Tuesday, November 18, 2014

SIS i

Dia disenangi oleh para pelajar kerana kemesraannya. Mudah diajak berbincang dan tidak suka menyusahkan pelajar dengan tugasan yang membebankan.

Majoriti pelajar menganggap dia pensyarah yang paling berdedikasi. Menguasai bidangnya dengan begitu cemerlang. Mungkin statusnya sebagai andartu membuat dia punya cukup masa untuk benar-benar fokus kepada profesion.

Kelemahannya yang ketara ialah dia masih lagi belum bertudung. Masih dengan fesyen rambut kontot yang menjadi identitinya semenjak remaja. Dia juga pernah mengaku di depan para pelajar di dewan kuliah bahawa dia tidak mendirikan solat lima waktu. Dia hanya solat sekali-sekala bila ada kelapangan. Walaupun mengakui akan kewajipan solat sebagai salah satu rukun Islam tapi dia merasakan rutin tersebut menganggu kelancaran jadual hidupnya. Katanya, Allah maha pengampun.

MUHAMMAD ALI, JOE BUGNER, MH370 DAN MH17

Malaysia bersetuju menganjurkan perlawanan tinju Muhammad Ali vs Joe Bugner dengan tujuan utama untuk memperkenalkan negara kepada warga dunia. Siaran langsung hampir di semua negara itu dikatakan telah berjaya mengikis beberapa kekeliruan termasuk mereka yang menyangka Malaysia berada di dalam Singapura.

Selepas itu Malaysia kembali dilupakan. Hinggalah berlakunya misteri MH370 dan tragedi MH17.

SAMAK

Dulu masa saya tinggal di Ipoh ada kawan yang minum di restoran Cina yang menggunakan gelas Carlsberg. Ada kawan lain tegur akan 'salah laku' tersebut. Kawan yang dituduh itu membela diri: "Apa salahnya. Aku minum teh ice. Gelas tu dah dibasuh. Bersih!"

Spontan kawan yang sorang lagi tu pula berkata: "Ya... betullah dah basuh. Tapi basuh biasa-biasa je tu. Tak samak..."

Saya yang turut dengar perbualan itu ketawa terbahak-bahak.

ABANG MAN BEKAS GANGSTER

Abang Man bekas gangster. Dia aktif dalam gangsterisme ketika Kuala Lumpur 'gangster yang punya'.

Saya tinggal serumah dengan Abang Man 'yang sudah insaf' di Bangsar selama 14 minggu pada tahun 1992. Ketika itu umur Abang Man sudah lebih 50 tahun. Belum kahwin.
Abang Man pernah membunuh. Bergaduh tak payah cerita. Pernah lama berkelana di Sweden atas sebab-sebab yang saya tak mahu cerita.

Kini Abang Man terlibat dalam NGO yang membuat kerja-kerja kebajikan. Sekali-sekala Abang Man 'keluar' bersama geng tabligh.