Alhamdulillah, dia kini sudah bertudung. Tidak lagi mendedahkan
rambutnya yang panjang mengurai. Meskipun belum lagi memenuhi
kesempurnaan cara berpakaian menutup aurat tetapi bila diingatkan
kehidupan lampaunya, perubahan sedemikian sudah amat menggembirakan.
Di usia yang hampir mencecah 60 tahun, sisa-sisa keanggunannya masih
dapat dikesan. Bagi mereka yang baru mengenalinya, pastinya tidak
menyangka bahawa nenek berbadan gempal yang sering ketawa ceria itu pada
suatu ketika dahulu punya potongan badan seperti heroin filem Indonesia.
Mengikut cerita, dia ke kota ketika usia 16 tahun. Impiannya ingin menjadi seorang penyanyi.
Takdir mempertemukannya dengan banyak 'kebetulan'. Dia dilanggar oleh
sebuah mobil yang dipandu oleh seorang pemuda yang menyebabkan matanya
menjadi buta. Pemuda itu jatuh cinta padanya. Dan selepas itu berlakulah
kebetulan demi kebetulan...
Ditakdirkan juga, dia akhirnya dapat
melihat semula sesudah kepalanya terhantuk ketika bergelut dengan
seorang lelaki yang cuba memperkosanya...
Saya lupa apa yang
berlaku selepas itu. Yang saya ingat, dia akhirnya naik bas dan balik ke
kampung. Usaha pacarnya untuk mencarinyanya gagal kerana dia tidak
pernah memberitahu kepada sesiapa di kota dari kampung mana dia berasal.
Lagipun, masa itu belum ada henfon.
Dia terus menetap di kampung. Maka, berakhirlah sebuah impian.
Kadang-kadang, dia bercerita juga pengalamannya itu. Kita dengar
sajalah. Tak payah bertanya itu ini. Sebab, biasanya dia akan menjawab:
"begitu kehendak Tuhan"