Friday, November 18, 2011

Dari Pengkalan Setar ke Kedai Payang



Gambar dirembat daripada TokAyah - TQ

Pengkalan Setar yang mendapat nama kerana banyak terdapat pokok setar/kundang (Bouea macrophylla) di situ di katakan merupakan sebuah pelabuhan penting pada zaman pengangkutan air merupakan pengangkutan utama di Terengganu, . Kesibukannya boleh diumpamakan seperti kesibukan pengkalan tempat berlakunya pergaduhan antara Pendekar Mustar dan gangster dalam Pendekar Bujang Lapuk.

Ada tol di Pengkalan Setar. Mana-mana empunya perahu yang enggan membayar tol akan menerima hukuman. Perahu mereka akan diterbalikkan. Tugas penguatkuasaan hukuman ini dilaksanakan oleh sekumpulan hulubalang yang  mendiami kampung di sekitar Pengkalan Setar.  Dalam dialek Terengganu, 'atas' juga membawa maksud 'selepas'. Jadi, kampung Atas Tol mendapat nama sedemikian kerana kedudukan yang terletak selepas daripada tol Pengkalan Setar.


Kedudukan Pengkalan Setar agak strategik kerana ia terletak di tebing sungai Ibai yang muaranya adalah Kuala Ibai dan hulunya adalah kampung Bukit Payong. Penduduk hulu akan menghilir daripada pengkalan sungai Buaya. Kini, pembangunan di pekan Bukit Payong telah menyebabkan sungai Buaya tertimbus. Tempat yang dulunya menjadi tumpuan pemburu-pemburu buaya hanya ada air bila hujan lebat. Bukit yang menjadi kemegahan kampung Bukit Payong juga sudah tiada. Sesudah sekian lama jengkaut melanyaknya, ia kini tinggal tapak yang khabarnya menjadi milik Koperasi Imam dan Bilal Negeri Terengganu.

Menghilir dari Pengkalan Setar, sebelum tiba ke Kuala Ibai, perahu boleh singgah di pengkalan Kampung Laut. Di sini ada perkhidmtan feri yang menghubungkan kampung Kampung Laut dengan pengkalan Tok Molor. Dari Tok Molor boleh gunakan jalan darat untuk ke pekan Kuala Terengganu. Melalui kampung Bukit Depu, kampung Bukit Bayas, kampung Gelong Bilal, Nibong, kampung Pasir Panjang, kampung Panji Alam, serta kampung Gong Kapas. Ada juga yang lebih suka jalan pantai melalui kampung Kuala Ibai dan kampung Batu Buruk. Pada musim laut tenang, perahu boleh menyusuri Laut Cina Selatan dari Kuala Ibai ke Kedai Payang. Antara jenis perahu yang mampu menyusuri pantai Laut China Selatan dengan selamat ialah perahu payang. Kini perkhidmatan feri kampung Laut-kampung Tok Molor sudah digantikan dengan jambatan Tok Molor. Lokasi yang menjadi pilihan kaki pancing meskipun ada papan tanda 'Tidak dibenarkan memancing di atas jambatan'.