Thursday, February 23, 2006

wakaf

Dulu.

Kalau kau bukan jenis terlalu pendiam dan punya isu atau idea untuk di kongsi bersama kau pergilah ke wakaf. Lontarkan idea kau tu. Tapi awas, pastikan di wakaf tu kau tidak keseorangan. Kalau tidak, kau akan bermonolog. Kalau kau bermonolog, jadilah kau senasib dengan perempuan bahagia yang selalu tidur di stesen bas tu. Ya ya, yang selalu bunting tu. Entah siapa punya kerja ya?

Stail penyampaian terserahlah kepada kau. Kau boleh tiru mana-mana stail. Kalau kau dah lama kat wakaf tu kau tak dapat tidak akan terpengaruh dengan stail mana-mana personaliti wakaf yang glamor. Jali Butir Nangka banyak berfalsafah yang pelik-pelik, Pak Dolah Botak punya kias-kias yang sukar difahami dan Pak Soh Batu P*l*r tak habis-habis dengan lawak luc*hnya.

Panjang pendek pun terserah pada kau. Tapi biasanya kalau terlalu panjang, kau akan menghadapi sedikit masalah untuk mengekalkan tempo perhatian mereka. Silap hari bulan, kalau ada Embong Budu, kau mungkin disergah sebelum habis melontarkan idea.

Bila dah habis lontar idea, tunggulah jika ada komen. Kau tak ada, tukarlah peranan kau jadi tukang dengar dan tukang komen.

Kadang-kadang tukang komen akan jadi lebih glamor dari tukang pencetus isu. Kadang-kadang.

Thursday, February 09, 2006

cicir

Selalunya dalam kelas aku dapat nombor dua. Dan Maimon (bukan nama sebenar) dapat nombor empat atau lima. Maknanya, Maimon sentiasa berada dalam ranking top five.
.
Malangnya Maimon hanya bersekolah setakat Darjah 6. Tak tahu apa sebabnya. Mungkin terpaksa menjaga adik-adiknya kerana ibu bapanya sibuk di kebun tembakau. Sambil menunggu orang masuk meminang. Kemudian berkahwin. Kemudian beranak.
.
Maimon mungkin berpeluang bersekolah menengah kalaulah ibu bapanya adalah kenalan emakku. Kerana emakku pantang kenalannya tidak menyambung persekolahan anak mereka ke sekolah menengah. Dia secara sukarela akan memberi ceramah tentang pentingnya pendidikan kepada anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan. Dan misinya memang tak pernah gagal. Sayang, ibu bapa Maimon bukan kenalan emakku. Lagipun rumahnya jauh dari rumahku.
.
Ada antara mereka yang pernah diselamatkan oleh emakku itu telah mencapai tahap yang membanggakan dalam akademik mereka. Malah lebih berjaya dari aku.
.
Mungkin apa yang dilakukan oleh emakku tidak pernah mereka catat dalam sejarah hidup mereka. Dan aku pun tidak akan menemui mereka untuk mengingatkan tentang sejarah tersebut. Aku perlu menerima hakikat bahawa dalam kehidupan ini, ada orang yang tidak suka mengenang masa lampaunya. Aku ada pengalaman serik dalam hal ini.
.
"Wel, smart kau sekarang. Dulu masa kecik tak kenal seluar. Ha..ha..Ke hulu ke hilir pakai kain batik. Ha..haa..Baju tak pernah pakai. Kepala pulak sentiasa berkilat. Fesyen Kojak. Haa..haa..". Aku.
.
"Dah..dah. Stop! Jangan sebut lagi pasal tu". Ismail (bukan nama sebenar). Amat serius. Merah menyala mukanya.

Thursday, February 02, 2006

ekstrim

Di kalangan kami, dia lebih dikenali sebagai Ustazah K****k Besor. Tak tahu siapa yang mula-mula mencetuskan gelaran tersebut. Tapi yang pastinya memang bukan aku.
Kulitnya putih kemerah-merahan. Agak berisi tetapi belum layak untuk dimasukkan ke kategori gemuk. Diukur dengan ketinggian, mungkin dia dalam kategori berat badan unggul. Selalu memakai baju kurung ketat. Di kepalanya sentiasa ada skaf kecil yang dikat ke dagu. Jadi, jambul ikal dan hujung sanggul sentiasa tersembul keluar.
Belum kahwin dan tinggal di asrama puteri sebagai pembantu warden.
Suaranya manja dan sentiasa tersenyum. Jarang dia marah-marah. Kalau marahpun masih lagi tersenyum.
Namun hari itu dia agak serius. Dan kami segera faham bahawa dia hanya melaksanakan arahan. Mempastikan fahaman yang kununnya sesat dan menyesatkan tidak menular di kalangan kami terutama pelajar perempuan.
Dia berhujah tentang betapa kita perlu liberal dalam beragama. Mesti beramal berdasarkan ilmu dan jangan ikut-ikutan. Dan kemudian tibalah ke isu yang hangat ketika itu. Tentang betapa kita tidak perlu ektrim dalam berpakaian. Dia kecewa dengan sebilangan pelajar perempuan yang mula terpengaruh dengan trend berpakaian yang kununnya dibawa oleh golongan yang membawa ajaran sesat. Jadi, katanya jangan menyalahkan pihak sekolah bila pelajar perempuan yang terlibat tidak dibenarkan memasuki makmal sains dan bilik sains rumah tangga. Semuanya atas dasar keselamatan.
Diulangnya berkali-kali betapa tidak sesuainya pemakaian tudung dengan iklim khatulisatiwa yang panas dan lembab sepanjang tahun.
Entah mengapa kali ini aku sudah tidak lagi memberi tumpuan kepada dadanya. Tetapi lebih kepada hujah-hujahnya.
"Ustazah, api neraka lagi panas!" Aku. Dan aku menyambung dengan memberi beberapa hujah yang aku rasakan sangat mantap. Kebetulan aku semalam baru mendengar kuliah magrib Cikgu Alias yang ketika itu dalam perhatian pihak berkuasa.
Merah padam mukanya. Jari telunjuknya terketar-ketar menuding mukaku. Tapi tiada suara yang terkeluar. Beberapa titis air mata menitis ke pipinya yang gebu.
Loceng tamat kelas subjek Pengetahuan Agama Islam menyelamatkan aku.
Dua tahun selepas itu aku buat form six di sekolah yang lebih elit. Dia membawa rombongan Persatuan Agama Islam melawat sekolah baruku.
Di kantin.
"Assalamualaikum, Ustazah,". Aku.
"Waalaikummussalam.., aaa..kau? Masih hidup mu ni.., he..he..he..", Ustazah.
"Ha..ha..ha..". Aku.