Sunday, January 29, 2006

Mat Jaeh Stesen Bas

Pakaiannya sentiasa kemas meskipun bukan dari jenama yang mahal. Rambutnya sentiasa tersisir rapi. Dengan sebatang seruling yang sentiasa di bawanya, dia amat mudah dikenali.

Audiennya ialah mereka yang menunggu bas, yang lepak-lepak, yang jual kacang rebus, yang jual limau, dan sesiapa sahaja yang berada di stesen bas ketika dia mengadakan persembahan.
Dia mengadakan persembahan secara solo. Tanpa iringan muzik dan penyanyi latar. Namun sekali-sekali ada budak-budak secara sukarela menjadi penyanyi latarnya. Aku salah seorang daripadanya.

Dia menyanyi bukan mencari glamer. Tidak juga untuk menjadi kaya raya. Tidak. Dia menyanyi kerana dia suka menyanyi. Dia menyanyi kerana dia merasakan dia adalah seorang penyanyi. Seorang penyanyi perlu menyanyi untuk menghiburkan orang lain dan juga menghiburkan diri sendiri.

Mat Jaeh Stesen Bas bukanlah namanya yang sebenar. Sampai hari ini aku tak tahu nama dalam kartu penduduknya. Sebab dia bukan orang kampung aku. Dan aku tak pernah bertanya dan tak mendengar orang memanggilnya selain Mat Jaeh Stesen Bas a.k.a Mat Jaeh a.k.a Mat.
Tak ramai orang bernama Mat Jaeh. Yang ramai ialah Mat Jeng (Md Zain), Mat Robi (Md Radzi), Mat Don (Saadon), Mat Jusoh (Md. Yusoff), Mat Nong (Md. Noor), Mat Adang (Md. Adam), Mat Jan (Md Syafizan).

Begitulah. Tranformasi nama kadang-kadang menenggelamkan nama sebenar seseorang. Contoh lain ialah Pok Ok (Daud), Mek Esah (Aisyah), Mek Jah (Khatijah), Mek Nong (Zainun), Mek Yah (R0gayah, Shamsiah, Salasiah) dan banyak lagi.

Demikian juga nasib yang diterima oleh Mat Jaeh. Namun tanpa perlu membuat kaji selidik yang mendalam, orang mudah menelah asal asul mengapa dia dikenali sedemikian. Lagu yang selalu didendangnya ialah Seraut Wajah, Di Ambang Sore, Gila Bayang dan lain-lain lagu popular Ahmad Jais. Suaranya pula mersik sebijik macam suara Ahmad Jais!

Aku tak pasti sama ada Mat Jaeh Stesen Bas masih hidup atau sudah dipanggil pulang oleh Allah SWT. Kalau sudah tiada, al-Fatihah buat beliau.

Thursday, January 26, 2006

bambino

Kalau masa kau kecik, majalah Bambino sudah tidak diterbitkan, bermakna kau lebih muda dari aku. Kau mungkin berhingus di zaman pasca-Bambino.
Bambino mungkin diinspirasikan dari Beano. Sebab itulah edisi awalnya tidak terdapat watak Bambino. Watak Bambino muncul agak terkemudian. Pelukis Rosdin Sadin penciptanya. Dalam edisi itu, muka depan dikomikkan watak Bambino sedang memancing sambil merungut kerana selama ini dia tidak diizinkan muncul dan disembunyikan oleh Pak Cik Bambino. Pak Cik Bambino ialah nickname ketua pengarang majalah tersebut. Khabarnya Pak Cik Bambino ialah Misyar (Mior Shariman Hassan, iaitu abang kepada penyanyi Mior Sohaimi Hassan)
Rosdin bukanlah termasuk grup pelopor majalah tersebut. Rosdin join agak lewat. Antara pelopornya ialah Misyar, Rizalman, Rejabhad, Jaafar Taib, Samudra Perwira, Sailawati, Halim Teh . Kemudian baru muncul Rosdin bersama Azman, Zainal Buang Husein, Suhaimie, Imuda dan ramai lagi yang aku tak ingat. Lat juga ada menyumbang karya dalam beberapa edisi.
Kemudian berlaku zaman perpecahan. Antaranya ialah Jaafar Taib menjadi ilustrator Utusan, dikuti Zainal Buang Husin (Ilustrator Berita Harian ketika itu ialah R.Hamzah). Imuda ke DBP dan yang lain-lain membawa haluan masing-masing. Rosdin join al-Arqam dan majalah al-Arqam menjadi antara majalah yang punya ilustrasi yang sangat artistik selepas itu. Rizalman menerbitkan majalahnya sendiri iaitu Salina dan Bujal. Turut menyumbang dalam Salina ialah pelukis komik hebat dari Singapura iaitu S.Zain.
Misyar, Azman, Rejabhad dan Jaafar Taib kemudian mengusahakan penerbitan majalah humor Gila-Gila. Misyar menambah koleksi nickname-nya dengan menjadi Mansasau. Turut join kemudiannya ialah Don, Kerengga, Reggie Lee, Long dan ramai lagi yang aku dah lupa. Imuda, Nan, Lat, Rashid Asmawi, juga turut menyumbang karya. Dalam masa yang singkat, Gila-Gila telah menjadi majalah paling laris di Malaysia. Yang dapat menyainginya ketika itu mungkin URTV dan Variapop. Mungkin juga majalah-majalah keluaran al-Arqam.
Majalah al-Arqam dapat menembusi pasaran kerana strategi pemasaran mereka cukup futuristik iaitu secara jualan lansung. Ketika itu jualan langsung hanya dikaitkan dengan tupperware dan elektrolux.
Aku juga sering membeli majalah keluaran al-Arqam meskipun aku tidak berapa selesa dengan ahli-ahlinya. Lelaki berjubah besar dan perempuannya berpurdah. Sesudah menyakat mereka dengan pelbagai provokasi, aku akhirnya akan membeli majalah mereka. Aku cukup tertarik dengan ilustrasi wanita bertudung hasil tangan Rosdin.
Meskipun bertudung, wanita-wanita ciptaan Rosdin amat menggoda. Eyeshadow, pemerah pipi dan senyuman menyerlahkan gigi yang tersusun rapi cukup mempersonakan.

Monday, January 23, 2006

Mak Inang




Dengan kebaya ala Saloma atau T.Pinkie, keganasan buah susu dan kerampingan pinggang mak inang amat terserlah. Dan audien lelaki pun mulalah melontar rokok cap Kuda Tembak (sekali sekala: Tiga Lima , Pall Mall). Targetnya hanya dua. Buah susu atau bawah pusat.

Setiap kali target mengena kami pun bersorak. Mak inang yang 'terkena' pura-pura memasamkan muka buat seketika. Kemudian senyum semula. Sekali-sekali menghadiahkan flying kiss kepada audien. Kadang-kadang ada audien yang bertindak ganas. Naik atas panggung lalu selit duit lima ringgit dicelah buah susu mak inang pilihannya. Tukang rebana akan bertindak pantas menghalaunya turun.

Masa tu aku masih budak-budak. Namun part mak inang memang part yg paling aku tunggu. Tiga atau empat mak inang akan keluar dalam satu masa. Mereka pun berdendang sambil tukang rebana mengocak rebana di bawah punggung mereka. Ada di antara tukang rebana tu adalah tok bilal surau dan masjid. Tok bomoh pun ada.

Satu jam permulaan persembahan adalah part yang paling memboringkan. Acara dimulakan dengan tukang rebana mempersembahkan unplug mereka. Diikuti dengan para pak inang yang lengkap berbaju melayu, bersamping , bersongkok tinggi menari sambil berselawat. Tukang rebana akan chorus bersama-sama. Yang ku dengar masa tu lirik mereka begini: "muyakoyo..muyalanakoyo..."
Setelah cerdik sedikit dan membuat sedikit kajian, barulah ku tahu antara liriknya ialah "..ya hayyum qayyum.."

Antara lirik wajib nyanyian mak inang:

"dualah tiga lah tiga kucing berlari..
mana nak sama lah sama si kucing belang..
dua lah tiga lah tiga boleh ku cari..
...."

Kini semua mak inang rodat yang pernah ku minati itu sudah bersara. Sebahagian besar mereka sudah bertudung labuh. Ketika kempen nyonya kebaya di kaca tv baru-baru ini, mereka hanya tersenyum sumbing sambil memberitahu cucu mereka: "Dok baik tu wei..."

Sunday, January 22, 2006

kojol

Di kampung aku tidak ada istilah kojol. Yang ada cuma baham tanah dan jilat cok. Mengapa baham tanah? Konotasi baham adalah makan dengan gelojoh. Sebab itu ada percakapan:"dia baham nasi tiga pinggan." Ertinya 'dia' telah dengan gelojohnya makan nasi sebanyak tiga pinggan.
Baham tanah ertinya makan tanah. Yang dimaksudkan ialah orang yang sudah dikebumikan, kalau dia masih mampu makan, hanya tanahlah makanannya.
Satu lagi sinonim kojol ialah jilat cok. Aku tak perlu hurai difinisi jilat. Hampir semua lelaki dan perempuan yang akil baligh memahami. Dulu ada iklan ayam goreng celup tepung,"..sehingga menjilat jari.."
Cok besar kemungkinan dari perkataan Inggeris cop. Copping knife diterjemahkan sebagai golok atau parang. Tapi di kampung aku tranformasi kosa kata cop sudah melalui banyak tahap sehingga ia memberi makna khusus untuk cangkul. Ada cok cangkul untuk mencangkul dan ada cok betul untuk menggali lubang sempit. Betul maknanya lurus.
Lubang kubur di gali dengan cangkul. Ditimbus juga dengan cangkul. Kalau mayat yang terbaring di liang lahad masih boleh menjilat, maka mata cangkul (cok) lah yang dijilatnya ketika kuburnya ditimbus.
Masa kanak-kanak dulu, bila bergaduh selalu terdengan kata-kata ini:
"Sekali aku tumbuk, terus baham tanah"
"Sekali aku tendang, terus jilat cok"
Atau bila terlalu marah, seorang ibu atau bapa berkata kepada anaknya: "tak baham tanah lagi budak ni, menyusahkan orang aja.."
Bersajak seorang penyair ternama:"...pergi mampos."
Di kampung aku, mampus (mampos?) hanya digunakan kepada dua makhluk iaitu binatang dan orang yg belum sempat memeluk Islam. Sampai hari ini. Jangan cepat kau mengatakan orang kampung aku tebal sifat perkaumannya atau ektremis agama. Perlu kajian yg lebih mendalam. Terutama ahli sosiolinguistik.
Sebab itu, bila seseorang masuk Melayu (orang kampung aku tak kata masuk Islam..inipun sosiolinguistik), amatlah perlu ia diistiharkan dengan meluas. Kalau boleh buat kenduri macam orang buat kenduri kahwin. Penting. Kerana kalau dia mati, bukan saja perlu ditentukan di kubur mana dia perlu dikebumikan malah ia berkemungkinan akan melibatkan salah guna istilah. Salah faham akan menyebabkan timbul pula isu baru seperti penghantaran memorandem kepada ketua kampung dan sebagainya.

Saturday, January 21, 2006

ternama

Mawi, Jac, dan entah sapa-sapa lagi sedang hangat dipromosi oleh Dato' Farid lewat salurannya. Mereka akan berentap dalam pusingan seterusnya AJL. Bukan nak cari siapa yang ternama, tapi nak cari lagu siapa yang ternama.
Untuk cari siapa yang ternama ada satu lagi gathering iaitu ABP. Entah masih ada, entah dah berkubur. Takkan berkubur. Penaja-penaja (terutama shampoo) memang sangat cintakan program sedemikian.
Selain itu banyak lagi gathering untuk mengiktiraf jasa-jasa seniman dan seniwati kita. Salah satu ciri negara maju mengikut acuan brother sam.
Nasihat Cik Easy: "Kalau kau ingin jadi ternama..." (rujuk komen dalam AJ)
Ternama ertinya paling ramai orang menyebut namanya. Ternama dalam bidang masing-masing. Antara tokoh yg ternama di Malaya ialah Ayah Pin, Botak Chin (sekadar menyebut dua nama dari dua bidang).
Ternama hampir sinonim dengan popular. Perkataan POPular tercetus di zaman kehangatan muzik POP. Atau muzik POP dipanggil POP kerana ianya POPular ketika itu? Aku belum buat kajian. Kini ada satu lagu perkataan yang dimelayukan iaitu glamer.
Tidak ada orang orang yang berterusan ternama. Kata orang pandai bijak, hidup bagai roda. Sekali kita di atas sekali kita di bawah. Dikatakan, kalau P.Ramlee masih hidup, beliau mungkin tidak mampu lagi menghasilkan karya seternama Semerah Padi atau Pendekar Bujang Lapuk. Pada ketika itu, seniman biasanya perlu buat pilihan: Sama ada terus menghasilkan karya-karya yang tawar dan hambar atau pencen sahaja. Latiff Mohidin pun dah terlalu jarang menulis sajak (sepuluh tahun sebuah sajak?).
Tidak semua orang mampu memikul beban ternama. Ada orang bila dah ternama, mulalah gelabah. Takut tak mampu mempertahankan keternamaannya.
Ada orang ingin jadi ternama kerana ingin ternama. Tidak lebih dari itu. Namun ada juga yang ingin jadi ternama kerana ingin menggunakan keternamaannya untuk mencapai tujuan lain.
Mengapa anda ingin ternama?

Friday, January 20, 2006

dagang

Sudah beberapa hari kedai mak cik selepok tutup. Tapi pemakan-pemakan yang menghala ke Kuantan punya beberapa alternatif. Harganya mungkin sama, tapi rasa dan cara menghidang mungkin berbeza.
Uniknya, meski punya ramai pekerja, hanya mak cik selepok yang mencedok nasi dan mencubit ikan aya dengan ibu, telunjuk dan hantunya yang telanjang. Yang lain-lain cuma tukang ambil order, menghidang, lap meja, tarik teh etc. Namun aku (dan lain-lain pemakan?) taklah pula rasa kembang tekak. Apa nak kembangnya. Kalau nak kira, cara mamak uli roti canai lagi brutal.
Mengapa tutup? Mungkin mak cik selepok uzur dan tak mampu memasak. Tak mampu duduk selepok mencedok nasi dan mencubit ikan aya. Mungkin. Mungkin.
Berlagu Rosmaria sekitar tahun 80-an: "Asal usul dinamakan dagang, gulai satu tak berlebihan..."
Kalau ada chef yang kreatif yang ingin inovasikan lauknya dengan ayam percik atau kari kepala ikan merah, maka hilanglah kedagangannya.
Yang hampir sinonim dengan dagang mungkin terasing atau minoriti. Dengan kefahaman ini, ungkapan ini mungkin boleh ditafsir:
"...datang dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang. Beruntunglah mereka yang berada di dalam ketika dagangnya"