Sunday, May 21, 2006

padang 4

Ada pertunjukan silat. Mula-mula silat pulut yang berbunga-bunga. Kemudian bunga campur buah. Kemudian yang akhir-akhir kelihatannya bunganya sudah amat berkurang. Hanya dipenuhi buah. Kemuncaknya ialah pertarungan antara Tok Guru Wan Mansor dengan Tok Guru Cikgu Yasin. Tersangatlah hebat. Walaupun umur kedua-duanya telah melebihi 40 tahun, namun kecergasan mengalahkan orang muda. Mereka bertarung seolah-olah ingin mengalahkan antara satu sama lain. Amat real. Bunyi sepakan dan tumbukan berdebuk berdebak. Dastar kedua-duanya telah tercampak dan pakaian telah comot dan kusut masai.

Orang putih tak putus-putus ambil gambar. Snap! snap! . Yang perempuannya nampak macam ngeri melihat pertarungan tersebut. Dan aku duduk betul-betul di sebelah mereka. Kadang-kadang tengok pertunjukan silat, kadang-kadang mendongak tengok lubang hidung mereka.

Beberapa minggu selepas itu, gambar-gambar Wan Mansor dan Cikgu Yasin bersilat tersiar dalam majalah Newsweek. Majalah antarabangsa yang dicetak di Hong Kong. Maka ramailah orang datang ke rumah aku nak tengok gambar.

Mungkin di kampung ini, rumah akulah satu-satunya ada majalah tersebut. Bukan sahaja Newsweek, malah Reader Digest juga. Ceritanya begini: Tanpa ditempah, kedua-dua majalah itu sentiasa sampai ke rumah aku. Ia bermula tidak lama selepas kakak aku masuk Kembang Setaman. Ruangan berkenalan dalam majalah URTV. Menggunakan alamat daripada Kembang Setaman, Newsweek dan reader Digest melaksanakan cara pemasaran 'terima dulu, bayar kemudian'.  Tapi aku pula melaksanakan kaedah 'terima dulu, pastu tak bayar-bayar'. Zaman belum akil baligh.  Belum ada dosa pahala.

nota: Bila aku terpilih ke sekolah budak cerdik, ku temui satu lagi kejutan. Beberapa keping gambar Wan Mansor dan Cikgu Yasin bersilat ,acara perarakan dari dari balai raya ke padang bola dan gambar rumah tukun juga terdapat dalam sebuah buku mewah berbahasa Inggeris di perpustakaan. Buku berkulit tebal dan berjeket. Memaparkan pelbagai kebudayaan dan adat tradisi masyarakat Melayu. Hampir semua gambar di dalamnya amat menarik. Berwarna warni. Memang jurukameranya seorang profesional. Akhirnya aku dapat tahu bahawa beliau ialah Dato' Mubin Sheppard).

Ohya, selain Wan Mansor dan Cikgu Yasin, kelihatan sedang tekun menonton mereka bersilat ialah Bedul, Zaid, Zubir dan ramai lagi budak-budak. Berbaju dan tidak berbaju. Aku tidak ada dalam gambar. Sebab? Aku duduk di samping jurukamera dan asyik melihat lubang hidung Mubin Sheppard da memnya...

Saturday, May 20, 2006

padang 3

Di tepi jalan ada penonton melihat kami berarak. Ada yang melambai-lambai. Ada yang menyorak dengan pelbagai senda gurau. "Hei, Bedul. Mak mu suruh balik ambil kerbau. Haha haha.."

Dan ada orang putih ambil gambar. Dengan kamera lensa panjang. Rasanya, dua lelaki dan tiga perempuan. Yang perempuannya, teramatlah seksi mengikut standard kampung aku. Mereka dikelilingi 'peminat-peminat'. Kebanyakannya budak-budak perempuan sebaya aku. Dan 'budak-budak' lelaki sebaya ayah aku.

Di padang dah ada ramai yang menunggu. Ada bangsal jual makanan dan minuman. Ada penjaja aiskrim colek dan air skrim batang. Ada penjaja gulalel.

(bersambung...)

Tuesday, May 16, 2006

padang 2

Khabarnya ada pihak yang datang kutip segala artifak tersebut. Entah pihak mana. Entah dibawa ke mana. Entah dibuat apa.

Yang jelas, sawah telah bertukar menjadi padang tanah merah. Kemudian pihak belia 4B tanam rumput secara gotong royong. Kemudian rumput tumbuh subur. Kemudian dipancang tiang gol.

Kemudian diadakan majlis perasmian secara besar-besaran. Ada perarakan dari balairaya ke padang bola baru tersebut. Didahului oleh pengusung rumah tukun. Dalam rumah tukun ada nasi kunyit dipacak telur merah. Ada ikan aya. Ada telur ayam mentah. Ada ayam panggang. Ada benda dibungkus kain kuning.

Di belakang pengusung rumah tukun ialah aku, Embong, Bedul, Zubir, Zaid dan ramai lagi kanak-kanak lain. Semua pakai baju. Yang tak pakai baju tak dibenarkan berarak di depan. Di belakang kami adalah beliawanis berbaju kebaya ketat leher luas membawa pelbagai gubahan bunga. Rambut tinggi ala Nor Azizah. Di belakang mereka ialah belia berselempang bertanjak memalu kompang. Di belakang lagi pula ialah para belia tanpa selempang tanpa tanjak. Berseluar yengki. Kebanyakannya berjambul ala Ed Osmera.

Dan di belakang sekali hanyalah para peserta tidak rasmi. Termasuk kanak-kanak tak berbaju.
(...bersambung)

Sunday, May 14, 2006

padang 1

Depan rumah aku ada sawah padi huma. Di seberang sawah sana ada sekelompok rumah. Rumah di tepi sungai. Mereka yang tinggal di tepi sungai di panggil puak alur. Aku puak gong. Gong tempat aku tinggal dikenali dengan nama Gong Tok Khatib Salleh. Mengambil semperna nama moyangku: Khatib Salleh bin Ahmad, peneroka asal gong ini.

Tiba-tiba lori datang berduyun-duyun. Tambun sawah di depan rumahku. Dan ada jentolak meratakan tanah. Aku dan rakan-rakan amat seronok. Berlari-lari atas tanah merah. Ada jumpa batu bepang. Ada tulang-tulang. Ada tengkorak. Katanyanya, tanah diambil dari bukit jirat cina.

(bersambung)

Wednesday, May 03, 2006

penulis

Yang aku tahu dia memang seorang penulis. Karyanya banyak tersiar dengan pelbagai nama samaran. Adiknya yang beritahu kawan aku.

Adiknya ialah penpal kawan aku. Penpal? Hahaha. Ini kisah budak-budak. Berkenalan masa menonton lawan bola antara sekolah berdekatan. Berutus surat. Masa tu mana ada e-mail. SMS jauh sekali.

Sekolah mereka hanya 3 batu dari sekolah kami. Jadi untuk pergi ke bandar berdekatan, kami berkongsi bas yang sama.

Di atas bas itulah aku selalu melihat penulis itu. Rupanya agak kacak tetapi kekacakannya itu tersembunyi di sebalik tunggul misai dan janggut yang tidak terurus. Rambutnya panjang. Mencecah tengah belakang. Kusut masai kerana tidak disikat. Pakaiannya amat kumal.

Aku pernah mengekorinya bila turun dari bas. Dia berjalan tunduk dengan langkahnya yang perlahan. Sepanjang perjalanan dia seolah-olah hanya melihat hujung kasutnya yang comot.

Dia pergi dari satu kedai buku ke satu kedai buku. Hampir semua kedai buku disinggahinya. Oleh kerana dia terlalu lama di satu-satu kedai buku, aku memang tidak mampu terus mengekorinya.

Ketika pulang, dia mengepit pelbagai jenis akhbar, majalah dan buku. Di dalam bas dia tidak bercakap dengan sesiapa. Tunduk memandang lantai bas. Ketika hendak turun dari bas, aku pernah dengan sengaja melanggarnya. Tidak ada sebarang respon. Macam tunggul kayu.

Tulisannya banyak tersiar dalam majalah Dian. Tentang politik dunia. Kebanyakkannya isu Timur Tengah. Dia juga penulis karya kreatif. Cerpen dan sajak. Sebuah cerpennya pernah tersiar dalam Dewan Sastera. Cerita tentang nasib sekawan katak yang menjadi buruan para mahasiswa untuk dijadikan subjek pembedahan. Temanya menarik, tapi gaya bahasanya agak longgar. Itulah ulasan yang diberikan oleh Shahnon Ahmad yang mengulas cerpen-cerpen yang tersiar pada edisi itu.

Di suatu ketika, hampir setiap minggu tulisannya tersiar dalam rancangan Ilham Cipta terbitan Habsah Hassan di Radio. Salah seorang kanak-kanak yang gemar dengan ulasannya ialah aku. Dia sungguh pandai menggali makna-makna tersirat dari sesuatu lirik lagu.

Suatu ketika, aku dengar dia sakit tenat. Lama terlentang di katil. Khabarnya, di bawah tilamnya ditemui banyak keping cek habis tempoh yang tidak ditunaikan. Bayaran honorarium dari pelbagai penerbit.