Wednesday, October 24, 2012

DA ULOH NIGHTLIFE

 Majoriti warga Kedai Buluh merupakan penyokong pembangkang. Ketika zaman Nik Hassan, mereka sokong kepala lembu.  Bila bulan ditendang daripada dacing (zaman Wan Mokhtar) dan menjadi pembangkang, mereka mula cenderung kepada bulan.  Walaupun sebahagiannya masih berjudi daun terup, berlaga ayam dan berlaga ikan sekilau.

(Gambar dicilok daripada Tolahah Muda)
      Mengikut sejarah, Kedai Buluh pernah menjadi pusat hiburan tersohor.  Selain aktiviti perjudian yang berleluasa, di situ juga tersergam sebuah panggung wayang yang menjadi tumpuan penduduk sekitarnya termasuklah dari Wakaf Tapai, Ajil dan Kuala Berang.  Bagi memenuhi selera penonton ketika itu, filem Hindustan lebih kerap ditayangkan berbanding filem Melayu.  Sesekali ada juga ditayangkan filem Holywood seperti Tarzan dan James Bond.

      Khabarnya, kegiatan 'membujang' juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan 'nightlife' di Kedai Buluh begitu umpph.  Walaupun ada cerita yang mengatakan 'orang bujang' yang menjalankan 'bisnes' di situ merupakan 'exspired' Kuantan dan Kuala Lumpur, Kedai Buluh tetap gah sebagai tempat lelaki melampias nafsu serakah mereka.

       Dengan pakej yang sedemikian rupa, makanya bukanlah sesuatu yang pelik bila wujudnya pelbagai gejala sampingan seperti gangsterisme dan seumpamanya di Kedai Buluh.  Pergaduhan antara kampung juga sering terjadi.  Antara peristiwa yang tercatat dalam sejarah lisan orang-orang tua ialah perseteruan antara puak Kedai Buluh dengan puak Bukit Sawa. Puak Kedai Buluh disokong oleh geng Tok Dir, Tok Pong, dan Tok Rimau.  Manaakala puak Bukit Sawa mendapat kerjasama daripada geng Binjai Rendah, Cik Jah dan Sungai Serai.  Nama-nama tokoh seperti Mat Kawah, Mbong Tok Bomo, Ayah Nik Megat, Pak Da Awang masih menjadi sebutan sehingga kini.

       Kini (zaman Mat Said) semuanya tinggal kenangan.  Panggung Wayang Kedai Buluh sudak lama pupus.  Lama sebelum Panggung Lido, Capitol, Kong Wah, Rex dan Cathay Kuala Terengganu berhenti beroperasi.  Kedai Buluh kini lebih dikenali dengan pasarnya yang terkenal menjual barang-barang lebih murah daripada tempat-tempat lain. Di situ juga ada terdiri sebuah sekolah agama swasta yang agak terkenal. Walau bagaimanapun,  'nightlife'nya masih rancak seperti dulu.  Setiap malam masjid Titian Baru yang terletak di Kedai Buluh sentiasa dipenuhi oleh para jemaah yang dahagakan ilmu.  Antara penceramah yang sentiasa ditunggu ialah Ustaz Azhar Idrus yang sejak lama dahulu memberi kuliah seminggu sekali.  Kini kehadirannya semakin jarang kerana terpaksa memenuhi jemputan dari pelbagai tempat di seluruh negara.
..

GLOSARI BAHASA TERENGGANU DAN KATA PINJAMAN:
Da Uloh Kedai Buluh 
Zaman era
Orang bujang pelacur
Bulan Parti Islam Semalaysia
Dacing Barisan Nasional
Kepala lembu Parti Sosialis Rakyat Malaya
Nightlife kehidupan malam (biasanya dikaitkan dengan berhibur waktu malam)
Exspired habis tempoh

BLOG BERKAITAN: Explore Terengganu
..
..

Thursday, October 11, 2012

ROMBONGAN II

...

Sekali sekali ikut serta dalam rombongan bas seronok juga.  Walaupun sekadar ke Kuala Lumpur.  Menginap pula di sebuah hotel hampir mewah di Chow Kit  Road tidak jauh dari Lorong Haji Taib.  Yang penting:  Semuanya percuma.  Dianjur oleh agensi yang 'dok abis pitis'.
        Slot bersama ketua mata-mata gelap berjalan lancar.  Katanya, tugas dia bukan untuk 'membasuh' kami tapi untuk mendedahkan aspek keselamatan Malaya.  Sesudah usai pendedahannya kami menjadi sangat insaf dan merasa tidak sabar lagi untuk keluar mengundi pada pilihanraya akan datang.  Malam itu kami bermimpi alam ini telah bertukar menjadi biru sebiru-birunya.  Mungkin ada di kalangan kami yang tidak sempat bermimpi kerana telah mengisi sepanjang malam itu dengan solat taubat untuk membersihkan diri yang selama ini telah bergelumang kekejian akibat salah pilih jalan kehidupan.
        Slot bersama mantan juru nikah juga berjalan lancar.  Bila dia puji Mahader dan Najib, kami ketawa terbahak-bahak.  Bila dia kutuk Anwar, Nik Aziz, Mat Sabu, kami gelak lagi kuat.
       Kami ternyata belum puas ketawa.  Semasa hendak bertolak sesudah singgah di R & R Temerloh, kawan kami yang bernama Anuar paling lewat naik bas. Bila dia naik, kami bertepuk tangan serentak.
        "Anwar liwat," lawak seorang rakan.  Kami semua gelak kuat-kuat. Anuar turut gelak.
        "Baru sekarang kita  tahu siapa Anwar," Tambah lagi seorang pak lawak.  Dan kami pun gelak lagi kuat.  Dan gelak Anuar juga lagi kuat.
...
       

Wednesday, October 10, 2012

MASUK MELAYU


Toh Cheng Tuan merupakan rakan sepermainan dan sepermandian saya ketika di bangku sekolah rendah.  Kami berpisah bila melangkah ke sekolah menengah.  Saya ke sekolah budak-budak cerdik dan dia ke sekolah budak-budak biasa walaupun kecerdikan kami lebih kurang sama saja.  Malah dia pernah mengatasi saya dalam subjek Pendidikan Agama Islam.
        Rakan-rakan ada menceritakan bahawa Toh pernah menyatakan hasratnya untuk 'masuk Melayu' (Dulu, di Terengganu, 'masuk Melayu' adalah sinonim bagi 'memeluk Islam').  Namun hasratnya terkandas bila dia berkahwin tidak lama selepas tamat sekolah menengah.  Isterinya 'Cina Tiruk'.  Cina Tiruk adalah panggilan bagi komuniti Cina yang tinggal di kampung Tiruk.  Kampung Tiruk merupakan sub-kampung kepada kampung Serada yang terletak lebih kurang 20 km dari bandar Kuala Terengganu.  Antara keistimewaan puak ini ialah kebanyakan mereka suka makan nasi berlaukkan  ikan aya singgang dan budu.  Di rumah, kebanyakan kaum lelaki mereka berkain pelikat dan yang perempuan berkain batik.  Tetapi amat jarang kita dengar Cina Tiruk yang 'masuk Melayu'.  Mungkin kerana mereka 'amat kenal' orang Melayu.
        Toh bukan Cina Tiruk.  Dia Cina Pengadang Baru.  Pekan Pengadang Baru tidak jauh dari kampung saya.  Oleh sebab pada masa dulu tidak ada sekolah yang lebih hampir, maka Toh bersekolah di kampung saya.  Dia berbasikal sejauh hampir 3 km.  Keluarga Toh merupakan pemilik Panggung Wayang Gambar Pengadang Baru.  Dengan adanya pawagam itu dapatkah penduduk berhampiran menonton filem sekali atau dua kali sebulan.  Bagi kaki wayang, mereka lebih suka ke Panggung Wayang Kedai Buluh kerana di situ ada tayangan setiap malam.  Seingat saya, filem terakhir yang ditayang di Panggung Pengadang Baru sebelum berhenti beroperasi ialah 'Bayangan Ajal' lakonan Jins Shamsudin.
        Walaupun bersekolah di sekolah budak-budak biasa, keputusan SPM Toh agak baik.  Tetapi dia gagal ke universiti walaupun ramai rakan-rakan Melayunya  yang lebih rendah SPMnya dapat ke pelbagai IPT.  Atau mungkin juga memang Toh tidak berminat menyambung pelajaran kerana lebih minat dalam bidang perniagaan.  Kini Toh memiliki sebuah syarikat pemborong yang mengedar barangan di kedai-kedai runcit seluruh Terengganu.
        Sudah lama saya tak bertemu Toh.  Kalau bertemu mungkin saya tak tahu apa yang nak disembangkan dengannya.  Mungkin saya tak perlu lagi memberitahunya bahawa saya masih lagi anti-kafir.  Kerana saya memang diasuh untuk mencintai Islam dan membenci kekafiran.  Namun saya tidak pernah anti orang-orang kafir.  Orang-orang kafir adalah sasaran dakwah kita.  Jika seorang kafir mendapat hidayah lantaran ikhtiar kita, ganjaran Allah adalah lebih besar daripada dunia dan isinya.
           Dan Toh juga boleh terus anti-Islam selagi Allah belum memberinya hidayah.  Tetapi saya yakin Toh tidak anti orang-orang Islam.  Toh tidak membenci orang-orang Islam.