Monday, May 01, 2017

AWEK IRAN


Ini ialah gambar isteri saya berlatarbelakang awek-awek cun dari Iran pada musim haji 2008. Pakaian mereka sangat 'Islamik'. Berbeza dengan cara berpakaian jemaah haji lelaki mereka yang sangat 'keBaratan'.

Jemaah haji lelaki dari Iran mudah dikenali. Semua mereka berkemeja lengan panjang warna putih, berkot hitam dan berkasut kulit hitam berkilat berjenama mahal tanpa kopiah atau serban. Berambut pendek kemas serta misai, janggut dan jambang ditrim rapi ala TMJ. Seperti mana juga jemaah perempuan, mereka juga bergerak secara berkumpulan 'ala berkawad' diketuai oleh seorang Mullah yang berjubah labuh dan berserban besar.

Seorang kawan saya menjelaskan bahawa peraturan di Iran memang tidak membenarkan lelaki memakai kopiah apa lagi berserban. Pakaian sedemikian hanya untuk golongan tertentu seperti Mullah dan seumpamanya. Contohnya, jika ada lelaki yang berkopiah berjalan di kota Tehran, dia akan ditahan oleh pihak berkuasa dan 'ditemuduga'. Antaranya, dia akan diuji sama ada menghafal sekian banyak hadis dan sekian banyak surah al-Quran. Jika gagal melepasi tahap yang dikehendaki, dia akan diarah supaya tidak lagi memakai kopiah sebab belum layak berpakaian sedemikian.

Oh, barulah saya faham mengapa qari dari Iran yang menyertai tilawah al-Quran peringkat antarabangsa tidak memakai kopiah. Malah, penampilan mereka pun sangat 'keBaratan'.
Kalau tak silap saya, sudah acap kali qari mereka menjuarai ujian tilawah tersebut.


MASUK TV

Saya pernah bertugas sebagai pembantu padang dalam Kejohanan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM). Di Stadium Ipoh pada tahun awal 1980-an. Zaman kegemilangan Rabuan Pit, Mumtaz Jaafar, Marina Chin, Nordin Jadi, Istiaq Mubarak, Zaiton Othman, Ballang Lasung, Hanapiah Nasir.

Saya yang beruniform lengkap pengakap sempat berbual agak panjang dengan Zaiton Othman yang beruniform 'atlet wanita' di tepi trek. Atlet putih melepak itu sangat ramah dan tidak kekok melayan remaja mentah macam saya. Sepanjang perbualan itu, saya lebih banyak melihat muka Zaiton.

Orang kampung agak kecoh. Sebab dalam siaran rakaman yang disiarkan di TV 1, wajah saya sering terpampang. Kerana saya bertugas memegang plate 'background' tempat pegawai pelepas melekapkan pistol setiap kali melepas tembakan.

BTN DAN ELVIS PRESLEY

Zaid merupakan ketua murid sebuah sekolah menengah di Kelantan. Merupakan peserta paling glamer dalam kursus tersebut. Selain wajahnya yang mirip Hail Amir, dia juga merupakan pemidato yang bagus. Dialah yang biasanya akan mematahkan hujah-hujan Chan yang terlalu sering menimbulkan isu-isu panas seperti hak keistimewaan orang-orang Melayu, Raja-raja Melayu dan DEB.

Kursus yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin pelajar sekolah itu diadakan di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuantan ketika cuti hujung tahun. Disertai oleh pemimpin-pemimpin pelajar dari setiap sekolah di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Saya, Stopa dan Zaidan mewakili sekolah budak-budak cerdik Jalan Gambang.

Semasa sesi taklimat lagi kami telah dimaklumkan bahawa disepanjang kursus kami diberi kebebasan untuk bercakap dalam sesuatu isu. Sebab itu hampir dalam setiap slot ceramah, akan berlaku pertikaman lidah ketika sesi soal-jawab.

"Tuan penceramah tidak berhak mengingatkan kami tentang soal itu. Ketika taklimat kursus ini kami telah diberi lesen besar. Kami boleh bercakap apa saja. Tidak timbul soal sensitif. Kami umpama YB dalam dewan rakyat...Err..berbalik kepada isu tadi. Hujah wakil Bentong tadi saya tak mahu jawab. Cuma saya ingin mengatakan bahawa bila saya jadi PM nanti saya akan beli sebuah kapal yang besar. Saya akan isi wakil Bentong dan orang-orang yang sependirian dengannya untuk dihantar balik ke negara China.." Tepukan dan sorakan gemuruh mengiringi hujah Zaid. Menenggelamkan suara Chan yang cuba memberi hujah balas.

Pada malam penutup kursus, saya mendeklamasikan sebuah sajak yang entah apa-apa. Zaid menyanyi lagu 'Nasi Minyak' berduet dengan salah seorang peserta Terengganu yang wajahnya mirip Uji Rashid. Aduhai... nyanyian Zaid amat teruk tetapi pasangan duetnya cukup bagus. Chan pula menyanyikan lagu Kris Kristofeson 'Help Me Make It Through The Night'. Suara Chan ada mirip Elvis Presley.
" ...i don't care what's right or wrong
i won't try to understand
let the devil take tomorrow
lord, tonight i need a friend
yesterday is dead and gone
and tomorrow's out of sight
and it's sad to be alone
help me make it through the night ..."

MENYAMAR

Encik Ahmad Said (bukan nama sebenar) ialah pensyarah Kesusasteraan Melayu kami. Suatu ketika, dia lama tidak hadir. Sesudah dua minggu, dia muncul. Katanya, dia masih keletihan kerana hampir selama dua minggu dia terpaksa menyamar menjadi ahli jemaah al-Arqam. Kerana ada pihak tertentu perlukan beberapa maklumat tentang al-Arqam. Memang meletihkan! Terpaksa berjubah hijau dan berserban besar selama hampir dua minggu dengan pelbagai program padat termasuk tahajud dan berpuasa sunat.

Ada sahabat kami mengesyaki Encik Ahmad Said ialah seorang SB. Tapi kami tak kisah sangat semua tu. Yang kami kenal ialah Encik Ahmad Said seorang yang sangat sempoi. Tak pernah beri tugasan yang berat kepada kami. Kuliahnya pun bukan pasal Kesusasteraan Melayu sangat. Tetapi lebih banyak sembang-sembang tentang survival orang Melayu. Tentang ancaman orang Cina terhadap ketuanan Melayu.

Lebih kurang sepuluh tahun kemudian, jemaah al-Arqam pun diharamkan.

MERANG DAN MARANG

Jangan bertukar antara Merang dengan Marang. Merang terletak di utara Terengganu, manakala Marang pula terletak di selatan Terengganu. Orang Merang bercakap menggunakan dialek yang bercampur-campur Kelantan dan Terengganu. Sebab itu, ramai orang Merang yang menyebut Merang sebagai 'Mere'. Sama dengan orang Kelantan yang menyebut Kelantan sebagai 'Kelate'.

"kalu nok tra nasi dagang
kita pakat gi Kampong Ladang
buat bekal gi Mere
di Setiu pata perangine..."
Berbeza dengan orang Marang yang bercakap dialek Terengganu pekat.

".. pula Kapah, pula Redang
kita lalu ikut Marang
jangang lupa Kuala Berang
Sekayu comel, zamang berzamang..."

Sebut pasal nasi dagang di kampung Ladang, sayugia dimaklumkan bahawa gerai nasi dagang itu dah pindah ke premis baru berhampiran Mydin Kuala Ibai. Tapak gerai nasi dagang di kampung Ladang telah didirikan sebuah bangunan komersil. Tokey nasi dagang diberi satu unit rumah pangsa berhampiran kampung Ladang. Untuk meneruskan bisnes, dia menyewa gerai berhampiran Mydin Kuala Ibai. Adik tokey nasi dagang tu kawan saya.