Sunday, April 30, 2006

rebung

Kelmarin. Program diubah. Semua mesti checkout sebelum jam 12:00 tengah hari. Tepat jam 12:00, semua mesti berkumpul di lobby Cititel.

Pagi. Acara bebas. Kami (aku dan 7 orang) naik komuter di stesen Mid Valley ke KL Central. Di KL Central ambil monorel ke Chow Kit.

Di Chow Kit. Makan nasi di kedai abang loghat utara. Kegemaranku dah tentu rebung jeruk masak lemak kuning. Ditambah dengan tauhu goreng, ikan sembilang goreng, sambal petai.

Di depan ada gerai-gerai jual buah. Buah mangga, buah limau, buah pear, buah lai, buah naga. Juga ada kak Esah. Sedang mendendangkan lagu-lagu Saloma.

"Hoi..tolong snap. Nak posing belakang Kak Esah" Aku.

"Alright...Satu, dua..."

"Cheeeese..."

Snap!

"Haha haha"




Kemudian suami Kak Esah mendendangkan "Madu Tiga". Diikuti dengan "Getaran Jiwa".

Di dalam monorel dari Chow Kit ke KL Central, aku asyik cium tangan sendiri. Bau rebung jeruk amat wangi.

Thursday, April 20, 2006

jampi

Baru-baru ini aku pergi melawat jiran yang sedang sakit. Kak Hindun sudah hampir seminggu terlantar di perbaringan. Dah dua kali ke hospital. Doktor suruh masuk wad, tapi beliau enggan.

Masa sihat Kak Hindun tidak lekat di rumah. Ada sahaja orang datang menjemputnya untuk mengurut. Termasuk wanita yang baru bersalin. Kira-kiranya Kak Hindun ni seorang bomoh jugalah.

Masa mula-mula aku nak bina rumah, Kak Hindun beberapa kali berpesan bahawa tapak rumah aku ni memang keras. Kak Hindun pernah beberapa kali melihat benda-benda pelik di tapak tanah yang aku beli tu. Tapi pesanan tu tak diberitahu direct kepada aku. Hanya melalui tukang-tukang yang membina rumah aku.

Kini rumah aku dah siap. Aku dah pun tinggal di rumah ni hampir setahun. Dan aku masih tak faham apa yang 'keras' di sini. Masa merasmikan rumah, aku hanya jemput jiran, kenalan dan saudara mara makan 'buffet'. Tak ada tahlil atau kumpulan sembahyang hajat.

Berita Kak Hindun sakit agak lewat sampai ke pengetahuanku. Jadi, bila tahu sahaja, aku terus menziarahinya.

Kak Hindun nampak tersangat lemah. Cakapnya pun dah tak berapa jelas. Jadi aku tak mahu mengganggunya. Sesudah memberi buah tangan yang ku bawa, aku bertanya khabar dengan suaminya, Abang Din. Tiba-tiba, anak dara mereka membawa keluar sebesen air.

"Mak suruh jampi." Kata anak daranya.

Aku terkejut beruk. Nak jampi apa-apa? Tetapi atas desakan suaminya akupun bersila jugalah di depan besen. Baca wirid ma'thurat al-sughra yang memang aku dah lama hafal. Siap dengan fuh fuh sekali. Haha haha.

Selang tak berapa hari selepas itu, aku lihat Kak Hindun kembali aktif. Mengurut dari rumah ke rumah. Dan sehingga hari ini Kak Hindun belum lagi mengucapkan terima kasih kepada aku. Namun setiap kali berselisih di jalanan, senyumannya ku lihat semakin berseri.

Saturday, April 15, 2006

jambatan

Ada dua pilihan ke rumah tok guru mengaji Qur'an. Ikut jambatan baru atau ikut jambatan lama. Kalau tunggang basikal, aku akan guna jambatan baru. Masuk ikut pintu pagar depan rumah tok guru. Kalau berjalan kaki, aku guna jambatan lama. Masuk ikut pintu pagar belakang rumah tok guru.

Kalau ikut jambatan lama, perlu lebih berhati-hati. Lantainya banyak yang patah dan tercabut. Lubang-lubang lantai itu pula dijadikan lubang tandas oleh penduduk berdekatan. Jadi, najis kering ada terpalit di sana sini.

Di jambatan barulah banyak mencatat sejarah aku dan rakan sepermandian. Terutama bila air pasang penuh. Aku sering menyertai acara terjun (tanpa papan anjal). Sebenarnya bukan semua kanak-kanak sebaya berani melakukan terjunan setinggi lebih 30 kaki tu.

Gaya terjunan yang paling aku suka ialah gaya nyior komeng. Melompat dari galang jambatan. Kedua-daua lutut rapat ke dada. Dua tangan memaut erat tulang kering. Bedebum!

Awal remaja. Bila pulang bercuti (aku dipaksa tinggal di asrama sekolah budak-budak cerdik) aku tidak melepaskan peluang duduk-duduk atas galang jambatan baru. Aku tidak lagi terjun. Cuma tengok budak-budak terjun. Tengok budak-budak mandi. Kadang-kadang aku pun mandi sama.

Sekali-sekala ada gadis-gadis mandi. Berkemban kain batik. Dan aku sangat tertarik kepada corak kain batik mereka. Pelbagai motif dan warna. Bila mereka berenang, kadang-kadang putih, putih, putih. Punggung mereka.

Gadis-gadis remaja itu. Dua pupu aku. Tiga pupu aku. Empat pupu aku. Lima pupu aku. Sangat selamba.

Tika itu, jambatan lama hanya tinggal tiang-tiang berceracakan.


rujukan;
1. jambatan huha huha
2. jambatan: satu lagi projek kerajaan barisan nasional

Tuesday, April 11, 2006

warung

Pagi tadi pekena roti canai di warung Saddam Husein.

Rotinya masih seperti dulu. Dan kuahnya juga masih kaw seperti dulu. Kerana yang menebar roti masih orang dulu. Yang buat kuah juga masih orang dulu. Atau mungkin orang lain, tapi masih guna resepi yang dulu. Masih guna formula yang dulu.

Mereka. Pernah menerima latihan dari Saddam Husein. Meski Saddam Husein telah pergi. Segala ilmu yang ditimba dari Saddam Husein masih mereka amal.

Boss mereka yang baru tidak melarang mereka mengamalkan ilmu Saddam Husein. Maksudku ilmu membuat roti canai. Ilmu membuat kuah roti canai.

Warung itu masih dikenali sebagai warung Saddam Husein. Boss baru juga tidak berusaha untuk merubah perkara tersebut. Dia tahu bahawa nama tersebut mempunyai nilai komersil yang agak hebat.

Saddam Husein? Beliau kini menjadai drebar lori. Cita-citanya untuk meluangkan lebih banyak masa untuk menghadiri tempat-tempat orang mengajar agama kini telah tercapai.

Memiliki sebuah warung yang ultra maju ternyata menyebabkan jiwanya tidak tenang. Dan tindakannya menjual warung tersebut tidak pernah dikesalinya.