Wednesday, September 10, 2014

BAB 27: LANGGAR


BAB 27
Pokngoh Deraman merenung poster filem 'Langgar Lebai Malam'. Ada semacam rasa meluat di dalam hatinya.
"Ini simptom terkini bahawa kepimpinan Lebai Mat Jeng semakin dipertikaikan..." Bisik Pokngoh Deramang. Sebagai orang lama yang sudah masak dengan sepak terajang gelanggang siasah, dia tahu poster itu adalah kerja anak buah Lebai Abu Bakaq. Provokasi untuk menunjukkan bahawa Sudin Boria kini benar-benar sudah membentuk pasukan untuk merebahkan Lebai Mat Jeng. Dengan cara itu mereka mengharapkan kecurigaan Lebai Mat Jeng terhadap Sudin Boria akan semakin menebal.
Sejak berjaya mengepung Lebai Mat Jeng, anak buah Lebai Abu Bakaq memang semakin naik tocang. Mereka yakin kali ini Lebai Mat Jeng akan istiqamah bersama mereka. Lebai Mat Jeng tentu tidak sanggup lagi membuat u-turn. Beberapa kali u-turn yang dibuat sebelum ini sudah cukup untuk merudumkan kredibilitinya. Lebai Mat Jeng tentunya sudah serik.
Kasihan Lebai Mat Jeng. Ilmunya dalam bab hukum-hakam dan tawarikh tinggi melangit. Dihormati oleh kawan dan lawan. Namun reputasi cemerlang yang dibina selama ini ternyata bukan jaminan untuk tidak terbabas dan tergelincir.
Dalam keadaan sekarang, amat sukar untuk membantu Lebai Mat Jeng kembali ke pangkal jalan. Dia sudah begitu parah dikepung dan dicengkam oleh GTR dan KELEDAI.
"Susah... susah.." Keluh Pokngoh Deramang. "Sepatutnya buktikan kebijaksanaan dan kecekapan. Jangan duk gagah dengan hujah al ulamak warisatul anbiya je..."

No comments: