Saturday, October 11, 2014

BAB 36: PENUTUP


BAB 36: PENUTUP
Tunggul itu akhirnya tercabut. Diganti dengan tunggul yang lain.
Walau bagaimanapun, tercabut dan tergantinya tunggul bukanlah penamat segala ceritera. Kerana tunggul bukanlah terlalu penting. Ia hanyalah asbab kecil dari ribuan asbab yang mencetuskan kemelut.

Seperti jutaan kemelut lain yang tercetus setiap detik di merata tempat, kemelut ini juga tidak dapat dipastikan titik mulanya. Tentunya jauh lebih lama dari khabar yang sempat singgah di telinga. Tentunya bukan bermula dengan tersangkutnya kain Kiah Murai, mimpi-mimpi Lebai Abu Bakaq, terkoyaknya seluar Asing Kuba Pendek, tersingkirkan Dolah Motibasi atau kembalinya Jahar Kkorok Kering dari buangan. Juga tidak perlu jari terlalu ditudingkan kepada Mang Ppale Kerah, Lebai Mat Jeng, Bedul Jaykakay atau Sudin Boria. Kerana hakikatnya ia tetap menjadi rahsia Allah SWT dan akan diadili di akhirat nanti. Mencanangkan golongan yang sealiran sebagai bakal penghuni syurga dan yang menyanggahi sebagai bakal penghuni neraka bukan cara orang bijaksana.
Ya. Setiap kemelut terhasil dari peristiwa yang kompleks, bersimpang-siur, bertindan-tindih dan berlapis-lapis. Setiap orang hanya mampu memahami mengikut kadar masing-masing. Itupun tidak sunyi dari kekeliruan dan kekhilafan. Tiada yang maksum. Yang maksum hanya para nabi dan rasul.
Wallahhu'allam.

No comments: