Friday, September 05, 2014

BAB 22: GELETEK


BAB 22
Asing Kuba Pendek tidak mempedulikan demo kecemasan yang sedang diaksikan oleh pramugari yang comel itu. Sambil memejamkan mata dia cuba mengerah segala daya fikirnya untuk memahami apa yang tersirat dalam kata-kata Sudin Boria ketika di dalam kereta tadi. Semakin difikirkan semakin bercelaru.
"Lebai Mat Jeng sedang main wayang. Kita dalam bahaya. Dia sekarang dah confuse yang mana kawan yang mana musuh..."
Kata-kata Sudin Boria itu bersipongan. Berulang-ulang datang memukul gegendang telinganya. Dalam masa yang sama daya fikirnya terus bekerja keras menghubungkaitkan beberapa peristiwa. Cuba menganalisis dan membuat konklusi.
"Go to hell!" Terpancut makian dari mulut Asing Kuba Pendek. Matanya yang sejak tadi asyik terpejam dibuka. Demo kecemasan sudah lama usai dan juruterbang baru sahaja mengumumkan bahawa mereka kini sudah berada di paras tiga puluh dua ribu kaki.
Tiba-tiba kedengaran satu letupan yang agak kuat. Para penumpang yang gempar mula berteriakan. Suasana makin cemas bila kelihatan asap berkepul-kepul datang dari arah kokpit.
Asing Kuba Pendek menggeletar. Dia segera teringatkan MH370 dan MH17. Belumpun sempat berfikir lama, satu letupan yang kuat telah mencampakkannya keluar. Terlayang-layang seketika dan kemudian... bedebuk! Dia jatuh betul-betul di dalam sebuah perigi buta yang agak dalam.
Amat mengejutkan! Bersama-sama dalam perigi buta itu ialah Mang Ppale Kerah dan Lebai Mat Jeng. Mang Ppale Kerah yang sedang asyik berwhatsApp digeletek oleh Lebai Mat Jeng. Puas Mang Ppale Kerah melarang tetapi Lebai Mat Jeng bertambah galak menggeletek pinggang dan ketiak Mang Ppale Kerah. Sekali-sekala jarinya menjentik senjata sulit Mang Ppale Kerah.
Mang Ppale Kerah naik angin. Dicepungnya Lebai Mat Jeng dan cuba mencampaknya keluar tetapi tidak terdaya. Asing Kuba Pendek segera datang membantu Mang Ppale Kerah. Dengan sekuat tenaga mereka mencampak Lebai Mat Jeng keluar dari perigi buta tersebut.
"Tea or coffee?" Satu suara lunak terdengar sayup-sayup. Asing Kuba Pendek segera membuka kelopak mata. Berbalam-balam kelihatan seorang pramugari sedang menuang kopi untuk penumpang yang duduk di seat bersebelahan.

No comments: