Friday, December 16, 2011

Lawatan ke Kuantan

Pada 14 Disember yang lalu saya merasa amat gembira apabila ayah memberitahu bahawa kami akan pergi menziarahi Mak Da di Kampung Bukit Kuin, Kuantan. Mak Da ialah emak saudara saya yang merupakan kakak kepada ibu saya.

Kami bertolak dari Kampung Atas Tol selepas solat Zohor. Bersama saya ialah ayah, ibu, Kak Enah, Kak Yan, dan Nasuha. Nasib baik Along, Angah dan Acik tidak ada. Mereka kini sedang berada di IPT. Kalau tidak tentu perjalanan tidak selesa kerana muatan kereta yang terlalu padat.

Sampai di pekan Bukit Payong, kami berhenti makan nasi di sebuah restoran. Restoran itu menyediakan lauk pauk ikan sungai dan ulam-ulaman termasuk petai. Kami makan dengan penuh berselera kerana kelaparan disebabkan oleh makan tengah hari yang agak lewat.

Kami meneruskan perjalanan melalui lebuh raya Ajil Bukit Besi yang masih dalam pembinaan. Lebuh raya ini merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Timur Barat. Tiba di bandar Al Muktafi Billah Shah kami singgah di rumah Opah untuk menziarahi Maksu yang baru melahirkan anak. Maksu merupakan adik bongsu ayah.

Selepas mendirikan solat Asar kami meninggalkan bandar Al Muktafi Billah Shah menuju ke Kuantan melalui Lebuh Raya Jerangau Jabor. Kami tiba di Bukit Kuin sebelum Magrib. Selepas mendirikan solat jamak Magrib Isyak kami makan malam. Antara lauk yang disediakan oleh Mak Da ialah sayur lemak nenas putik, ayam goreng dan tempoyak.

Keesokannya, pagi-pagi lagi kami dan Mak Da serta Ayah Da berkunjung ke UIA Kuantan bersarapan bersama Acik di salah sebuah Café di sana. Selepas sarapan kami bercadang untuk pergi membeli belah di bandar Kuantan. Acik tidak dapat ikut serta kerana ada kuliah pukul 9:00 pagi.

Sebelum pergi membeli belah di bandar Kuantan, ayah mengajak kami melawat Galeri Rajawali yang terletak di Taman Cenderawasih. Menurut ayah, Galeri Rajawali ialah tempat beberapa orang pelukis terkenal mempamerkan lukisan mereka.

Ketibaan di Galeri Rajawali disambut oleh Encik Ajis dan Encik Abu Yusof. Seorang lagi pelukis yang bernama Encik Ruslan juga ada di galeri tersebut. Mereka agak terperanjat kerana ayah tidak memaklumkan kepada pihak mereka terlebih awal. Encik Abu Yusof yang merupakan kenalan ayah segera menghubungi Ketua Galeri Rajawali iaitu Encik Abdullah Jones yang pada ketika itu berada di bandar Kuantan. Encik Abu Yusof memberitahu kami supaya menunggu sehingga ketua mereka datang kerana beliau sangat ingin bertemu ayah yang sudah lama tidak bersua muka.

Ibu sangat tertarik akan lukisan yang bertajuk ‘Tanya Sama Pokok’ yang dilukis oleh Encik Abdullah Jones. Kak Enah pula nampaknya tidak puas-puas menatap lukisan abstak yang dilukis oleh Encik Abu Yusuf. Nasuha suka lukisan kelopak bunga ros pelbagai warna yang dilukis oleh Cik Najihah Lee. Kak Yan yang asyik menggalas kamera tidak henti-henti mengambil gambar pelbagai sudut dalam galeri tersebut. Saya yang paling seronok kerana berpeluang menjadi model. Wajah saya dilukis secara spontan oleh Encik Ajis dan Encik Ruslan. Encik Ajis menggunakan pensel dan Encik Ruslan menggunakan pen. Dalam masa beberapa minit sahaja gambar wajah saya sudah terpampang dalam kertas lukisan. Saya sangat kagum dengan bakat yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka.

Encik Abdullah Jones tiba dengan Mercedesnya tidak lama selepas itu. Sesudah bersalaman, ayah dan Encik Abdullah Jones berbual mesra seperti dua sahabat yang sangat akrab. Menurut Ayah, Encik Abdullah Jones pernah mendalami ilmu lukisan di luar negara. Selain melukis, beliau juga seorang penulis yang berbakat.

Pada pendapat saya, selain daripada kacak, Encik Abdullah Jones juga seorang yang baik hati. Beliau sempat mengajar saya bagaimana cara yang betul menggunakan kamera DSLR.


No comments: