Friday, July 10, 2015

DARI PLAZA HOTEL KE SUBANG AIRPORT




Saya syak apek driver itu baru menonton 'Fast and Furious'. Apa tidaknya. Dia berjaya melarikan saya dari Plaza Hotel, Jalan Raja Laut ke Subang Airport dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Ketika membayar RM36 kepada apek driver, jam sudah menunjukkan pukul 9:25 pagi. Sedangkan Malindo Air KL-KT yang akan menerbangkan saya ke Kuala Terengganu akan berlepas pukul 9:30 pagi. Walaupun sudah check in secara online, situasi sebegini amat mencemaskan.

Malindo segera menutup pintu sebaik sahaja saya melangkah masuk ke dalam perutnya.

Oh, saya sangat terkilan kerana tidak sempat berselfie dengan apek driver. Saya juga tidak sempat mengambil nombor henfonnya. Apapun, alhamdulillah. Allah telah permudahkan. Berkat doa isteri, anak-anak dan rakan-rakan.

JEFRY ZAIN DAN ULAMAK



Jefry Zain diarahkan ke Singapore. Tugasannya kali ini ialah menggagalkan komplot membunuh seorang vvip bertaraf ulamak dari Malaya. 

Komplot itu dikatakan ada kaitan dengan kegelisahan CIA dan Pentagon atas kemungkinan pemerintah Malaya akan melaksanakan undang-undang Islam. Pemerintah Malaya dan parti pembangkang A dikatakan telah berkompromi sebagai tukaran kepada sokongan pemenjaraan ketua parti pembangkang B. Pemergian vvip itu ke Singapore bertujuan untuk menjelaskan tentang undang-undang Islam dan berunding supaya pihak Singapore dapat melobi Amerika agar tidak mengganggu pelaksanaan undang-undang Islam yang akan dilaksanakan di Malaya.

Jefry Zain ialah James Bond versi Melayu. Hanya sempat muncul dalam tiga tajuk sahaja iaitu 'Gerak Kilat', 'Bayangan Ajal' dan 'Jurang Bahaya'. Mungkin disebabkan tidak ada pelakon yang sesuai memegang watak itu sesudah Jins Shamsudin semakin berusia.

HUDUD VS DAKWAH & TARBIYAH

Katanya, pemerintah sekarang dah ok. Cuma satu sahaja yang kurang iaitu belum laksana hukum hudud.

Katanya lagi, isu-isu salah guna kuasa, salah tadbir ekonomi, kezaliman, penyelewengan perundangan dan seumpamanya hanyalah natijah dari ketidakberkatan kerana tidak laksana hukum hudud. Jika diganti dengan pemerintah lainpun, masalah sama tetap berulang selagi tak laksana hukum hudud. Sebab itu laksana hukum hudud lebih penting daripada mengambilalih kuasa.

Untuk pencerahan, saya rujuk persoalan tersebut kepada mereka yang lebih arif. Jawapannya: Kedua-duanya bukan aulawiyat buat masa kini. Ambil alih kuasa melalui demokrasi bukan aulawiyat. Laksana hukum hudud pun bukan aulawiyat. Yang aulawiyat buat masa kini ialah dakwah dan tarbiyah.

BREHEM TOK BOMO

Sedang kami rancak berusrah, tiba-tiba Brehem mari. Ajak dua orang sahabat kami keluar. Untuk jadi saksi majlis akad nikahnya. Saya tak pasti sama ada untuk bini ketiga atau keempat.

Brehem ialah sahabat kami. Ketika saya mula-mula bertaaruf dengannya, dia sangat serius . Sesudah kenal bahawa saya juga bukan calang-calang orang, barulah dia nampak mesra dan pandai bergurau. Hahaha...

Lama saya 'terpisah' dengan Brehem. Sehinggalah beberapa tahun yang lalu, saya hadir dalam satu majlis persembahan kebudayaan Islamik anjuran satu pertubuhan tarekat dengan kerjasama biro kebudayaan sebuah parti politik. Saya hadir untuk melihat Sabri Yunus dan Sani Sudin kerana teater "Menunggu Kata Dari Tuhan" juga turut dipentaskan.

Sebelum persembahan, saya agak terkejut. Seorang 'ulamak' yang berserban besar dan berjubah diiring ke tempat penonton vvip. Agak bergaya dengan sebatang tongkat turut tergenggam di tangannya.

Selepas bertanya kepada beberapa orang penonton, baru saya sedar bahawa rupa-rupanya Brehem kini dikenali sebagai Tuan Guru Haji Ibrahim al-...
Oh, saya lupa title di belakang namanya.

HAKIM DEBAT

KUALA TERENGGANU,18 April 2015 - Kelmarin saya telah berjaya dengan cemerlangnya menjadi hakim pertandingan akhir debat yang dianjurkan oleh sebuah sekolah swasta sempena exspo sekolah mereka. Sebagai bidan terjun. Menggantikan bidan tak terjun yang sakit perut. Saya sebenarnya lebih dikenali sebagai hakim pertandingan deklamasi sajak.

Dulu. Tahun-tahun 70-an. TV Rangkaian Pertama (kini dikenali TV1) setiap tahun menyiarkan siaran langsung pertandingan akhir debat Bahasa Melayu antara sekolah-sekolah berasrama penuh. Antara tetamu yang hadir ialah Perdana Menteri dan beberapa orang menteri.

Antara yang paling saya ingat ialah pasukan Sekolah Alam Shah lawan Kolej Islam Kelang. Mungkin tahun 1974 atau 1975. Saya tidak dapat lupa biodata salah seorang peserta Sekolah Alam Shah yang dibacakan oleh pengacara majlis iaitu peserta itu bercita-cita menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri. Bila pengacara menyebut perkara itu, para penonton ketawa.

Saya tertanya-tanya: Mengapa tidak Perdana Menteri?

Sesudah masa berlalu, barulah saya faham. Bahawa tidak ramai Timbalan Perdana Menteri yang berjaya menjadi Perdana Menteri.

ENCIK SALAHUDIN BIN MAHMUD

Saya pulang ke Terengganu pada tahun 1984. Ketika itu sedang hangat isu kafir-mengkafir dan pulau-memulau.

Di Almuktafi Billah Shah (AMBS), pada mulanya saya berusrah berdua dengan Encik Salahudin bin Mahmud yang merupakan seorang jurutera di kilang kelapa sawit AMBS. Dia naqib dan saya penolong naqib. Dia guna kitab tulisan Nik Aziz yang saya dah lupa tajuknya. Saya pula guna kitab-kitab tulisan Maududi, Syed Qutb, Karim Zaidan, Fathi Yakan dan Mustaffa Masyhur. 

Pada tahun 1986, Encik Salahudin letak jawatan di kilang sawit. Ada ura-ura namanya ada dalam short listed calon PAS dun Hulu Paka untuk PRU tahun itu (Masa tu AMBS masuk dalam dun Hulu Paka, bukan dun Bukit Besi). Tapi rezekinya tak ada. Orang lain yang terpilih jadi calon.

Selepas itu beliau pulang ke Kelantan dan saya tidak pernah lagi mendengar khabar berita tentang dirinya. Saya pula pulang ke Marang dan dia juga mungkin tidak pernah lagi mendengar khabar berita tentang diri saya.

Sesiapa yang ada maklumat tentang kawan saya ini, harap beritahu saya. Antara yang ingin saya tahu ialah apa jenis PAS yang dia sokong sekarang.

BRUNEI, SAUDI DAN HUDUD

Di Mesir, mursyidul am Ikhwanul Muslimun, Dr Mohamed Badie dan 11 pimpinan Ikhwanul Muslimun dijatuhi hukuman mati. Di Palestin, zionis makin mengganas. Di Malaya, Anwar Ibrahim dipenjara.

Arab Saudi menyumbang dana yang besar kepada Mesir sebagai menghargai Jeneral Fatah As Sissi memenjarakan Dr Mohamad Morsi. Arab Saudi juga dijadikan pengkalan oleh Amerika Syarikat untuk menyerang Yemen.

Selain Brunei, hanya Arab Saudi yang telah berjaya melaksanakan hukum hudud. Kedua-dua negara itu berjaya melaksanakan hukum hudud kerana di negara mereka tidak ada DAP dan PKR.

PERUBATAN ISLAM VS PERUBATAN KAFIR

Menurut mufti Terengganu Dr Zulkifly Muda, istilah 'perubatan Islam' yang digunakan sesetengah pihak pada hari ini agak mengelirukan. Menurut beliau, perubatan moden pada hari ini merupakan warisan daripada tokoh-tokoh perubatan muslim seperti Ibn Sina dan lain-lain. Termasuklah pembedahan dan penggunaan pelbagai peralatan canggih.

Apa yang difahami 'perubatan Islam' oleh sesetengah pihak itu sebenarnya ialah 'doa'. Doa yang dilakukan secara tatacara tertentu yang dibenarkan oleh syarak termasuklah disekalikan dengan solat hajat. Ada juga didoakan barang tertentu seperti air, kismis, tamar, coklat, susu dan lain-lain.

Jadi, tidak wajar timbul istilah perubatan Islam dan perubatan kafir.

TERHEMPAS

Puas dan lega. Dia baru sahaja menyelesaikan satu tugasan yang dirasakan paling mencabar sepanjang hidupnya. Sukar, meskipun arahan yang diterimanya cukup ringkas: "Humban sibedebah itu ke penjara. Usah peduli berapa kosnya"

Kini dia terbang lagi. Dalam misi yang biasa-biasa. Bagi memenuhi nafsu serakah sang ketua. Tugas yang enteng tapi perlu ketelitian tahap tinggi. Perlu kepada jaringan yang luar biasa. Maklum, sang ketua punya cita rasa yang juga luar biasa.
Segalanya akan kekal terkunci kukuh sebagai satu rahsia. Kecuali berlaku sesuatu yang di luar duga.

Tiba-tiba...

HASAN GANGSTER

Antara watak gangster yang saya suka ialah watak Hasan. Dia merupakan kawan kepada Merah dan Salleh.

Tidak ramai orang yang tahu bahawa Hasan merupakan ketua kepada sebuah kumpulan gangster yang antara kegiatannya ialah pengedaran dadah dan sindiket pelacuran. Hasan berselindung di sebalik bisnes yang halal dan kerja-kerja kebajikan.
Cerita mula mendaki puncak bila Merah dibebaskan setelah 5 tahun meringkuk di dalam penjara. Merah mengesyaki Hasan telah menggunakan wang hasil rompakan mereka untuk membina empayar bisnes dan gangsternya. Tetapi menurut Hasan, dia telah menyerahkan wang itu untuk dilarikan oleh Salleh kerana tujuan asal rompakan mereka adalah untuk membantu Salleh yang memerlukan wang yang banyak untuk membiayai rawatan neneknya. Walau bagaimanapun, mereka tahu bahawa hasil rompakan itu melebihi dari apa yang diperlukan oleh Salleh. Merah merasakan dia perlu diberi lebihan tersebut sebagai membalas pengorbannya.

Flashback: Ketika mereka dikejar oleh pihak polis, Merah telah membiarkan dirinya ditangkap untuk mempastikan dua orang rakannya bersama hasil rompakan mereka selamat.

Pause.

Saya suka watak Hasan kerana kepintarannya mengelabui mata orang ramai. Sehinggalah berlaku insiden yang kemudiannya menggemparkan masyarakat.
Adegan akhir ialah speed boat yang dipandu oleh Hasan telah meletup. Saya rasa, ia akan lebih dramatik jika speed boat diganti dengan helikopter.

MB TERENGGANU YANG BERHALUS

Amat tidak benar mengatakan memang style orang Terengganu bercakap nampak kasar dan macam cari gaduh. Antara Menteri Besar Terengganu yang becakap dengan gaya sopan, tenang dan 'berhalus' ialah Ustaz Wan Mokhtar dan Cikgu Razif.

Nik Hassan saya tak tahu. Sebab masa beliau jadi MB Terengganu, saya masih di sekolah rendah. Mahmood Sulaiman dan Ibrahim Fikri lansung saya tak ingat. Cuma, mengikut catatan sejarah, Ibrahim Fikri dilantik menjadi MB Terengganu pada tahun saya dilahirkan ke dunia.