Saturday, October 07, 2006

tok guru pisang lembik

Sudahkah anda membuat keputusan tentang jenama kuih yang akan anda hantar ke rumah jiran anda sebelum berbuka puasa petang ini? Atau anda bercadang menghantar buah-buahan saja. Kalau anda tidak ada kebun atau kebun anda tidak berbuah, eloklah anda memetik buah di pasar. Yang penting, berilah yang elok-elok. Yang baik-baik. Bukan yang sudah tidak kita perlukan. Atau lebihan yang kita bersahur pagi tadi. Itulah suruhan agama kita. Yang selalu diperingatkan oleh tok guru-tok guru kita, termasuklah Tok Guru Pisang Lembik.

Alkisah, di sebuah kampung terdapat seorang tok guru yang agak glamer. Ramai orang datang ke suraunya untuk mendengar beliau mengupas kitab kuning. Sama ada ketika kuliah Magrib atau kuliah Subuh. Ilmu agamanya agak tinggi juga. Khabarnya, tika muda beliau pernah belajar di beberapa pondok agama di Kelantan dan Patani.

Konon ceriteranya, beliau banyak menanam pokok pisang di belakang rumahnya. Ada peraih tetap yang datang membeli pisang-pisangnya itu. Oleh kerana peraih itu kadang-kadang datang tidak menentu, maka ada ketikanya pisangnya menjadi terlalu masak dan lembik. Pisang yang sedemikian tidak diterima oleh peraih. Peraih hanya mahu yang masih mekar. Oleh yang demikian, pisang-pisang lembik dan hampir busuk serta tidak lagi enak di makan itu selalunya dibahagi-bahagikan sahaja oleh isteri tok guru tersebut kepada jiran-jirannya.

Suatu hari Tok Guru agak marah akan isterinya. Puncanya ialah kerana beberapa sikat pisang yang mekar dan segar telah dibahagi-bahagikan oleh isterinya kepada jiran-jiran.

"Kan dalam kuliah Subuh pagi tadi Abang Aji ada kata kita kena beri yang elok-elok kepada jiran?" Isteri Tok Guru memberi alasan.

"Mak Aji oooiii...yang aku maksudkan dalam kuliah Subuh tadi,erk....kalau jiran-jiran kita nak bagi apa-apa kat kita, bagilah yang elok-elok...Uh!" Tok Guru merengus agak kasar.

8 comments:

sinaganaga said...

Kenapa pisang lembik itu tak dibuat jemput-jemput pisang atau kek pisang saja, labu?

zizie ali said...

labi:
masa tu teknologi membuat jemput dan kek pisang belum lagi sampai ke alam melayu daa....

INDERA KENCANA said...

Ada juga Tok Guru nama Tok Guru Pisang Lembik..

blackpurple @ jowopinter said...

Tipikal la...asyik-asyik bagi pisang....bagi la buah naga ke (yang isi merah sedap...!), epal ke, anggur ke....

Amanitium Cho said...

pisang lembik, dia kena makan pil biru ni. haha.

zizie ali said...

indera:
kata pujangga:"apa ada dengan nama."
kata pujangga yg lain: "tanpa nama agak sukar untuk untuk kita memuji dan mengeji".

black:

ha ha. memang kita masih lagi tebal dengan semangat kepisangan.

amanitium:
pil biru? bukan pil kuning? :)

Bunga Rampai said...

Dulu-dulu masa remaja, adalah kawan ni bertanya: pisang apa yang paling sedap? Saya jawab: pisang raja. Dia ketawa berdekah-dekah. Saya tak faham kenapa dia ketawa.

Alahai Pak Aji, cakap tak serupa bikin.

zizie ali said...

rampai:
yang paling sedap ialah pisang masak. yang paling istimewa ialah pisang free. yang paling tak sedap ialah pisang busuk.:)