Thursday, November 21, 2013

RAK

Foto: Tolahah Muda

Sebelum dirobohkan, eloklah kamu melawat bazar Kedai Payang. Singgahlah di kedai audio video agama yang paling lama beroperasi di situ. Dulu dipenuhi kaset dan vcr. Kini dipenuhi cd dan vcd. Ceramah, nasyid, bacaan al-Qur'an, motivasi, panduan ibadah, dan seumpamanya.

Suatu masa dulu, ketika saya masih agak muda, ketika isu 'pemecatan' sedang panas, saya pernah mencari kaset 'penjelasan Anwar' di situ. Jawab penjual di situ: "Kita tak jual kaset politik".

 Baru-baru ini saya singgah lagi di kedai itu.  Sementara menunggu anak saya memilih songkok di kedai sebelah. Tidak banyak yang berubah.  Susun atur perabutnya masih seperti dulu.  Cuma rak-raknya nampak semakin usang dimamah usia.


Saya tertarik dengan satu rak yang terletak di bahagaian paling depan kedai itu. Ada tertampal label yang sedikit terkoyak. Namun tulisan yang agak besar itu masih dapat dibaca dengan jelas: 'Ustaz Azhar'. Oh, hairan bin ajaib!.  Tidak ada sekepingpun cd nasyid dari artis yang bernama Ustaz Azhar di rak itu.  Sebaliknya rak itu dipenuhi oleh cd ceramah terkini Ustaz Kazim Elias.

Pause

Maklumat dari seorg kawan: Dulu rak tersebut penuh dgn cd Ustaz Azhar Idrus. Malah masa itu suara Ustaz Azhar sentiasa berkumandang dari kedai itu. Tiba-tiba suasana berubah. Suara Ustaz Azhar tidak lagi kedengaran. Rak itu juga turut dikosongkan. Kini diganti dengan cd Ustaz Kazim Elias.