Friday, December 27, 2013

KITA DAN DIA

Foto: Nur Hanim Khairuddin

Ketika Pak Lah menduduki takhta Malaya, blog Che Det menjadi sangat popular. Cara Pak Lah melayani kroni Che Det mengundang kecaman berterusan dari Che Det. Che Det menuduh Khairi sebagai mastermind. 

Pak Lah cuba menjadi amat cool. Dibiarkan kuncu2nya seperti Nazri, Shabery, dan beberapa orang lagi unt menyanggah dan menyerang. Disamping itu beberapa veteran spt Kheng Yaik, Samy dan Rafidah turut sama membela Pak Lah. Utusan juga turut kelihatan menjadi media paling utuh mempertahankan ulul amri.

Pak Lah akhirnya dilihat semakin lemah. Beliau banyak terlibat dlm tindakan yg kelihatan tidak berwibawa. Dikatakan bahawa imej lemah yg terbina kpd sosok Pak Lah adalah hasil sabotaj orang kiri kanannya. Segalanya terserlah bila akhirnya Najib dan Muhyiddin membayangkan tentang perlunya Pak Lah 'berehat'.

Dari latar yg sedemianlah lahirnya puisi 'Kita dan Dia'.



VIDEO LAGU PUISI 'KITA DAN DIA'


KITA DAN DIA

ternyata
sampai suatu ketika
kita akhirnya seakan ingin memaafkan
segala kekejaman
meski dia enggan memohon maaf
mengaku segala khilaf.

bukan kita mudah lupa
atau kabur dalam menilik neraca
hanya kita ingin meraih peluang
menggapai mutiara kebenaran
meskipun nantinya
kita terpaksa beriringan
dan berpimpin tangan
dengan sang petualang.

kita dan dia
bertolak dari pelabuhan berbeza
dengan hasrat berbeza
namun kini bukanlah ketika
untuk kita
mengkaramkan bahteranya.

ZIZIE ALI
13.09.06


http://myzizieali2.blogspot.com/2006/09/kita-dan-dia.html

http://www.youtube.com/watch?v=mH9fbXHmrVc

Thursday, November 21, 2013

RAK

Foto: Tolahah Muda

Sebelum dirobohkan, eloklah kamu melawat bazar Kedai Payang. Singgahlah di kedai audio video agama yang paling lama beroperasi di situ. Dulu dipenuhi kaset dan vcr. Kini dipenuhi cd dan vcd. Ceramah, nasyid, bacaan al-Qur'an, motivasi, panduan ibadah, dan seumpamanya.

Suatu masa dulu, ketika saya masih agak muda, ketika isu 'pemecatan' sedang panas, saya pernah mencari kaset 'penjelasan Anwar' di situ. Jawab penjual di situ: "Kita tak jual kaset politik".

 Baru-baru ini saya singgah lagi di kedai itu.  Sementara menunggu anak saya memilih songkok di kedai sebelah. Tidak banyak yang berubah.  Susun atur perabutnya masih seperti dulu.  Cuma rak-raknya nampak semakin usang dimamah usia.


Saya tertarik dengan satu rak yang terletak di bahagaian paling depan kedai itu. Ada tertampal label yang sedikit terkoyak. Namun tulisan yang agak besar itu masih dapat dibaca dengan jelas: 'Ustaz Azhar'. Oh, hairan bin ajaib!.  Tidak ada sekepingpun cd nasyid dari artis yang bernama Ustaz Azhar di rak itu.  Sebaliknya rak itu dipenuhi oleh cd ceramah terkini Ustaz Kazim Elias.

Pause

Maklumat dari seorg kawan: Dulu rak tersebut penuh dgn cd Ustaz Azhar Idrus. Malah masa itu suara Ustaz Azhar sentiasa berkumandang dari kedai itu. Tiba-tiba suasana berubah. Suara Ustaz Azhar tidak lagi kedengaran. Rak itu juga turut dikosongkan. Kini diganti dengan cd Ustaz Kazim Elias.

Thursday, July 11, 2013

ALBARADEI TIDAK MAKAN BUBUR





Bagi Mubarak, pemerintahan kuku besi perlu dipertahankan untuk menghalang Ikhwanul Muslimin daripada menguasai Mesir.  Namun ElBaradei berkali-kali menyatakan bahawa Ikhwanul Muslimin hanya golongan minoriti.

    
    Sesudah menerima tekanan penunjuk perasaan, Mubarak akhirnya meletak jawatan.  Pilihan raya yang bebas akan dilaksanakan.  Menyedari apa yang diramalkan oleh Mubarak mungkin akan menjadi kenyataan, ElBaradei telah melakukan pelbagai usaha agar Ikhwanul Muslimin dihalang daripada menyertai pilihanraya.  Namun semuanya sudah terlambat. 

    
    Prof Dr Muhammad Mursi al-Hafiz menang dalam pilihan raya presiden.  AlBaradei terkesima.
 
    Namun sebagai orang Arab penganut akidah pragmatisme, AlBaradei  tidak terpengaruh oleh pepatah Melayu ‘nasi sudah menjadi bubur’.   Beliau masih mempunyai satu lagi senjata ampuh.  Tentera!  Matlamat menghalalkan cara...

Sunday, July 07, 2013

KERTAS AM: MENZALIMI DIRI SENDIRI


Penulis kelihatan sedang membelek surat khabar.  Mencari 'Berita Dunia'.
1980.  Aku dalam Tingkatan Enam Atas.  Hanya dalam subjek Kertas Am sahaja yang aku tak pernah ponteng kerana bertekad untuk sekurang-kurangnya lulus dalam dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Kertas Am.  

          Dalam subjek Bahasa Melayu, tak timbul isu ponteng atau tidak kerana subjek itu tidak ada guru.  Kami belajar sendiri.  Calon STP yang akan mengambil subjek ini pun cuma empat orang.  Pada masa itu subjek Bahasa Melayu adalah subjek pilihan.  Bagi kami yang beraliran sains, calon yang ingin mengambil Bahasa Melayu diwajibkan membuang satu subjek sains.  Aku buang subjek Fizik.  Ada kawan aku yang buang subjek Bio dan ada yang buang subjek Kimia.

          Kertas Am adalah subjek wajib.  Wajib lulus untuk dapat sijil penuh STP. Masa itu STP menggunakan sistem gred sijil penuh dan sijil separuh.

          Mahu tidak mahu subjek Kertas Am tidak boleh disambillewa.  Tetapi kami sangat beruntung kerana mendapat seorang guru yang berpengalaman.  Walaupun tidak banyak mengajar, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada soalan spot.

          Untuk bahagian esei, guru kami spot soalan berkaitan kegagalan PBB memainkan peranannya.  Beliau begitu yakin dengan ramalannya kerana isu yang hangat diperkatakkan ketika itu ialah isu pencerobohan Rusia di Afghanistan.  PBB dilihat tidak mampu menghalang segala tindak tanduk Rusia menceroboh negara-negara jirannya.

          Pelbagai tugasan diberi kepada kami berkaitan isu tersebut.  Kami adakan syarahan, debat, forum sehingga segala fakta dan analisis berkaitan isu tersebut cukup 'masak' dalam minda kami.  Sebab itulah bila ada sebuah NGO meminta bantuan kami untuk mengutip derma bagi meringankan beban penduduk Afghanistan yang sedang dizalimi oleh Rusia dan kuncu-kuncunya yang terdiri daripada warga Afghanistan sendiri, kami menjadi begitu bersemangat.  Tetapi amat mengejutkan bila tidak mendapat sokongan Pengetua.

          "Penduduk Afghanistan menzalimi diri mereka sendiri..." kata Pengetua sekolah kami.

          Kejadian itu tamat begitu sahaja.  Kami segera melupakannya.  Sebagai remaja yang happy go lucky, kami tidak rela membiarkan isu tersebut merampas keceriaan hidup kami.  Apa yang penting, dalam peperiksaan STP bagi subjek Kertas Am, ramalan guru kami betul-betul mengena.  Soalannya berbunyi lebih kurang begini: "Tujuan utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ditubuhkan adalah untuk mengelakkan berlakunya peperangan.  Bincangkan keberkesanan PBB dalam melaksanakan peranannya."

          Keputusan STP keluar.  Aku dapat sijil separuh. Lulus Kertas Am walaupun tidak berapa cemerlang.  Dan gagal dalam semua subjek sains termasuk Hisab Moden dan Hisab Tambahan.  Cita-cita emak untuk melihat aku menjadi seorang doktor juga turut hancur.

          Aku menerima keputusan dengan penuh keceriaan.  Mengapa?  Kerana telah berlaku satu kejutan.  Aku telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik STP sekolah kami bagi subjek Bahasa Melayu.




Friday, June 14, 2013

PULAU KAPAS, PULAU SERAI DAN PASIR RAJA


Ada beberapa pilihan: Pulau Kambing, Pulau Ru Sa, Pulau Bahagia, Pulau Musang, Pulau Kapas, Pulau Serai, Pulau Duyung, Pulau Sekati, Pulau Manis. Majoriti memilih Pulau Kapas. Saya terpaksa akur. Ternyata saya amat demokratik.

Tiba saat yang dinanti kami pun pergilah ke Pulau Kapas.  Oleh kerana Pulau Kapas benar-benar sebuah pulau, terpaksalah kami naik bot. Saya tidak akan menceritakan kisah naik bot dan apa aktiviti yang kami buat di Pulau Kapas.  Saya tahu kamu tidak berminat untuk tahu semua itu.

Cuma kamu perlu tahu bahawa sesudah pulang dari Pulau Kapas, saya pun pos sekeping gambar ke fesbuk dengan sedikit penerangan.  Perenggan pertama entri ini merupakan copy and paste daripada penerangan tersebut.

Ada beberapa orang kenalan fesbuk saya beri komen.  Salah seorang memberi komen pendek: "Pulau Serai".  Saya tak tahu apa maksud sebenar kenalan fesbuk saya itu.  Adakah beliau mencadangkan kami sepatutnya melancong ke Pulau Serai atau hendak memberitahu kami bahawa beliau kenal Pulau Serai.  Sesudah tidak ada idea untuk respon komennya, saya pun sekadar menjawab begini: 

"Kisah benar. Pada tahun 70-an, ada guru baharu yang enggan ditempatkan di Pulau Serai, Dungun. Rela ditempatkan di kampung Pasir Raja, Dungun. Akhirnya menangis bila mendapati untuk ke kampung Pasir Raja perlu naik perahu selama tiga hari, tiga malam sedangkan Pulau Serai bukan sebuah pulau tetapi sebuah kampung berhampiran bandar Dungun. heh heh.."

Tuesday, April 30, 2013

DARI ALMUKTAFI BILLAH SHAH KE SURA GATE



1985. Setiap hujung minggu aku akan ke Sura Gate.  Tidur di rumah kawan-kawan bujang.  Hujung minggu di Al Muktafi Billah Shah amat membosankan.  Di Sura Gate aku akan join berbagai aktiviti bersama Zamzuri, Radzi dan Rosman.

Zamzuri seorang bujang terlajak.  Merupakan guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Hulu Dungun.  Namanya diblacklist kerana pernah bertengkar dengan jamaah nazir ketika zaman awal diperkenalkan sistem ejaan baru Bahasa Melayu.  Membela seorang guru yang diperlekeh oleh jamaah nazir yang melawat sekolah untuk memantau pelaksanaan ejaan baru bahasa Melayu ketika itu.

Radzi juga bujang terlajak.  Tapi tidaklah seterlajak Zamzuri.  Anak orang kaya Dungun.  Menguruskan sebuah mini market milik keluarga.  Rumah bujang di Sura Gate yang menjadi tempat kami lepak adalah milik keluarga beliau.

Rosman baru bertugas sebagai pengurus di sebuah badan berkanun di bandar Dungun.  Muda setahun daripada aku.  Bekas graduan ITM Perlis dalam bidang pengurusan pertanian.

Selain aktiviti biasa orang bujang seperti ronda, jogging, main ping pong, makan-makan,  kami juga join grup usrah.  Kadang-kadang ada tamrin.

Salah satu tamrin yang tidak dapat aku lupakan ialah yang diadakan di Surau Jalan Melati.  Sebahagian besar peserta ialah pelajar-pelajar dari ITM Dungun.  Kami dibentangkan dengan kertas kerja yang pernah dibentangkan oleh Prof Dr Yusof al-Qardhawy dalam satu seminar antarabangsa.  Aku lupa apa tajuknya tapi intipati perbincangan adalah mengenai pro dan kontra penyertaan Anwar Ibrahim dalam UMNO.  Selain memberi senarai kebaikan dan keburukan, ulamak tersebut juga meramal beberapa kemungkinan yang bakal dihadapi oleh Anwar.

Ramalan Qardhawy ternyata menjadi kenyataan bila Anwar dipecat daripada jawatan TPM pada tahun 1998 secara konspirasi  dan fitnah yang amat mengaibkan.

Oh, begitu cepat masa berlalu.  Zamzuri kini merupakan Senior Director di sebuah IPTA, Radzi pula sudah bergelar jutawan dan Rosman sudah menukar minatnya daripada bermain ping pong kepada bermain golf.

Aku? Aku masih seperti dulu.  Cuma motosikal Suzuki TP100 yang digunakan untuk memecut dari Al Muktafi Billah Shah ke Sura Gate setiap hujung minggu sudah kujual.  Dibeli oleh seorang peminat motosikal antik.


Monday, April 08, 2013

KALAULAH



Kalaulah PAS berjaya berkongsi kuasa di Malaya ini, saya tidaklah terlalu mengharap hukum hudud akan segera dilaksanakan.  Sedangkan Erdogan di Turki dan Morsi di Mesir yang belum melaksanakan hukum hudud pun berhempas pulas menghadapi tentangan dan pengkhianatan dari pelbagai penjuru, apa lagi jika mereka melaksanakan hukum hudud.

            Sebagaimana kita sedia maklum, Turki dan Mesir mempunyai majoriti umat Islam yang jauh mengatasi Malaya.  Mereka juga mempunyai sejarah perjuangan gerakan Islam yang amat panjang serta telah menempuh pelbagai tribulasi.  Jika di bandingkan dengan Malaya ini, bolehlah di bandingkan seumpama seorang pemuda gagah dengan seorang bayi yang baru bertatih.  Cumanya, bila mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan, mereka tidak begitu didesak oleh mana-mana pihak untuk melaksanakan hukum hudud.  Mereka tidak berdepan dengan ‘pulang paku buah keras’.  Mengapa? Kerana mereka punya strategi tersendiri dalam menangani isu hudud.  Ketika mereka berstatus ‘pembangkang’, mereka tidak pernah mendesak pihak pemerintah melaksanakan hukum hudud.  Perjuangan dan dakwah mereka lebih banyak tertumpu kepada mengamalkan Islam dalam kehidupan individu dan keluarga serta penghapusan salah guna kuasa, rasuah, dan ketidakadilan.

            Kalaulah PAS berjaya berkongsi kuasa di Malaya ini, UMNO akan terus menerus menggunakan isu hukum hudud sebagai modal untuk membuktikan bahawa PAS ‘cakap tak serupa bikin’.  Pada ketika  itu, ia bukan lagi dilaungkan oleh mereka yang cintakan syariat Allah. Lirik seperti ‘PAS takut laksanakan hukum hudud kerana disergah oleh Karpal Singh’ akan terus didendangkan.  

            Hukum hudud memang ideal.  Tapi untuk melaksanakannya di bumi Malaya ini tidaklah semudah menurunkan harga kereta atau memberi pendidikan percuma.

            

Friday, March 15, 2013

POLITIK ZAMAN KEPALA LEMBU



Zaman aku kanak-kanak, pilihan raya bukanlah sesuatu yang suspens.  Kami dah dapat agak.  Dacing pasti akan menang.

                Calon Dacing bagi kawasan parlimen Kuala Terengganu ialah Dato’ Haji Mustaffa Ali atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Pa.  Lawan beliau ialah Kassim Ahmad daripada parti Kepala Lembu. 

                Pada masa itu aku memang sangka Cikgu Pa adalah orang UMNO.  Selepas aku cerdik sikit baru aku tahu bahawa beliau rupa-rupanya orang ‘Bulan Bintang’.  Masa tu parti Pas pakai lambang bulan bintang macam bendera Turki. Bukan lambang bulat penuh macam bendera Bangladesh seperti hari ini.  Oh, perlu kamu diperingatkan bahawa tika itu Pas masih merupakan salah satu parti komponen  Barisan Nasional.

                Ya.  Dacing pasti menang.  Sebab orang dacing adalah hero.  Orang Kepala Lembu adalah orang jahat.  Itulah yang ada dalam kepala aku ketika itu.  Sehinggalah aku ke sekolah menengah baru pendirian tersebut sedikit berubah.  Kawanku yang bernama Alias Ibrahim berjaya meyakinkan aku bahawa orang Kepala Lembu merupakan para pejuang yang rela mengorbankan kesenangan hidup semata-mata memperjuangkan satu ideologi yang sungguh murni.

                Maka pada musim pilihan raya banyaklah bertampalan dan bergantungan gambar-gambar Cikgu Pa dan Kassim Ahmad di kampung kami.  Di batang pokok kelapa, di tiang wakaf, di dahan pokok duku dan sebagainya.  Gambar Cikgu Pa nampak jauh lebih cantik daripada gambar Kassim Ahmad yang agak kelabu. 

               Salah seorang orang kuat Cikgu Pa di kampung kami ialah bapa sepupuku.  Yang tinggal bersebelahan rumahku.  Seorang yang agak berpengaruh di kampung kami kerana kepetahannya berhujah.  Pada musim pilihan raya dia akan meninggalkan sebentar 'kerja biasa'nya.  Mungkin pendapatan yang diperoleh daripada melaksanakan kerja kempen mengempen agak berbaloi.  Sesudah habis pilihan raya, beliau akan kembali kepada 'kerja biasa'nya iaitu menganjurkan acara-acara judi seperti berlaga ayam, berlaga ikan sekilau, dan bermain daun terup.  Sepanjang yang aku tahu dia tidak ada sumber pendapatan yang lain selain daripada itu.  Oh silap..., sebenarnya ada satu lagi sumber pendapatannya iaitu menjadi tokey blackmarket di pawagam Rex atau Cathay bila ada filem boxoffice.

Glosari:
Dacing ; Barisan Nasional (BN)
Kepala Lembu ; Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM)
blackmarket ; memborong tiket dan menjual kembali dengan harga yang lebih tinggi.


Friday, January 18, 2013

FENOMENA KERUDUNG

1975


Awal tahun 70-an, saya masih di bangku sekolah menengah.  Kami ke sekolah berseluar pendek.  Pelajar perempuan pula memakai skirt. 

      Pada masa itu amat sukar untuk ketemu perempuan Melayu yang bertudung litup.  Malah, muslimat PAS pun hanya berselendang dan berjambul.    Presiden PAS ketika itu ialah Dato’ Asri Haji Muda.
1977
      Yang bertudung labuh pada masa itu kebanyakannya ialah muslimah ABIM.  Ketika itu ABIM dipimpin oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor yang pada peringkat awalnya hanya memangku jawatan Yang diPertua ABIM kerana  Saudara Anwar Ibrahim masih dalam tahanan selepas peristiwa Demonstrasi Baling.  Dikatakan zaman itu adalah zaman  kegemilangan ABIM kerana kaya dengan tokoh-tokoh berkaliber seperti Sidek Fadhil, Kamarudin Mohd Noor, Kamal Hassan, Kamarudin Jaafar, Fuad Hassan, Hadi Awang,  Dahlan Md Zain, Mahmud Zuhdi, Abu Bakar Chik, Zalikhah Mohd Nor, Mohamad Sabu, Sidek Baba, Harun Din, Ahmad Ibrahim, Razali Nawawi, Ahmad Awang, Nakhaie Ahmad, Uthman El-Muhammady, Ashaari Muhammad dan ramai lagi.  Ustaz Ashaari Muhammad menjawat jawatan sebagai Pengerusi Biro Dakwah ABIM Wilayah Persekutuan sebelum keluar daripada NGO tersebut dan menubuhkan Jamaah Al-Arqam. 
1978
      Muslimah PAS dilihat mula berjinak-jinak dengan tudung labuh pada akhir-akhir tahun 70-an.  Fenomena tersebut semakin ketara bila kepimpinan PAS berpindah kepada Ustaz Yusuf Rawa.  Beliau mula memegang jawatan sebagai Presiden PAS pada tahun 1982.  Seorang tokoh  yang amat diingati kerana pernah menewaskan Dr Mahathir dalam pilihan raya umum 1969.

      Di sekolah-sekolah, pertentangan antara pelajar yang memakai tudung dengan pihak pentadbir sekolah sering menjadi isu ketika itu.  Isu tersebut hanya agak reda sesudah Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling MEMBENARKAN pemakaian tudung pada tahun 1983. 

Wednesday, January 09, 2013

ANTARA DUA ZAMAN

..

          Zaman kami.  Asrama adalah tempat yang sangat istimewa.  Ada air paip, ada katil bertilam, ada nasi kawah dengan pelbagai jenis lauk bertukar ganti.  Di kampung, kami cuma mandi air telaga atau sungai.  Tidur beralas tikar mengkuang lusuh. Makan nasi berlauk ala kadar.

          Sebab itu bila dikhabarkan aku dapat masuk asrama di sebuah sekolah budak-budak cerdik, rasa diri bagai di awan biru.  Gembira tak terkata.

          Zaman anak kita.  Bilik air rumah kita taraf 5 bintang.  Bilik tidur ada aircon.  Dapur hanya kalah sikit sahaja daripada dapur Chef Wan.  Sekali sekala pekena pulak nasi mandy kambing atau siakap 3 rasa di restoran. 

          Sebab itulah bila dikhabarkan kepada anak kita bahawa dia terpilih ke asrama sekolah budak-budak cerdik, riak gembira kurang menyerlah.  Mungkin terbayang dimindanya tentang pelbagai ‘kehilangan’ yang bakal ditempuhi.