Sunday, October 17, 2010

bebas

.
Pak Da Romli bukan seorang ahli nujum. Beliau hanyalah seorang tukang simen yang kini lebih banyak mengisi baki usianya dengan membuat tiang roman.

Sesekali seronok juga dengar loyar buruk Pak Da Romli. Sebagai seorang yang non-partisan, pandangannya terhadap sesuatu isu nampak agak bebas tanpa terikat kepada sesuatu parti. Malah ada pandangannya nampak seperti mendahului pandangan tokoh-tokoh tersohor. Contohnya, dah lama beliau berpendirian betapa tidak perlu merasa bangga sebagai seorang Melayu. Sudah beberapa kali aku dengar dia berkata bahawa Allah tidak pernah memperuntukkan sebuah syurga khas untuk orang Melayu.

Sesuatu yang agak aku kagumi ialah ada beberapa ramalan Pak Da Romli menjadi kenyataan. Sebab itulah bila dia meramal sesuatu, aku akan sentiasa menunggu-nunggu.

"Sesudah Azizan diliwat, Selangor, Penang, Kedah bebas dari BiEng. Sesudah Saiful diliwat, ada beberapa negeri lagi yang akan bebas..."
.

Sunday, October 03, 2010

nyanyian zaman

.
Seorang guru pelatih sedang bertukus lumus menyiapkan assignment. Dinding di belakangnya terhias graffifi yang yang menjadi faktor hubungannya dengan tuan rumah tidak begitu mesra. Di sebelah kirinya tercatok botol kicap yang menjadi lauk yang istimewa bila dikombinasi dengan telur dadar dan celur kangkong. Kangkong yang tubuh liar di longkang yang tidak berapa jauh dari rumah sewanya itu.

Tiba-tiba al-Mariachi mengusik: "Gambar zaman bila ni? Masa ni P.Ramlee dah mati ke belum..."

"Zaman Anwar baru masuk UMNO. Masa Mahathir masih lagi handsome!" jawabnya selamba. Sesudah menekan butang publish your comment dia segera menekan tab Welcome to Facebook.
.

Wednesday, July 28, 2010

simile dan hiperbola



Dulu Benteng agak meriah. Tiap kali turun Kuantan, kami tak pernah miss lepak-lepak kat Benteng. Melihat-lihat belangkas berasmara di dasar pinggiran sungai Pahang. Sambil mengunyah keropok Kuantan yang rangut ketika panas-panas dan liat macam getah skrap bila dah sejuk.

Jones, jom pekena keropok Losong hujung minggu ni.

"Keropok Losong dah tak ori. Terlalu lembut macam sosej. Keropok Teganu yang ori sedikit pejal dan punya aroma ikan selayang," kata cerpenis Mohd Azhar yang cerpennya sering tersiar dalam majalah URTV.

Pembelajaran: Ungkapan 'liat macam getah skrap' mempunyai dua unsur gaya bahasa. Pertama, simile iaitu gaya bahasa perbandingan yang mempunyai kata bandingan seperti, umpama, bagaikan, bak dan seumpamanya. Kedua, hiperbola iaitu ungkapan yang melampau atau berlebih-lebihan dengan tujuan memberi kesan tertentu kepada pembaca.

Penilaian: Sila cari gaya bahasa simile dalam dialog yang dituturkan oleh cerpenis Mohd Azhar.

Wednesday, July 21, 2010

kodi

.
Seperti biasa dia tidak menyertai sorak sorai majoriti. Dengan handycam berstoran cakera keras barunya, dia hanya galak menembak sorak sorai itu. Lagipun, dia bUkanlah sebahagian dari 'mereka'. Malah mungkin ramai lagi yang berstatus sepertinya.

'Mereka' dalam konteks hari itu adalah kata ganti nama majmuk bagi pencipta dan penulis lirik seluruh negara yang menyertai unjukrasa bagi melahirkan rasa kecewa terhadap sebuah NGO. NGO yang gah kerana telah menggemparkan dunia lantaran wakilnya tersenarai sebagai hero negara baru-baru ini. NGO itu tanpa rasa bersalah telah tergamak menghina pencipta dan penulis lirik tanah air. Seolah-olah negara ini ketandusan pencipta lagu dan penulis lirik. Seolah-olah semua hasil karya mereka kodi sekodikodinya.

"Sekurang-kurangnya berilah kami peluang menumpang populariti mereka..." Ulas M.Basir, pencipta lagu dan penulis lirik yang pernah menghasilkan lagu untuk Perjaber (Persatuan Janda Berhias).

Seperti biasa dia tidak menyertai sorak sorai majoriti. Dengan handycam berstoran cakera keras barunya, dia hanya galak menembak sorak sorai itu. Tembakannya lebih banyak kepada kain rentang yang menera berbagai kata-kata.

"PENGKHIANAT!!!!"

"HIPOKRIT"

"MACAM YAHUDI"

..........


...........

..........

Monday, July 19, 2010

hilang

.
Perkhabaran itu hampir membunuh seluruh keceriaannya hari itu.Agaknya inilah sebahagian natijah dari tarbiyah yang dilaluinya selama ini. Rasa empati terhadap musibah yang ditimpa oleh sahabat adalah buah dari ukhuwwah. Bukankah ukhuwwah itulah pelincir kepada segala gerak kerja yang akan berlangsung dalam amal-amal rabbani ini?

Konflik itupun adalah hasil dari kekontangan ukhuwwah. Meskipun dia belum berani melabelkan siapa watak protagonis dan siapa watak antagonis, riwayat dari sebelah pihak yang diterima hampir sahaja membuatkan dia menyebelahi. Namun rasional sempat memujuknya agar menuntut sedikit waktu. Agar dia nantinya tidak tergolong dalam golongan mereka yang gopoh.

Malam itu. Sebelum melelapkan mata di kamar sempit milik penyair misteri yang menyapanya di jalanan tadi sore, dia sempat mencatat di Facebooknya:

"Terdiam dengan khabarmu, sahabat. Harap Allah membantuku memilih antara kaca dan permata..."
.

Saturday, April 10, 2010

tali barut



Rupa-rupanya dalam PDRM ada tali barut Israel. Namanya ASP Tim. Selama ini beliau dianggap seorang yang berjasa kepada negara. Banyak kes-kes jenayah berprofil tinggi telah berjaya ditanganinya. Antaranya ialah memburu pembunuh upahan yang dikenali sebagai Mikail.

Mikail bukanlah calang-calang sharpshooter. Dia telah dilatih oleh Dickens yang merupakan orang kuat sebuah kesatuan Yahudi yang mempunyai pelbagai nama. Dikatakan kesatuan itu sangat berkuasa di dunia. Malah, kesatuan itu juga terlibat dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat.

Anehnya, Dickens jugalah yang telah berjaya menjadikan ASP Tim sebagai orang yang memainkan peranan dalam melaksanakan pelbagai rancangan jahat untuk menjayakan kepentingan Zionis di Malaysia.

Dengan disulami pelbagai sub-plot, Ramlee Awang Mursyid telah berjaya menggarap novel setebal 490 halaman ini dengan begitu mempesona. Antara yang menarik juga ialah novel 'Mikail' memasukkan nama blogger Zaifulnizam 'AttOkz" Wagiran sebagai salah satu watak. Melalui laman blognya, AttOkz dikatakan telah banyak membantu Inspektor Zetty menyelesaikan misteri not $1USD yang merupakan killer signature Mikail. Not $1USD pasti ditemui bersama mayat mangsa Mikail.

Nama sebenar Mikail ialah Mahmud bin Fadzil berasal dari Kampung Bendang Raja, Kuala Nerang, Kedah.
.

Sunday, February 07, 2010

dari jendela kamar musafir

.
Suite An-Naim agak selesa. Tiga kamar tidur dan ruang tamu yang luas. Di dapur ada satu set meja makan untuk 6 orang. Dari tingkap dapur boleh lihat ruang parking kereta. Mendaki bukit dari ruang parking kelihatan sebuah banglo. Tentunya bukan milik Hassan Ali. Kediaman Hasan Ali tidak dapat dilihat dari tingkap dapur kerana ia terletak berhadapan Masjid.

Suite An-Naim terletak di tingkat 3 Masjid Alghufran, Taman Tun. Berapa sewanya tak sempat aku bertanya. Siapa yang bayar sewa juga aku tak mahu tahu. Yang aku tahu aku perlu segera beredar dari Masjid Wilayah tadi petang dan menginap di sini. Jam 8:00 pagi esok mesti check-out.

"Khaibar khaibar ya yahud, jaisyu muhammad saufa ya'ud!"

.

Friday, January 15, 2010

sesudah subuh

.
Sebagai selingan, Ustaz Asim sentuh sikit bab poligami. Katanya, masyarakat Arab Jahiliah memang terkenal sebagai pengamal poligami. Ada yang berbini dua, ada yang berbini tiga, ada yang berbini empat, ada yang berbini lima, ada yang berbini enam, ada yang berbini tujuh, ada yang berbini lapan, ada yang berbini sembilan, ada yang berbini sepuluh, ada yang berbini sebelas.....

Rasullullah SAW membawa syariat agar isteri hanya dihadkan seramai empat orang sahaja dalam satu masa. Sebaik-baiknya ikutlah prosedur yang telah dilaksanakan oleh Rasullullah SAW. Iaitu:

1. Rasulullah SAW tidak berpoligami sebelum isteri pertama meninggal dunia.
2. Sepanjang hidupnya hanya seorang sahaja yang berstatus 'gadis' yang dinikahi oleh Rasullullah iaitu 'Aisyah.

"Amacam Jing? Ada apa-apa komen kuliah Ustaz Asim tadi?" Soalan cepumasku untuk Mat Zin semasa minum di kedai Mek Yam.

"No komengggg..." Kata Mat Zin sambil menghirup teh tarik dalam-dalam. Seakan-akan hirupan itu bisa melegakan sedikit sebanyak gelodak jiwanya. Keputusan untuk tidak menjemput balik isteri pertamanya yang membawa diri ke Melaka mungkin perlu ditarik balik.
.

Saturday, January 02, 2010

mana nikon?

.
Kehilangan Nikon tidaklah terlalu menyedihkan. Tempat letak bateri dah terpaksa diikat dengan getah gelang. Kalau tidak Nikon asyik mendakwa bahawa baterinya tidak ada. Hanya SDRam agak sayang. Beberapa imej dari event terkini tidak sempat dimuaturun.

Cara kehilangannya mendedahkan betapa berlaku kepincangan dalam sistem pengurusan pemiliknya. Plan strategik 2010 perlu mengambil kira kes ini agak kejadian serupa tidak berulang. Walaupun kerugian tidaklah setanding ghaibnya enjin pesawat tetapi aku sudah layak untuk meletak jawatan sebagai seorang aku.

Tit. tit. tit. Panggilan dari Angah.

"Sori ayah..baru angah ingat. Nikon tu angah letak dalam poket kusyen Toyota. Ayah checklah. Kalau orang tak ambik adalah tu..."

Adui....

Duhai angah yang disayangi. Tahukah dikau bahawa Toyota Liteace Middleroof kini entah di mana. Sudah seminggu dia pergi bersama surat beranaknya. Bersama tuan baru dia juga diberi tugas baru. Termasuklah mengangkut buruh-buruh Bangla dan Indon.
.