Wednesday, September 24, 2014

BAB 33 : TAKAH


BAB 33
Rupa-rupanya tidak semudah itu untuk berpatah arang berkerat rotan dengan Mang Ppale Kerah. Perlu berdepan dulu dengan Sudin Boria. Kecualilah kalau Lebai Mat Jeng sanggup menggunakan jurus bujur lalu lintang patah. Kalaulah benar-benar Lebai Mat Jeng mengguna jurus itu, sebabnya tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata untuk menjaga hati Lebai Abu Bakaq.
Perkembangan terbaru ini benar-benar menjadikan hati Lebai Abu Bakaq bagai kaca terhempas ke batu. Perancangannya terjejas sakan. Harapannya ialah sekurang-kurangnya Lebai Mat Jeng berpatah arang berkerat rotan dulu dengan Mang Ppale Kerah. Sebelum melangkah ke takah seterusnya iaitu bersepakat dengan Bedul Jaykaykay.
Bila takah ini dah 'ccendeng', maka lambat lagilah untuk beranjak. Dan Sudin Boria akan makin naik 'tagang'.

BAB 32: AFDHAL


BAB 32
Lebai Abu Bakaq rasa sungguh lega. Kepedihan hatinya akibat daripada tersingkir sahabatnya Dolah Motibasi sedikit terubat.
Tidak sia-sia segala usahanya selama ini. Akhirnya Lebai Mat Jeng sedar juga mana jalan yang lurus, mana jalan yang bengkok. Begitu juga dengan Lebai Wae Asse. Tidak lagi bermati-matian mempertahankan Mang Ppale Kerah.
Kalau diikutkan hati, mahu rasanya dia membuat pengisytiharan bahawa Dolah Motibasi dialu-alukan semula untuk bersama-sama kembali ke gelanggang mereka. Tetapi memikirkan keintiman Dolah Motibasi dengan Bedul Jaykaykay sekarang, maka hasrat itu dibiarkan dulu tersimpan kemas dalam lubuk hatinya. Dia tahu anak buahnya perlu diberi masa. Lambat-laun mereka akan sedar bahawa bersepakat dengan Bedul Jaykaykay adalah jauh lebih afdal daripada bersepakat dengan Mang Ppale Kerah dan Asing Kuba Pendek.
Lebai Abu Bakaq tersenyum. Ah, detik itu semakin hampir, bisik hatinya.

BAB 31: PARASIT


BAB 31
Sudin Boria tahu benar. Ia bermula dengan sentimen membenci Mang Ppale Kerah. Kononnya bekas anak didik dan puak yang sekepala dengan Mang Ppale Kerah telah menyusup masuk dengan membawa agenda yang sesat. Umpama parasit yang hidup subur sambil perlahan-lahan membunuh tempat yang ditumpangi.
Sudin Boria cukup maklum. Kemarahan mereka kepada dirinya muncul kemudian. Sesudah dia dilihat menyebelahi Mang Ppale Kerah.
"Kasihan Lebai Mat Jeng" Keluh Sudin Boria. "Dia terperangkap dalam puak yang dihantui kebencian akan Mang Ppale Kerah. Bukan puak yang benar-benar wala' akan dirinya. Malah mereka yang benar-benar wala' juga telah diseret sama. Dan puak inilah akhirnya jadi lembu yang dicucuk hidung. Suruh bangun, bangun. Suruh keluar, keluar..."

BAB 30: BERTALI-ARUS


BAB 30
Sudin Boria berazam tidak akan menyerang balas meskipun peluru dari anak buah Lebai Abu Bakaq datang bertali-arus. Sebaliknya kembali kepada fokus asal iaitu berusaha merebahkan puak Bedul Jaykaykay.
"Harap-harap Mang Ppale Kerah dan Asing Kuba Pendek juga mengambil sikap yang sama" Bisik Sudin Boria. "Dan semoga Lebai Mat Jeng segera sedar"

Friday, September 12, 2014

BAB 29: BETUL



BAB 29
Ali Silau malas berfikir banyak. Baginya, apa sahaja tindakan Lebai Mat Jeng adalah betul. Tiada yang tidak betul melainkan betul. Sebab di leher Lebai Mat Jeng sudah terkalung lesen 'al ulamak warisatul anbiya'.
"Tak boleh macam tu..." Bantah Saleh Ddekor sambil mengalih tudung botol berwarna putih satu petak. Dia sudah nampak helah Ali Silau untuk naik haji dari sebelah kiri. "Lebai pun manusia macam kita. Ada masa konpius dan bertindak secara tidak bijak. Apa lagi kalau keadaan dirinya dah dikepung oleh orang yang berkepentingan. Kena ada orang tegur..."
"Adui.. baca Fatihah pun tak betul nak tegur tok lebai.." Balas Ali Silau sambil alih 'umpan' satu langkah. Ternyata Saleh Ddekor tak terliur dengan umpan tersebut. Strategi terpaksa ditukar.
Pap! pap! pap! Tiga butir tudung botol warna hijau yang berada di petak sebelah kanan dilompat oleh tudung botol warna putih yang tersepit di hujung jari telunjuk dan ibu jari Saleh Ddekor.
"Haji... hahaha"

BAB 28: BERBELIT



BAB 28
Jahar KK menenyeh hujung berus ke dalam palet sambil mengerutkan dahi. Di kanvas terpapar wajah Lebai Abu Bakaq. Dengan kombinasi warna merah dan hitam, ditambahnya dua batang tanduk. Ekor serban dipanjangkan hingga hampir memenuhi ruang 'background' dan melarat ke hadapan wajah. Akhirnya wajah terselindung di sebalik ekor serban yang berbelit-belit. Karya yang asalnya realis sudah bertukar menjadi abstrak.
"Siap!" Jahar KK berteriak kepuasan. Akhirnya berjaya juga dia menyiapkan 5 keping lukisan yang akan menyertai pameran '345' anjuran Galeri Punai milik sahabatnya Mamut Jones.
Jahar KK mencepit sebatang rokok di bibir. Sambil meraba kotak mancis di dalam poket jean denin lusuhnya, direnung kembali lukisan tersebut. Dahinya berkerut. Tangannya yang tadi menyeluk poket segera dikeluarkan. Mencapai berus dan dengan warna hijau lumut ditulisnya bait-bait secara vertikal di sebelah tepi kiri: "adapun para lebai itu... amat keras terhadap sesama para pejuang... amat lembut terhadap para petualang... "

Wednesday, September 10, 2014

BAB 27: LANGGAR


BAB 27
Pokngoh Deraman merenung poster filem 'Langgar Lebai Malam'. Ada semacam rasa meluat di dalam hatinya.
"Ini simptom terkini bahawa kepimpinan Lebai Mat Jeng semakin dipertikaikan..." Bisik Pokngoh Deramang. Sebagai orang lama yang sudah masak dengan sepak terajang gelanggang siasah, dia tahu poster itu adalah kerja anak buah Lebai Abu Bakaq. Provokasi untuk menunjukkan bahawa Sudin Boria kini benar-benar sudah membentuk pasukan untuk merebahkan Lebai Mat Jeng. Dengan cara itu mereka mengharapkan kecurigaan Lebai Mat Jeng terhadap Sudin Boria akan semakin menebal.
Sejak berjaya mengepung Lebai Mat Jeng, anak buah Lebai Abu Bakaq memang semakin naik tocang. Mereka yakin kali ini Lebai Mat Jeng akan istiqamah bersama mereka. Lebai Mat Jeng tentu tidak sanggup lagi membuat u-turn. Beberapa kali u-turn yang dibuat sebelum ini sudah cukup untuk merudumkan kredibilitinya. Lebai Mat Jeng tentunya sudah serik.
Kasihan Lebai Mat Jeng. Ilmunya dalam bab hukum-hakam dan tawarikh tinggi melangit. Dihormati oleh kawan dan lawan. Namun reputasi cemerlang yang dibina selama ini ternyata bukan jaminan untuk tidak terbabas dan tergelincir.
Dalam keadaan sekarang, amat sukar untuk membantu Lebai Mat Jeng kembali ke pangkal jalan. Dia sudah begitu parah dikepung dan dicengkam oleh GTR dan KELEDAI.
"Susah... susah.." Keluh Pokngoh Deramang. "Sepatutnya buktikan kebijaksanaan dan kecekapan. Jangan duk gagah dengan hujah al ulamak warisatul anbiya je..."

Monday, September 08, 2014

BAB 26: INSAF


BAB 26
"Syukur... Lebai Mat Jeng insaf juga akhirnya. Sedar siapa sebenarnya Mang Ppale Kerah..." Kata Mail Kataki. Dolah Motibasi yang baru sahaja mengangkat gelas ke bibir meletakkan kembali teh tariknya di atas meja. Kemudian mengangguk-angguk laju.
Dolah Motibasi tahu benar sejarah permusuhan Mail Kataki dengan Mang Ppale Kerah. Ketika zaman pemuda, mereka sebenarnya amat akrab. Malah Mail Kataki merupakan orang yang paling lantang berjuang membebaskan Mang Ppale Kerah ketika Mang Ppale Kerah ditahan suatu ketika dulu. Bibit-bibit permusuhan mula bertunas ketika Mang Ppale Kerah menjadi orang penting selepas menyertai puak Bedul Jaykaykay. Khabarnya, Mail Kataki amat kecewa bila Mang Ppale Kerah tidak melayan beberapa permintaannya. Seolah-olah Mang Ppale Kerah sengaja melupai jasa-jasanya.
"Walau macam manapun... kita jangan rasa seronok sangat. Lebai Mat Jeng ni jenis klu-klek. Dibuatnya dia u-turn dan konar leper, ternganga kita" sambung Mail Kataki.
Dolah Motibasi buat muka bodoh. Sesudah menghirup baki teh tarik, dia merenung Mail Kataki. Dengan gaya seorang kaunselor, dia bersuara perlahan: "Jangan risau sahabatku... Lebai Mat Jeng kini sudah hilang wibawa dan sudah tidak menjadi watak penting dalam cerita ini. Walau bagaimanapun, kita harus berterima kasih kepadanya. Tindak-tanduknya sebelum ini sudah cukup banyak membantu kita dalam usaha merebahkan Mang Ppale Kerah. Hahaha.. akan banyak lagi unsur kejutan yang akan berlaku..."
"Suspens... hahaha... " Gelak Mail Kataki. Sisa-sisa teh tarik yang masih bertakung di hujung halkumnya tersembur. Tepat ke muka Dolah Motibasi.

BAB 25: NYAMUK


BAB 25
Dolah Motibasi bukan main galak memuji Lebai Mat Jeng. Hinggakan banyak makhluk yang melata di bumi dan berterbangan di angkasa kehairanan. Tidak terkecuali kaum nyamuk yang siang malam berterbangan mencari rezeki.
"Kita glamer sekarang" kata bapak nyamuk kepada ibu nyamuk. "Nama kita disebut-sebut dalam majlis-majlis ceramah para lebai"
"Apa glemernya" Balas ibu nyamuk. "Bukannya disebut-sebut tentang kebaikan kita. Tapi mereka kutuk kita kaw-kaw.."
Bapak nyamuk mengangguk-angguk kepala. Apa yang dikatakan oleh ibu nyamuk itu memang betul. Nama mereka telah dikonotasi dengan cara yang amat jelek. Mereka sendiri pun merasa hairan bagaimana manusia yang selama ini disangkakan cerdik itu boleh mengeluarkan hujah yang begitu dangkal. Kalau Dolah Motibasi yang bercakap begitu tidaklah menghairankan.
"Ah, persetankan! Yang penting... darah... darah.. darah.." Teriak bapak nyamuk sambil mengepakkan sayap dan meluncur laju. Ibu nyamuk segera membuntuti. Aroma darah yang tiba-tiba menghinggap deria bau meminta mereka mengesan lokasi mangsa.
Mereka singgah di betis Dolah Motibasi yang tersandar di sofa sedang tersengih-sengih menonton berita TV. Di skrin TV kelihatan pelbagai tokoh termasuk Dolah Motibasi dan Mail Kataki sedang memuji Lebai Mat Jeng. Diselang-seli dengan ucapan Lebai Mat Jeng tentang nyamuk.

Sunday, September 07, 2014

BAB 24: CAMPAK


BAB 24
Khabar kononnya Lebai Mat Jeng sudah bertemu Sang Nila Setitik membawa cadangan Kelab Lebai Dam Aji (KELEDAI) benar-benar membuatkan Sudin Boria termenung panjang. Ini bermakna cadangan Kelab Tok-tok Ketua (KETOKE) sudah dibuang ke dalam tong sampah.
Sudin Boria tahu. Majoriti ahli KELEDAI merupakan para lebai hingusan yang baru kenal gelanggang perjuangan. Kebanyakan mereka mengkagumi gemulah Lebai Jusoh Lekor dan Lebai Abu Bakaq. Oleh hal yang demikian, maka tidaklah menghairankan jika kebanyakan mereka sangat tidak berkenan akan Mang Ppale Kerah.
Bagi mereka, Mang Ppale Kerahlah yang menjadi barah dalam perjuangan. Fikrah yang dibawa oleh Mang Ppale Kerah telah menyebabkan ramai para pejuang tergelincir dari landasan yang benar. Karisma yang dimiliki oleh Mang Ppale Kerah mengakibatkan saf pejuangan yang benar kehilangan ramai tenaga yang berpotensi.
"Mereka tak kenal Mang Ppale Kerah. Mereka terlalu banyak menelan maklumat yang salah dari gemulah Lebai Jusoh Lekor..." Rungut Sudin Boria. Matanya melilau ke dinding. Golok pusaka dan tongkat warrant yang terselit di dinding direnung silih berganti.
Sudin Boria bangun. Tongkat warrant disentap. Dan untuk kesekian kalinya dia berlenggang lenggok lagi ala Pak Daud Sungai Pinang.
"kalaulah belum kenal penjara
jangan berlagak bagai perwira
berjuang bagai menggenggam bara
boria sungai pinang punya bicara...
eeewah... "

Friday, September 05, 2014

BAB 23: KLU-KLEK


BAB 23
Lebai Mat Jeng semakin klu-klek. Sekejap kata setuju sekejap kata tak setuju. Sekejap kata boleh sekejap kata tak boleh.
"Tak boleh pegang buku" Keluh Mang Ppale Kerah. Dia tahu Lebai Mat Jeng sekarang bukan lagi Lebai Mat Jeng yang dulu. Lebai Mat Jeng yang dulu ialah seorang sahabat yang sentiasa percaya akan kelicikan muslihat jangka panjang dan jangka pendeknya dalam bersiasah. Lebai Mat Jeng sekarang ialah Lebai Mat Jeng yang sentiasa mencerlungnya dengan penuh curiga.
Mang Ppale Kerah sungguh tidak sangka. Lebai Mat Mat Jeng yang dulunya mampu membaca setiap tipu muslihat musuh kini dengan begitu mudah diperangkap. Langkah pendekar yang selama ini menjadi menjadi pakaiannya telah ditukar dengan langkah sang badut.
Pihak yang paling kuat ketawa menyaksikan langkah sumbang Lebai Mat Jeng sekarang ialah puak Bedul Jaykaykay. Malah, khabarnya mereka akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran untuk mentertawakan Lebai Mat Jeng. Dalam perhimpunan itu nanti, semua peserta akan ketawa sepuas hati. Pertandingan ketawa juga akan diadakan. Peserta yang berjaya mempersembahkan ketawa yang paling unik akan dipilih sebagai pemenang.

BAB 22: GELETEK


BAB 22
Asing Kuba Pendek tidak mempedulikan demo kecemasan yang sedang diaksikan oleh pramugari yang comel itu. Sambil memejamkan mata dia cuba mengerah segala daya fikirnya untuk memahami apa yang tersirat dalam kata-kata Sudin Boria ketika di dalam kereta tadi. Semakin difikirkan semakin bercelaru.
"Lebai Mat Jeng sedang main wayang. Kita dalam bahaya. Dia sekarang dah confuse yang mana kawan yang mana musuh..."
Kata-kata Sudin Boria itu bersipongan. Berulang-ulang datang memukul gegendang telinganya. Dalam masa yang sama daya fikirnya terus bekerja keras menghubungkaitkan beberapa peristiwa. Cuba menganalisis dan membuat konklusi.
"Go to hell!" Terpancut makian dari mulut Asing Kuba Pendek. Matanya yang sejak tadi asyik terpejam dibuka. Demo kecemasan sudah lama usai dan juruterbang baru sahaja mengumumkan bahawa mereka kini sudah berada di paras tiga puluh dua ribu kaki.
Tiba-tiba kedengaran satu letupan yang agak kuat. Para penumpang yang gempar mula berteriakan. Suasana makin cemas bila kelihatan asap berkepul-kepul datang dari arah kokpit.
Asing Kuba Pendek menggeletar. Dia segera teringatkan MH370 dan MH17. Belumpun sempat berfikir lama, satu letupan yang kuat telah mencampakkannya keluar. Terlayang-layang seketika dan kemudian... bedebuk! Dia jatuh betul-betul di dalam sebuah perigi buta yang agak dalam.
Amat mengejutkan! Bersama-sama dalam perigi buta itu ialah Mang Ppale Kerah dan Lebai Mat Jeng. Mang Ppale Kerah yang sedang asyik berwhatsApp digeletek oleh Lebai Mat Jeng. Puas Mang Ppale Kerah melarang tetapi Lebai Mat Jeng bertambah galak menggeletek pinggang dan ketiak Mang Ppale Kerah. Sekali-sekala jarinya menjentik senjata sulit Mang Ppale Kerah.
Mang Ppale Kerah naik angin. Dicepungnya Lebai Mat Jeng dan cuba mencampaknya keluar tetapi tidak terdaya. Asing Kuba Pendek segera datang membantu Mang Ppale Kerah. Dengan sekuat tenaga mereka mencampak Lebai Mat Jeng keluar dari perigi buta tersebut.
"Tea or coffee?" Satu suara lunak terdengar sayup-sayup. Asing Kuba Pendek segera membuka kelopak mata. Berbalam-balam kelihatan seorang pramugari sedang menuang kopi untuk penumpang yang duduk di seat bersebelahan.

Wednesday, September 03, 2014

BAB 21: KALUT


BAB 21
"Apakah kesepakatan itu bererti kita kena ikut segala kamahuan Mang Ppale Kerah?" Lebai Abu Bakaq berhujah. Lebai Mat Jeng sedikit tersentak.
"Bukan begitu... bukan soal ikut telunjuk sesiapa. Soalnya untung rugi. Biar kita nampak bodoh sekarang tetapi dari segi jangka panjang kita akan untung besar..." Jelas Lebai Mat Jeng lembut. Beberapa titik air liur Lebai Abu Bakaq yang tertempias ke lengannya di sapu dengan hujung mafla. Harap-harap Lebai Abu Bakaq tidak perasan. Dia tidak mahu sahabatnya itu terasa aib.
Dia bukan kenal Lebai Abu Bakaq sehari dua. Bekas penceramah selebriti yang amat popular suatu masa dulu itu bukan calang-calang ilmunya. Pernah menjadi tempat rujuk pelbagai pihak termasuklah puak Bedul Jaykaykay. Tetapi popularitinya mula merudum bila dia mengisytitiharkan diri untuk berjuang bersama puak Lebai Mat Jeng. Sejurus sesudah berlakunya peristiwa Mang Ppale Kerah difitnah.
"Aku tak nampak kat mana untungnya" Lebai Abu Bakaq masih berkeras. "Apa yang aku nampak ialah kita makin terbabas dari prinsip perjuangan asal"
Lebai Mat Jeng menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Memang dia sudah mengagak itulah hujah yang akan keluar dari mulut Lebai Abu Bakaq. Seperti kata Sudin Boria: Pi mai pi mai tang tu...
Mengingatkan Sudin Boria, emosi Lebai Mat Jeng makin berserabut. Lelaki yang selama ini menjadi ayam sabung yang digeruni oleh pihak lawan itu kini dirasakan banyak menimbulkan kekalutan.
"Kalut..."
"Apa? Hang kata aku kalut? " Sergah Lebai Abu Bakaq.

Tuesday, September 02, 2014

BAB 20: SELONGKAR


BAB 20
Kedudukannya sebagai orang nombor dua selepas Lebai Mat Jeng dirasakan seolah-olah dipandang sebelah mata. Lebai Mat Jeng sudah jarang benar berbincang dengannya untuk membuat sesuatu keputusan. Lebih mengecewakan ialah banyak keputusan yang dibuat oleh Lebai Mat Jeng sejak akhir-akhir ini bercanggah dengan apa yang mereka sepakatkan sebelum ini.
"Begitulah jadinya kalau banyak sangat mendengar cakap Lebai Abu Bakaq dan budak-budak GTR... " Keluh Sudin Boria. Urat leher dan belikatnya terasa tegang. Segera dia bangun dan membuat senaman regangan. Uh, rasa sedikit lega.
Bukan dia tidak tahu. Setiap kali musim himpunan pemilihan, anak buah Lebai Abu Bakaq akan berusaha keras untuk mempastikan dia tersingkir. Akan direka bermacam cerita yang buruk-buruk tentang dirinya. Antaranya ialah dakwaan bahawa dia pengamal ajaran sesat Ayah Lie.
Kononnya dia sudah lama jadi pengikut Ayah Lie secara senyap-senyap. Walaupun berkali-kali menafikan tetapi cerita tersebut tetap timbul pada tiap musim himpunan pemilihan.
Barang kali kejadian pejabatnya diceroboh baru-baru ini ada kaitan dengan cerita tersebut. Penceroboh mungkin mencari barang kes untuk meyakinkan orang kampung akan tuduhan mereka.
Tiba-tiba Sudin Boria terhidu sesuatu. Segera dia mengumpul aura. Ternyata bau aneh itu datang dari arah bilik kerjanya. Terjingkit-jingkit tanpa bunyi Sudin Boria menapak. Mengejutkan. Melalui lubang kecil yang memang sengaja dibuat untuk mengintai, dapat dilihat dengan jelas seekor toyol sedang menyelongkar laci meja.
Sudin Boria mengumpul aura. Kemudian membuka pintu secara mengejut. Toyol tersebut tersentak dan cuba melompat keluar menerusi tingkap yang sedia terbuka. Tetapi sudah terlambat. Jejaring 'spider-webs' yang terpancut keluar dari pangkal tapak tangan Sudin Boria memerangkap seluruh tubuhnya. Toyol tersebut bergeleding-geliat dalam gumpalan jejaring seperti seekor tebuan yang terperangkap di sarang labah-labah.
Sudin Boria kembali mengumpul aura sebelum menyedut kembali 'spider-webs'. Toyol yang sedang dalam ketakutan itu kini bergeleding-geliat di hujung kaki Sudin Boria. Segera Sudin Boria mengeluarkan 'dna scanner' dan mengimbas kepala toyol tersebut.
Sudin Boria beristighfar sambil mengeleng-ngeleng kepala. Pada skrin 'dna scanner' terpapar profil lengkap makhluk tersebut. Bersama sekeping imej berformat jpeg. Memaparkan toyol tersebut yang bernama Bencisudinboria bin Bencimangppalekerah sedang berselfie dengan Lebai Mat Jeng.