Wednesday, October 24, 2012

DA ULOH NIGHTLIFE

 Majoriti warga Kedai Buluh merupakan penyokong pembangkang. Ketika zaman Nik Hassan, mereka sokong kepala lembu.  Bila bulan ditendang daripada dacing (zaman Wan Mokhtar) dan menjadi pembangkang, mereka mula cenderung kepada bulan.  Walaupun sebahagiannya masih berjudi daun terup, berlaga ayam dan berlaga ikan sekilau.

(Gambar dicilok daripada Tolahah Muda)
      Mengikut sejarah, Kedai Buluh pernah menjadi pusat hiburan tersohor.  Selain aktiviti perjudian yang berleluasa, di situ juga tersergam sebuah panggung wayang yang menjadi tumpuan penduduk sekitarnya termasuklah dari Wakaf Tapai, Ajil dan Kuala Berang.  Bagi memenuhi selera penonton ketika itu, filem Hindustan lebih kerap ditayangkan berbanding filem Melayu.  Sesekali ada juga ditayangkan filem Holywood seperti Tarzan dan James Bond.

      Khabarnya, kegiatan 'membujang' juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan 'nightlife' di Kedai Buluh begitu umpph.  Walaupun ada cerita yang mengatakan 'orang bujang' yang menjalankan 'bisnes' di situ merupakan 'exspired' Kuantan dan Kuala Lumpur, Kedai Buluh tetap gah sebagai tempat lelaki melampias nafsu serakah mereka.

       Dengan pakej yang sedemikian rupa, makanya bukanlah sesuatu yang pelik bila wujudnya pelbagai gejala sampingan seperti gangsterisme dan seumpamanya di Kedai Buluh.  Pergaduhan antara kampung juga sering terjadi.  Antara peristiwa yang tercatat dalam sejarah lisan orang-orang tua ialah perseteruan antara puak Kedai Buluh dengan puak Bukit Sawa. Puak Kedai Buluh disokong oleh geng Tok Dir, Tok Pong, dan Tok Rimau.  Manaakala puak Bukit Sawa mendapat kerjasama daripada geng Binjai Rendah, Cik Jah dan Sungai Serai.  Nama-nama tokoh seperti Mat Kawah, Mbong Tok Bomo, Ayah Nik Megat, Pak Da Awang masih menjadi sebutan sehingga kini.

       Kini (zaman Mat Said) semuanya tinggal kenangan.  Panggung Wayang Kedai Buluh sudak lama pupus.  Lama sebelum Panggung Lido, Capitol, Kong Wah, Rex dan Cathay Kuala Terengganu berhenti beroperasi.  Kedai Buluh kini lebih dikenali dengan pasarnya yang terkenal menjual barang-barang lebih murah daripada tempat-tempat lain. Di situ juga ada terdiri sebuah sekolah agama swasta yang agak terkenal. Walau bagaimanapun,  'nightlife'nya masih rancak seperti dulu.  Setiap malam masjid Titian Baru yang terletak di Kedai Buluh sentiasa dipenuhi oleh para jemaah yang dahagakan ilmu.  Antara penceramah yang sentiasa ditunggu ialah Ustaz Azhar Idrus yang sejak lama dahulu memberi kuliah seminggu sekali.  Kini kehadirannya semakin jarang kerana terpaksa memenuhi jemputan dari pelbagai tempat di seluruh negara.
..

GLOSARI BAHASA TERENGGANU DAN KATA PINJAMAN:
Da Uloh Kedai Buluh 
Zaman era
Orang bujang pelacur
Bulan Parti Islam Semalaysia
Dacing Barisan Nasional
Kepala lembu Parti Sosialis Rakyat Malaya
Nightlife kehidupan malam (biasanya dikaitkan dengan berhibur waktu malam)
Exspired habis tempoh

BLOG BERKAITAN: Explore Terengganu
..
..

3 comments:

Tolahah said...

gambor dibahang dari tolahah muda sebenornya baru betol hehe

zizie ali said...

lagi betul kalu: gambor dibahang drp tolahah muda sepatoh dok kkabo awa. ha ha

mohh paizal b embong said...

Mbong tok bomo adalah arwah ayah sya..Beliau juga guru sya..sya syg abah sya..jasa mu ku kenang hingga akhir hayat. .al fatihah buat arwah abah Selamat hari bapa..