Wednesday, November 07, 2012

RAJA, KUBANG LLEMBU SERTA BUTIR GETAH

Sumber: Rambo

Aku dan Che Ku Malik pernah beberapa minggu menduduki ranking teratas dalam arena berlaga butir getah di kampung kami.  Kawan-kawan panggil kami 'King'. Kedudukan kami  tidak tergugat sehinggalah kawan-kawan yang lain tahu dari mana kami mendapatkan butir getah tersebut.

Kami temui butir getah tersebut di sub-kampung Kubang Llembu (di kampung kami ada banyak sub-kampung seperti Kubang Llembu, Alur Reding, Alur Ttapi, Alur Keladi, Alur Kemoyang, Banggul Tokku, Banggul Tok Khatib Leh dan lain-lain yang sudah tidak lagi dikenali oleh generasi kini) .  Kubang Llembu merupakan sebuah paya yang berhantu.  Jalan  raya yang menghubungkan kampung kami dengan jalan utama betul-betul merentasi paya tersebut.  Kononnya, ramai penduduk kampung yang pernah bertembung  dengan hantu kopek dan hantu  kekeng  di situ. Diceritakan bahawa hantu kopek punya buah susu lanjut hampir mencecah tanah manakala kangkangan hantu kekeng pula macam pintu gerbang.  Tempat tersebut menjadi agak 'keras' mungkin disebabkan kawasan tersebut sering dijadikaan tempat membuang ancak yang  merupakan satu cara pembomohan pada zaman itu.

Untuk sampai ke kawasan pokok getah tersebut, kami perlu mengambil laluan sempit di tepi paya.  Bagi mengelakkan diri daripada terjatuh ke dalam paya, kami perlu berpaut pada pokok-pokok renik seperti senduduk dan mempelas yang tumbuh meliar sepanjang laluan.

Pada masa itu kami amat yakin akan pantang larang dalam mengekalkan kehebatan sesuatu spesis butir getah.  Antaranya ialah kami percaya bahawa butir getah dari satu pokok akan hilang kekuatannya bila ada di kalangan butir getah itu digunakan untuk berlaga sesama sendiri.  Sepanjang pengalaman kami dalam arena berlaga butir getah, memang tanggapan tersebut ada kebenarannya.  Contohnya, apa yang berlaku terhadap butir getah Kubang LLembu.  Sesudah rahsia aku dan Cik Ku Malik terbongkar, biji getah tersebut begitu mudah ditewaskan oleh butir getah yang selama ini menjadi mangsa butir getah kami.  Dan kami tidak lagi 'King'.

Sumber: Blog Marinahunny

Masa berlalu.  Kubang Llembu sudah berubah.  Kubang dan semak samun sudah tiada.  Kini sebuah masjid agam berdiri megah di situ.  Menggantikan masjid lama yang terletak di Banggul Tokku.  Banggul Tokku merupakan sub-kampung yang paling hampir dengan Kkubang Llembu.  Keistimewaan sub-kampung ini ialah semua penduduk di situ adalah 'Tengku', 'Engku' atau 'Che Ku'.  Mereka sebenarnya berasal usul daripada kerabat diraja.  Sebab itulah orang kebanyakan akan membahasakan diri 'patik' bila bercakap dengan mereka.  Malah pada ketika itu masih ada yang menganggap mereka mempunyai 'daulat'.

Barangkali sikap aku terhadap 'daulat' banyak dipengaruhi oleh pengalaman berkawan dengan raja-raja ini.  Sejak zaman kanak-kanak lagi aku sering merasakan bahawa tiada apa-apa kemuliaan manusia yang bergelar raja.  Mereka hanya manusia biasa yang kemuliaannya diukur berdasarkan tahap ketakwaan kepada Allah SWT.  Seorang raja yang 'beraja di mata, bersultan di hati" tidaklah lebih mulia daripada sebiji butir getah.

1 comment:

Ex-Editor said...

Buah getah paling kuat kawasan saya buah getah Bumbung.. tebal. Negekit pun masih tak pecah boleh kalahkan orng lain.