Friday, August 25, 2006

yang kurik itu kundi

Ikan aya kurik lebih murah daripada ikan aya hitam. Sebab itulah jarang benar pengusaha nasi dagang menggunakan ikan aya hitam.

Bila berbeza harga, sudah tentulah berbeza kualiti. Ikan aya hitam lebih lembut dan enak. Rupanya juga berbeza. Ikan aya kurik berkurik-kurik dan ikan aya hitam kehitam-hitaman. Bagi mereka yang jahil tentang ikan aya, tentu bagi mereka sama sahaja.

Kurik membawa maksud berbintik-bintik atau bertomok-tompok kecil. Istilah yang terlalu jarang digunakan. Malah sudah boleh dikategorikan sebagai istilah melayu klasik. Masih terus disebut kerana terdapat dalam pembayang pantun:

yang kurik itu kundi
yang merah itu saga
yang cantik itu budi
yang indah itu bahasa


Kundi? Ia adalah sejenis spesies saga. Bezanya dengan saga yang biasa ialah ia berkurik-kurik atau berbintik-bintik. Tidak merah. Zaman dahulu ia digunakan sebagai pemberat untuk menimbang emas.

Di sesetengah daerah, kurik disebut korek. Ada juga daerah yang menyebut borek Sebab itu timbullah peribahasa: bapak borek anak rintik. Yang borek itu ialah bapak ayam dan yang rintik itu ialah anak ayam. Yang membawa erti sianak biasanya mengikut perangai bapanya. Selalunya merujuk kepada perangai yang tidak baik. Kalau yang baik selalunya diungkap: ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.

Peribahasa dikatakan sebagai hasil pemikiran para intelektual Melayu zaman lampau. Malang, bila ada kutu zaman kini yang pandai-pandai mengubahsuai peribahasa seperti:

bapak borek, menantu rintik.

7 comments:

Anonymous said...

terima kasih bagitau aku pasal kurik and kundi nih.
dulu selalu le terpikir pasal kurik dan kendi nih...
gitu rupanya cerita dia.

terima kasih.

tuan tanah said...

terima kasih juga daripada saya, kerana memberitahu tentang kurik dan kundi ini.

errr... ikan aya itu apa?

Bunga Rampai said...

Saya terus-terusan menambah ilmu. Terima kasih.

Nasi dagang - lagi satu makanan pantai timur kegemaran saya :)

Salam.

zizie ali said...

zak zak:
sama-sama kasih.

zizie ali said...

tuan tanah:

ikan aya
= ikan tongkol
= euthynnus alleteratus
= gumo sibi

gulai euthynus alleteratus adalah lauk wajib bagi nasi dagang

zizie ali said...

rampai:
tuntutlah ilmu dari dalam kandungan hingga ke nafas terakhir

sinaganaga said...

"Makcik. Beri saya nasi dagang satu. Lauk euthynnus alleteratus ya!

Ha ha.

p/s: La ni, dah ada nasi dagang + lauk lain2; telo, sotong, ayam, etc... Apa baranglah dia orang ni weh! Hish!