Tuesday, November 27, 2012

TURUNG BBANDOR GI SUPERMARKET

Posing depan kedai photostat yang paling awal di KT.

Bersama Ali Pok Mang berhampiran Kedai Payang

Awal 80-an. Tiap kali 'turung bbandor', antara agenda wajib kami ialah lepak di stesen bas, melihat telatah penjual-penjual ubat, tengok wayang di panggung Rex atau Cathay, sembahyang di masjid Putih dan kadang-kadang menyusur Jalan Banggul ke Kedai Payang.  Oh ya, yang paling wajib ialah window shooping di Pasar Raya Kuala Terengganu
Bersama Ayub Khan
Bersama Ali Pok Mang dan Ayub Khan

Pasar  Raya Kuala Terengganu atau Kuala Terengganu Supermarket merupakan pasar raya terawal di Kuala Terengganu.  Namanya kemudian bertukar menjadi Pasar Raya Hock Kee Seng.  Aku tak pasti sama ada pasar raya itu di  ambil alih oleh pihak lain atau sekadar tukar nama.  Namun aku mendapat tahu bahawa Hock Kee Seng merupakan rangkaian dua buah supermarket lain yang kemudiannya muncul di Kuala Terengganu iaitu Pasar Raya Bumi dan Pasar Raya Astaka.  Pasar Raya Bumi kemudiannya bertukar nama menjadi Pasar Raya The Store.   Dalam masa yang sama juga, rangkaian Mydin telah membuka cawangannya tidak jauh daripada Hock Kee Seng.  Walaupun kedudukan Mydin agak tersorot dan tidak strategik, namun harga barangan yang ditawarkan telah berjaya menarik ramai pelanggan.

Bangunan Pasar Raya Astaka sebenarnya berasal daripada sebuah kompleks bazar yang dirancang untuk peniaga-peniaga Melayu.  Namun begitu, disebabkan kurang sambutan maka akhirnya kerajaan negeri bersetuju menyewakan bangunan tersebut kepada rangkaian  The Store.  Tak pasti apa nasib peniaga-peniaga Melayu yang menyewa lot premis perniagaan di situ.

Sebenarnya, sebelum wujud Astaka telah muncul sebuah lagi pasar raya yang tak berapa raya ketika itu.  Namanya SABASUN.  Di awal kemunculannya, ramai yang meramalkan ia tidak akan dapat bertahan lama.  Kedudukannya yang tidak berada di pusat bandar dijangka tidak akan dapat memberi saingan kepada Hock Kee Seng.  Tapi apa yang berlaku adaalah sebaliknya.  Dengan slogan 'Muroh Sokmo', ia telah berjaya menarik pelanggan dalam masa yang agak singkat.  SABASUN menjadi sebutan ramai kerana dikatakan sentiasa menawarkan harga barangan yang lebih rendah.

Kerancakan di SABASUN kendur seketika bila muncul jirannya yang bernama MYDIN MALL.  Kemudian muncul pula seekor gergasi yang bernama GIANT.

Aku tak berapa tahu asal usul MYDIN.  Yang jelas mereka mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah. Penglibatan mereka dalam projek kedai runcit 1Malaysia menjadai bukti yang jelas.

GIANT pula adalah sebuah syarikat konglomerat Singapura. Khabarnya, Kerajaan Malaysia melabur dalam syarikat ini menggunakan wang KWSP.  Situasi sedemikian telah berjaya menjadikan GIANT bertapak kukuh seantero Malaya.

Kini, 'turung bbandor' sudah jarang kedengaran.  Digantikan dengan 'gi mydin', atau 'gi giant', atau 'gi sabasun'.

Oh ya hampir terlupa nak maklumkan bahawa hanya SABASUN sahaja pasar raya milik Bumiputera di bandaraya Kuala Terengganu ini.





Saturday, November 17, 2012

NGANJJING DAN SELOGHOH


Adalah amat berbeza antara mengkritik dengan mempersenda.  Ramai orang boleh terima kritikan tetapi tidak boleh terima sendaan.  Kadang-kadang 'sang pengkritik' bertukar status menjadi 'sang persenda' lantaran kurang menguasai seni kritikan.

      Dalam dialek Terengganu, istilah 'nganjjing' sering digunakan bagi membawa maksud mempersenda.  Contoh: "Kalu die betol-betol ahli jamooh kite, dokkang dia tegamok nganjjing bende hok kita plen, bende hok kita buak" (Kalau dia betul-betul ahli jamaah kita, dia tidak akan tergamak mempersenda  gerak kerja yang kita rancang dan laksanakan).

      Kata 'nganjjing' berasal daripada kata makian 'anjing' yang sering digunakan bagi tujuan menghina.  Contoh: "Cih, berabuh mung anjing!" (Cis, berambuslah kau anjing!)

      Mempersenda berbeza dengan 'senda gurau'.  Dalam dialek Terengganu, istilah 'seloghoh' digunakan untuk membawa maksud 'senda gurau'. Contoh: "Kalu die ada, riuh damaklah sebak dia berehi seloghoh" (Kalau dia ada suasana akan riuh rendah kerana dia suka bersenda gurau).

      Seloghoh biasanya akan membawa kepada suasana gembira dan ceria manakala nganjjing akan membawa kepada suasana  yang sebaliknya.  Seloghoh yang terkawal boleh menjadi asbab kepada ukhuwwah.  Manakala nganjjing yang melampau pula boleh menyemarakkan api permusuhan dan dendam kesumat.

Monday, November 12, 2012

RIAKIS


 "Antara tanda orang riak ialah dia merasa marah bila mendapat berita bahawa ada orang yang mengatakan dia mempunyai sifat riak"

Kata-kata di atas bukan hadis.  Bukan juga kata-kata para sahabat atau tabiin.  Bukan kata-kata para ulamak muktabar.

Habis tu, kata-kata siapa? Ahli falsafah?

Ya.  Kata-kata di atas adalah ciptaan ahli falsafah.  Tapi, bukan Aristotle, bukan Plato, bukan Socrates. Bukan Tagore, bukan Iqbal, bukan Hamka.  Bukan.. bukan.. bukan...

Kata-kata di atas adalah ciptaan Riakis.

Kau mungkin tidak mengenali Riakis.

Saya tidak menyalahkan kamu kerana tidak mengenali Riakis.  Kerana kamu orang bodoh.  Makanya, dengarlah penjelasan saya untuk mengurangkan kebodohan yang telah kamu warisi turun temurun itu.

Ketahuilah olehmu bahawa Riakis itu adalah saya.  Dalam bidang falsafah, saya menggunakan nama Riakis.  Dalam bidang puisi, nama saya lain.  Dalam bidang prosa, nama saya lain.

Kata-kata di atas telah saya cipta dengan menggunakan kegeniusan yang dianugerahkan kepada saya.  Kamu tidak akan mampu mencipta kata-kata yang sehebat itu.  Malah jika kamu kumpulkan semua ahli organisasi kamu untuk menandingi saya, kamu pasti akan kecewa.

Lantaran itu, mulalah mengkagumi saya.  Dengar dengan teliti tiap fon yang keluar dari artikulator saya.  Cubalah tafsir tiap aksara yang saya tulis.  Meskipun kamu tidak akan mampu untuk menghayati semua lapis makna tersirat yang ingin saya sampaikan, sekurang-kurangnya kamu telah mencuba.  Menandakan yang kamu telah insaf.

Adalah belum terlambat untuk kamu insaf.

Insaflah.

Wednesday, November 07, 2012

RAJA, KUBANG LLEMBU SERTA BUTIR GETAH

Sumber: Rambo

Aku dan Che Ku Malik pernah beberapa minggu menduduki ranking teratas dalam arena berlaga butir getah di kampung kami.  Kawan-kawan panggil kami 'King'. Kedudukan kami  tidak tergugat sehinggalah kawan-kawan yang lain tahu dari mana kami mendapatkan butir getah tersebut.

Kami temui butir getah tersebut di sub-kampung Kubang Llembu (di kampung kami ada banyak sub-kampung seperti Kubang Llembu, Alur Reding, Alur Ttapi, Alur Keladi, Alur Kemoyang, Banggul Tokku, Banggul Tok Khatib Leh dan lain-lain yang sudah tidak lagi dikenali oleh generasi kini) .  Kubang Llembu merupakan sebuah paya yang berhantu.  Jalan  raya yang menghubungkan kampung kami dengan jalan utama betul-betul merentasi paya tersebut.  Kononnya, ramai penduduk kampung yang pernah bertembung  dengan hantu kopek dan hantu  kekeng  di situ. Diceritakan bahawa hantu kopek punya buah susu lanjut hampir mencecah tanah manakala kangkangan hantu kekeng pula macam pintu gerbang.  Tempat tersebut menjadi agak 'keras' mungkin disebabkan kawasan tersebut sering dijadikaan tempat membuang ancak yang  merupakan satu cara pembomohan pada zaman itu.

Untuk sampai ke kawasan pokok getah tersebut, kami perlu mengambil laluan sempit di tepi paya.  Bagi mengelakkan diri daripada terjatuh ke dalam paya, kami perlu berpaut pada pokok-pokok renik seperti senduduk dan mempelas yang tumbuh meliar sepanjang laluan.

Pada masa itu kami amat yakin akan pantang larang dalam mengekalkan kehebatan sesuatu spesis butir getah.  Antaranya ialah kami percaya bahawa butir getah dari satu pokok akan hilang kekuatannya bila ada di kalangan butir getah itu digunakan untuk berlaga sesama sendiri.  Sepanjang pengalaman kami dalam arena berlaga butir getah, memang tanggapan tersebut ada kebenarannya.  Contohnya, apa yang berlaku terhadap butir getah Kubang LLembu.  Sesudah rahsia aku dan Cik Ku Malik terbongkar, biji getah tersebut begitu mudah ditewaskan oleh butir getah yang selama ini menjadi mangsa butir getah kami.  Dan kami tidak lagi 'King'.

Sumber: Blog Marinahunny

Masa berlalu.  Kubang Llembu sudah berubah.  Kubang dan semak samun sudah tiada.  Kini sebuah masjid agam berdiri megah di situ.  Menggantikan masjid lama yang terletak di Banggul Tokku.  Banggul Tokku merupakan sub-kampung yang paling hampir dengan Kkubang Llembu.  Keistimewaan sub-kampung ini ialah semua penduduk di situ adalah 'Tengku', 'Engku' atau 'Che Ku'.  Mereka sebenarnya berasal usul daripada kerabat diraja.  Sebab itulah orang kebanyakan akan membahasakan diri 'patik' bila bercakap dengan mereka.  Malah pada ketika itu masih ada yang menganggap mereka mempunyai 'daulat'.

Barangkali sikap aku terhadap 'daulat' banyak dipengaruhi oleh pengalaman berkawan dengan raja-raja ini.  Sejak zaman kanak-kanak lagi aku sering merasakan bahawa tiada apa-apa kemuliaan manusia yang bergelar raja.  Mereka hanya manusia biasa yang kemuliaannya diukur berdasarkan tahap ketakwaan kepada Allah SWT.  Seorang raja yang 'beraja di mata, bersultan di hati" tidaklah lebih mulia daripada sebiji butir getah.

Friday, November 02, 2012

BULAN DAN JUGA ANGIN


Kata Shahnon, Bulan sudah terbabas dari landasan.  Bulan tidak lagi mendukung prinsip perjuangan yang asal.  Bulan sudah dikuasai oleh puak Erdogan.
"Pok, apa benda puak Erdogan tu?"  Aku mengalih mata dari potret Shahnon pada Galaxy Ace ke wajah Pok.  Pok sedikit tersentak.  Mungkin konsentrasinya terganggu. Jejari kirinya serta merta bermain pada butang kontrol sistem audio pada stering.  Suara Ustaz Azhar kini sayup-sayup kedengaran.  Pok memandang wajahku sekilas sebelum menjawab.
"Aku pun pun tak berapa tahu sangatlah Awang wei.. Aku pun dengar pasal kewujudan puak ni lepas pilihan raya yang lalu.  Surat khabar Utusan kata rancangan kerjasama Keris dengan Bulan tersekat kerana dihalang oleh golongan Erdogan.  Kononnya, sesudah Dacing dilanda tsunami, persetujuan telah dicapai dikalangan pimpinan Keris dan pimpinan Bulan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan iaitu kerajaan yang dibentuk hasil kompromi Dacing dan Bulan dengan membiarkan DAP dan PKR sebagai pembangkang.   Tujuan utama ialah untuk menyelamatkan Islam di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.  Ada angin mengatakan bahawa Mufti Perak banyak main peranan sebagai perantara puak Keris. Antara pimpinan Bulan yang terlibat ialah Haji Hadi, Cikgu Pa, Ustaz Nasha, Hasan Ali..."
"Haah...Haji Hadi? Cikgu Pa?"
"Ya.  Tapi puak Erdogan telah berjaya meyakinkan Nik Aziz tentang musibah yang bakal dipikul oleh Bulan jika setuju dengan Kerajaan Perpaduan.  Aaa.. dari kes tu aku mula-mula dengar adanya puak Erdogan ni. Jadi, yang mula-mula highlight nama tu ialah surat khabar Utusan.  Barangkali yang dimaksudkan puak Erdogan ialah saki baki orang ABIM yang masuk Bulan.  Atau orang yang pernah terlibat dengan gerakan Islam ala ABIM.  Atau lebih tepat lagi ala Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Assyahid Hassan al-Banna.  Termasuklah bekas ahli IRC yang kemudian bertukar nama jadi JIM dan sekarang bertukar nama lagi jadi IKRAM.
"Salah tu, Pok.  IKRAM bukan berasal daripada JIM.  IKRAM adalah NGO yang menggabungkan NGO yang mendokong fikrah Ikhwan Muslimin"
"Heh heh heh.  Itu cuma trick pimpinan JIM untuk mendominasi fikrah tersebut di sini. Malah, mereka pernah jadikan ABIM sebagai flatform untuk bergerak di peringkat awal.  Dahlah, tak payah kita bincang panjang bab tu.  Jadi, kesimpulannya: puak Erdogan ialah aktivis Bulan yang fikrahnya masih dipengaruhi oleh gerakan Ikhwan Muslimin.  Antara rujukan yang mereka anggap muktabar ialah hasil penulisan Syed Qutb, Abdul Kadir Audah, Said Hawa, Fathi Yakan, Abul A'la Maududi, Mustafa Masyhur, Maryam Jameelah, Khurshid Ahmad, Yusuf Qardhawi. Antara tanda mudah untuk mengenali mereka ialah mereka jarang menyentuh bab hukum hudud.  Walaupun mereka menerima perlunya pelaksanaaan hukum hudud tetapi ia bukanlah prioriti buat masa sekarang.  Banyak lagi benda lain yang perlu didahulu dan diutamakan.  Samalah dengan fikrah Morsi di Mesir dan Erdogan di Turki  sekarang."
"Oooo..camtu.  Jadi, itulah penyelewengan fikrah yang dimaksudkan oleh Shahnon?"
"Tau, takpe.."  Pok semacam menjeling tajam.  Aku memandang ke luar.  Hanya kelihatan pokok-pokok kelapa sawit yang berbalam-balam.  Di langit ada bulan temaram.
 Suara Ustaz Azhar membaca dan menjawab soalan diganti dengan kesenyapan.  Pok sedang menukar daripada mode CD kepada mode FM.  Sebentar kemudian terdengar mendayu-dayu Bulan dan Juga Angin dendangan Normadiah dan P.Ramlee.