Saturday, November 21, 2009

Kuala Rompin

.
Dari perbualan emak dan ayah, aku dapat tahu bahawa kakak-kakak comel yang berkongsi dinding dengan kami bekerja sebagai "bujang jalang'. Sebagai kanak-kanak yang baru berusia 6 tahun, tentu sahaja aku tidak tahu apa itu 'bujang jalang'. Yang aku tahu mereka selalu beri aku gula-gula atau coklat atau buah prune. Dan mereka juga selalu gosok kepala aku bila berpapasan.

Kami tidak lama berjiran dengan mereka kerana tidak lama selepas itu ayah berjaya menyewa sebuah rumah yang lebih selesa. Berjiran dengan seorang pegawai tinggi Rompin Company yang mempunyai seorang anak perempuan tunggal sebaya aku yang kupanggil Ani.

Oleh sebab tidak ada kawan-kawan lelaki, terpaksalah aku berkawan dengan Ani. Antara permainan yang menjadi fovourite kami ialah memburu 'cikru' (kutu pasir). Kami akan mencari pusaran kecil di atas pasir dan meniupnya sehingga bertemu kutu pasir. Kadang-kadang kami serentak meniup pusaran yang sama hingga hidung kami bersentuhan.

Mungkin kerana kasihankan aku yang tidak punya kawan lelaki, ayah akhirnya berjaya memasukkan aku ke sekolah. Entah kabel apa yang ayah pakai kerana sepatutnya aku belum layak masuk darjah 1 kerana belum berumur 7 tahun. Bagaimanapun, selepas 2 minggu aku tidak mahu lagi ke sekolah. Gara-gara seorang cikgu cina cubit perut aku kerana lambat masuk ke kelas selepas waktu rehat.

Kehidupan di Kuala Rompin semakin tidak menyeronokkan bila keluarga Ani berpindah. Bila ayah pergi kerja tinggallah aku terkotang-kating dengan ibu dan adik yang baru berumur dua tahun. Kakakku yang ketika itu baru darjah 3 tinggal bersama nenek di kampung.

Ayah dipindahkan dari Kuala Dungun ke Kuala Rompin atas keperluan perkhidmatan. Mungkin kepakaran ayah di perlukan oleh Rompin Company yang mengusahakan perlombongan besi di Bukit Ibam. Atau mungkin juga kerana ayah terlibat dengan Kesatuan Sekerja Lombong Bukit Besi. Isu tuntutan kenaikan gaji oleh pekerja-pekerja lombong Bukit Besi dikatakan mencapai tahap kritikal yang jika tidak diurus dengan baik boleh membawa kepada penutupan lombong.

Akhir tahun sebelum masuk darjah 1, aku, ibu dan adik dihantar balik kampung oleh ayah. Tinggal bersama nenek dan kakak. Dua tiga bulan sekali ayah akan pulang. Membawa pelbagai hadiah termasuklah buah prune.

gambar di atas dirembat dari:
http://zaharfotovideo.blogspot.com
thanks.

12 comments:

ckLah @xiiinam said...

Sesekali ayah pulang...membawa jajan buah prune....


Tu kira buah tangan yang mewah pada masa itu...

Yunus Badawi said...

Dulu2 pun dah guna kabel? hehehe

patungcendana said...

kau orang dungun?

salam...tq visit blog aku.

re:...memang slogan RD...aku guna tanpa kebenaran...hehe

zizie ali said...

xiiinam:
ya. rasapun lebih sedap dari yg ada di pasaran pada masa ini.

yunus:
kabel dah ada sejak zaman kerajaan melayu melaka lagi. haha

patung:
dungun hanya tempat ayah aku cari makan. macam rompin juga.

Anonymous said...

ohh..sungguh romantik bro bila meniup pasir bersama Ani. Ani..dimana dikau?

zizie ali said...

lope:
ani dipinjamkan sekejap olehNya. mungkin unt memaniskan zaman kanak-kanakku. ewah..melankoliknya.

blackpurple @ jowopinter said...

Teringat2 udang dan sotong Kuala Rompin...

Pyanhabib said...

kuala rompin...uhhhh!
(selamat hari raya haji
semoga sihat dan kuat!)

zizie ali said...

pyan:
selamat hari raya.
alhamdulillah, masih mampu pegang kaki lembu masa sembelih lembu korban.

Pa'chik said...

selamak ari raye zie...

doh lope tanye aning dmane... kawang nok tanye... kakok-kakok bujang jalang tu lah... pah kmane pok tu?? :P

zizie ali said...

pokcik:
mungkin mereka dah taubat. pergi haji. balik kampung ajar budak-budak ngaji qur'an.

Bunga Rampai said...

...mencari pusaran kecil di atas pasir dan meniupnya sehingga bertemu kutu pasir.

Aaah, ayat ini mengusik hati ... kenangan masa kecik ... permainan yang mengasyikkan tapi mengeratkan persahabatan. Terima kasih entri ini.