Wednesday, September 03, 2014

BAB 21: KALUT


BAB 21
"Apakah kesepakatan itu bererti kita kena ikut segala kamahuan Mang Ppale Kerah?" Lebai Abu Bakaq berhujah. Lebai Mat Jeng sedikit tersentak.
"Bukan begitu... bukan soal ikut telunjuk sesiapa. Soalnya untung rugi. Biar kita nampak bodoh sekarang tetapi dari segi jangka panjang kita akan untung besar..." Jelas Lebai Mat Jeng lembut. Beberapa titik air liur Lebai Abu Bakaq yang tertempias ke lengannya di sapu dengan hujung mafla. Harap-harap Lebai Abu Bakaq tidak perasan. Dia tidak mahu sahabatnya itu terasa aib.
Dia bukan kenal Lebai Abu Bakaq sehari dua. Bekas penceramah selebriti yang amat popular suatu masa dulu itu bukan calang-calang ilmunya. Pernah menjadi tempat rujuk pelbagai pihak termasuklah puak Bedul Jaykaykay. Tetapi popularitinya mula merudum bila dia mengisytitiharkan diri untuk berjuang bersama puak Lebai Mat Jeng. Sejurus sesudah berlakunya peristiwa Mang Ppale Kerah difitnah.
"Aku tak nampak kat mana untungnya" Lebai Abu Bakaq masih berkeras. "Apa yang aku nampak ialah kita makin terbabas dari prinsip perjuangan asal"
Lebai Mat Jeng menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Memang dia sudah mengagak itulah hujah yang akan keluar dari mulut Lebai Abu Bakaq. Seperti kata Sudin Boria: Pi mai pi mai tang tu...
Mengingatkan Sudin Boria, emosi Lebai Mat Jeng makin berserabut. Lelaki yang selama ini menjadi ayam sabung yang digeruni oleh pihak lawan itu kini dirasakan banyak menimbulkan kekalutan.
"Kalut..."
"Apa? Hang kata aku kalut? " Sergah Lebai Abu Bakaq.

No comments: