Sunday, May 21, 2006

padang 4

Ada pertunjukan silat. Mula-mula silat pulut yang berbunga-bunga. Kemudian bunga campur buah. Kemudian yang akhir-akhir kelihatannya bunganya sudah amat berkurang. Hanya dipenuhi buah. Kemuncaknya ialah pertarungan antara Tok Guru Wan Mansor dengan Tok Guru Cikgu Yasin. Tersangatlah hebat. Walaupun umur kedua-duanya telah melebihi 40 tahun, namun kecergasan mengalahkan orang muda. Mereka bertarung seolah-olah ingin mengalahkan antara satu sama lain. Amat real. Bunyi sepakan dan tumbukan berdebuk berdebak. Dastar kedua-duanya telah tercampak dan pakaian telah comot dan kusut masai.

Orang putih tak putus-putus ambil gambar. Snap! snap! . Yang perempuannya nampak macam ngeri melihat pertarungan tersebut. Dan aku duduk betul-betul di sebelah mereka. Kadang-kadang tengok pertunjukan silat, kadang-kadang mendongak tengok lubang hidung mereka.

Beberapa minggu selepas itu, gambar-gambar Wan Mansor dan Cikgu Yasin bersilat tersiar dalam majalah Newsweek. Majalah antarabangsa yang dicetak di Hong Kong. Maka ramailah orang datang ke rumah aku nak tengok gambar.

Mungkin di kampung ini, rumah akulah satu-satunya ada majalah tersebut. Bukan sahaja Newsweek, malah Reader Digest juga. Ceritanya begini: Tanpa ditempah, kedua-dua majalah itu sentiasa sampai ke rumah aku. Ia bermula tidak lama selepas kakak aku masuk Kembang Setaman. Ruangan berkenalan dalam majalah URTV. Menggunakan alamat daripada Kembang Setaman, Newsweek dan reader Digest melaksanakan cara pemasaran 'terima dulu, bayar kemudian'.  Tapi aku pula melaksanakan kaedah 'terima dulu, pastu tak bayar-bayar'. Zaman belum akil baligh.  Belum ada dosa pahala.

nota: Bila aku terpilih ke sekolah budak cerdik, ku temui satu lagi kejutan. Beberapa keping gambar Wan Mansor dan Cikgu Yasin bersilat ,acara perarakan dari dari balai raya ke padang bola dan gambar rumah tukun juga terdapat dalam sebuah buku mewah berbahasa Inggeris di perpustakaan. Buku berkulit tebal dan berjeket. Memaparkan pelbagai kebudayaan dan adat tradisi masyarakat Melayu. Hampir semua gambar di dalamnya amat menarik. Berwarna warni. Memang jurukameranya seorang profesional. Akhirnya aku dapat tahu bahawa beliau ialah Dato' Mubin Sheppard).

Ohya, selain Wan Mansor dan Cikgu Yasin, kelihatan sedang tekun menonton mereka bersilat ialah Bedul, Zaid, Zubir dan ramai lagi budak-budak. Berbaju dan tidak berbaju. Aku tidak ada dalam gambar. Sebab? Aku duduk di samping jurukamera dan asyik melihat lubang hidung Mubin Sheppard da memnya...

4 comments:

abdullahjones said...

cikgu zainab di sekolah kamu? kamu bersekolah di mana?

zizie ali said...

jones, sori. silap.silap. bukan zainab bee. tapi aishah bee . guru sejarah juga.

abdullahjones said...

cissss!!! kamu memutuskan harapan cintaku! cisss!

zizie ali said...

haha haha. puas hati aku.