Tuesday, April 30, 2013

DARI ALMUKTAFI BILLAH SHAH KE SURA GATE



1985. Setiap hujung minggu aku akan ke Sura Gate.  Tidur di rumah kawan-kawan bujang.  Hujung minggu di Al Muktafi Billah Shah amat membosankan.  Di Sura Gate aku akan join berbagai aktiviti bersama Zamzuri, Radzi dan Rosman.

Zamzuri seorang bujang terlajak.  Merupakan guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Hulu Dungun.  Namanya diblacklist kerana pernah bertengkar dengan jamaah nazir ketika zaman awal diperkenalkan sistem ejaan baru Bahasa Melayu.  Membela seorang guru yang diperlekeh oleh jamaah nazir yang melawat sekolah untuk memantau pelaksanaan ejaan baru bahasa Melayu ketika itu.

Radzi juga bujang terlajak.  Tapi tidaklah seterlajak Zamzuri.  Anak orang kaya Dungun.  Menguruskan sebuah mini market milik keluarga.  Rumah bujang di Sura Gate yang menjadi tempat kami lepak adalah milik keluarga beliau.

Rosman baru bertugas sebagai pengurus di sebuah badan berkanun di bandar Dungun.  Muda setahun daripada aku.  Bekas graduan ITM Perlis dalam bidang pengurusan pertanian.

Selain aktiviti biasa orang bujang seperti ronda, jogging, main ping pong, makan-makan,  kami juga join grup usrah.  Kadang-kadang ada tamrin.

Salah satu tamrin yang tidak dapat aku lupakan ialah yang diadakan di Surau Jalan Melati.  Sebahagian besar peserta ialah pelajar-pelajar dari ITM Dungun.  Kami dibentangkan dengan kertas kerja yang pernah dibentangkan oleh Prof Dr Yusof al-Qardhawy dalam satu seminar antarabangsa.  Aku lupa apa tajuknya tapi intipati perbincangan adalah mengenai pro dan kontra penyertaan Anwar Ibrahim dalam UMNO.  Selain memberi senarai kebaikan dan keburukan, ulamak tersebut juga meramal beberapa kemungkinan yang bakal dihadapi oleh Anwar.

Ramalan Qardhawy ternyata menjadi kenyataan bila Anwar dipecat daripada jawatan TPM pada tahun 1998 secara konspirasi  dan fitnah yang amat mengaibkan.

Oh, begitu cepat masa berlalu.  Zamzuri kini merupakan Senior Director di sebuah IPTA, Radzi pula sudah bergelar jutawan dan Rosman sudah menukar minatnya daripada bermain ping pong kepada bermain golf.

Aku? Aku masih seperti dulu.  Cuma motosikal Suzuki TP100 yang digunakan untuk memecut dari Al Muktafi Billah Shah ke Sura Gate setiap hujung minggu sudah kujual.  Dibeli oleh seorang peminat motosikal antik.


Monday, April 08, 2013

KALAULAH



Kalaulah PAS berjaya berkongsi kuasa di Malaya ini, saya tidaklah terlalu mengharap hukum hudud akan segera dilaksanakan.  Sedangkan Erdogan di Turki dan Morsi di Mesir yang belum melaksanakan hukum hudud pun berhempas pulas menghadapi tentangan dan pengkhianatan dari pelbagai penjuru, apa lagi jika mereka melaksanakan hukum hudud.

            Sebagaimana kita sedia maklum, Turki dan Mesir mempunyai majoriti umat Islam yang jauh mengatasi Malaya.  Mereka juga mempunyai sejarah perjuangan gerakan Islam yang amat panjang serta telah menempuh pelbagai tribulasi.  Jika di bandingkan dengan Malaya ini, bolehlah di bandingkan seumpama seorang pemuda gagah dengan seorang bayi yang baru bertatih.  Cumanya, bila mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan, mereka tidak begitu didesak oleh mana-mana pihak untuk melaksanakan hukum hudud.  Mereka tidak berdepan dengan ‘pulang paku buah keras’.  Mengapa? Kerana mereka punya strategi tersendiri dalam menangani isu hudud.  Ketika mereka berstatus ‘pembangkang’, mereka tidak pernah mendesak pihak pemerintah melaksanakan hukum hudud.  Perjuangan dan dakwah mereka lebih banyak tertumpu kepada mengamalkan Islam dalam kehidupan individu dan keluarga serta penghapusan salah guna kuasa, rasuah, dan ketidakadilan.

            Kalaulah PAS berjaya berkongsi kuasa di Malaya ini, UMNO akan terus menerus menggunakan isu hukum hudud sebagai modal untuk membuktikan bahawa PAS ‘cakap tak serupa bikin’.  Pada ketika  itu, ia bukan lagi dilaungkan oleh mereka yang cintakan syariat Allah. Lirik seperti ‘PAS takut laksanakan hukum hudud kerana disergah oleh Karpal Singh’ akan terus didendangkan.  

            Hukum hudud memang ideal.  Tapi untuk melaksanakannya di bumi Malaya ini tidaklah semudah menurunkan harga kereta atau memberi pendidikan percuma.

            

Friday, March 15, 2013

POLITIK ZAMAN KEPALA LEMBU



Zaman aku kanak-kanak, pilihan raya bukanlah sesuatu yang suspens.  Kami dah dapat agak.  Dacing pasti akan menang.

                Calon Dacing bagi kawasan parlimen Kuala Terengganu ialah Dato’ Haji Mustaffa Ali atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Pa.  Lawan beliau ialah Kassim Ahmad daripada parti Kepala Lembu. 

                Pada masa itu aku memang sangka Cikgu Pa adalah orang UMNO.  Selepas aku cerdik sikit baru aku tahu bahawa beliau rupa-rupanya orang ‘Bulan Bintang’.  Masa tu parti Pas pakai lambang bulan bintang macam bendera Turki. Bukan lambang bulat penuh macam bendera Bangladesh seperti hari ini.  Oh, perlu kamu diperingatkan bahawa tika itu Pas masih merupakan salah satu parti komponen  Barisan Nasional.

                Ya.  Dacing pasti menang.  Sebab orang dacing adalah hero.  Orang Kepala Lembu adalah orang jahat.  Itulah yang ada dalam kepala aku ketika itu.  Sehinggalah aku ke sekolah menengah baru pendirian tersebut sedikit berubah.  Kawanku yang bernama Alias Ibrahim berjaya meyakinkan aku bahawa orang Kepala Lembu merupakan para pejuang yang rela mengorbankan kesenangan hidup semata-mata memperjuangkan satu ideologi yang sungguh murni.

                Maka pada musim pilihan raya banyaklah bertampalan dan bergantungan gambar-gambar Cikgu Pa dan Kassim Ahmad di kampung kami.  Di batang pokok kelapa, di tiang wakaf, di dahan pokok duku dan sebagainya.  Gambar Cikgu Pa nampak jauh lebih cantik daripada gambar Kassim Ahmad yang agak kelabu. 

               Salah seorang orang kuat Cikgu Pa di kampung kami ialah bapa sepupuku.  Yang tinggal bersebelahan rumahku.  Seorang yang agak berpengaruh di kampung kami kerana kepetahannya berhujah.  Pada musim pilihan raya dia akan meninggalkan sebentar 'kerja biasa'nya.  Mungkin pendapatan yang diperoleh daripada melaksanakan kerja kempen mengempen agak berbaloi.  Sesudah habis pilihan raya, beliau akan kembali kepada 'kerja biasa'nya iaitu menganjurkan acara-acara judi seperti berlaga ayam, berlaga ikan sekilau, dan bermain daun terup.  Sepanjang yang aku tahu dia tidak ada sumber pendapatan yang lain selain daripada itu.  Oh silap..., sebenarnya ada satu lagi sumber pendapatannya iaitu menjadi tokey blackmarket di pawagam Rex atau Cathay bila ada filem boxoffice.

Glosari:
Dacing ; Barisan Nasional (BN)
Kepala Lembu ; Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM)
blackmarket ; memborong tiket dan menjual kembali dengan harga yang lebih tinggi.


Friday, January 18, 2013

FENOMENA KERUDUNG

1975


Tahun awal 70-an, aku masih di bangku sekolah menengah.  Kami ke sekolah berseluar pendek.  Pelajar perempuan pula memakai skirt. 

          Pada masa itu amat sukar untuk ketemu perempuan Melayu yang bertudung litup.  Malah, muslimat PAS pun hanya berselendang dan berjambul.    Presiden PAS ketika itu ialah Dato’ Asri Haji Muda.
1977
                           Yang bertudung labuh pada masa itu kebanyakannya adalah muslimah ABIM.  Ketika itu ABIM dipimpin oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor yang pada peringkat awalnya hanya memangku jawatan Yang diPertua ABIM kerana  Saudara Anwar Ibrahim masih dalam tahanan selepas peristiwa Demonstrasi Baling.  Dikatakan zaman itu adalah zaman  kegemilangan ABIM kerana dipenuhi oleh tokoh berkaliber seperti Sidek Fadhil, Kamarudin Mohd Noor, Kamal Hassan, Kamarudin Jaafar, Fuad Hassan, Hadi Awang,  Dahlan Md Zain, Mahmud Zuhdi, Abu Bakar Chik, Zalikhah Mohd Nor, Mohamad Sabu, Sidek Baba, Harun Din, Ahmad Ibrahim, Razali Nawawi, Ahmad Awang, Nakhaie Ahmad, Uthman ElMuhammady, Ashaari Muhammad dan ramai lagi.  Ustaz Ashaari Muhammad menjawat jawatan sebagai Pengerusi Biro Dakwah ABIM Wilayah Persekutuan sebelum keluar daripada NGO tersebut dan menubuhkan Jamaah Al-Arqam. 
1978
          Muslimah PAS dilihat mula berjinak-jinak dengan tudung labuh pada akhir-akhir tahun 70-an.  Fenomena tersebut semakin ketara bila kepimpinan PAS berpindah kepada Ustaz Yusuf Rawa.  Beliau mula memegang jawatan sebagai Presiden PAS pada tahun 1982.  Seorang tokoh  yang amat diingati kerana pernah menewaskan Dr Mahathir dalam pilihan raya umum 1969.

          Di sekolah-sekolah, pertentangan antara pelajar yang memakai tudung dengan pihak pentadbir sekolah sering menjadi isu ketika itu.  Isu tersebut hanya agak reda sesudah Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling MEMBENARKAN pemakaian tudung pada tahun 1983. 

Thursday, January 10, 2013

AMANAT OH AMANAT


Pertama kali aku mendengar ‘amanat’ tersebut ialah di Manjoi, Ipoh, Perak.  Melalui kaset sambil memotong kangkong.  Akhi Zabidi aka ‘Maulana’ sedang menumis rencah sayur di kuali.  Kami baru usai usrah yang turut dihadiri oleh Akhi Rosdi, Akhi Ramli aka ‘Pakcik’, Akhi Radzi, Akhi Azizi, Akhi Khairudin dan seorang lagi yang bertugas di JPJ yang aku dah lupa namanya. Seperti biasa, Akhi Rosdi paling banyak berbicara.  Sebagai ‘orang baru’, aku hanya menjadi pendengar setia.
            
          Aku hampir tidak mempedulikan sangat kewujudan ‘amanat’ tersebut meskipun kemudiannya aku ditakdirkan menetap tidak jauh daripada pemiliknya.  Bagiku ia hanyalah ucapan biasa yang maudhuknya seputar Islam yang syumul.  Hanya bila setiap kali menjelang pilihanraya, ia diambil cakna oleh pihak tertentu.

            Bagiku, tiada apa-apa yang salah. Tidak perlu ada desakan supaya ia ditarik balik. Sejak 1981, sudah beribu kali beliau berkuliah mentafsir secara terperinci darihal 'amanat' tersebut sehingga tiada lagi kekeliruan.  Mereka yang hadir dalam kuliah tersebut nampaknya sudah sangat faham dan mengamalkannya dalam kehidupan.  Kuliah tersebut diadakan pada setiap pagi Jumaat.  Sesiapa yang tidak berkesempatan menghadirinya bolehlah mendengar dalam bentuk rakaman.  Kaset kuliah dan ceramah beliau boleh didapati dengan mudah pada masa itu.

            Di samping berkuliah, beliau juga mentafsir amanat tersebut melalui pergaulan sehari-hari.  Tiada apa contoh tidak baik yang ditunjukkan oleh beliau melalui muamalahnya.

            Hanya pihak yang memusuhi beliau yang masih terkeliru dengan amanat tersebut.  Terutama darpada pihak yang menjadi saingannya dalam arena siasah tanah air. Tidak ketinggalan juga beberapa NGO Melayu termasuklah yang berselindung disebalik sepakat dan daulat. Mungkin natijah daripada sepakat dan daulat yang kini menjadi agenda aula dalam usrah mereka.