Monday, May 01, 2017

BTN DAN ELVIS PRESLEY

Zaid merupakan ketua murid sebuah sekolah menengah di Kelantan. Merupakan peserta paling glamer dalam kursus tersebut. Selain wajahnya yang mirip Hail Amir, dia juga merupakan pemidato yang bagus. Dialah yang biasanya akan mematahkan hujah-hujan Chan yang terlalu sering menimbulkan isu-isu panas seperti hak keistimewaan orang-orang Melayu, Raja-raja Melayu dan DEB.

Kursus yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin pelajar sekolah itu diadakan di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuantan ketika cuti hujung tahun. Disertai oleh pemimpin-pemimpin pelajar dari setiap sekolah di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Saya, Stopa dan Zaidan mewakili sekolah budak-budak cerdik Jalan Gambang.

Semasa sesi taklimat lagi kami telah dimaklumkan bahawa disepanjang kursus kami diberi kebebasan untuk bercakap dalam sesuatu isu. Sebab itu hampir dalam setiap slot ceramah, akan berlaku pertikaman lidah ketika sesi soal-jawab.

"Tuan penceramah tidak berhak mengingatkan kami tentang soal itu. Ketika taklimat kursus ini kami telah diberi lesen besar. Kami boleh bercakap apa saja. Tidak timbul soal sensitif. Kami umpama YB dalam dewan rakyat...Err..berbalik kepada isu tadi. Hujah wakil Bentong tadi saya tak mahu jawab. Cuma saya ingin mengatakan bahawa bila saya jadi PM nanti saya akan beli sebuah kapal yang besar. Saya akan isi wakil Bentong dan orang-orang yang sependirian dengannya untuk dihantar balik ke negara China.." Tepukan dan sorakan gemuruh mengiringi hujah Zaid. Menenggelamkan suara Chan yang cuba memberi hujah balas.

Pada malam penutup kursus, saya mendeklamasikan sebuah sajak yang entah apa-apa. Zaid menyanyi lagu 'Nasi Minyak' berduet dengan salah seorang peserta Terengganu yang wajahnya mirip Uji Rashid. Aduhai... nyanyian Zaid amat teruk tetapi pasangan duetnya cukup bagus. Chan pula menyanyikan lagu Kris Kristofeson 'Help Me Make It Through The Night'. Suara Chan ada mirip Elvis Presley.
" ...i don't care what's right or wrong
i won't try to understand
let the devil take tomorrow
lord, tonight i need a friend
yesterday is dead and gone
and tomorrow's out of sight
and it's sad to be alone
help me make it through the night ..."

No comments: