Wednesday, October 10, 2012

MASUK MELAYU


Toh Cheng Tuan merupakan rakan sepermainan dan sepermandian saya ketika di bangku sekolah rendah.  Kami berpisah bila melangkah ke sekolah menengah.  Saya ke sekolah budak-budak cerdik dan dia ke sekolah budak-budak biasa walaupun kecerdikan kami lebih kurang sama saja.  Malah dia pernah mengatasi saya dalam subjek Pendidikan Agama Islam.
        Rakan-rakan ada menceritakan bahawa Toh pernah menyatakan hasratnya untuk 'masuk Melayu' (Dulu, di Terengganu, 'masuk Melayu' adalah sinonim bagi 'memeluk Islam').  Namun hasratnya terkandas bila dia berkahwin tidak lama selepas tamat sekolah menengah.  Isterinya 'Cina Tiruk'.  Cina Tiruk adalah panggilan bagi komuniti Cina yang tinggal di kampung Tiruk.  Kampung Tiruk merupakan sub-kampung kepada kampung Serada yang terletak lebih kurang 20 km dari bandar Kuala Terengganu.  Antara keistimewaan puak ini ialah kebanyakan mereka suka makan nasi berlaukkan  ikan aya singgang dan budu.  Di rumah, kebanyakan kaum lelaki mereka berkain pelikat dan yang perempuan berkain batik.  Tetapi amat jarang kita dengar Cina Tiruk yang 'masuk Melayu'.  Mungkin kerana mereka 'amat kenal' orang Melayu.
        Toh bukan Cina Tiruk.  Dia Cina Pengadang Baru.  Pekan Pengadang Baru tidak jauh dari kampung saya.  Oleh sebab pada masa dulu tidak ada sekolah yang lebih hampir, maka Toh bersekolah di kampung saya.  Dia berbasikal sejauh hampir 3 km.  Keluarga Toh merupakan pemilik Panggung Wayang Gambar Pengadang Baru.  Dengan adanya pawagam itu dapatkah penduduk berhampiran menonton filem sekali atau dua kali sebulan.  Bagi kaki wayang, mereka lebih suka ke Panggung Wayang Kedai Buluh kerana di situ ada tayangan setiap malam.  Seingat saya, filem terakhir yang ditayang di Panggung Pengadang Baru sebelum berhenti beroperasi ialah 'Bayangan Ajal' lakonan Jins Shamsudin.
        Walaupun bersekolah di sekolah budak-budak biasa, keputusan SPM Toh agak baik.  Tetapi dia gagal ke universiti walaupun ramai rakan-rakan Melayunya  yang lebih rendah SPMnya dapat ke pelbagai IPT.  Atau mungkin juga memang Toh tidak berminat menyambung pelajaran kerana lebih minat dalam bidang perniagaan.  Kini Toh memiliki sebuah syarikat pemborong yang mengedar barangan di kedai-kedai runcit seluruh Terengganu.
        Sudah lama saya tak bertemu Toh.  Kalau bertemu mungkin saya tak tahu apa yang nak disembangkan dengannya.  Mungkin saya tak perlu lagi memberitahunya bahawa saya masih lagi anti-kafir.  Kerana saya memang diasuh untuk mencintai Islam dan membenci kekafiran.  Namun saya tidak pernah anti orang-orang kafir.  Orang-orang kafir adalah sasaran dakwah kita.  Jika seorang kafir mendapat hidayah lantaran ikhtiar kita, ganjaran Allah adalah lebih besar daripada dunia dan isinya.
           Dan Toh juga boleh terus anti-Islam selagi Allah belum memberinya hidayah.  Tetapi saya yakin Toh tidak anti orang-orang Islam.  Toh tidak membenci orang-orang Islam.

       

1 comment:

Unknown said...

Interesting article. Moga saudara Zizieali terus menulis.Saya rasa ramai yang mencari artikel seperti ini tapi due to lack of exposure..sbb netizen tidak gemar membaca, hanya gemar mendengàr..ie tiktok, youtube