Friday, August 15, 2014

BAB 7: RADIASI

BAB 7


Sudin Boria tercokoh di depan halaman rumah. Mencakar-cakar tanah dengan hujung ranting kayu. Membina peta minda.
Sebenarnya orang yang mula-mula bawa cerita bahawa tunggul itu berpuaka ialah Bedul Jaykaykay. Tapi tak ramai yang ambil kisah kerana imej Bedul Jaykaykay yang amat dikenali sebagai kaki putar alam.
Malah ada yang menerima cerita yang dijaja oleh Bedul Jaykaykay itu sebagai sendaloka. Bila Bedul Jaykaykay bercerita ada orang yang anunya jadi besar bila kencing tak jauh dari tunggul itu, Pokngoh Deramang yang kahwin 3 itu dengan selamba membuat ulasan: "Apa salahnya besar... lagi besar lagi bagus... hahaha".
Sebagai orang yang bertanggungjawab memacak tunggul itu, sudah tentulah Mang Ppale Kerah menafikan sekeras-kerasnya cerita yang dibawa oleh Bedul Jaykaykay.
Keadaan menjadi hingar bingar hanyalah bila Mang Ppale Kerah sendiri yang tiba-tiba minta tunggul itu dicabut. Kononnya tunggul itu sudah terkena radiasi ketika sebuah piring terbang UFO mendarat di baruh yang berhampiran. Menurut Mang Ppale Kerah, kesan radiasi itu boleh menyebabkan orang yang melalui lorong itu ditimpa penyakit yang aneh. Belum ditemui sebarang vaksin yang boleh digunakan untuk merawat penyakit tersebut.
Orang yang paling pantas bertindak bila tersebar cerita tersebut ialah Lebai Abu Bakaq. Beliau dan kuncu-kuncunya segera mengepung Lebai Mat Jeng. Mempastikan Lebai Mat Jeng tidak mudah dipengaruhi oleh Mang Ppale Kerah yang memang tersohor dalam ilmu pujuk memujuk.
Sudin Boria mengeleng-ngeleng kepala. Ranting kayu yang masih ditangannya dipatah-patah. Rasanya begitulah yang ingin dikerjakan terhadap puak Lebai Abu Bakaq. Biar patah-patah tengkok mereka semua.
Bedebuk! Bunyi dari belakangnya seperti ada orang terjun dari pokok. Sudin Boria pantas melompat, menangkis dan memasang kuda-kuda.
"Haiya.. bagus aji punya kungfu.. hahaha" Asing Kuba Pendek ketawa berdekah-dekah. "Hahaha.. jangan marahlah bro.. kita kawan... hahaha"

No comments: