1985. Setiap hujung minggu aku akan ke Sura Gate. Tidur di rumah kawan-kawan bujang. Hujung minggu di Al Muktafi Billah Shah amat
membosankan. Di Sura Gate aku akan join
berbagai aktiviti bersama Zamzuri, Radzi dan Rosman.
Zamzuri seorang bujang terlajak. Merupakan guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di
Hulu Dungun. Namanya diblacklist kerana
pernah bertengkar dengan jamaah nazir ketika zaman awal diperkenalkan sistem
ejaan baru Bahasa Melayu. Membela
seorang guru yang diperlekeh oleh jamaah nazir yang melawat sekolah untuk
memantau pelaksanaan ejaan baru bahasa Melayu ketika itu.
Radzi juga bujang terlajak.
Tapi tidaklah seterlajak Zamzuri.
Anak orang kaya Dungun.
Menguruskan sebuah mini market milik keluarga. Rumah bujang di Sura Gate yang menjadi tempat
kami lepak adalah milik keluarga beliau.
Rosman baru bertugas sebagai pengurus di sebuah badan berkanun di bandar Dungun. Muda setahun daripada aku. Bekas graduan ITM Perlis dalam bidang
pengurusan pertanian.
Selain aktiviti biasa orang bujang seperti ronda, jogging,
main ping pong, makan-makan, kami juga
join grup usrah. Kadang-kadang ada
tamrin.
Salah satu tamrin yang tidak dapat aku lupakan ialah yang
diadakan di Surau Jalan Melati.
Sebahagian besar peserta ialah pelajar-pelajar dari ITM Dungun. Kami dibentangkan dengan kertas kerja yang
pernah dibentangkan oleh Prof Dr Yusof al-Qardhawy dalam satu seminar
antarabangsa. Aku lupa apa tajuknya tapi
intipati perbincangan adalah mengenai pro dan kontra penyertaan Anwar Ibrahim
dalam UMNO. Selain memberi senarai
kebaikan dan keburukan, ulamak tersebut juga meramal beberapa kemungkinan yang
bakal dihadapi oleh Anwar.
Ramalan Qardhawy ternyata menjadi kenyataan bila Anwar dipecat
daripada jawatan TPM pada tahun 1998 secara konspirasi dan fitnah yang amat mengaibkan.
Oh, begitu cepat masa berlalu. Zamzuri kini merupakan Senior Director di
sebuah IPTA, Radzi pula sudah bergelar jutawan dan Rosman sudah menukar
minatnya daripada bermain ping pong kepada bermain golf.
Aku? Aku masih seperti dulu. Cuma motosikal Suzuki TP100 yang digunakan untuk memecut dari Al Muktafi Billah Shah ke Sura Gate setiap hujung minggu sudah kujual. Dibeli oleh seorang peminat motosikal antik.
No comments:
Post a Comment