Friday, December 16, 2011

Lawatan ke Kuantan

Pada 14 Disember yang lalu saya merasa amat gembira apabila ayah memberitahu bahawa kami akan pergi menziarahi Mak Da di Kampung Bukit Kuin, Kuantan. Mak Da ialah emak saudara saya yang merupakan kakak kepada ibu saya.

Kami bertolak dari Kampung Atas Tol selepas solat Zohor. Bersama saya ialah ayah, ibu, Kak Enah, Kak Yan, dan Nasuha. Nasib baik Along, Angah dan Acik tidak ada. Mereka kini sedang berada di IPT. Kalau tidak tentu perjalanan tidak selesa kerana muatan kereta yang terlalu padat.

Sampai di pekan Bukit Payong, kami berhenti makan nasi di sebuah restoran. Restoran itu menyediakan lauk pauk ikan sungai dan ulam-ulaman termasuk petai. Kami makan dengan penuh berselera kerana kelaparan disebabkan oleh makan tengah hari yang agak lewat.

Kami meneruskan perjalanan melalui lebuh raya Ajil Bukit Besi yang masih dalam pembinaan. Lebuh raya ini merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Timur Barat. Tiba di bandar Al Muktafi Billah Shah kami singgah di rumah Opah untuk menziarahi Maksu yang baru melahirkan anak. Maksu merupakan adik bongsu ayah.

Selepas mendirikan solat Asar kami meninggalkan bandar Al Muktafi Billah Shah menuju ke Kuantan melalui Lebuh Raya Jerangau Jabor. Kami tiba di Bukit Kuin sebelum Magrib. Selepas mendirikan solat jamak Magrib Isyak kami makan malam. Antara lauk yang disediakan oleh Mak Da ialah sayur lemak nenas putik, ayam goreng dan tempoyak.

Keesokannya, pagi-pagi lagi kami dan Mak Da serta Ayah Da berkunjung ke UIA Kuantan bersarapan bersama Acik di salah sebuah Café di sana. Selepas sarapan kami bercadang untuk pergi membeli belah di bandar Kuantan. Acik tidak dapat ikut serta kerana ada kuliah pukul 9:00 pagi.

Sebelum pergi membeli belah di bandar Kuantan, ayah mengajak kami melawat Galeri Rajawali yang terletak di Taman Cenderawasih. Menurut ayah, Galeri Rajawali ialah tempat beberapa orang pelukis terkenal mempamerkan lukisan mereka.

Ketibaan di Galeri Rajawali disambut oleh Encik Ajis dan Encik Abu Yusof. Seorang lagi pelukis yang bernama Encik Ruslan juga ada di galeri tersebut. Mereka agak terperanjat kerana ayah tidak memaklumkan kepada pihak mereka terlebih awal. Encik Abu Yusof yang merupakan kenalan ayah segera menghubungi Ketua Galeri Rajawali iaitu Encik Abdullah Jones yang pada ketika itu berada di bandar Kuantan. Encik Abu Yusof memberitahu kami supaya menunggu sehingga ketua mereka datang kerana beliau sangat ingin bertemu ayah yang sudah lama tidak bersua muka.

Ibu sangat tertarik akan lukisan yang bertajuk ‘Tanya Sama Pokok’ yang dilukis oleh Encik Abdullah Jones. Kak Enah pula nampaknya tidak puas-puas menatap lukisan abstak yang dilukis oleh Encik Abu Yusuf. Nasuha suka lukisan kelopak bunga ros pelbagai warna yang dilukis oleh Cik Najihah Lee. Kak Yan yang asyik menggalas kamera tidak henti-henti mengambil gambar pelbagai sudut dalam galeri tersebut. Saya yang paling seronok kerana berpeluang menjadi model. Wajah saya dilukis secara spontan oleh Encik Ajis dan Encik Ruslan. Encik Ajis menggunakan pensel dan Encik Ruslan menggunakan pen. Dalam masa beberapa minit sahaja gambar wajah saya sudah terpampang dalam kertas lukisan. Saya sangat kagum dengan bakat yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka.

Encik Abdullah Jones tiba dengan Mercedesnya tidak lama selepas itu. Sesudah bersalaman, ayah dan Encik Abdullah Jones berbual mesra seperti dua sahabat yang sangat akrab. Menurut Ayah, Encik Abdullah Jones pernah mendalami ilmu lukisan di luar negara. Selain melukis, beliau juga seorang penulis yang berbakat.

Pada pendapat saya, selain daripada kacak, Encik Abdullah Jones juga seorang yang baik hati. Beliau sempat mengajar saya bagaimana cara yang betul menggunakan kamera DSLR.


Wednesday, December 14, 2011

Rapi

"Kata Ustaz Ashaari, kebenaran yang tidak tersusun rapi akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun rapi." Kata pemuda berserban besar itu. Pada masa itu tempat aku bertugas tidak jauh dari markas mereka. Dia adalah salah seorang yang selalu datang menjaja majalah dan lain-lain produk 'halal' keluaran mereka.

Pemuda itu agak terkejut bila aku beritahu bahawa kata-kata itu bukan kata-kata Ustaz Ashaari tetapi ucapan Saidina Ali bin Abi Talib r.a. Aku banyak terjumpa kata-kata itu dalam buku-buku karya ulamak-ulamak Ikhwan Muslimin seperti Mustafa Masyhur, Fathi Yakan, Yusuf Al-Qardhawy, Abdul Karim Zaidan, Said Hawa, Ahmad Muhammad Al-Rasyed, dan Syed Qutb.

"Kita tidak digalakkan membaca buku-buku yang ditulis oleh orang-orang Ikhwan." Jelas pemuda itu lagi.

Baru-baru ini aku bertemu lagi lelaki itu. Dia tidak lagi berjubah dan berserban. Hanya berkemeja lengan pendek berjenama terkenal dan rambut tersisir rapi ala Aaron Aziz. Kami bertegur sapa mesra. Aku syak dia telah lupa perbualan kami 24 tahun yang lalu.

Tuesday, December 13, 2011

Orang Jawi

.
Di Nusantara ada dua bangsa yang utama iaitu Jawa dan Jawi. Bangsa Jawa dikatakan mempunyai tamadun yang lebih awal dimana mereka pernah mempunyai aksara sendiri dalam persuratan. Bangsa Jawi mula mengenal tulisan bila mereka ditemui oleh pedagang Arab yang memperkenalkan kepada mereka aksara Arab. Ketika itu mereka sudah mempunyai banyak kosa kata yg dipinjam dari bahasa Sangskrit milik penjelajah dari Benua Keling. Kedatangan pelayar Arab memperkayakan kosa kata bangsa Jawi. Sejak bila bangsa Jawi ini dikenali sebagai 'Melayu'? Mungkin sejak bangsa Barat mula tiba ke Nusantara.

Kajian mendapati istilah 'Melayu' pertama digunakan oleh Ptolemy, seorang cartographer (pelukis peta) bangsa Yunani bermustatin di Mesir dalm salah sebuah peta, Semanjung Malaya ditulis sebagai 'Melayu Kulon' sejak abad ke 2 Masehi. Peneroka Barat jauh lebih awal mengenali Melayu Kulon seribu tahun sebelum Lembah Bujang. Peneroka Barat seperti Marco Polo datang dengan peta Ptolemy. Untuk membuat peta seorang harus memperolehi sumber langsung atau tak langsung. Jadi, sebelum Marco Polo kemungkinan besar sudah ada pelayar lain yang tiba ke nusantara tetapi tiada catatan mereka ditemui atau mungkin mereka tidak pernah membuat catatan.

Kacukan bangsa Jawi (Melayu) dgn bangsa lain terutama dari Asia Selatan pernah dikenali sebagai Jawi Peranakan. Golongan ini banyak memainkan peranan dlm membangkitkan kesedaran dlm bidang pendidikan moden masyarakat Melayu. Malah Bapa Kesusasteraan Melayu Moden iaitu Abdullah Munsyi mengaku sebagai Melayu meskipun hampir tiada darah Melayu yang mengalir dalam tubuh beliau. Mereka perlu memelayukan diri mereka kerana dengan cara itu mereka akan diterima oleh org Melayu yang pada ketika itu amat ketandusan kepimpinan berwibawa. Mereka rapat dgn istana yang merupakan institusi kepimpinan yang diterima oleh orang Melayu. Berbeza dengan golongan Baba dan Nyonya yang tidak pernah berusaha memelayukan diri mereka meskipun fasih berbahasa Melayu, gemar memakai kebaya serta pandai berdondang sayang dan berpantun. Baba dan Nyonya tiada kepentingan untuk menonjolkan diri dalam saf kepimpinan Melayu.