Monday, March 27, 2006

kungsi

Hari minggu. Tidak ada overtime hari ini. Aku berjuntai kaki di pintu kungsi. Mendengar Nor dan Siah mengengkek macam kuda galak.

Jarak pintuku dengan pintu mereka hanya tiga langkah. Kalau dibina bertentangan, tentu hanya satu langkah sahaja. Lorong yang memisahkan antara blok lelaki dan blok perempuan hanya seluas satu langkah. Kami berkongsi bumbung.

Bilik kungsiku hanya 4 ' x 6'. Ada tingkap kecil. Kalau buka, kena tongkat macam tongkat bonet enjin kereta. Melalui tingkat, aku boleh melihat deretan blok kungsi pekerja Indonesia. Sengaja di pisahkan jauh dari blok kami agar kami tidak terganggu oleh Rhoma Irama, Elvi Sukaesih, Broery, The Mercys dan yang sejenama dengannya.

Nor dan Siah masih mengengkek.

"Aloo..". Herman si gondrong tiba-tiba muncul.

Aku tersentak. Rasa sedikit marah.

"Mr. Malaysia.." Herman mencekup pangkal lenganku yang pejal dan berketul-ketul dengan kedua-dua tangannya . Aku tahu, kalau si Herman datang dengan mukaddimah bodeknya, tentu ada udang di sebalik batu. Biasanya pinjam wanglah. Selalunya tak banyak. Hanya $2 atau $3.

"Apahal?"

"Ji, nak bilang kau sesuatu..." Herman bersuara perlahan. "Esok kami kami akan unjukrasa."

"Hah? kau nak berdemo?"

"Ya. Permintaan kami telah ditolak. Sebetulnya aku tak mahu ikut. Tapi, yah..serba salah aku "

Herman termenung. Anak muda awal dua puluhan seolah sedang berfikir dalam.

"Ji, apa pendapatmu?"

Aku mengeleng-ngeleng kepala. "Entah".

Kasihan. Dia nampaknya betul-betul serba salah.

Herman belum sampai setahun di ladang ini. Tiba dari Bengkalis setelah berjaya melepasi kepungan penduduk kampungnya. Kesalahan: merogol seorang gadis. Jirannya.

"Setan...setan..setan..." tiba-tiba terdengar teriakan kuat dari luar. Aku dapat agak. Itu suara Pak Karno. Herman segara melompat lari ke arah belakang kungsi.

Nor muncul. Berkemban. "Zi..standby IC. Ada inspection!"

Monday, March 20, 2006

llabi

Harga seekor labi-labi antara $4 hingga $6. Bukan harga di pasar tetapi harga yag ditolak oleh pemancing kepada peraih. Pemancingnya ialah kawan-kawan aku dan peraihya ialah Pak Tuan. Aku tak tahu nama sebenar Pak Tuan. Mungkin Pak Tow Wang atau Peik Tiu Wong. Orang panggil Pak Tuan, maka aku pun panggil Pak Tuan jugalah. Kalau dia masuk Kritian, mungkin namanya akan ditukar kepada Albert Pak atau John Pak.

Hasil jualan labi-labi, kawan-kawan aku tak beli makanan. Haram, kata mereka. Biasanya mereka beli ubat lampu (bateri torch light atau radio = sel kering). Kadang-kadang beli tiub basikal atau pelapik sila (tempat duduk) basikal. Ya, apa-apalah- melainkan makanan.

Aku tak tahu ke mana Pak Tuan memasarkan labi-labi tersebut. Mungkin di kampungnya. Kampungnya tidak jauh dari kampungku. Majoriti penduduk di kampung tersebut sebangsa dengan Pak Tuan. Mereka masih mengekalkan bahasa mereka walaupun perempuan mereka ramai yang memakai sarung batik dan yang lelaki memakai sarung pelikat. Hampir semua mereka gemar makan nasi berlaukkan sambal belacan dan budu.

Mungkin antara lauk istimewa mereka ialah labi-labi panggang cicah budu. Budu tersebut sudah tentu dah ditenyeh dengan beberapa biji cili api dan diperah dengan beberapa hiris limau nipis.