Thursday, August 21, 2014

BAB 14: SESAMA SENDIRI

BAB 14


"Musuh aku ialah puak-puak Bedul Jaykaykay. Bergaduh sesama sendiri aku tak reti..." Kata Sudin Boria agak kuat. Tiga orang anak buah Lebai Abu Bakaq yang sedang mengeteh di meja sebelah menjeling serentak. Kemudian kembali mengadap smartphone masing-masing. Buat-buat tak dengar.
"Tapi depa duk jaja yang hang sekarang jadi barua Mang Ppale Kerah!" Jahar Kkorok Kering cuba masuk jarum. Asap rokok yang bergumpalan dalam mulutnya dihembus ke muka Sudin Boria.
Binawe, bisik Sudin Boria. Kalau ikutkan perasaan, rasa mahu ditamparnya muka Jahar Kkorok Kering. Biar terpelanting rokok yang yang tercepit di birai bibirnya itu.
Jahar Kkorok Kering ternyata masih Jahar Kkorok Kering. Dari zaman 'angry young man' di ipt hinggalah dah berjanggut atas bawah, begitulah perangainya. Tapi Sudin Boria cukup sedar bahawa lelaki yang tercokoh di depannya itu bukan sebarang manusia. Di dalam kepalanya ada setongkol otak yang sangat genius dan di dalam dadanya terselirat cita rasa seni yang amat halus.
"Tak apa. Mereka orang baru. Baru kenal gelanggang perjuangan. Masih bertatih. Kita jangan mudah melatah dengan kerenah mereka..." Jelas Sudin Boria lembut.
Jahar Kkorok Kering tersengih. Kemudian tunduk dan menaip sesuatu pada smartphone.
"Pep... pepek.. pep.." Notifikasi wassap Sudin Boria berbunyi. Segera Sudin Boria menantap smartphone.
'take care.. anak buah lebai abu terbakaq di meja sebelah sedang rakam perbualan kita.. kah kah kah'
Spontan Sudin Boria menjeling meja sebelah dan kemudian mencerlung muka Jahar Kkorok Kering. Jahar Kkorok Kering tersengih dan kemudian ketawanya bergegar hingga membuatkan semua yang ada di situ berpaling.
"Hoi... gila ke..." Tempik Saleh Ddekor yang sedang asyik bermain dam dengan Ali Silau di penjuru kedai.
Tawa Jahar Kkorok Kering makin bergegar. Dan Sudin Boria hanya mampu mengeleng-ngeleng kepala.

No comments: