Saturday, October 11, 2014

BAB 36: PENUTUP


BAB 36: PENUTUP
Tunggul itu akhirnya tercabut. Diganti dengan tunggul yang lain.
Walau bagaimanapun, tercabut dan tergantinya tunggul bukanlah penamat segala ceritera. Kerana tunggul bukanlah terlalu penting. Ia hanyalah asbab kecil dari ribuan asbab yang mencetuskan kemelut.

Seperti jutaan kemelut lain yang tercetus setiap detik di merata tempat, kemelut ini juga tidak dapat dipastikan titik mulanya. Tentunya jauh lebih lama dari khabar yang sempat singgah di telinga. Tentunya bukan bermula dengan tersangkutnya kain Kiah Murai, mimpi-mimpi Lebai Abu Bakaq, terkoyaknya seluar Asing Kuba Pendek, tersingkirkan Dolah Motibasi atau kembalinya Jahar Kkorok Kering dari buangan. Juga tidak perlu jari terlalu ditudingkan kepada Mang Ppale Kerah, Lebai Mat Jeng, Bedul Jaykakay atau Sudin Boria. Kerana hakikatnya ia tetap menjadi rahsia Allah SWT dan akan diadili di akhirat nanti. Mencanangkan golongan yang sealiran sebagai bakal penghuni syurga dan yang menyanggahi sebagai bakal penghuni neraka bukan cara orang bijaksana.
Ya. Setiap kemelut terhasil dari peristiwa yang kompleks, bersimpang-siur, bertindan-tindih dan berlapis-lapis. Setiap orang hanya mampu memahami mengikut kadar masing-masing. Itupun tidak sunyi dari kekeliruan dan kekhilafan. Tiada yang maksum. Yang maksum hanya para nabi dan rasul.
Wallahhu'allam.

BAB 35: BARUA



BAB 35
Dua orang 'barua' itu benar-benar telah merencatkan segala perancangannya bersama Lebai Mat Jeng. Namun kegusarannya tidaklah berlarutan. Seranah Lebai Mat Jeng terhadap barua-barua tersebut baru-baru ini cukup melegakan hatinya. Kebimbangannya kalau-kalau Lebai Mat Jeng bikin u-turn lagi sekurang-kurang dapat dikendurkan.
Lebai Abu Bakaq dah lama tahu bahawa dua orang barua tersebut memang barua. Sejak hari pertama mereka masuk gelanggang pun, Lebai Abu Bakaq dah tahu. Cara mereka memasang kekuda, menari bunga, menangkis dan melepas buah memang amat asing. Malah kelihatan banyak persamaan dengan perguruan Mang Ppale Kerah.
Sebab itulah Lebai Abu Bakaq sejak dulu cuba meyakinkan Lebai Mat Jeng darihal bahayanya barua-barua ini. Bukan dua orang itu sahaja tetapi ramai lagi. Tapi Lebai Mat Jeng degil. Masih percaya bahawa mereka bukan barua, tapi para reformer yang cuba membantu dengan membawa jurus-jurus baru yang mampu merebahkan Bedul Jaykaykay.
"Duhai Mat Jeng... nanti kau akan sedar jugak. Kita tak perlu rebahkan Bedul Jaykaykay. Sebaliknya kita perlu bersepakat dengan Bedul Jaykaykay merebahkan Mang Ppale Kerah"

BAB 34: PUNCA



BAB 34
"Kalau tak kena cara... lantik para lebai jadi ketua lebih banyak menyusahkan..." hujah Sudin Boria. Jahar KK yang sedang asyik membelek novel Guy Walters 'The Leader' segera mendongak dan tersengeh. "Puak yang meletakkan kemuliaan tok lebai tak kena tempatlah puncanya. Kononnya tak boleh bercanggah pendapat dengan para lebai. Silap gaya kita dicop munafik, parasit, pengkhianat... Tapi aku tak salahkan sangat budak- budak tu. Depa tak akan jadi macam tu kalau tak telan racun Lebai Abu Bakaq. Kalau ikutkan hati... heie.."
Sudin Boria menunjukkan aksi seolah-olah sedang mencekik seseorang. Jahar KK ketawa. Dia setuju semua hujah Sudin Boria itu. Tapi sengaja tidak mahu menunjukkannya. Biar Sudin Boria terus meluahkan rasa hati.
"Kalau ikutkan hati mahu rasanya aku bagi 'Gorilla Press Slam' je Lebai Abu Bakaq ni..."
Kata-kata akhir Sudin Boria itu membuatkan Jahar KK ketawa terbahak-bahak. Sempat juga Sudin Boria melawak walaupun dalam keadaan sedang marah. Dia segera teringat bahawa suatu masa dahulu Sudin Boria sangat meminati Ultimate Warrior. Dan dia juga tahu bahawa pada masa itu Lebai Abu Bakaq merupakan peminat tegar Hulk Hogan.