Saturday, August 23, 2014

BAB 16: ONAR


Sang Nila Setitik yang sepatutnya berkecuali dilihat lebih akrab dengan puak Bedul Jaykaykay. Inilah yang merunsingkan Mang Ppale Kerah. Kalau tak kena gaya, benang akan putus dan tepung akan berterabur.
Perkara tersebut sudah acap kali dibincang dengan Asing Kuba Pendek dan Lebai Mat Jeng. Seperti biasa Asing Kuba Pendek tak berani buat banyak ulasan. Imejnya yang sering dilabel sebagai anti Sang Nila Setitik menyebabkan dia terpaksa banyak berhati-hati.
Lebai Mat Jeng pula susah hendak dipegang buku. Pendiriannya sering berubah-ubah. Namun Mang Ppale Kerah cukup yakin bahawa Lebai Mat Jeng tidak akan terbabas jauh. Permusuhan turun temurun dengan Bedul Jaykaykay menjadi kubu yang cukup utuh.
Bagaimana kalau Sang Nila Setitik kali ini benar-benar membuat onar?
Mang Ppale Kerah memicit-micit dahinya. Merebahkan belakang ke kerusi malas dan merenung siling. Belakangnya yang sakit rasa sedikit lega.
"Aku bukan lagi muda. Dah tua.." Bisik Mang Ppale Kerah. Berbalah dengan Sang Nila Setitik tidak membawa apa-apa keuntungan. Kedudukan Sang Nila Setitik yang dipercayai berketurunan alien boleh mengundang pelbagai masalah.
Satu dentuman yang kuat mengejutkan Mang Ppale Keras. Siling rumahnya kelihatan pecah berkecai. Dengan sekelip mata rumahnya tidak lagi mempunyai bumbung. Langit gelap tanpa bintang.
Blackout. Mang Ppale Kerah yang sedang panik dikejutkan dengan kemunculan setompok cahaya di tengah ruang tamu rumahnya.
Bedebuk! Seorang lelaki jatuh di atas tompokan cahaya tersebut. Lelaki tersebut bangun terhegeh-hegeh dan berjalan ke arah Mang Ppale Kerah dengan gaya seperti hendak tersembam.
Mr Bean!
Mang Ppale Kerah ketawa terbahak-bahak. Namun tawanya tidak lama. Sepasang tangan yang gagah terasa mencekik lehernya. Mr Bean sudah bertukar menjadi Sang Nila Setitik. Kini sedang mencekik Mang Ppale Keras sekuat hati.
"Mati aku..."Tempik Mang Ppale Kerah.

No comments: