Tuesday, August 19, 2014

BAB 12: SKODENG

BAB 12


Tiada gema gong dan gendang silat. Yang kedengaran hanyalah nyanyian cengkerik dari belukar yang diserkup kegelapan. Sesekali kedengaran bunyi lotong bertingkah-tingkah.
Lebai Mat Jeng berdiri betul-betul di tengah gelanggang. Memasang kuda-kuda dan kemudian membuat beberapa langkah pendekar.
Zup! Satu tendangan dilepaskan oleh Lebai Mat Jeng ke udara.
Lebai Mat Jeng mengeleng-ngeleng kepala. Mengesat peluh yang merenik di leher sambil menahan mengah. Ternyata tendangannya tidak lagi semantap dulu. Terasa ringan dan tidak padu.
"Mungkin betul kata mereka. Sudah sampai masanya aku berundur..." Keluh Lebai Mat Jeng. Ingatannya segera terimbas kepada Sudin Boria.
Mengingatkan Sudin Boria, hati Lebai Mat Jeng bertambah runsing. Kalau dia berundur maka Sudin Borialah yang akan ambil tapaknya.
Perkara utama yang dirunsingkan ialah kerana Sudin Boria bukan dari suku sakat lebai. Walaupun sangat tangkas dalam bong tapi kemungkinan untuk tergelincir dan tertonggeng amat besar. Lagipun, sejak akhir-akhir ini terasa sangat seolah-olah Sudin Boria telah membina puaknya tersendiri.
Peristiwa baru-baru ini memberi petunjuk yang jelas. Sudin Boria tidak lagi menjadi tulang belakangnya. Walaupun tidak menunjukkan penentangan secara terang-terang tetapi tindakan anak buahnya banyak mengguris hati Lebai Mat Jeng.
Itu belum lagi diambil kira pelbagai hinaan yang dilempar oleh anak buah Mang Ppale Kerah yang kian hari kian akrab dengan Sudin Boria. Pelbagai gelaran yang jelek-jelek singgah di cuping telinganya. Mat Lembab, Mat Slow, Mat Kkure. Yang paling tak tahan bila ada juga yang menggelarnya Mat Jeng Kreng.
"Pop... pooop..." bunyi kentut dari dalam semak membuatkan lamunan Lebai Mat Jeng terganggu. Dengan langkah pendekar, Lebai Mat Jeng terus menghambur ke arah semak. Sesosok lembaga kelihatan susup-sasap melarikan diri.
"Cis.. Bedul Jaykaykay..." Seranah Lebai Mat Jeng. Walaupun pandangannya diganggu oleh kegelapan malam, tetapi gaya larian Bedul Jaykaykay yang terkangkang-kangkang itu tidak mampu diselindung.
Betullah telahannya selama ini. Bedul Jaykaykay memang sentiasa menskodeng segala gerak-gerinya.

No comments: