengutip derma bagi meringankan beban penduduk Afghanistan yang sedang dizalimi oleh Rusia dan kuncu-kuncunya yang terdiri daripada warga Afghanistan sendiri, kami menjadi begitu bersemangat.  Tetapi amat mengejutkan bila tidak mendapat sokongan Pengetua.

          "Penduduk Afghanistan menzalimi diri mereka sendiri..." kata Pengetua sekolah kami.

          Kejadian itu tamat begitu sahaja.  Kami segera melupakannya.  Sebagai remaja yang happy go lucky, kami tidak rela membiarkan isu tersebut merampas keceriaan hidup kami.  Apa yang penting, dalam peperiksaan STP bagi subjek Kertas Am, ramalan guru kami betul-betul mengena.  Soalannya berbunyi lebih kurang begini: "Tujuan utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ditubuhkan adalah untuk mengelakkan berlakunya peperangan.  Bincangkan keberkesanan PBB dalam melaksanakan peranannya."

          Keputusan STP keluar.  Aku dapat sijil separuh. Lulus Kertas Am walaupun tidak berapa cemerlang.  Dan gagal dalam semua subjek sains termasuk Hisab Moden dan Hisab Tambahan.  Cita-cita emak untuk melihat aku menjadi seorang doktor juga turut hancur.

          Aku menerima keputusan dengan penuh keceriaan.  Mengapa?  Kerana telah berlaku satu kejutan.  Aku telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik STP sekolah kami bagi subjek Bahasa Melayu.