Saturday, June 27, 2015

BEGITU KEHENDAK TUHAN

Alhamdulillah, dia kini sudah bertudung. Tidak lagi mendedahkan rambutnya yang panjang mengurai. Meskipun belum lagi memenuhi kesempurnaan cara berpakaian menutup aurat tetapi bila diingatkan kehidupan lampaunya, perubahan sedemikian sudah amat menggembirakan.
Di usia yang hampir mencecah 60 tahun, sisa-sisa keanggunannya masih dapat dikesan. Bagi mereka yang baru mengenalinya, pastinya tidak menyangka bahawa nenek berbadan gempal yang sering ketawa ceria itu pada suatu ketika dahulu punya potongan badan seperti heroin filem Indonesia.

Mengikut cerita, dia ke kota ketika usia 16 tahun. Impiannya ingin menjadi seorang penyanyi.
Takdir mempertemukannya dengan banyak 'kebetulan'. Dia dilanggar oleh sebuah mobil yang dipandu oleh seorang pemuda yang menyebabkan matanya menjadi buta. Pemuda itu jatuh cinta padanya. Dan selepas itu berlakulah kebetulan demi kebetulan...

Ditakdirkan juga, dia akhirnya dapat melihat semula sesudah kepalanya terhantuk ketika bergelut dengan seorang lelaki yang cuba memperkosanya...

Saya lupa apa yang berlaku selepas itu. Yang saya ingat, dia akhirnya naik bas dan balik ke kampung. Usaha pacarnya untuk mencarinyanya gagal kerana dia tidak pernah memberitahu kepada sesiapa di kota dari kampung mana dia berasal. Lagipun, masa itu belum ada henfon.
Dia terus menetap di kampung. Maka, berakhirlah sebuah impian. 

Kadang-kadang, dia bercerita juga pengalamannya itu. Kita dengar sajalah. Tak payah bertanya itu ini. Sebab, biasanya dia akan menjawab: "begitu kehendak Tuhan"

No comments: