Tuesday, April 08, 2014

BATU-BATU PENUNJUK JALAN


Maalim Fi Taariq merupakan karya terakhir Syed Qutb. Diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Milestone dan tersebar semerata dunia sebelum diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Bertitik tolak daripada falsafah bahawa krisis nilai yang wujud adalah hasil dari pertembungan Islam dengan jahiliah. Menjadi tugas setiap mukmin untuk berjuang meruntuhkan jahiliah dan di atas keruntuhan itu didirikan Islam.

Buku ini ditulis bagi menyambut uslub dakwah yang telah diperinci oleh Hassan alBanna. Uslub paling sistematik yang mengambil kira pelbagai uruf yang sentiasa berubah sepanjang zaman.

Meskipun pendekatan yang dipilih oleh Hassan alBanna adalah paling aman tanpa pertumpahan darah, namun ia tetap dicurigai oleh jahiliah. Malah oleh mereka yang dikalung title ulamak. Sehingga ada yang sanggup berfatwa bahawa setiap orang yang telah diracuni fikrah Hassan alBanna adalah halal darahnya. 






  

Sunday, April 06, 2014

USRAH

Usai berusrah mereka singgah di masjid. Duduk di beranda masjid sambil berbincang apa yg telah diutarakan oleh naqib. Perbincangan berlarutan hingga pukul 1:30 pagi.

Tiba di rumah dia mengetuk pintu perlahan. Memberi salam. Juga perlahan. Dia tahu isterinya mudah terjaga. 

"Oiii.. orang lain usrah juga..Tapi tak lah sampai jam 2 pagi!" Kasar. Tapi di telinganya kedengaran suara isterinya itu sangat merdu. Belum pernah rasanya semerdu itu.

Sebelum melelapkan mata dia berdoa. Dan juga berazam. Esok, Seusai solat Subuh, berus segala pakaian yang terendam di bilik air. Sesudah itu menjemur kain dan mengemas rumah. Kemudian dengan senyuman manis bertanya isteri apa yang dia nak makan hari ini. Pergi ke pasar beli segala bahan untuk memasak. Kemudian tolong isteri memasak. Lepas makan akan kemaskan dapur dan basuh pinggan mangkuk jika perlu.

Senyum. Ya, esok. Dia akan jadi lelaki yang baru. Dia akan buktikan kepada isterinya bahawa usrah telah berjaya merubah sahsiahnya.