Tuesday, May 29, 2018

AKAD NIKAH

Saya diakad nikah oleh Ayah Cik Haji Tajudin yang juga merupakan sahabat karib bapa mertua saya. Setelah diakad nikah maka saya pun secara rasmi menjadi warga kampung Atas Tol.
     Di Atas Tol ada dua orang Ayah Cik. Seorang lagi ialah Ayah Cik Haji Ali. Rupa-rupanya dalam bahasa Terengganu, "Ayah Cik" atau dalam sebutan Terengganu "Ayoh Cik" merupakan sinonim bagi istilah "Tuan Guru" atau dalam sebutan Terengganu "Tok Guru".
     Dalam bab fekah, pendirian Ayah Cik Haji Tajudin dan Ayah Cik Haji Ali agak berbeza. Oleh sebab berkelulusan pondok tempatan, Ayah Cik Haji Tajudin banyak persamaan dengan kebanyakan lebai ketika itu. Berbeza dengan Ayah Cik Haji Ali yang lama tinggal di Mekah. Ayah Cik Haji Ali dikatakan menganut fahaman "kaum muda" atau sekarang lebih senang dilabel sebagai Wahabi.
     Oleh sebab kedua-dua mereka merupakan orang kuat UMNO, maka perselisihan pandangan antara mereka berdua biasanya berjaya diselesaikan dengan baik dengan cara saling berlembut dan bertolak ansur.
     Ketika saya mengenali mereka, mereka sudahpun sangat tua. Dan kini kedua-dua mereka sudahpun lama kembali ke rahmatullah.

Monday, May 01, 2017

AWEK IRAN


Ini ialah gambar isteri saya berlatarbelakang awek-awek cun dari Iran pada musim haji 2008. Pakaian mereka sangat 'Islamik'. Berbeza dengan cara berpakaian jemaah haji lelaki mereka yang sangat 'keBaratan'.

Jemaah haji lelaki dari Iran mudah dikenali. Semua mereka berkemeja lengan panjang warna putih, berkot hitam dan berkasut kulit hitam berkilat berjenama mahal tanpa kopiah atau serban. Berambut pendek kemas serta misai, janggut dan jambang ditrim rapi ala TMJ. Seperti mana juga jemaah perempuan, mereka juga bergerak secara berkumpulan 'ala berkawad' diketuai oleh seorang Mullah yang berjubah labuh dan berserban besar.

Seorang kawan saya menjelaskan bahawa peraturan di Iran memang tidak membenarkan lelaki memakai kopiah apa lagi berserban. Pakaian sedemikian hanya untuk golongan tertentu seperti Mullah dan seumpamanya. Contohnya, jika ada lelaki yang berkopiah berjalan di kota Tehran, dia akan ditahan oleh pihak berkuasa dan 'ditemuduga'. Antaranya, dia akan diuji sama ada menghafal sekian banyak hadis dan sekian banyak surah al-Quran. Jika gagal melepasi tahap yang dikehendaki, dia akan diarah supaya tidak lagi memakai kopiah sebab belum layak berpakaian sedemikian.

Oh, barulah saya faham mengapa qari dari Iran yang menyertai tilawah al-Quran peringkat antarabangsa tidak memakai kopiah. Malah, penampilan mereka pun sangat 'keBaratan'.
Kalau tak silap saya, sudah acap kali qari mereka menjuarai ujian tilawah tersebut.


MASUK TV

Saya pernah bertugas sebagai pembantu padang dalam Kejohanan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM). Di Stadium Ipoh pada tahun awal 1980-an. Zaman kegemilangan Rabuan Pit, Mumtaz Jaafar, Marina Chin, Nordin Jadi, Istiaq Mubarak, Zaiton Othman, Ballang Lasung, Hanapiah Nasir.

Saya yang beruniform lengkap pengakap sempat berbual agak panjang dengan Zaiton Othman yang beruniform 'atlet wanita' di tepi trek. Atlet putih melepak itu sangat ramah dan tidak kekok melayan remaja mentah macam saya. Sepanjang perbualan itu, saya lebih banyak melihat muka Zaiton.

Orang kampung agak kecoh. Sebab dalam siaran rakaman yang disiarkan di TV 1, wajah saya sering terpampang. Kerana saya bertugas memegang plate 'background' tempat pegawai pelepas melekapkan pistol setiap kali melepas tembakan.

BTN DAN ELVIS PRESLEY

Zaid merupakan ketua murid sebuah sekolah menengah di Kelantan. Merupakan peserta paling glamer dalam kursus tersebut. Selain wajahnya yang mirip Hail Amir, dia juga merupakan pemidato yang bagus. Dialah yang biasanya akan mematahkan hujah-hujan Chan yang terlalu sering menimbulkan isu-isu panas seperti hak keistimewaan orang-orang Melayu, Raja-raja Melayu dan DEB.

Kursus yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin pelajar sekolah itu diadakan di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuantan ketika cuti hujung tahun. Disertai oleh pemimpin-pemimpin pelajar dari setiap sekolah di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Saya, Stopa dan Zaidan mewakili sekolah budak-budak cerdik Jalan Gambang.

Semasa sesi taklimat lagi kami telah dimaklumkan bahawa disepanjang kursus kami diberi kebebasan untuk bercakap dalam sesuatu isu. Sebab itu hampir dalam setiap slot ceramah, akan berlaku pertikaman lidah ketika sesi soal-jawab.

"Tuan penceramah tidak berhak mengingatkan kami tentang soal itu. Ketika taklimat kursus ini kami telah diberi lesen besar. Kami boleh bercakap apa saja. Tidak timbul soal sensitif. Kami umpama YB dalam dewan rakyat...Err..berbalik kepada isu tadi. Hujah wakil Bentong tadi saya tak mahu jawab. Cuma saya ingin mengatakan bahawa bila saya jadi PM nanti saya akan beli sebuah kapal yang besar. Saya akan isi wakil Bentong dan orang-orang yang sependirian dengannya untuk dihantar balik ke negara China.." Tepukan dan sorakan gemuruh mengiringi hujah Zaid. Menenggelamkan suara Chan yang cuba memberi hujah balas.

Pada malam penutup kursus, saya mendeklamasikan sebuah sajak yang entah apa-apa. Zaid menyanyi lagu 'Nasi Minyak' berduet dengan salah seorang peserta Terengganu yang wajahnya mirip Uji Rashid. Aduhai... nyanyian Zaid amat teruk tetapi pasangan duetnya cukup bagus. Chan pula menyanyikan lagu Kris Kristofeson 'Help Me Make It Through The Night'. Suara Chan ada mirip Elvis Presley.
" ...i don't care what's right or wrong
i won't try to understand
let the devil take tomorrow
lord, tonight i need a friend
yesterday is dead and gone
and tomorrow's out of sight
and it's sad to be alone
help me make it through the night ..."

MENYAMAR

Encik Ahmad Said (bukan nama sebenar) ialah pensyarah Kesusasteraan Melayu kami. Suatu ketika, dia lama tidak hadir. Sesudah dua minggu, dia muncul. Katanya, dia masih keletihan kerana hampir selama dua minggu dia terpaksa menyamar menjadi ahli jemaah al-Arqam. Kerana ada pihak tertentu perlukan beberapa maklumat tentang al-Arqam. Memang meletihkan! Terpaksa berjubah hijau dan berserban besar selama hampir dua minggu dengan pelbagai program padat termasuk tahajud dan berpuasa sunat.

Ada sahabat kami mengesyaki Encik Ahmad Said ialah seorang SB. Tapi kami tak kisah sangat semua tu. Yang kami kenal ialah Encik Ahmad Said seorang yang sangat sempoi. Tak pernah beri tugasan yang berat kepada kami. Kuliahnya pun bukan pasal Kesusasteraan Melayu sangat. Tetapi lebih banyak sembang-sembang tentang survival orang Melayu. Tentang ancaman orang Cina terhadap ketuanan Melayu.

Lebih kurang sepuluh tahun kemudian, jemaah al-Arqam pun diharamkan.

MERANG DAN MARANG

Jangan bertukar antara Merang dengan Marang. Merang terletak di utara Terengganu, manakala Marang pula terletak di selatan Terengganu. Orang Merang bercakap menggunakan dialek yang bercampur-campur Kelantan dan Terengganu. Sebab itu, ramai orang Merang yang menyebut Merang sebagai 'Mere'. Sama dengan orang Kelantan yang menyebut Kelantan sebagai 'Kelate'.

"kalu nok tra nasi dagang
kita pakat gi Kampong Ladang
buat bekal gi Mere
di Setiu pata perangine..."
Berbeza dengan orang Marang yang bercakap dialek Terengganu pekat.

".. pula Kapah, pula Redang
kita lalu ikut Marang
jangang lupa Kuala Berang
Sekayu comel, zamang berzamang..."

Sebut pasal nasi dagang di kampung Ladang, sayugia dimaklumkan bahawa gerai nasi dagang itu dah pindah ke premis baru berhampiran Mydin Kuala Ibai. Tapak gerai nasi dagang di kampung Ladang telah didirikan sebuah bangunan komersil. Tokey nasi dagang diberi satu unit rumah pangsa berhampiran kampung Ladang. Untuk meneruskan bisnes, dia menyewa gerai berhampiran Mydin Kuala Ibai. Adik tokey nasi dagang tu kawan saya.

Friday, July 10, 2015

DARI PLAZA HOTEL KE SUBANG AIRPORT




Saya syak apek driver itu baru menonton 'Fast and Furious'. Apa tidaknya. Dia berjaya melarikan saya dari Plaza Hotel, Jalan Raja Laut ke Subang Airport dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Ketika membayar RM36 kepada apek driver, jam sudah menunjukkan pukul 9:25 pagi. Sedangkan Malindo Air KL-KT yang akan menerbangkan saya ke Kuala Terengganu akan berlepas pukul 9:30 pagi. Walaupun sudah check in secara online, situasi sebegini amat mencemaskan.

Malindo segera menutup pintu sebaik sahaja saya melangkah masuk ke dalam perutnya.

Oh, saya sangat terkilan kerana tidak sempat berselfie dengan apek driver. Saya juga tidak sempat mengambil nombor henfonnya. Apapun, alhamdulillah. Allah telah permudahkan. Berkat doa isteri, anak-anak dan rakan-rakan.

JEFRY ZAIN DAN ULAMAK



Jefry Zain diarahkan ke Singapore. Tugasannya kali ini ialah menggagalkan komplot membunuh seorang vvip bertaraf ulamak dari Malaya. 

Komplot itu dikatakan ada kaitan dengan kegelisahan CIA dan Pentagon atas kemungkinan pemerintah Malaya akan melaksanakan undang-undang Islam. Pemerintah Malaya dan parti pembangkang A dikatakan telah berkompromi sebagai tukaran kepada sokongan pemenjaraan ketua parti pembangkang B. Pemergian vvip itu ke Singapore bertujuan untuk menjelaskan tentang undang-undang Islam dan berunding supaya pihak Singapore dapat melobi Amerika agar tidak mengganggu pelaksanaan undang-undang Islam yang akan dilaksanakan di Malaya.

Jefry Zain ialah James Bond versi Melayu. Hanya sempat muncul dalam tiga tajuk sahaja iaitu 'Gerak Kilat', 'Bayangan Ajal' dan 'Jurang Bahaya'. Mungkin disebabkan tidak ada pelakon yang sesuai memegang watak itu sesudah Jins Shamsudin semakin berusia.

HUDUD VS DAKWAH & TARBIYAH

Katanya, pemerintah sekarang dah ok. Cuma satu sahaja yang kurang iaitu belum laksana hukum hudud.

Katanya lagi, isu-isu salah guna kuasa, salah tadbir ekonomi, kezaliman, penyelewengan perundangan dan seumpamanya hanyalah natijah dari ketidakberkatan kerana tidak laksana hukum hudud. Jika diganti dengan pemerintah lainpun, masalah sama tetap berulang selagi tak laksana hukum hudud. Sebab itu laksana hukum hudud lebih penting daripada mengambilalih kuasa.

Untuk pencerahan, saya rujuk persoalan tersebut kepada mereka yang lebih arif. Jawapannya: Kedua-duanya bukan aulawiyat buat masa kini. Ambil alih kuasa melalui demokrasi bukan aulawiyat. Laksana hukum hudud pun bukan aulawiyat. Yang aulawiyat buat masa kini ialah dakwah dan tarbiyah.

BREHEM TOK BOMO

Sedang kami rancak berusrah, tiba-tiba Brehem mari. Ajak dua orang sahabat kami keluar. Untuk jadi saksi majlis akad nikahnya. Saya tak pasti sama ada untuk bini ketiga atau keempat.

Brehem ialah sahabat kami. Ketika saya mula-mula bertaaruf dengannya, dia sangat serius . Sesudah kenal bahawa saya juga bukan calang-calang orang, barulah dia nampak mesra dan pandai bergurau. Hahaha...

Lama saya 'terpisah' dengan Brehem. Sehinggalah beberapa tahun yang lalu, saya hadir dalam satu majlis persembahan kebudayaan Islamik anjuran satu pertubuhan tarekat dengan kerjasama biro kebudayaan sebuah parti politik. Saya hadir untuk melihat Sabri Yunus dan Sani Sudin kerana teater "Menunggu Kata Dari Tuhan" juga turut dipentaskan.

Sebelum persembahan, saya agak terkejut. Seorang 'ulamak' yang berserban besar dan berjubah diiring ke tempat penonton vvip. Agak bergaya dengan sebatang tongkat turut tergenggam di tangannya.

Selepas bertanya kepada beberapa orang penonton, baru saya sedar bahawa rupa-rupanya Brehem kini dikenali sebagai Tuan Guru Haji Ibrahim al-...
Oh, saya lupa title di belakang namanya.

HAKIM DEBAT

KUALA TERENGGANU,18 April 2015 - Kelmarin saya telah berjaya dengan cemerlangnya menjadi hakim pertandingan akhir debat yang dianjurkan oleh sebuah sekolah swasta sempena exspo sekolah mereka. Sebagai bidan terjun. Menggantikan bidan tak terjun yang sakit perut. Saya sebenarnya lebih dikenali sebagai hakim pertandingan deklamasi sajak.

Dulu. Tahun-tahun 70-an. TV Rangkaian Pertama (kini dikenali TV1) setiap tahun menyiarkan siaran langsung pertandingan akhir debat Bahasa Melayu antara sekolah-sekolah berasrama penuh. Antara tetamu yang hadir ialah Perdana Menteri dan beberapa orang menteri.

Antara yang paling saya ingat ialah pasukan Sekolah Alam Shah lawan Kolej Islam Kelang. Mungkin tahun 1974 atau 1975. Saya tidak dapat lupa biodata salah seorang peserta Sekolah Alam Shah yang dibacakan oleh pengacara majlis iaitu peserta itu bercita-cita menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri. Bila pengacara menyebut perkara itu, para penonton ketawa.

Saya tertanya-tanya: Mengapa tidak Perdana Menteri?

Sesudah masa berlalu, barulah saya faham. Bahawa tidak ramai Timbalan Perdana Menteri yang berjaya menjadi Perdana Menteri.

ENCIK SALAHUDIN BIN MAHMUD

Saya pulang ke Terengganu pada tahun 1984. Ketika itu sedang hangat isu kafir-mengkafir dan pulau-memulau.

Di Almuktafi Billah Shah (AMBS), pada mulanya saya berusrah berdua dengan Encik Salahudin bin Mahmud yang merupakan seorang jurutera di kilang kelapa sawit AMBS. Dia naqib dan saya penolong naqib. Dia guna kitab tulisan Nik Aziz yang saya dah lupa tajuknya. Saya pula guna kitab-kitab tulisan Maududi, Syed Qutb, Karim Zaidan, Fathi Yakan dan Mustaffa Masyhur. 

Pada tahun 1986, Encik Salahudin letak jawatan di kilang sawit. Ada ura-ura namanya ada dalam short listed calon PAS dun Hulu Paka untuk PRU tahun itu (Masa tu AMBS masuk dalam dun Hulu Paka, bukan dun Bukit Besi). Tapi rezekinya tak ada. Orang lain yang terpilih jadi calon.

Selepas itu beliau pulang ke Kelantan dan saya tidak pernah lagi mendengar khabar berita tentang dirinya. Saya pula pulang ke Marang dan dia juga mungkin tidak pernah lagi mendengar khabar berita tentang diri saya.

Sesiapa yang ada maklumat tentang kawan saya ini, harap beritahu saya. Antara yang ingin saya tahu ialah apa jenis PAS yang dia sokong sekarang.

BRUNEI, SAUDI DAN HUDUD

Di Mesir, mursyidul am Ikhwanul Muslimun, Dr Mohamed Badie dan 11 pimpinan Ikhwanul Muslimun dijatuhi hukuman mati. Di Palestin, zionis makin mengganas. Di Malaya, Anwar Ibrahim dipenjara.

Arab Saudi menyumbang dana yang besar kepada Mesir sebagai menghargai Jeneral Fatah As Sissi memenjarakan Dr Mohamad Morsi. Arab Saudi juga dijadikan pengkalan oleh Amerika Syarikat untuk menyerang Yemen.

Selain Brunei, hanya Arab Saudi yang telah berjaya melaksanakan hukum hudud. Kedua-dua negara itu berjaya melaksanakan hukum hudud kerana di negara mereka tidak ada DAP dan PKR.

PERUBATAN ISLAM VS PERUBATAN KAFIR

Menurut mufti Terengganu Dr Zulkifly Muda, istilah 'perubatan Islam' yang digunakan sesetengah pihak pada hari ini agak mengelirukan. Menurut beliau, perubatan moden pada hari ini merupakan warisan daripada tokoh-tokoh perubatan muslim seperti Ibn Sina dan lain-lain. Termasuklah pembedahan dan penggunaan pelbagai peralatan canggih.

Apa yang difahami 'perubatan Islam' oleh sesetengah pihak itu sebenarnya ialah 'doa'. Doa yang dilakukan secara tatacara tertentu yang dibenarkan oleh syarak termasuklah disekalikan dengan solat hajat. Ada juga didoakan barang tertentu seperti air, kismis, tamar, coklat, susu dan lain-lain.

Jadi, tidak wajar timbul istilah perubatan Islam dan perubatan kafir.

TERHEMPAS

Puas dan lega. Dia baru sahaja menyelesaikan satu tugasan yang dirasakan paling mencabar sepanjang hidupnya. Sukar, meskipun arahan yang diterimanya cukup ringkas: "Humban sibedebah itu ke penjara. Usah peduli berapa kosnya"

Kini dia terbang lagi. Dalam misi yang biasa-biasa. Bagi memenuhi nafsu serakah sang ketua. Tugas yang enteng tapi perlu ketelitian tahap tinggi. Perlu kepada jaringan yang luar biasa. Maklum, sang ketua punya cita rasa yang juga luar biasa.
Segalanya akan kekal terkunci kukuh sebagai satu rahsia. Kecuali berlaku sesuatu yang di luar duga.

Tiba-tiba...

HASAN GANGSTER

Antara watak gangster yang saya suka ialah watak Hasan. Dia merupakan kawan kepada Merah dan Salleh.

Tidak ramai orang yang tahu bahawa Hasan merupakan ketua kepada sebuah kumpulan gangster yang antara kegiatannya ialah pengedaran dadah dan sindiket pelacuran. Hasan berselindung di sebalik bisnes yang halal dan kerja-kerja kebajikan.
Cerita mula mendaki puncak bila Merah dibebaskan setelah 5 tahun meringkuk di dalam penjara. Merah mengesyaki Hasan telah menggunakan wang hasil rompakan mereka untuk membina empayar bisnes dan gangsternya. Tetapi menurut Hasan, dia telah menyerahkan wang itu untuk dilarikan oleh Salleh kerana tujuan asal rompakan mereka adalah untuk membantu Salleh yang memerlukan wang yang banyak untuk membiayai rawatan neneknya. Walau bagaimanapun, mereka tahu bahawa hasil rompakan itu melebihi dari apa yang diperlukan oleh Salleh. Merah merasakan dia perlu diberi lebihan tersebut sebagai membalas pengorbannya.

Flashback: Ketika mereka dikejar oleh pihak polis, Merah telah membiarkan dirinya ditangkap untuk mempastikan dua orang rakannya bersama hasil rompakan mereka selamat.

Pause.

Saya suka watak Hasan kerana kepintarannya mengelabui mata orang ramai. Sehinggalah berlaku insiden yang kemudiannya menggemparkan masyarakat.
Adegan akhir ialah speed boat yang dipandu oleh Hasan telah meletup. Saya rasa, ia akan lebih dramatik jika speed boat diganti dengan helikopter.

MB TERENGGANU YANG BERHALUS

Amat tidak benar mengatakan memang style orang Terengganu bercakap nampak kasar dan macam cari gaduh. Antara Menteri Besar Terengganu yang becakap dengan gaya sopan, tenang dan 'berhalus' ialah Ustaz Wan Mokhtar dan Cikgu Razif.

Nik Hassan saya tak tahu. Sebab masa beliau jadi MB Terengganu, saya masih di sekolah rendah. Mahmood Sulaiman dan Ibrahim Fikri lansung saya tak ingat. Cuma, mengikut catatan sejarah, Ibrahim Fikri dilantik menjadi MB Terengganu pada tahun saya dilahirkan ke dunia.

Saturday, June 27, 2015

DEMOKRASI DAN GOLONGAN BRUTAL

Demokrasi kalau betul-betul terlaksana tidak akan banyak timbul kekecohan. Pemerintah yang terpilih berhak laksana apa sahaja polisi yang mereka rasa baik untuk rakyat. Kalau rakyat tak setuju, rakyat boleh tolak mereka dalam pilihan raya berikutnya.

Sementara menunggu pilihan raya, pihak yang tidak bersetuju boleh mengkritik melalui saluran yang dihalalkan oleh demokrasi. Gunalah apa sahaja medan dan media. Parlimen, akhbar, ceramah, demonstrasi, perhimpunan (ijtimak), seminar, forum, tv, internet, radio, sastera, filem, lagu, klip video dan seumpamanya. Pihak pemerintah atau pihak-pihak yang terasa mereka diserang pula berhak guna medan dan media yang sama untuk mempertahankan diri. Jika merasakan pihak lawan menyerang secara yang tidak sah, boleh guna saluran polis dan mahkamah.
Tidak ada kekecohan jika demokrasi itu terlaksana dalam masyarakat yang matang berpolitik. Yang bahaya bila ia turut disertai oleh golongan brutal yang sering bertindak secara sadis. Ketika mereka tidak memiliki kekuasaan, mereka akan guna cara gangster seperti memukul, bakar kereta, simbah cat, ugutan bunuh dan ugutan rogol. Tika mereka miliki kekuasaan, mereka akan guna tentera untuk bunuh rakyat yang menentang.

Lebih malang lagi jika golongan brutal ini bertindak atas nama agama.

SURPRISE SANG HERO

Orang sastera panggil watak protagonis dan watak antagonis. Kami dulu panggil 'hero' dan 'orang jahat' je.

Cerita yang awalnya agak membosankan, kembali suspen. Hero masih dalam penjara. Pembantu hero bertukar menjadi pak lawak . Penonton menjangkakan itu hanya tektik pembantu hero dalam strategi membela hero. Tunggu punya tunggu, pembantu hero tiba-tiba bertukar menjadi pembantu orang jahat. Penonton terkejut. Itulah yang dikatakan unsur kejutan atau orang putih panggil 'surprise'.

MEK DAN HUDUD

Mek tahu mek jahil. Masa muda, mek bergelumang dengan maksiat. Tak mahulah mek menceritakan segalanya. Tok guru kata, tak molek kita bercerita kisah-kisah kemungkaran zaman silam kita. Seolah-olah berbangga dengan dosa-dosa kita.
Sekarang pun bukannya mek baik sangat. Cuma mek rasa mek dah tak lagi mencari rezeki dengan cara haram. Dan mek juga cuba elak buat dosa-dosa besar yang lain. Dalam duduk nak elak tu kadang-kadang mek tergelincir jugak. Mek harap Tuhan akan ampunkan dosa-dosa mek. Mek rasa mek sekarang dah terlalu baik jika dibandingkan dengan masa-masa lalu. Hidup sebagai perempuan 'jangok' macam mek ni memang banyak terdedah dengan pelbagai godaan.

Mek mengaku sekarang pun mek masih liat nak buat amal ibadat. Sebab itulah bila ada peluang beramal amalan yang mudah-mudah, mek tak lepas peluang. Misalnya sekarang orang duk bising pasal hukum hudud. Mek pun sokonglah. Mudah-mudahan mek dapat pahala.

IKHWANUL MUSLIMIN DAN PROFESIONAL

Kemenangan Mohamed Morsi dari parti FJP dalam pilihanraya presiden Mesir 2012 cukup menggemparkan. Parti yang dikatakan pro-Hamas itu dijangka akan merubah lanskap krisis Palestin-Zionis.

FJP merupakan parti politik yang ditubuhkan dari biro siasah NGO Ikhwanul Muslimin. Dalam Ikhwanul Muslimin, biro siasah hanyalah satu cabang kecil kerana NGO tersebut lebih dikenali sebagai sebuah pertubuhan kebajikan dan dakwah.

Mohamed Morsi bukanlah pemimpin utama Ikhwanul Muslimin. Beliau hanyalah seorang tokoh yang ditonjolkan sesudah Ikhwanul Muslimin berijtihad bahawa mereka perlu turut serta mengisi kelompongan yang ada bagi memenuhi tuntutan rakyat sesudah Hosni Mubarak mengundur diri dan pihak tentera telah menunjukkan sikap mesra rakyat.

FJP yang diterajui oleh golongan profesional itu telah cuba memberi khidmat terbaik kepada Mesir. Fokus mereka yang utama ialah membaiki kepincangan yang terlalu banyak yang ditinggalkan oleh pemerintah yang lalu terutama dari segi pengurusan ekonomi dan kebajikan rakyat. Tidak terdengar mereka berbicara pasal hukum hudud kerana bagi mereka persoalan tersebut bukanlah agenda yang perlu disegerakan.

SAUDI, BRUNEI DAN HUDUD

Arab Saudi dan Brunei mengamalkan sistem feudal. Raja yang memerintah memiliki kuasa mutlak. Mengkritik kerajaan dianggap menghina dan derhaka kepada raja.
Secara umum, sistem feudal tidak banyak berbeza dengan sistem autokrasi atau kuku besi di bawah rejim yang berkuasa penuh. Tentera dan badan kehakiman juga secara langsung bawah kekuasaan raja.

Arab Saudi dan Brunei kononnya melaksanakan hukum hudud. Memberi gambaran seolah-olah hanya di bawah sistem feudal sahaja hudud mampu dilaksanakan.
Di bawah sistem feudal, kuasa mutlak tetap di tangan raja. Penentuan bersalah atau tidak bukannya bebas ditentukan oleh hakim. Hakim perlu memutuskan sesuatu hukum bersesuaian dengan selera raja.

RAHMAN LIMBONG & MAT KILAU

Saya kenal Haji Abdul Rahman Limbong ketika usia saya sudah menjangkau 20 tahun. Iaitu setelah membaca buku tek Sejarah milik adik-adik saya.

Saya kenal Mat Kilau lebih awal. Iaitu ketika di sekolah rendah. Berpunca daripada surat khabar yang bercerita tentang kemunculan seorang tua di Pahang yang mendakwa dirinya Mat Kilau. Cikgu kata, Inggeris anggap Mat Kilau seorang penderhaka tetapi ada juga yang anggap dia seorang pahlawan. Kata cikgu lagi, Mat Kilau terpaksa melarikan diri ke Terengganu dan Siam kerana Sultan Pahang ingin menangkap dan membunuhnya. Masa itu gaji Sultan Pahang dibayar oleh Inggeris.
Saya tak tahu mengapa terlalu lewat saya tahu pasal Haji Abdul Rahman Limbong. Mungkin sebab pada masa dulu tidak ada orang Terengganu yang terlibat dalam menggubal sukatan pelajaran mata pelajaran Sejarah di Malaya.

MEDAN BERBEZA

Saya tak kenal sangat mereka. Cuma dengar darihal mereka daripada kawan-kawan yang lama dalam bidang dakwah dan tarbiyah.

Shaari Sungib, Tuan Ibrahim Tuan Man, Khalid Samad, Dr Hatta Ramli, dan Dr Zulkifli Ahmad memang orang yang berpengalaman dalam NGO dakwah. Penyertaan dalam politik kepartian hanyalah sebagai penerusan kerja-kerja dakwah mereka.

Ternyata medan baru yang mereka pilih punya cara kerja yang amat berbeza dengan yang mereka lalui sebelum ini.

TOH NOK GI SEMAYANG JUMAAT

Saya sangat gembira bila Toh Cheng Tuan memberitahu dia akan hadir solat Jumaat.
Pada hari Jumaat itu, saya hadir ke masjid lebih awal kerana giliran saya bertugas mengambil kedatangan solat Jumaat. Ustaz Yusuf mewajibkan kami murid-murid darjah 6 Sekolah Kebangsaan Kepong untuk hadir setiap kali solat Jumaat. Tugas mengambil kedatangan diberi kepada pengawas sekolah. Saya merupakan salah seorang pengawas sekolah.

Ustaz Yusuf bukan orang kampung kami. Beliau akan hadir sekali-sekali untuk berjumaat di masjid kampung kami sambil buat 'spot check'.

Saya amat sedih bila Toh Cheng Tuan tidak muncul-muncul di masjid pada Jumaat itu. Lalu, petang itu saya ke rumahnya di Pengadang Baru. Keluarganya pemilik Panggung Wayang Pengadang Baru.

"Kalu aku gi semayang Jumaat, tokki aku nok godang aku..." Kata Toh Cheng Tuan dengan nada sayu.

ANWAR STYLE

Hampir semua orang Cina Malaya percaya bahawa Liwat 1 dan Liwat 2 hanyalah konspirasi politik. Mungkin disebabkan mereka tidak ada alasan yang kuat untuk membenci Anwar. Berbeza dengan orang Melayu. Mereka yang percaya bahawa Anwar menggugat ketuanan Melayu perlu percaya bahawa Anwar seorang peliwat.

Ingat, bukan orang UMNO sahaja yang percaya bahawa cara Anwar berpolitik banyak merugikan orang Melayu. Malah, ada yang menggunapakai kaedah syarak 'mengelak mudarat yang lebih besar'. Oleh itu, bagi mereka, memenjara Anwar atas alasan apa sekalipun, bukanlah satu kezaliman.

Melayu perlu dipertahankan untuk mempertahankan Islam.

PUKAT BURUK

Pukat buruk dikatakan berasal dari India. Di Nusantara, masyarakat yang paling awal pandai makan pukat buruk ialah masyarakat Melayu Sumatera Utara. Demikian hasil kajian budayawan M Muhar Omtatok.

Tepat atau tidak kajian itu tidaklah terlalu penting. Yang jelas ia tidak dimasukkan sebagai salah satu 'permakanan sunnah' oleh pihak yang mengeluarkan produk pemakanan tambahan di Malaya. Tak tahulah kalau selepas ini dibuat inovasi dengan menggantikan kuah kari atau kuah serawa telur pukat buruk dengan kuah yang mengandungi jus kurma, habbatus sauda dan madu.

Pukat buruk ialah sebutan orang kampung saya untuk roti jala. Di sesetengah tempat, ia dipanggil roti kirai.

IBRAH MESIR

Pertembungan Ikhwanul Muslimin dengan tentera pimpinan As Sissi laknatullah memberi ibrah yang sangat hebat. Betapa berkonfrontasi dengan pihak tentera amat wajar dielakkan. Kini bukan lagi zaman berperang menggunakan pedang dan kuda.
Tindakan pimpinan Ikhwanul Muslimin menolak tawaran 'budi baik' pelbagai pihak luar untuk membantu ternyata amat bijaksana. Ia berjaya mengelakkan bumi Mesir menjadi seperti Afghanistan, Iraq, Libya dan Syria.

Wallahhu'allam.

BEGITU KEHENDAK TUHAN

Alhamdulillah, dia kini sudah bertudung. Tidak lagi mendedahkan rambutnya yang panjang mengurai. Meskipun belum lagi memenuhi kesempurnaan cara berpakaian menutup aurat tetapi bila diingatkan kehidupan lampaunya, perubahan sedemikian sudah amat menggembirakan.
Di usia yang hampir mencecah 60 tahun, sisa-sisa keanggunannya masih dapat dikesan. Bagi mereka yang baru mengenalinya, pastinya tidak menyangka bahawa nenek berbadan gempal yang sering ketawa ceria itu pada suatu ketika dahulu punya potongan badan seperti heroin filem Indonesia.

Mengikut cerita, dia ke kota ketika usia 16 tahun. Impiannya ingin menjadi seorang penyanyi.
Takdir mempertemukannya dengan banyak 'kebetulan'. Dia dilanggar oleh sebuah mobil yang dipandu oleh seorang pemuda yang menyebabkan matanya menjadi buta. Pemuda itu jatuh cinta padanya. Dan selepas itu berlakulah kebetulan demi kebetulan...

Ditakdirkan juga, dia akhirnya dapat melihat semula sesudah kepalanya terhantuk ketika bergelut dengan seorang lelaki yang cuba memperkosanya...

Saya lupa apa yang berlaku selepas itu. Yang saya ingat, dia akhirnya naik bas dan balik ke kampung. Usaha pacarnya untuk mencarinyanya gagal kerana dia tidak pernah memberitahu kepada sesiapa di kota dari kampung mana dia berasal. Lagipun, masa itu belum ada henfon.
Dia terus menetap di kampung. Maka, berakhirlah sebuah impian. 

Kadang-kadang, dia bercerita juga pengalamannya itu. Kita dengar sajalah. Tak payah bertanya itu ini. Sebab, biasanya dia akan menjawab: "begitu kehendak Tuhan"

Monday, April 06, 2015

IBRAHIM, ABIM, PAS DAN ...

Ibrahim Ali ditahan bawah ISA bersama Anwar Ibrahim, Kamarazaman Yacob, Syed Husin Ali, Adi Satria, Hamzah Kassim, CCYong, Yong Ah Chit dan Yeo Ben Foo susulan peristiwa demonstrasi Baling. Hishamuddin Rais sempat menyusup ke luar negara. Ibrahim kemudiannya dibebaskan dengan bersyarat. Anwar kekal ditahan kerana enggan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh KDN.

Ibrahim paling lantang menuntut pembebasan Anwar. Di samping Fadzil Noor dan orang-orang kuatnya dalam ABIM seperti Sidek Fadhil, Abu Bakar Chik, Kamaruddin Jaafar dan Kamarudin Md Nor.

Bila Anwar dibebaskan, Fadzil Noor menyerahkan kembali jawatan Yang diPertua ABIM yang dipangkunya kepada Anwar. Tidak lama selepas itu Fadzil Noor menyertai PAS dan akhirnya berjaya dipilih sebagai Presiden Pas menggantikan Yusuf Rawa. Jawatan Mursyidul Am kemudiannya diwujudkan dalam PAS sebagai mencontohi Ikhwanul Muslimin di Mesir. Yusuf Rawa dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama.

Mengikut perancangan awal, Anwar akan menyusul menyertai PAS dan Fadzil Noor akan menyerahkan jawatan Presiden PAS kepada Anwar. Namun manusia hanya merancang dan Allah jua Yang Maha Perancang. Mahathir berjaya menghidu mala petaka yang bakal dihadapi oleh UMNO jika Anwar menyertai PAS. Lalu,... dipendekkan cerita, Mahathir berjaya membawa Anwar ke dalam UMNO.

Bila Anwar menyertai UMNO, Ibrahim sudah pun ada dalam UMNO. Bila Anwar jadi TPM, Ibrahim merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Cadangan Mahathir untuk memasukkan Ibrahim ke dalam kabinet dikatakan tidak dipersetujui oleh Anwar.

Bila Anwar disingkirkan dari UMNO dan konspirasi Liwat 1 dilancarkan, Ibrahim merupakan orang yang paling lantang memburuk-burukkan Anwar. Tidak lama selepas itu Mahathir melantik Ibrahim sebagai Menteri Kehakiman. Satu potfolio baru dalam kabinet Malaya.

Ibrahim tersingkir dari kabinet bila Abdullah Badawi menjadi PM dan Najib Tun Razak jadi TPM. Lalu Ibrahim menubuhkan Perkasa.

Tuesday, November 18, 2014

SIS i

Dia disenangi oleh para pelajar kerana kemesraannya. Mudah diajak berbincang dan tidak suka menyusahkan pelajar dengan tugasan yang membebankan.

Majoriti pelajar menganggap dia pensyarah yang paling berdedikasi. Menguasai bidangnya dengan begitu cemerlang. Mungkin statusnya sebagai andartu membuat dia punya cukup masa untuk benar-benar fokus kepada profesion.

Kelemahannya yang ketara ialah dia masih lagi belum bertudung. Masih dengan fesyen rambut kontot yang menjadi identitinya semenjak remaja. Dia juga pernah mengaku di depan para pelajar di dewan kuliah bahawa dia tidak mendirikan solat lima waktu. Dia hanya solat sekali-sekala bila ada kelapangan. Walaupun mengakui akan kewajipan solat sebagai salah satu rukun Islam tapi dia merasakan rutin tersebut menganggu kelancaran jadual hidupnya. Katanya, Allah maha pengampun.

MUHAMMAD ALI, JOE BUGNER, MH370 DAN MH17

Malaysia bersetuju menganjurkan perlawanan tinju Muhammad Ali vs Joe Bugner dengan tujuan utama untuk memperkenalkan negara kepada warga dunia. Siaran langsung hampir di semua negara itu dikatakan telah berjaya mengikis beberapa kekeliruan termasuk mereka yang menyangka Malaysia berada di dalam Singapura.

Selepas itu Malaysia kembali dilupakan. Hinggalah berlakunya misteri MH370 dan tragedi MH17.

SAMAK

Dulu masa saya tinggal di Ipoh ada kawan yang minum di restoran Cina yang menggunakan gelas Carlsberg. Ada kawan lain tegur akan 'salah laku' tersebut. Kawan yang dituduh itu membela diri: "Apa salahnya. Aku minum teh ice. Gelas tu dah dibasuh. Bersih!"

Spontan kawan yang sorang lagi tu pula berkata: "Ya... betullah dah basuh. Tapi basuh biasa-biasa je tu. Tak samak..."

Saya yang turut dengar perbualan itu ketawa terbahak-bahak.

ABANG MAN BEKAS GANGSTER

Abang Man bekas gangster. Dia aktif dalam gangsterisme ketika Kuala Lumpur 'gangster yang punya'.

Saya tinggal serumah dengan Abang Man 'yang sudah insaf' di Bangsar selama 14 minggu pada tahun 1992. Ketika itu umur Abang Man sudah lebih 50 tahun. Belum kahwin.
Abang Man pernah membunuh. Bergaduh tak payah cerita. Pernah lama berkelana di Sweden atas sebab-sebab yang saya tak mahu cerita.

Kini Abang Man terlibat dalam NGO yang membuat kerja-kerja kebajikan. Sekali-sekala Abang Man 'keluar' bersama geng tabligh.