Wednesday, June 01, 2011

KAWANKU JUTAWAN

Di Ladang Mados aku kerja kosikong. Tugasnya senang sahaja. Mempastikan pangkal pokok kelapa sawit bebas daripada rumput rampai dan segala spesis tumbuhan menjalar. Bersenjatakan sebilah sabit berhulu kayu panjang sehasta.

Gaji aku $6.50 sehari. Gaji Zakaria, Ali Mamat, Abu, Mariyono, Herman pun $6.50. Tapi gaji Hasnah, Siah, Khatijah, Fatimah, Kartina, Suzanna cuma $6.00. Kerana mereka perempuan. Ada unsur diskriminasi gender.

Ada lebih 100 orang pekerja kosikong di Ladang Mados. Majoriti adalah perempuan. Semua adalah pendatang dari Indonesia kecuali aku, Zakaria, Ali Mamat, Abu, Hasnah, Siah, Khatijah, dan Fatimah.

Setiap pagi, kami bertolak dari kongsi sekitar pukul5:00. Tidak pasti sama ada sebelum Subuh atau sesudah Subuh kerana azan Subuh tidak pernah berkumandang di Ladang Mados. Menaiki traktor yang dipandu oleh Pakcik Man Mandor. Pengalaman menaiki traktor yang dipandu laju melalui jalan bukit yang diteres amat adventure. Dingin dinihari tidaklah begitu terasa bila duduk berhimpit jantan betina di dalam punggung traktor.

Pakcik Man Mandor akan drop kami di lokasi kerja sebelum berpatah balik untuk trip seterusnya. Selepas habis trip Pakcik Man Mandor akan pulang ke kongsi. Jika rajin dia akan buat spotcheck di mana-mana lokasi. Namun kerja pemantauan lebih banyak dilakukan oleh 'Kepala' iaitu seorang Cina tua yang kami panggil Apek.

"Pak Ngah... mana lu aaa...", kadang-kadang Apek menjerit.

"Oooiii..sinilah Apek..apa Apek ingat wa tidur ka ha?" Aku akan cepat-cepat menjawab.

"Ha ha ha.. Pak Ngah memang lajin.. nanti wa rekemen jadi Kepala.. ha ha ha.." Rupanya Apek bukan bergurau sebab ketika aku ingin berhenti kerja, Pakcik Man Mandor sendiri ada beritahu bahawa Apek pernah rekomen supaya aku dilantik jadi Kepala.

Selain Pakcik Man Mandor dan Apek, kami juga dipantau oleh Encik Stapa. Encik Stapa adalah Penolong Mandor. Kalau dikira, pangkatnya lebih tinggi daripada Apek. Namun gaji mereka sama iaitu $8.00 sehari.

Encik Stapa datang memantau dengan menaiki scrambler. Sesudah parking scramblernya di tempat yang agak jauh daripada lokasi kerja, dia akan berjalan senyap-senyap di celah-celah pokok kelapa sawit. Bertemu dengan Encik Stapa ketika kita sedang tidur di celah-celah poko kelapa sawit adalah sesuatu yang sangat tidak diingini.

Di rumah kongsi, aku berkongsi dinding dengan Encik Stapa. Jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan bila kami akhirnya menjadi sahabat karib. Stapa lebih senior 4 tahun daripada aku. Pemuda kurus dan tinggi lampai ini dianggap pendiam oleh warga Mados. Namun bagiku, dia merupakan teman bual yang mengasyikkan.

"Aku nak jadi jutawan" kata Stapa ketika kami sedang duduk di atas timbunan dahan-dahan dan ranting-ranting balak di Keratong. Ketika itu aku diajak oleh Stapa 'memerun' (membakar timbunan dahan dan ranting balak). Stapa baru dapat 'subkontrak' memerun di kawasan Keratong ketika projek membina Lebuhraya Kuantan-Segamat. Kerja-kerja tersebut kami lakukan pada waktu petang dan hari minggu. Kadang-kadang Stapa lantik aku jadi Jaga pada hujung minggu. Menjaga jentolak milik syarikat yang memperolehi kontrak menebang balak di Keratong. Sesudah tinggalkan aku tempat jentolak-jentolak diparking, Stapa pun menghilang dengan scramblernya entah kemana. Jawatab paling boring yang pernah aku sandang.

"Ente mahu jadi jutawan??" aku bertanya dalam sleng Arab ala P.Ramlee dalam Sabarudin Tukang Kasut. " Ha ha ha ha..."

Aku tidak lama di Mados. Sesudah dapat gaji kali ke-2 (gaji dibayar 3 minggu sekali), aku letak jawatan kerana keputusan SPM akan keluar tidak lama lagi serta Syawal pula hampir menjelang. Begitu juga dengan Zakaria dan Ali Mamat.

Hanya Zakaria yang terus berhubung dengan Mados kerana Pakcik Man Mandor adalah ayahnya dan Stapa adalah bapa saudaranya. Stapa merupakan adik kepada isteri Pakcik Man Mandor.

Zakaria kini bertugas di Kemaman dengan pendapatan yang agak lumayan. Ali Mamat menjadi guru di sebuah sekolah di Dungun.

Stapa? Stapa kini merupakan seorang jutawan. Tadi, anak saudara aku yang baru berjinak-jinak dengan pemasaran Multi Level menunjukkan majalah Legasi. Ada gambar seorang founder sebuah konglomerat. Bersama isteri sedang posing di depan banglo agam mereka yang bernilai jutaan ringgit bersama 10 buah kereta mewah.

Subhanallah!