Friday, November 02, 2012

BULAN DAN JUGA ANGIN


Kata Shahnon, Bulan sudah terbabas dari landasan.  Bulan tidak lagi mendukung prinsip perjuangan yang asal.  Bulan sudah dikuasai oleh puak Erdogan.
"Pok, apa benda puak Erdogan tu?"  Aku mengalih mata dari potret Shahnon pada Galaxy Ace ke wajah Pok.  Pok sedikit tersentak.  Mungkin konsentrasinya terganggu. Jejari kirinya serta merta bermain pada butang kontrol sistem audio pada stering.  Suara Ustaz Azhar kini sayup-sayup kedengaran.  Pok memandang wajahku sekilas sebelum menjawab.
"Aku pun pun tak berapa tahu sangatlah Awang wei.. Aku pun dengar pasal kewujudan puak ni lepas pilihan raya yang lalu.  Surat khabar Utusan kata rancangan kerjasama Keris dengan Bulan tersekat kerana dihalang oleh golongan Erdogan.  Kononnya, sesudah Dacing dilanda tsunami, persetujuan telah dicapai dikalangan pimpinan Keris dan pimpinan Bulan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan iaitu kerajaan yang dibentuk hasil kompromi Dacing dan Bulan dengan membiarkan DAP dan PKR sebagai pembangkang.   Tujuan utama ialah untuk menyelamatkan Islam di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.  Ada angin mengatakan bahawa Mufti Perak banyak main peranan sebagai perantara puak Keris. Antara pimpinan Bulan yang terlibat ialah Haji Hadi, Cikgu Pa, Ustaz Nasha, Hasan Ali..."
"Haah...Haji Hadi? Cikgu Pa?"
"Ya.  Tapi puak Erdogan telah berjaya meyakinkan Nik Aziz tentang musibah yang bakal dipikul oleh Bulan jika setuju dengan Kerajaan Perpaduan.  Aaa.. dari kes tu aku mula-mula dengar adanya puak Erdogan ni. Jadi, yang mula-mula highlight nama tu ialah surat khabar Utusan.  Barangkali yang dimaksudkan puak Erdogan ialah saki baki orang ABIM yang masuk Bulan.  Atau orang yang pernah terlibat dengan gerakan Islam ala ABIM.  Atau lebih tepat lagi ala Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Assyahid Hassan al-Banna.  Termasuklah bekas ahli IRC yang kemudian bertukar nama jadi JIM dan sekarang bertukar nama lagi jadi IKRAM.
"Salah tu, Pok.  IKRAM bukan berasal daripada JIM.  IKRAM adalah NGO yang menggabungkan NGO yang mendokong fikrah Ikhwan Muslimin"
"Heh heh heh.  Itu cuma trick pimpinan JIM untuk mendominasi fikrah tersebut di sini. Malah, mereka pernah jadikan ABIM sebagai flatform untuk bergerak di peringkat awal.  Dahlah, tak payah kita bincang panjang bab tu.  Jadi, kesimpulannya: puak Erdogan ialah aktivis Bulan yang fikrahnya masih dipengaruhi oleh gerakan Ikhwan Muslimin.  Antara rujukan yang mereka anggap muktabar ialah hasil penulisan Syed Qutb, Abdul Kadir Audah, Said Hawa, Fathi Yakan, Abul A'la Maududi, Mustafa Masyhur, Maryam Jameelah, Khurshid Ahmad, Yusuf Qardhawi. Antara tanda mudah untuk mengenali mereka ialah mereka jarang menyentuh bab hukum hudud.  Walaupun mereka menerima perlunya pelaksanaaan hukum hudud tetapi ia bukanlah prioriti buat masa sekarang.  Banyak lagi benda lain yang perlu didahulu dan diutamakan.  Samalah dengan fikrah Morsi di Mesir dan Erdogan di Turki  sekarang."
"Oooo..camtu.  Jadi, itulah penyelewengan fikrah yang dimaksudkan oleh Shahnon?"
"Tau, takpe.."  Pok semacam menjeling tajam.  Aku memandang ke luar.  Hanya kelihatan pokok-pokok kelapa sawit yang berbalam-balam.  Di langit ada bulan temaram.
 Suara Ustaz Azhar membaca dan menjawab soalan diganti dengan kesenyapan.  Pok sedang menukar daripada mode CD kepada mode FM.  Sebentar kemudian terdengar mendayu-dayu Bulan dan Juga Angin dendangan Normadiah dan P.Ramlee.

2 comments:

harleem dayam said...

kalau ditelaah novel Tok Guru dan Shit SN boleh dilihat pula kritikan, kecaman dan kutukan SN Shahnon terhadap'penyelewengan perjuangan' alArqam dan partai UMNO.

zizie ali said...

Betul Harleem. Juga dlm novel 'Patriach', 'Tunggul-tunggul Gerigis'. Dlm Patriach beliau byk sinis terhadap org yg ingin mengislamkan Dacing. Dlm Tunggul2 Gerigis beliau ada menyelitkan tragedi Memali secara yg sangat kreatif.