Sunday, August 31, 2014

BAB 19: SERGAH


BAB 19
Lebai Abu Bakaq tersenyum. Matanya merenung tajam ke arah seekor langsuir seksi yang sedang bermain buaian di atas pokok beringin di tepi semak di luar pagar rumah. Di pangkal pokok kelihatan berkerikut seekor hantu raya sedang tidur berdengkur.
"Kadang-kadang aku rasa mereka ni lebih baik... lebih siuman.." Bisik Lebai Abu Bakaq.
Sejak akhir-akhir ini Lebai Abu Bakaq memang sengaja lebih banyak mendiamkan diri. Kerana dia tahu suaranya pasti akan bercanggah dengan pandangan anak buah Sudin Boria. Bimbang kalau nantinya mereka dilihat sebagai puak caca marba. Dan pihak yang akan bertepuk tangan dan bersorak sorai sudah pastilah puak Bedul Jaykaykay.
Sudin Boria juga begitu. Namun yang menjadi masalah sekarang ialah kesukaran untuk mengawal anak buah masing-masing. Situasi sekarang bukan lagi situasi muzakarah. Tetapi lebih kepada perli-memperli dan sindir-menyindir. Kedua-dua pihak nampak dua kali lima.
Lamunan Lebai Abu Bakaq terganggu bila terdengar bunyi bising di dapur. Segera dia menjenguk. Beberapa ekor hantu spesis toyol sedang bertengkar di meja makan. Di atas meja kelihatan berselerak gelas yang dipenuhi teh tarik. Ada yang terbalik dan air teh tarik yang tumpah membasahi meja. Menitik dan membasahi lantai.
Lebai Abu Bakaq menyergah. Suaranya bagai halilintar. Tayol-toyol tersentak dan bertempiaran lari. Ada yang melompat melalui tingkap dan menghilang di dalam semak samun di belakang rumah.

Thursday, August 28, 2014

BAB 18: TOLAK


BAB 18
Baju T yang tertulis 'tolak GTR' ditenung oleh Jahar Kkorok Kering dalam-dalam. Ada semacam satu kepuasan menyelinap dalam hatinya. Ilustrasi dan komposisi warna nampak cukup harmoni.
Tak tahu siapa yang mencipta istilah GTR (Geng Tebas Rok). Tapi hampir semua orang kampung tahu bahawa ia timbul selepas kecoh cerita pakatan Bedul Jaykaykay dan Lebai Mat Jeng untuk tebas semak-samun yang memisahkan gelanggang mereka.
Pada peringkat awal, GTR diterajui oleh Dolah Motibasi dan Lebai Mat Khiaq. Namun kedua-dua mereka akhirnya tersingkir sesudah berlaku pertembungan sengit dengan anak buah Sudin Boria. Kini mereka dilihat berkepit siang malam dengan Bedul Jaykaykay.
Jahar Kkorok Kering menyarung baju T tersebut. Menggaya-gayakannya di depan cermin.
Hairan. Tulisan pada baju Tnya dah bertukar jadi 'tolak LMJ'.
Jahar Kkorok Kering panik seketika. Kemudian ketawa terbahak-bahak.
Jahar Kkorok Kering tahu. LMJ ialah akronim untuk 'Lebai Mat Jeng'.

Tuesday, August 26, 2014

BAB 17: TEBAS

BAB 17


Sudin Boria sudah lama dengar. Tapi sengaja dipekakkan telinga. Anggap semuanya sebagai fitnah untuk mengacaubilaukan pakatan dengan Mang Ppale Kerah dan Asing Kuba Pendek.
Namun kali ini dia tidak boleh lagi memekakkan telinga. Kerana yang didengar adalah dari mulut Lebai Mat Jeng sendiri. Seolah-olah pengesahan bahawa apa yang didengar selama ini adalah benar. Tiada yang tidak benar melainkan benar belaka.
Rupa-rupanya Lebai Mat Jeng dan Bedul Jaykaykay sudah lama berbincang. Semak-samun yang memisahkan gelanggang mereka akan ditebas. Walaupun agak luas tapi kerja tebas menebas itu tidaklah sesukar mana. Yang banyak meliar di situ hanyalah pokok sukai, nnapir, mempelas, senduduk, ekor tupai, dan paku pakis. Yang mungkin agak menyukarkan sedikit hanyalah beberapa batang pokok kekabu, jering, buluh, kelubi, nibung, pinang dan jambu keling. Itupun tak perlu ditebang semua. Yang rendang di sebelah tepi boleh di tinggalkan untuk dibuat tempat berteduh.
Sudin Boria mendengus. Matanya tajam ke arah golok pusaka yang terselit di dinding.
"Golok... gunamu bukan hanya untuk tebas semak-samun. Untuk tebas tengkok orang pun boleh..." bisik Sudin Boria sambil mengumpul aura. Dan dengan satu gerak yang luar biasa, tubuhnya sudah melekat di dinding seperti Spiderman.

Saturday, August 23, 2014

BAB 16: ONAR


Sang Nila Setitik yang sepatutnya berkecuali dilihat lebih akrab dengan puak Bedul Jaykaykay. Inilah yang merunsingkan Mang Ppale Kerah. Kalau tak kena gaya, benang akan putus dan tepung akan berterabur.
Perkara tersebut sudah acap kali dibincang dengan Asing Kuba Pendek dan Lebai Mat Jeng. Seperti biasa Asing Kuba Pendek tak berani buat banyak ulasan. Imejnya yang sering dilabel sebagai anti Sang Nila Setitik menyebabkan dia terpaksa banyak berhati-hati.
Lebai Mat Jeng pula susah hendak dipegang buku. Pendiriannya sering berubah-ubah. Namun Mang Ppale Kerah cukup yakin bahawa Lebai Mat Jeng tidak akan terbabas jauh. Permusuhan turun temurun dengan Bedul Jaykaykay menjadi kubu yang cukup utuh.
Bagaimana kalau Sang Nila Setitik kali ini benar-benar membuat onar?
Mang Ppale Kerah memicit-micit dahinya. Merebahkan belakang ke kerusi malas dan merenung siling. Belakangnya yang sakit rasa sedikit lega.
"Aku bukan lagi muda. Dah tua.." Bisik Mang Ppale Kerah. Berbalah dengan Sang Nila Setitik tidak membawa apa-apa keuntungan. Kedudukan Sang Nila Setitik yang dipercayai berketurunan alien boleh mengundang pelbagai masalah.
Satu dentuman yang kuat mengejutkan Mang Ppale Keras. Siling rumahnya kelihatan pecah berkecai. Dengan sekelip mata rumahnya tidak lagi mempunyai bumbung. Langit gelap tanpa bintang.
Blackout. Mang Ppale Kerah yang sedang panik dikejutkan dengan kemunculan setompok cahaya di tengah ruang tamu rumahnya.
Bedebuk! Seorang lelaki jatuh di atas tompokan cahaya tersebut. Lelaki tersebut bangun terhegeh-hegeh dan berjalan ke arah Mang Ppale Kerah dengan gaya seperti hendak tersembam.
Mr Bean!
Mang Ppale Kerah ketawa terbahak-bahak. Namun tawanya tidak lama. Sepasang tangan yang gagah terasa mencekik lehernya. Mr Bean sudah bertukar menjadi Sang Nila Setitik. Kini sedang mencekik Mang Ppale Keras sekuat hati.
"Mati aku..."Tempik Mang Ppale Kerah.

Friday, August 22, 2014

BAB 15: BERCANGGAH

Lebai Wae Asse membuka jendela. Udara segar yang nyaman menyerbu masuk.

"Aman... tenang..." bisik Lebai Wae Asse sambil menarik nafas dalam-dalam. Kemudian menghembusnya perlahan-lahan. "Alangkah baiknya jika keadaan mereka sedamai ini..." bisiknya lagi.

Lebai Wae Asse tahu. Tak banyak sangat beza cara berfikir Lebai Mat Jeng dengan Sudin Boria. Mereka berdua sering berbincang dan biasanya berjaya mencapai kata sepakat. Masalah hanya timbul bila mereka balik bertemu anak buah. Ada saja akal anak buah yang berjaya menggongcang pendirian mereka. Terutama Lebai Mat Jeng.

Sebab itulah sejak akhir-akhir ini Lebai Wae Asse lebih banyak mengambil sikap tutup mulut. Bak kata perpatah 'ditelan mati emak diluah mati bapak'.

"Macam mana nampak selalu sangat  bercanggah dua orang ni. Nampak rajin sangat berbincang. Bincang apa tah. Ke berbincang nak tambah bini..."

"Kiok.. kok.. kok.."

Mata Lebai Wae Asse segera melilau ke halaman rumah. Seekor bapak ayam kelihatan sedang mengejar seekor ayam betina.

Thursday, August 21, 2014

BAB 14: SESAMA SENDIRI

BAB 14


"Musuh aku ialah puak-puak Bedul Jaykaykay. Bergaduh sesama sendiri aku tak reti..." Kata Sudin Boria agak kuat. Tiga orang anak buah Lebai Abu Bakaq yang sedang mengeteh di meja sebelah menjeling serentak. Kemudian kembali mengadap smartphone masing-masing. Buat-buat tak dengar.
"Tapi depa duk jaja yang hang sekarang jadi barua Mang Ppale Kerah!" Jahar Kkorok Kering cuba masuk jarum. Asap rokok yang bergumpalan dalam mulutnya dihembus ke muka Sudin Boria.
Binawe, bisik Sudin Boria. Kalau ikutkan perasaan, rasa mahu ditamparnya muka Jahar Kkorok Kering. Biar terpelanting rokok yang yang tercepit di birai bibirnya itu.
Jahar Kkorok Kering ternyata masih Jahar Kkorok Kering. Dari zaman 'angry young man' di ipt hinggalah dah berjanggut atas bawah, begitulah perangainya. Tapi Sudin Boria cukup sedar bahawa lelaki yang tercokoh di depannya itu bukan sebarang manusia. Di dalam kepalanya ada setongkol otak yang sangat genius dan di dalam dadanya terselirat cita rasa seni yang amat halus.
"Tak apa. Mereka orang baru. Baru kenal gelanggang perjuangan. Masih bertatih. Kita jangan mudah melatah dengan kerenah mereka..." Jelas Sudin Boria lembut.
Jahar Kkorok Kering tersengih. Kemudian tunduk dan menaip sesuatu pada smartphone.
"Pep... pepek.. pep.." Notifikasi wassap Sudin Boria berbunyi. Segera Sudin Boria menantap smartphone.
'take care.. anak buah lebai abu terbakaq di meja sebelah sedang rakam perbualan kita.. kah kah kah'
Spontan Sudin Boria menjeling meja sebelah dan kemudian mencerlung muka Jahar Kkorok Kering. Jahar Kkorok Kering tersengih dan kemudian ketawanya bergegar hingga membuatkan semua yang ada di situ berpaling.
"Hoi... gila ke..." Tempik Saleh Ddekor yang sedang asyik bermain dam dengan Ali Silau di penjuru kedai.
Tawa Jahar Kkorok Kering makin bergegar. Dan Sudin Boria hanya mampu mengeleng-ngeleng kepala.

Wednesday, August 20, 2014

BAB 13: TERPELANTING

BAB 13


Runsing. Kalau diikutkan hati mahu Lebai Mat Jeng terus sahaja berada di tengah laut ini tak balik-balik. Biar semua kecoh tentang kehilangannya. Hilang secara misteri sebagaimana misterinya MH370.
Apa tidaknya. Sangkaannya bahawa semua akan kembali tenang ternyata meleset. Sindir-menyindir dan perli-memperli malah semakin rancak. Tanda-tanda untuk reda langsung tidak kelihatan.
Di langit kedengaran guruh. Lebai Mat Jeng mencabut terendak dari kepalanya dan mendongak ke langit. Hatinya cemas. Ada tanda-tanda cuaca buruk akan bertandang.
Sesudah mengemas segala kelengkapan memancing, Lebai Mat Jeng segera memecut bot menghala ke daratan. Tapi sudah terlambat. Satu gelombang besar tiba-tiba menghempas bot. Lebai Mat Jeng terpelanting ke laut.
Mujurlah keadaan laut segera kembali tenang. Lebai Mat Jeng yang terkapai-kapai hanya mampu berdoa. Mustahil baginya untuk berenang ke daratan yang sayup mata memandang.
Doa Lebai Mat Jeng dimakbul. Tiga buah bot kelihatan sedang meluncur laju menuju ke arahnya.
Ketiga-tiga bot tiba serentak. Amat mengejutkan. Rupa-rupanya bot milik Bedul Jaykaykay, Mang Ppale Kerah dan Asing Kuba Pendek.
Bila melihat Lebai Mat Jeng yang terkapai-kapai, ketiga-tiga mereka ketawa berdekah-dekah, membuat u-turn dan memecut laju meninggalkan Lebai Mat Jeng.
"Tunggu... hoi tunggu... tunggu... " tempik Lebai Mat Jeng sekuat hati.
Bahunya terasa digoncang. Dan seperti cerita-cerita yang biasa ditulis oleh ramai orang sebelum ini. Mimpi... hehehe

Tuesday, August 19, 2014

BAB 12: SKODENG

BAB 12


Tiada gema gong dan gendang silat. Yang kedengaran hanyalah nyanyian cengkerik dari belukar yang diserkup kegelapan. Sesekali kedengaran bunyi lotong bertingkah-tingkah.
Lebai Mat Jeng berdiri betul-betul di tengah gelanggang. Memasang kuda-kuda dan kemudian membuat beberapa langkah pendekar.
Zup! Satu tendangan dilepaskan oleh Lebai Mat Jeng ke udara.
Lebai Mat Jeng mengeleng-ngeleng kepala. Mengesat peluh yang merenik di leher sambil menahan mengah. Ternyata tendangannya tidak lagi semantap dulu. Terasa ringan dan tidak padu.
"Mungkin betul kata mereka. Sudah sampai masanya aku berundur..." Keluh Lebai Mat Jeng. Ingatannya segera terimbas kepada Sudin Boria.
Mengingatkan Sudin Boria, hati Lebai Mat Jeng bertambah runsing. Kalau dia berundur maka Sudin Borialah yang akan ambil tapaknya.
Perkara utama yang dirunsingkan ialah kerana Sudin Boria bukan dari suku sakat lebai. Walaupun sangat tangkas dalam bong tapi kemungkinan untuk tergelincir dan tertonggeng amat besar. Lagipun, sejak akhir-akhir ini terasa sangat seolah-olah Sudin Boria telah membina puaknya tersendiri.
Peristiwa baru-baru ini memberi petunjuk yang jelas. Sudin Boria tidak lagi menjadi tulang belakangnya. Walaupun tidak menunjukkan penentangan secara terang-terang tetapi tindakan anak buahnya banyak mengguris hati Lebai Mat Jeng.
Itu belum lagi diambil kira pelbagai hinaan yang dilempar oleh anak buah Mang Ppale Kerah yang kian hari kian akrab dengan Sudin Boria. Pelbagai gelaran yang jelek-jelek singgah di cuping telinganya. Mat Lembab, Mat Slow, Mat Kkure. Yang paling tak tahan bila ada juga yang menggelarnya Mat Jeng Kreng.
"Pop... pooop..." bunyi kentut dari dalam semak membuatkan lamunan Lebai Mat Jeng terganggu. Dengan langkah pendekar, Lebai Mat Jeng terus menghambur ke arah semak. Sesosok lembaga kelihatan susup-sasap melarikan diri.
"Cis.. Bedul Jaykaykay..." Seranah Lebai Mat Jeng. Walaupun pandangannya diganggu oleh kegelapan malam, tetapi gaya larian Bedul Jaykaykay yang terkangkang-kangkang itu tidak mampu diselindung.
Betullah telahannya selama ini. Bedul Jaykaykay memang sentiasa menskodeng segala gerak-gerinya.

Monday, August 18, 2014

BAB 11: HANCUR

BAB 11


"Hancur! Musnah!"Tempik Lebai Abu Bakaq. Isterinya yang sedang menggosok jubah tersentak. Batik kembannya yang terlucut segera disambar sebelum melurut melepasi pusat.
Hancur. Tindakan dua orang anak buah Sudin Boria meludah tunggul yang menjadi punca kekecohan benar-benar telah menamatkan segala pertarungan. Lebai Mat Jeng sudah tidak mampu lagi main tarik tali dengan Mang Ppale Kerah.
Blink!
Imej maya tiga dimensi ala Star War muncul di dinding. Bukan imej Darth Vader atau Luke Skywalker. Tapi gemulah Lebai Jusoh Lekor.
"Kau lemah Abu... lemah... Kes yang sekoman ini pun tak boleh settle.. dok rok ccetong! Hahaha..." Ketawa gemulah Lebai Jusoh Lekor tenggelam timbul bersama tenggelam timbulnya imej.
Blink!
"Maafkan aku Jusoh.. aku... aku... huhuhu... " Sedu sedannya sudah tidak dapat ditahan. Isterinya terkejut dan segera datang memeluknya era-erat. Membelai-belai janggutnya yang lejuh dibasahi air mata.
"Kenapa bi.. apa yang bi sedihkan?"
"Tidak... huhuhu...aku bukan sedih... huhuhu.. aku gembira... huhuhu... aku amat gembira... huhuhu... segalanya dah selesai... huhuhu... kita boleh kembali bekerja seperti biasa... huhuhu... kita tak payah lagi fikir pasal tunggul tu... huhuhu... biar Ppale Kerah dengan Kuba Pendek sahaja yang memikirkannya... huhuhu..."

Sunday, August 17, 2014

BAB 10: LANGKAH

BAB 10


Malam sepi.
"Ini malam. Barang baik. Fresh"
Memo yang diterima dari Tokey Soh itu dibaca berulang kali. Mencari kalau-kalau ada yang tersirat. Maklumlah. Tokey Soh ni bukannya boleh dipercaya sangat. Dah beberapa kali dia terkena. Kadang-kadang dia merasakan Tokey Soh lebih berbelit daripada Garukutu.
Bedul Jaykaykay melepaskan satu keluhan panjang. Gandingannya dengan Tokey Soh dan Garukutu tidak lagi semantap dulu. Malah mereka berdua lebih banyak membebankan. Mujurlah kelemahan tersebut dapat ditampung oleh Wasin Nyambuk dan Mamut Balak dari kampung seberang yang punya anak buah yang ramai.
Sebab itulah strategi utama Bedul Jaykaykay sekarang ialah meruntuhkan gandingan Mang Ppale Kerah, Asing Kuba Pendek dan Lebai Mat Jeng. Yang paling utama untuk direbahkan ialah Mang Ppale Kerah. Asing Kuba Pendek dan Lebai Mat Jeng tidaklah merunsingkan sangat kerana Bedul Jaykaykay cukup arif takat mana mereka boleh berpencak. Dengan jurus yang biasa-biasa pun mereka boleh tertonggeng.
Bedul Jaykaykay tersenyum. Memo Tokey Soh digumpal dan dicampak ke dalam bakul sampah. Perlahan-lahan dia bangun dan menapak ke arah pintu tanpa bunyi. Baru beberapa langkah...
"Aaa... nak ke mana tu aaa..." Bunyi dari dalam gebar di atas katil.
Bedul Jaykaykay terkedu.

Saturday, August 16, 2014

BAB 9: DILLEMA

BAB 9


Lebai Abu Bakaq dalam dilema. Yang paling dibimbangi ialah kalau-kalau Lebai Mat Jeng membuat u-turn dan menyokong tindak tanduk Mang Ppale Kerah.
Tanda-tanda ke arah itu nampaknya semakin ketara. Perang saraf yang dilancarkan oleh puak Sudin Boria nampaknya cukup berkesan. Yang agak mengejutkan ialah bila tersebarnya puisi panjang karya Weil Kapak Api yang bertajuk 'Tunggul Oh Tunggul'. Puisi yang cukup kaya dengan pelbagai perlambangan dan metafora itu dikatakan telah berjaya membuatkan ramai puak Lebai Abu Bakaq berpaling tadah.
'"Mangkuq hayun!" Lebai Abu Bakaq menyumpah. Kesal dengan kerapuhan iman pengikut-pengikutnya. Sudahlah dua orang sahabatnya Dolah Motibasi dan Lebai Mat Khiaq dah tersingkir gara-gara Sudin Boria, kini kedudukannya sendiri pun mungkin akan jadi seperti telur di hujung tanduk.
Tiba-tiba Lebai Abu Bakaq terkenangkan gemulah Lebai Jusoh Lekor. Air matanya berlinang.
"Jusuh... perjuangan kita semakin sukar difahami oleh budak-budak sekarang..." Rintih Lebai Abu Bakaq.

BAB 8: PELARIAN

BAB 8


Jahar Kkorok Kering menyedut baki rokok yang sudah rapat ke puting itu dalam-dalam. Memejam mata rapat-rapat menikmati sedutan akhir sebelum menenyeh puting ke dalam ashtray.
"Hidup bagai pentas sandiwara..." Jahar Kkorok Kering mula mendeklimasi. Dibayangkan di depannya ribuan audien sedang terkinja-kinja ghairah menikmati persembahannya.
"Kitalah pelakon-pelakonnya..." Jaal Kkorok Kering melantun suara. Masih mantap. Kesan latihan vokal yang pernah diikutinya ketika menjadi pelarian di luar negara ternyata masih tidak luntur.
Pep.. pep.. pep.. bunyi notifikasi wassap mengganggu konsentrasi Jahar Kkorok Kering. Ah, personal wasssap dari Sudin Boria.
Gambar superimpose yang entah kutu mana punya kerja. Mang Ppale Kerah dan Lebai Mat Jeng sedang bergusti. Mang Ppale Kerah yang kurus kering sedang dikepit dan ditindih oleh Lebai Mat Jeng yang bodinya berkatang-katang. Di luar gelanggang kelihatan Bedul Jaykaykay yang berkostum ala Undertaker sedang memegang kerusi lipat. Ghairah mencerlung isteri Mang Ppale Kerah yang terlentang bergelumang darah.
"Bahlul punya kerja.." Rungut Jahar Kkorok Kering. Dia tahu ini semua kerja budak-budak beringus dari puak Lebai Abu Bakaq.

Friday, August 15, 2014

BAB 7: RADIASI

BAB 7


Sudin Boria tercokoh di depan halaman rumah. Mencakar-cakar tanah dengan hujung ranting kayu. Membina peta minda.
Sebenarnya orang yang mula-mula bawa cerita bahawa tunggul itu berpuaka ialah Bedul Jaykaykay. Tapi tak ramai yang ambil kisah kerana imej Bedul Jaykaykay yang amat dikenali sebagai kaki putar alam.
Malah ada yang menerima cerita yang dijaja oleh Bedul Jaykaykay itu sebagai sendaloka. Bila Bedul Jaykaykay bercerita ada orang yang anunya jadi besar bila kencing tak jauh dari tunggul itu, Pokngoh Deramang yang kahwin 3 itu dengan selamba membuat ulasan: "Apa salahnya besar... lagi besar lagi bagus... hahaha".
Sebagai orang yang bertanggungjawab memacak tunggul itu, sudah tentulah Mang Ppale Kerah menafikan sekeras-kerasnya cerita yang dibawa oleh Bedul Jaykaykay.
Keadaan menjadi hingar bingar hanyalah bila Mang Ppale Kerah sendiri yang tiba-tiba minta tunggul itu dicabut. Kononnya tunggul itu sudah terkena radiasi ketika sebuah piring terbang UFO mendarat di baruh yang berhampiran. Menurut Mang Ppale Kerah, kesan radiasi itu boleh menyebabkan orang yang melalui lorong itu ditimpa penyakit yang aneh. Belum ditemui sebarang vaksin yang boleh digunakan untuk merawat penyakit tersebut.
Orang yang paling pantas bertindak bila tersebar cerita tersebut ialah Lebai Abu Bakaq. Beliau dan kuncu-kuncunya segera mengepung Lebai Mat Jeng. Mempastikan Lebai Mat Jeng tidak mudah dipengaruhi oleh Mang Ppale Kerah yang memang tersohor dalam ilmu pujuk memujuk.
Sudin Boria mengeleng-ngeleng kepala. Ranting kayu yang masih ditangannya dipatah-patah. Rasanya begitulah yang ingin dikerjakan terhadap puak Lebai Abu Bakaq. Biar patah-patah tengkok mereka semua.
Bedebuk! Bunyi dari belakangnya seperti ada orang terjun dari pokok. Sudin Boria pantas melompat, menangkis dan memasang kuda-kuda.
"Haiya.. bagus aji punya kungfu.. hahaha" Asing Kuba Pendek ketawa berdekah-dekah. "Hahaha.. jangan marahlah bro.. kita kawan... hahaha"

Thursday, August 14, 2014

BAB 6: BALIK AWAL

BAB 6


Harapan Sudin Boria sekarang hanyalah kepada Lebai Wae Asse. Walaupun Lebai Wae Asse baru-baru ini hampir terperangkap dengan permainan kumpulan Lebai Abu Bakaq tapi dia cepat-cepat sedar. Bahawa cara permainan kumpulan Lebai Abu Bakaq bakal menyebabkan mereka gostan 30 tahun ke belakang.
Sudin Boria mengetap-ngetap bibir. Rasa geramnya tiba-tiba meningkat ke paras kritikal. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia membuat pengistiharan bahawa Lebai Abu Bakaq sudah tidak relevan lagi untuk diajak masuk bong.
Bong sekarang bukan lagi macam bong zaman dulu. Para pendekar yang bertarung bukan lagi calang-calang. Datang dari pelbagai perguruan dengan pelbagai jurus yang pelik-pelik. Pendekar macam Lebai Abu Bakaq akan balik awal.
Terfikir tentang perguruan, Sudin Boria segera teringatkan Mang Ppale Kerah. Juga kepada bini Mang Ppale Kerah. Tiba-tiba Sudin Boria termenyanyi:
"cantik rupamu
cantik rupamu
dipandang mataaa
bagai biduan
bagai biduan
dariii syuruugaaa..."

BAB 5: TERLINGKUP

BAB 5


Sudin Boria serba salah. Walaupun tidak bersetuju dengan cara Lebai Mat Jeng mengendali kes ini tapi dia rasa belum sanggup menyatakan tentangan secara terang-terang. Sebab dia tahu. Mastermind segala tindak tanduk Lebai Mat Jeng ialah Lebai Abu Bakaq.
Lebai Abu Bakaq dah cukup lama berdendam akan Mang Ppale Kerah. Iaitu sejak sahabat karibnya Dolah Motibasi dinafikan daripada menjawat tugas sebagai penjaga selekoh. Bagi Mang Ppale Kerah, cukuplah kalau selekoh itu dipacak seketul tunggul sahaja.
Inilah problemnya bila tinggi ilmu tapi pendek akal, sungut Sudin Boria sambil bangun membetulkan urat pinggangnya yang terasa sakit. Setelah terasa sedikit lega, dia mencapai tongkat warrant yang terselit di celah dinding. Mula berlenggang-lenggok dengan gaya Pak Daud Sungai Pinang.
"nafsu ammarah jangan diikut
nanti semua akan terlingkup
sebelum berak biar terkentut
boria sungai pinang empunya tajuk...
eewah.. "

Wednesday, August 13, 2014

BAB 4: TENDANG

BAB 4


Asing Kuba Pendek melompat-lompat dan berpusing-pusing. Membuat aksi dan langkah kungfu. Sekali-sekala penumbuk dan penendangnya singgah pada punchbag yang tergantung.
"Amacam bro... ada gaya Bruce Lee tak gua punya kick.." Laung Asing Kuba Pendek kepada Mang Ppale Kerah yang sedang tercokoh di tepi dinding. Asyik berbalas wassap dengan bininya.
"Hahaha.. Kalu itu gaya punya kick, Bedul Jaykaykay tak heran. Macam bapuk... hahaha..." Mang Ppale Keras sengaja bikin provokasi. Kasi Asing Kuba Pendek naik sheh.
"Cilaka..." Asing Kuba Pendek menahan nafas. Kaki kirinyanya dijulurkan ke depan dan dikejapkan ke lantai. Kaki kanan dijulur kebelakang dan diringankan. Memasang kuda-kuda.
Punchbag direnung tajam. Dibayangkan punchbag itu bagaikan Bedul Jaykaykay yang sedang mentertawakannya. Namun ternyata bayangan Bedul Jaykaykay itu muncul silih berganti dengan bayangan Lebai Mat Jeng.
"Cis, cilaka!!!" Asing Kuba Pendek bertempik. Punchbag ditendang sekuat hati.
Prak!
Dua biji kerandut jelas kelihatan terhayun-hayun.
"Hahaha..." Mang Ppale Kerah terguling-guling ketawa.

Tuesday, August 12, 2014

BAB 3: TUNGGUL

BAB 3


Tak ramai yang tahu. Bahawa sejak akhir-akhir ini, tunggul yang dipacak oleh Mang Ppale Kerah itu lebih banyak menimbulkan masalah. Orang yang pernah melalui lorong itu sahaja yang tahu.
Mangsa terbaru khabarnya ialah Kiah Murai. Selepas ambil konar, tak sempat nak balas. Kainnya tersangkut kat tunggul itu. Kiah Murai dan basikalnya meluncur masuk ke dalam parit dan kain tertinggal kat tunggul. Kebetulan pula hari tu Kiah Murai tak pakai seluar dalam. Nasib baik saksi kejadian hanyalah cucu-cucu Pokngoh Deramang yang sedang berkubang dalam parit. Gelak sakan Pokngoh Deramang bila cucu-cucunya balik bercerita.
Cabut! Itulah keputusan yang telah dibuat oleh Mang Ppale Kerah. Dan sebagaimana yang dijangkakan, Bedul Jaykaykay segera membantah walaupun selama ini dialah yang beria-beria minta tunggul itu dicabut. Sebagai penangguk profesional, Bedul Jaykaykay tentu sekali tidak akan melepaskan peluang bila bertemu air keruh.
Yang sedikit mengejutkan ialah bantahan dari Lebai Mat Jeng. Namun setelah diteropong dengan teropong buluh, Mang Ppale Kerah segera faham. Bantahan Lebai Mat Jeng tidak ada kaitan sangat dengan tunggul. Ia lebih kepada 'retak menanti belah'.
Mang Ppale Kerah tersenyum. Dia dah jangkakan plan A dan plan B akan hadapi sedikit kesukaran. Tak apa, dia masih ada beberapa plan alternatif.

Monday, August 11, 2014

BAB 2: KEPUNG

BAB 2


Lebai Mat Jeng termenung panjang. Sekejap-sekejap garu kepala sekejap-sekejap menggosok perut gendutnya.
Baru disedari bahawa Bedul Jaykaykay bukan sebarangan musuh. Liciknya bukan alang kepalang. Seperti seorang pemain catur yang amat genius.
Ptui! Lebai Mat Jeng melepaskan seketul kahak. Kahak yang hijau, likat dan berlendir itu tersangkut di dahan axiora.
Direnungnya. Terasa kahak itu lebih baik dari otaknya. Yang tidak mampu membaca permainan Bedul Jaykaykay. Mengatur segala bidak, castle, knight mengepung permaisuri pihak lawan.
Diinsafinya kini bahawa rakan kongsinya Mang Ppale Kerah merupakan permaisuri yang sedang dikepung dalam permainan kali ini. Rebah Man Ppale Kerah maka rebah jualah impian mereka bersama.
Checkmate!
Tak apa, bisik Lebai Mat Jeng memujuk hati. Baru pusingan awal...

BAB 1: HATI PUAS

BAB 1


Lebai Mat Jeng tersenyum puas. Pendirian terbarunya ternyata berjaya menutup mulut celupar Bedul Jaykaykay. Bahawa dia bukanlan semudah itu untuk dijengkal muka oleh Mang Ppale Kerah. Apa lagi untuk ditunjal-tunjal dahi oleh Asing Kuba Pendek.
Pecah pun pecahlah. Yang penting hati puas.
Senyum Lebai Mat Jeng kian melebar.

GOSTAN KATA

Gostan kata adalah kerja yang sangat sukar. Sebab ia kadang2 melibatkan wibawa. Jangankan orang jahil tukir, orang yang bertitle ulamak atau tuan guru pun belum tentu mampu malakukannya. Seperti lain2 defenden, mereka juga akan 'mengaku tidak bersalah'.

Saturday, August 09, 2014

NAMEWEE, SAYUTI DAN KU LI

Di ambang PRU 13, geng Namewee menerbitkan sebuah klip video 'Undilah' dan Mohd Sayuti Omar menerbitkan sebuah buku 'Nyawa BN di Hujung Pedang (NBNdHP)'.

'Undilah' menampilkan Ku Li sebagai narrator yang sungguh berwibawa. Tahu apa masalah yang sedang di alami oleh Malaya dan tahu pula cara menyelesaikannya.  NBNdHP pula menamakan Ku Li sebagai tokoh yang paling layak menjadi PM jika BN berjaya ditumbangkan.

Klip video tersebut gagal mendapat kelulusan untuk siaran TV di Malaya. Tak ada siapa yang kisah kerana kebanyakannya hanya sekadar tertarik kepada unsur lawak yang ada di dalamnya. Malah, pandangan Sayuti tentang Ku Li sebagai calon PM Malaya pasca-PRU 13 juga dianggap sebagai satu lawak jenaka.

Friday, August 08, 2014

MENUNGGU WAHYU

Beberapa tahun yang lalu saya berkesempatan menonton 'Menunggu Kata Dari Tuhan' di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. Naskah Dinsman itu telah diberi nyawa oleh Sabri Yunus dengan begitu cemerlang.

Diangkat dari sebuah hadis panjang riwayat Kaab bin Malik. Darihal pengalaman Kaab bila Rasullullah SAW memutuskan agar beliau dihukum boikot oleh penduduk Madinah kerana tidak menyertai perang Tabuk.

Mencerita gelora jiwa seorang Kaab. Bukan sahaja salamnya dijawab tanpa suara, segala pertanyaan akan hanya menerima jawapan: "Hanya Allah dan Rasulnya lebih mengetahui"

Kisahnya berakhir dengan 'happy ending'. Kota Madinah bagaikan berpesta bila turun wahyu yang menamatkan tempoh boikot. Cucuran air mata kegembiraan membasahi hampir setiap pipi para sahabat.

BOOLAYANG

'Boikot' merupakan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris. Istilah yang lebih asli ialah 'pulau'. Orang Terengganu pernah guna istilah 'boolayang untuk boikot.

Dalam masyarakat kampung tradisi Melayu, boikot pernah digunakan sebagai sejenis hukuman kepada individu atau keluarga tertentu. Pihak yang diboikot akan merasa tertekan yang teramat sangat kerana tidak dipedulikan lagi oleh orang kampung. Apa lagi untuk dibantu dan seumpamanya.

Setakat itu sahajalah boikot mereka. Tak adalah pulak orang kampung berhimpun di depan rumah mereka bawa sepanduk dan berteriak-teriak.

Thursday, August 07, 2014

MENTALITI BANDAR

Kerusi parlimen Kuala Terengganu dimenangi oleh UMNO dan PAS silih berganti.  Kerana majoriti warga Kuala Terengganu ialah 'orang atas pagar'.  Mereka bukan penyokong tegar mana-mana parti politik. Ini merupakan scenario biasa bagi warga yang 'bermentaliti bandar'.  Tidak seperti warga Besut atau Marang.

SMS

Sistem Pesanan Ringkas atau sms diperkenalkan pada tahun 1990-an. Dengan teknologi telefon selular yang berskrin kecil dan sukar dikendali, peranannya ketika itu agak terhad tidak sepertimana pelbagai media sosial yang ada pada hari ini. Namun begitu, pengaruh budayanya kepada pengguna telefon pintar hari ini masih ketara. Sebahagian pengguna media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan seumpamanya masih terbawa-bawa dengan gaya penulisan sms. Dengan simbol-simbol dan ayat-ayat kontot.

PEKUNG

Dulu. Di kampung saya ada seorang lelaki mengidap sejenis penyakit. Bahagian hadapan salah satu betisnya membengkak dan berair. Mengeluarkan bau yang busuk dan hanyir. Emak kata lelaki itu mengidap penyakit pekung.

Itulah satu-satunya pengalaman saya melihat dan menghidu pekung. Rupanya menjijikkan dan baunya meloyakan.

Saya tak tahu sama ada memang wujud orang yang mengidap penyakit pekung pada bahagian dada. Sehingga timbul peribahasa 'membuka pekung di dada'.

BENANG BASAH

Walaupun terlalu sukar, usaha untuk menegakkan benang basah terpaksa juga diteruskan. Kerana ia berkait pula dengan nila dan susu. Supaya nantinya tidak ada arang yang patah dan tidak ada rotan yang dikerat.

TERLAJAK PERAHU

Peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.

Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang wujud sebelum tarikh kemerdekaan Malaya. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut.  Ada mazhab yang tidak bersetuju menerima peribahasa moden sebagai sebahagian peribahasa.

Walau bagaimanapun, semua mazhab sepakat bersetuju bahawa peribahasa moden tidak seharusnya terhasil daripada pengubahsuaian peribahasa tradisi. Seperti:

terlajak perahu boleh ditarik, terlajak whatsApp tak boleh delete.

atau

terlajak perahu boleh ditarik, terlajak jentik buruk padahnya.

ZIARAH KUBUR

Disunatkan menziarahi kubur. Bukan sahaja pada pagi raya sesudah solat sunat Aidilfitri tetapi bila2 masa shj yg berkesempatan.

Dulu. Masa kecik2.  Saya sangkakan ziarah kubur pada pagi raya lebih afdhal daripada waktu2 lain. Malah merasakan seolah2 sambutan 1 Syawal tidak lengkap tanpa menziarahi kubur. Mungkin kerana terpengaruh oleh pesanan Sanisah Huri yg sentiasa ditubi sebelum berakhir setiap Ramadan:

"sesudah bersembahyang di pagi hari
menziarah pusara kaum keluarga
bunga ditabur doa pun dibaca
mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat.."

ORANG ATAS PAGAR

Orang atas pagar biasanya orang yang sangat sabar. Mereka tidak peduli dengan pelbagai label yang dihempuk ke atas kepala mereka. Kerana mereka tahu mereka adalah golongan majoriti.

Mereka tidak peduli dilabelkan munafik, hipokrit dan seumpamanya. Kerana mereka tahu yang melabel mereka itu adalah golongan syok sendiri. Merasa diri hebat hanya semata2 berdasarkan keputusan undi. Tanpa mereka sedar siapakan golongan majoriti yang memberi undi itu.

Ya. Golongan atas pagar biasanya golongan yang amat sabar. Bersabar berdepan dengan golongan minoriti yang merasa diri sebagai pahlawan jihad hanya semata2 galak setiap musim pilihan raya.

Orang atas pagar akan terus  membisu. Kalau mereka bersuara, mereka akan diherdik; "Ini hal dalaman parti. Orang luar jangan masuk campur".

Ya. Orang atas pagar akan terus bersabar. Kerana mereka tahu, sebagai golongsn majoriti, mereka mampu membuatkan golongan syok sendiri itu tersentak dan terlopong.  Ya, bila tiba ketikanya.