Tuesday, April 21, 2009

Bistro Nasi Kandar bersebelahan dengan Kayu Nasi Kandar


.
Sesudah pekena capati, roti tisu dan teh tarik di Bistro Nasi Kandar, segera ke Masjid Zubair ibn Awwam. Sheikh Abu Bakr yang cacat penglihatan sedang di hujung bicara. Terjemahan Arab ke Indonesia dilaksanakan dengan cemerlang oleh akhi K. Sempat tersentuh dengan perancangan HAMAS merekrut kader beriman.

Menyusul Ustaz Ferry Nur dengan pengalaman di Gaza. Aduh... mengalir juga air mata ini!

Sekali lagi air mata mengalir bila brother Azman yang terkandas di sempadan Mesir-Gaza menayang slaid kekejaman Zionis.

Hari itu tidak bawa Nikon. Hanya sekadar SonyEricsson k530i. Hasilnya tentulah amat sederhana.
.




Wednesday, March 25, 2009

Ukhti Asilah

.
Pusat Kesihatan Sisya , Mekah diuruskan oleh Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan. Cik Hajah Wan Asilah yang dimasukkan semula ke pusat kesihatan tersebut sesudah misi menghantar beliau pulang awal ke tanah air dibatalkan. Hikmahnya, beliau berkesempatan menghirup udara Madinah.

Sempat menziarahi beliau dua kali dan membantu sedikit sebanyak terutama berkaitan urusan memindahkan beliau ke Pusat Kesihatan Madinah. Kebetulan saya bersahabat dengan adiknya Ahmad Johari yang juga ikut sama mengerjakan fardhu haji pada tahun 2008 itu.

Ukhti Asilah mengidap kanser. Berita kematiannya saya terima sesudah beberapa hari saya pulang ke tanah air.

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

اللهم اغفرلها وارحمها وعافها واعف عنها

Moga Allah ampuni mereka, rahmati mereka, maafkan mereka, muliakan kematian mereka, lapangkan kubur mereka, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal mereka dan berilah kesabaran kepada ahli keluarga mereka, semoga mereka di tempatkan di kalangan  orang yang beriman.
.

Sunday, March 08, 2009

escalator

.

"Tadi nampak macam Samad Said berlepas bersama rombongan KT 26" Kata Na. Ketika itu kami masih di Kelana Jaya.
KOMA

"Tak perasan ke Samad Said lalu belakang abang tadi? " kata Na juga. Tika itu aku sedang bersantai-santai di samping dua wanita Nigeria sambil menunggu Na keluar dari tandas. Sementara menunggu azan magrib berkumandang dari menara Masjidil Haram.
KOMA


Na dah mengatasiku 2-0 dalam pertandingan melihat Samad Said. Sehinggalah aku berjaya merapatkan jurang gol pada satu pagi sesudah bersarapan di restoran De Saji Felda yang terletak di jalan Ijyad tidak jauh dari penginapan kami.

"Apa khabar? " Basa basi Pak Samad sesudah menyambut salamku.

"Alhamdulillah.." jawabku sambil mata melilau mencari Na yang sudah hilang dari pandangan.

Escalator terus membawa aku lari dari Pak Samad. Memancung peluang untuk bercakap sepatah dua dengan manusia unik ini. Bercakap tentang haji mabrur dan malboro. Tentang Raudhah. Tentang air zamzam. Tentang Pusara Baqi'. Tentang Tetamu Senja. Tentang Abdul Fakar. Tentang Zakiah. Tentang Kurupaya Samy. Tentang Bulat. Tentang Siti Salina. Tentang Salmi Manja. Tentang Shahnon. Tentang Athantuya. Tentang Balasundram. Tentang Linggam. Tentang Saiful. Tentang Hishamuddin. Dan tentang PPSMI juga.
NOKTAH
.

Friday, February 27, 2009

logik 1

.
"Seorang wartawan boleh jadi seorang blogger. Tapi seorang blogger belum tentu boleh jadi seorang wartawan..." kata Abd. Kadir dari Jasin, Melaka, Malaysia.

"Seorang sasterawan boleh jadi seorang blogger. Tapi seorang blogger belum tentu boleh jadi seorang sasterawan... " kata Faisal dari Tehran, Republik Islam Iran.

"Seorang pelacur boleh jadi seorang blogger. Tapi seorang blogger belum tentu boleh jadi seorang pelacur..." kata Mek Hayati alias Betty dari Golok, Thailand.
.

Saturday, February 14, 2009

sheikh

.
Sesudah sesi taaruf yang agak lama, bicara Fezal makin telus. Tidak lagi berselindung-selindung seperti awal tadi.

"Natijah yang berbeda hasil dari proses yang berbeda. Sejarah dan waki'e juga berbeda. Noktah bidayah juga berbeda. " Jelas Fezal bila aku bangkitkan tentang masih ramai orang PAS yang mencintai Winston dan Marlboro.

Fezal yang berasal dari Bandung adalah aktivis PKS. Sudah 7 tahun di Madinah. Kini dalam usaha menyiapkan Phdnya. Kami bertaaruf sesudah beliau usai mengendali halakah untuk 8 orang pekerja Masjid Nabawi. Semuanya pendatang Indon. Sebenarnya sengaja aku membaca al-Quran tidak jauh dari halakoh mereka agar mereka datang bertaaruf denganku. Strategiku berjaya. Tapi cuma Fezal sahaja yang datang bersalam. Yang lain-lain segera beredar. Seolah-olah sudah dirancang.

"Ayuh ikut saya bertaaruf dengan syeikh..."

Sheikh yang dimaksudkan ialah seorang tua Arab. Santai bersandar di salah satu tiang tidak jauh dari ruang Raudhah. Beraut tenang dengan wajah dihiasi janggut putih yang ditrim rapi. Kami disambut dengan senyum ceria.

"Sheikh Zizie Malazia.." Aku diperkenalkan oleh Fezal.

Aik? Aku pun sheikh jugak..
.

Saturday, January 17, 2009

oh razali

.
Malam kelmarin dengar hiruk pikuk pelajar-pelajar UIA Nilai unjukrasa anti-Israel. Lewat pakej Family 1+5, Angah call dan perdengarkan hiruk pikuk itu. Tanpa caj.

Sebelum itu Angah minta izin untuk ikut berdemo. Aku izinkan malah minta dia berteriak kuat-kuat. Tunjukkan kemarahan betul-betul terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza.

Kali pertama Angah berteriak kuat-kuat ialah ketika ia menyertai majlis motivasi calon-calon elit UPSR Kuala Terengganu. Dikendalikan oleh Datuk Razali Ismail. Ibu bapa juga diminta hadir di samping anak masing-masing.

"Yakin boleh!" tempik Datuk Razali.

"Yakin boleh!" tempik budak-budak.

"Yakin boleh 5A!!" tempik Datuk Razali.

"Yakin boleh 5A!!" tempik budak-budak. Ibu bapa pun ada juga yang bertempik sama.

Dengan izin Allah, Angah kemudian memang dapat 5A dalam UPSR. Aku sekali lagi menemani Angah. Kali ini dalam majlis anugerah pelajar-pelajar cemerlang UPSR. Anugerah disampaikan oleh ahli parlimen Kuala Terengganu pada ketika itu iaitu YB Syed Azman bin Syed Ahmad Nawawi mewakili Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketika itu Datuk Razali merupakan Pengarah Pelajaran Terengganu. Minatnya dalam bidang motivasi diekploitasi sepenuhnya dengan turun padang bertemu para pelajar.

Penglibatan secara langsung Datuk Razali dalam politik dikatakan bermula bila menerima tawaran PM untuk bertanding di parlimen Kuala Terengganu dalam PRU 11 dengan dijanjikan jawatan menteri. Beliau berjaya melakukan kejutan dengan menewaskan Syed Azman namun ternyata kemudian beliau cuma sangkut jawatan Pengerusi PTPTN. Kemudian dalam PRU 12 beliau menewaskan Mat Sabu dan Makcik Maimun dan diberikan jawatan Timbalan Menteri Pelajaran.

Penglibatannya dalam UMNO dikatakan tidak begitu disenangi oleh otai-otai UMNO Kuala Terengganu...
.

Sunday, January 04, 2009

sistem komunikasi yang cekap amat penting dalam menjayakan sesuatu operasi

.
Haji Ibrahim dari kampung Undang terkejut sakan bila anaknya menelefon bahawa mereka baru menerima bil telefon RM800. Cuma hatinya sedikit terhibur bila mendapat tahu bahawa bil yang diterima oleh Haji Aripin dari kampung Bukit Payong berjumlah RM2000 lebih. Ternyata nasibnya tidaklah semalang nasib Haji Aripin.

Ketika itu Haji Ibrahim dan Haji Aripin masih berada di Mekah. Baru saja bertahallul haji. Jadi, untuk mengelakkan nasib mereka terus dirundung malang, mereka membeli kad sim prabayar Arab. Campur tolak campur tolak, dengan menggunakan kad sim prabayar Arab kita mampu berjimat lebih 50 peratus.

Dalam bab ini aku merasa amat bersyukur kerana tidak mudah terpengaruh dengan senyum manis para promoter pelbagai syarikat komunikasi Malaya yang membuka gerai ketika Kursus Haji Perdana. Sebenarnya aku bukanlah cerdik sangat tetapi kerana aku percaya dengan maklumat tentang ini yang diberi oleh seorang sahabatku yang telah mengerjakan haji setahun lebih awal dariku.

Berikut adalah urusniagaku dengan Mamat Arab yang menjual pelbagai jenama kad sim dan kad topup di gerai cangkungnya yang terletak di tempat yang amat strategik. Di laluan antara pintu pagar nombor 13 Masjid Nabawi dengan Hotel Movenpick tempat aku mengungsi. Dialog ini berlaku pada pagi hari pertama aku tiba di Madinah al-Munawwarah.

"Tujo pulo lima rial" katanya.

"Seventy rial" kataku.

"Tujo pulo lima rial" katanya.

Dengan kad sim berharga SR75 kita boleh membuat panggilan selama 75 minit. Lepas tu bolehlah kita reload. Macam tempat kita juga, ada SR10, ada SR30 dan ada SR50 sekeping.

Kepada bakal haji tahun ini diucapkan selamat menghadiri Kursus Haji 14 siri. Kemuncaknya ialah Kursus haji perdana. Kalau membeli belah ketika Kursus haji perdana jangan lupa beli losyen muka untuk digunakan sepanjang berada di bumi Arab. InsyaAllah, wajah anda akan menjadi lebih gebu.

Wednesday, September 24, 2008

kelana

.
.
Dulu. Lamaa dulu. Dalam Berita Minggu ada siri komik 'Kelana'. Dihasilkan oleh R.Hamzah. Mengisahkan seorang pemuda zaman dulu yang merantau dari satu desa ke satu desa. Di setiap desa yang disinggahinya, dia akan membantu penduduk desa menyelesaikan masalah mereka. Biasanya menghapuskan crook yang mengganggu ketenteraman desa. Lebih kurang masa itu juga, TV Satu ada menyiarkan satu siri cerita koboi. Konsepnya hampir sama dengan komik 'Kelana'. Lupa. Apa tajuknya. Heronya siapa entah.

Bukan apa. Aku sebenarnya tiba-tiba teringatkan Kelana Jaya. Macam mana tempat tu mendapat nama. Siapa yang memberinya nama begitu. Walau macam manapun, antara banyak-banyak 'jaya', antara yang paling awal ialah Petaling Jaya. Jauh lebih dulu dari Kelana Jaya, Putra Jaya, Cyber Jaya.

Oh, dah 24 hari kita berpuasa. Aku percaya hampir semua blogger-blogger yang beragama Islam berpuasa. Kepada seorang blogger Melayu yang sanggup menyamar jadi Cina di bulan puasa ini, aku harap dia akan segera bertaubat. Sedarlah bahawa Allah tidak menilai rupa paras kita. Apa yang akan kita bawa bila mengadapNya di padang Mahsyar nanti ialah jiwa yang sejahtera.

Hari ini aku akan berbuka puasa dengan sebiji kurma dan segelas air mineral.

Terima kasih.
.
.

Saturday, September 13, 2008

seperti melawan arus

Kali terakhir berjumpa Mak Ngah ialah dua bulan yang lalu. Pada malam pengkebumian jenazah Megat. Jenazah Megat diuruskan di rumah adiknya. Keempat-empat isteri dan bekas isteri arwah Megat hadir pada malam itu.

Dalam majlis pada malam itu kewibawaan Mak Ngah agak terserlah. Sebagai satu-satunya emak saudara simati yang masih ada, Mak Ngah banyak membuat keputusan. Boleh dikatakan tiada siapa yang nampaknya membantah apa yang diputuskan oleh Mak Ngah.

Bagi para pengunjung yang bukan saudara mara. Yang belum pernah bertemu Mak Ngah. Malam itu bolehlah mereka mengenali orang tua yang agak glamour tidak berapa lama dahulu itu. Namun tiada siapapun nampaknya meminta Mak Ngah sign autograf.

Kemampuan Mak Ngah meraih lebih 600 undi agak mengkagumkan banyak pihak. Namun rata-rata berpendapat itu bukanlah faktor yang menyebabkan tewasnya Mat Sabu. Ramai orang berpendapat, tanpa penyertaan Mak Ngah, Mat Sabu tetap tewas. Sebab Mat Sabu bukan orang tempatan. Dikatakan bahawa jika Cikgu Pa diletakkan di situ, ada kemungkinan boleh menang. Sebab Cikgu Pa orang lama di situ. Cikgu Pa pernah jadi MP di situ dalam tahun 70-an. Menewaskan Presiden Parti Kepala lembu iaitu Kassim Ahmad. Cikgu Pa kemudian dilantik jadi Timbalan Menteri. Masa itu parti bulan bintang merupakan salah satu komponen parti dacing yang baru baru menukar lambangnya dari kapal layar.

Kini Cikgu Pa bukan lagi wakil rakyat. Beliau tewas di DUN Alur Limbat. Seperti Mat Sabu juga, beliau dilihat makin tenggelam dari hiruk pikuk politik semasa. Mereka berdua seolah-olah dilupakan dalam merancang halatuju organisasi. Jadi tidak hairanlah bila berbicara tentang 16 September, mereka berdua amat pesimis. Seperti melawan arus. Bagi mereka aktiviti 'melompat' adalah satu aktiviti yang jijik. Mereka masih belum mampu mensinonimkan melompat itu dengah berhijrah atau keinsafan.

Friday, September 12, 2008

landasannya sudah siap dipanjangkan

.
Kalau kau punya masa terluang datanglah berkunjung ke Kompleks Sukan Gong Badak mulai 13 November ini. Acara akan diadakan di Stadium Tertutup. Bukan Di Stadium Sultan Mizan.

Kontijen pantai timur tidak lagi perlu ke Kelana Jaya. Dari Kompleks Sukan Gong Badak mereka akan menaiki bas ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang landasannya sudahpun siap dipanjangkan. Rupa lapangan terbang ini pun sudah berubah. Nampak macam airport.

Pada ketika itu besar kemungkinan aku sudah tidak ada di Malaya. Kerana aku dijangka akan memulakan acara pada 6 November.

"Kena ke Kelana Jaya jugaklah kita?" Kak Nah. Via Motorola.

"Tak kisah"

"Kita tak naik MAS. Kita naik SAUDIA. Boleh ke?"

"Tak kisah. Ha ha. Molek kata Kak Nah, moleklah..."
.

Monday, July 21, 2008

plot 1

.
Menyusun peristiwa-peristiwa dalam plot sebuah cereka tidak semudah yang dijangka. Dalam mematuhi hukum sebab dan akibat, kita sebenarnya memiliki banyak pilihan dalam mencipta peristiwa. Contohnya, peristiwa Wan Azizah diberkas polis bertopeng. Kita mungkin lebih cenderung untuk mengajak pembaca membuat andaian bahawa peristiwa tersebut adalah rentetan dari akuan bersumpah watak sampingan si Linggam. Dalam akuan bersumpahnya, Linggam mendakwa dia mempunyai bukti bahawa Wan Azizah terlibat dalam meletup wanita asing itu. Dan sang polisi cepat-cepat bertindak terhadap Wan Azizah kerana pihak berkuasa memang telah lama bengang. Inilah masa terbaik untuk mempastikan watak protagonis itu dijatuhi hukuman mati mandatori. Atau merengkok dalam penjara sepanjang hayat. Jadi, peristiwa bersegeranya pihak berkuasa mengambil tindakan dapat diterima oleh pembaca sebagai sangat logik. Namun sayugia diingatkan bahawa unsur logik sebenarnya tidaklah terlalu penting dalam cereka moden. Kadang-kadang pembaca lebih gembira dengan unsur kejutan (surprise).
.

Monday, July 07, 2008

awie dan ori

.
Namanya Zawawi. Kami memanggilnya Awie. Sejak dulu lagi. Sebelum rakyat Malaya mengenali penyanyi Awie.

Awie tak pandai menyanyi. Suaranya juga tak sedap. Serak-serak kering. Walaubagaimanapun dia amat gemar mendengar lagu. Terutama lagu-lagu Melayu lama. Dan dia amat tidak suka lagu-lagu lama itu dirakam semula oleh penyanyi-penyanyi baru. Tak tahu sebab apa. Mungkin bagi Awie mereka yang merakamkan kembali lagu-lagu lama sebagai ketandusan kreativiti.

Itu cerita lama. Sekarang Awie dah menceburkan diri dalam gerakan dakwah. Dia tak lagi suka mendengar lagu. Sebagai alternatif, dia banyak mendengar ceramah. Termasuk ceramah politik yang memang mudah diperolehi dipasaran samada dalam bentuk kaset atau cd.

Dalam mendengar ceramah, Awie punya cita rasa tersendiri. Dia bukan jenis ikut-ikutan. Contohnya, ketika ramai orang mengkagumi Ezam, dia berpendapat sebaliknya. Baginya, Ezam tidak autentik. Ketidakoriginalannya terserlah dalam banyak aspek. Terlalu dipengaruhi oleh gaya Anwar.

Untuk itu, Awie pernah berteori pada suatu ketika dahulu:

"Bila Anwar bebas nanti, Ezam pasti kehilangan peminat. Ramai orang lebih suka yang ori..."
.

Wednesday, May 28, 2008

konotasi & perlambangan

.
Perlambangan berkait rapat dengan konotasi. Sesuatu perlambangan yang diaplikasikan bakal membawa konotasi yang pelbagai. Terutama kalau perlambangan itu tidak bersifat universal. Bisa saja mengundang kontroversi. Apalagi jika penggunaannya bukan dalam laras puisi totok. Diselit dalam artikel, ceramah atau ucapan misalnya. Kerana audiennya terlalu terbuka. Terdiri darpada perbagai golongan termasuk mereka yang sentiasa mentafsir berdasarkan lapis pertama. Tanpa rela merenung sejenak ke lapis kedua, ketiga, ...

Ada faktor tertentu yang mendorong seseorang menyelitkan gaya bahasa puisi ke dalam prosa. Mungkin untuk memberi kesan yang lebih mendalam. Contohnya ungkapan: "ku nantimu di pintu syurga". "Syurga'" di sini hanyalah sekadar perlambangan. Yang membawa konotasi 'puncak kebahagian'. Akibat dari hubungan kasih sayang yang amat hebat. Atau ungkapan 'akan ku hantar kau ke lubang neraka'. Membawa konotasi yang sebaliknya. Iaitu pembalasan paling hebat yang mampu dibayangkan oleh seseorang terhadap sesuatu yang amat dibencinya. Tentu sekali pengucapnya tidak berniat untuk menjadi Tuhan. Yang punya kuasa menentukan seseorang itu ke syurga atau ke neraka.

Sebagai audien yang tidak bodoh kita tentu sekali mampu mentafsir ungkapan-ungkapan sedemikian pada lapis yang sesuai. Dan cuba menikmati gaya bahasa yang digunakan.

Saturday, May 10, 2008

kursus haji bersiri: bab tawaf

.
Seperti biasa aku datang awal untuk mempastikan berjaya merebut lokasi dinding. Untuk menyokong tulang belakang. Bukan lokasi yang baik untuk mendapat input yang optima kerana pandangan ke layar putih dihalang oleh sebatang tiang yang besar. Jadi pembelajaran lebih bergantung kepada deria dengar.

Betul-betul santai. Bersandar. Tanpa pena tanpa buku nota. Ada ketikanya mata menjadi amat berat. Ada ketikanya terasa segar. Banyak bergantung kepada apa mauduk yang sedang diperkatakan.

"...untuk mengatasi masalah ini kita tidak perlu bertukar mazhab. Kita masih lagi beramal secara mazhab Syafie. Kerana salah seorang Imam dalam mazahab Syafie iaitu Ibn Syuraih berpendapat tidak batal air sembahyang bila bersentuhan lelaki dan perempuan bukan mahram jika persentuhan itu tidak mendatangkan err..apa yang orang teganu kata 'dok mari ghaa'. Heh.heh. Tapi ada orang kata. Ustaz, saya dok bulih. Kalu ssetuh mesti ghaa. Jenis nafsu kuatlah ni. Kalau orang jenis ni, dia bulih pakai pandangan Imam Nawawi. Imam Nawawi ni imam mazhab Syafie juga. Apa kata Imam Nawawi? Tidak batal air sembahyang jika persentuhan itu berlaku tanpa niat. Maksudnya bersentuh secara tak sengaja..."

Saturday, April 05, 2008

3D - matrix

Nasib baik ada Ustaz K. Jadi aku hanya berperanan cover Ustaz K. Takut kena flying kick. Salah seorang menunjuk aksi melawan. Menentang mata Ustaz K dan seolah-olah mengaum. Bimbang juga. Dalam keadaan sedemikian, tenaga mereka mungkin sudah diupgrade.

Syukur. Mereka akhirnya dapat ditenangkan.

Menurut boss mereka, bilik tempat bermulanya kejadian telah diperiksa. Ada tanda-tanda bilik tersebut baru digunakan untuk upacara pemujaan. Penyewa checkout awal pagi.

Ini bukan kali pertama budak-budak house keeping di sini kena histeria. Tapi sudah agak lama tidak berlaku.

"Nasib baik Ustaz ada. Terima kasih banyak-banyaklah..."

"Sama-sama. Tak apa-apa. Bagi mereka rehat. Kalau boleh esok bagi mereka cuti. Errr..kalau kita tengok ya..semua yang kena tu tak pakai tudung...harap-harap mereka tidak meninggalkan sembahyang" Ustaz K sempat berdakwah.

Menurut cerita, Brisdale memang menyimpan banyak sejarah misteri. Bilik-biliknya yang usang mungkin telah menjadi saksi pelbagai tragedi.

Nasib baik peristiwa tersebut berlaku tengah hari. Jadi tidaklah menggugat perancangan malam kami. Sesudah menekuni Solid Edge hingga jam 7 petang, kami terus menunggang monorel ke LowYatt. Sempat sambar Aspire 4715Z, Aztech ADSL2+, Aztech 802.11b/g USB 2.0 Adapter dan Kingston DataTraver 2G. Hangus RM2 ribu lebih.

Mendarat di Chow Kit hampir tengah malam. Sudi Mampir terletak di bawah monorel. Pekena nasi padang untuk menambahkan kandungan kolesterol.

Jamak taakhir Magrib Isya' di awal pagi. Ada rasa meremang bulu roma masa angkat takbir

Tuesday, March 25, 2008

nnatang

Di suatu petang, di sebuah wakaf berlaku dialog antara Bidin Nasi Dingin dengan Embong Budu.

"Teka teki. Ada 23 ekor lembu. Salah seekor mengangkat dirinya sebagai ketua. Ketua lembu tersebut mengeluarkan perintah supaya anak buahnya lintas jalan. Dia pun lintas jugak. Sampai ke seberang ketua bilang. 1, 2, 3 sampai 22. Dia heran. Cuma ada 22 ekor. Ha ha apasal?"

"Wuih..teka teki kkorok kering. Tak apa, aku jawab jugak la. Sebab salah seekor adalah BKU. Binatang kurang upaya. Hahaha ekor dia kudung. Jadi tinggal 22 ekor. Hahaha.."

"Salah. Lantaran mu ni jahil tukir, biar aku bagi jawapan. Jawapannya..jeng..jeng...sebab dia lembu. Lembu memang tak pandai mengira. Tak pernah belajar Matematik. Hahaha.."

"Nnatang..."

Wednesday, March 19, 2008

penasihat

"Siapa awek yang kau bawak malam tadi?"

"Pstt..kawan bertaraf isteri"

"Hahaha..badawi betul kau ni!"

Wednesday, March 12, 2008

khurafat

Kami ke Pulau Manis naik lori yang dipandu oleh Ayah Teh. Cadangan untuk sewa kereta dibatalkan untuk menjimatkan kos.

Aku dan Seli ditugaskan pegang periuk gulai kambing takut tumpah masa ambil selekoh. Dan tugas itu telah kami laksanakan dengan cemerlang.

Di wakaf berhampiran pusara Tok Ku Pulau Manis sudah ramai kanak-kanak setempat yang menunggu. Seolah sudah tahu rombongan kami akan tiba petang itu.

Sebelum berjamu gulai kambing dengan pulut kuning, Ustaz X yang menjadi 'penjaga' pusara mengadakan sedikit upacara ritual. Telor ayam yang kami bawa diletaknya dalam serepung yang tingginya lebih kurang 7 kaki. Ustaz X menjulang serepung dan tawaf pusara Tok Ku Pulau Manis sebanyak tujuh keliling sambil berselawat. Bertih dan tepung tawar yang kami bawa kemudian ditabur keliling kandang pusara.

Semasa pulang, aku dan Seli tak lagi duduk belakang lori. Tapi duduk di sebelah Ayah Teh. Ayah Teh nampak cukup ceria. Nazarnya untuk sembelih kambing jika sembuh dan dapat memandu lori semula sudah ditunaikan.

Dari cartridge Ayah Teh, terdengar pesanan Rafeah Buang:" Kata rangtua..anak dara menyanyi di dapur...kalau dapat suami.. boleh dipanggil ayah...". Dan ternyata kaedah yang digunakan oleh Rafeah untuk berpesan sangat berkesan. Buktinya, pesanan itu masih aku hafal hingga kini.

Selain pesanan Rafeah, aku juga masih hafal pesanan Ustaz Fadhil:" Khurafat yang paling besar yang melanda umat ketika ini adalah mempercayai bahwa hanya Barisan Nasional yang mampu memerintah..."

glosari:
serepung : tempat ayam mengeram. Dibuat dari buluh. Hujung buluh dibuat bilah-bilah dan dijalin/dianyam hingga membentuk seolah-oleh corong.

Monday, March 03, 2008

siasi vii

Ghazali bukan saingan sebenar Mahathir. Tetapi Razaleigh. Anak raja yang sering mendapat undi tertinggi dalam pertandingan naib presiden. Petanda bahawa dia merupakan orang nombor tiga di zaman Razak. Yang sepatutnya jadi nombor dua di zaman Husein.

Kununnya ada kompromi. Mahathir bersetuju akan lantik Razaleigh jadi nombor dua bila Husein berundur nanti.

Tapi Mahathir adalah Mahathir. Di belakangnya ialah Ananda dan Vincent. Di belakangnya ada Daim dan Adnan. Dan dia ingin mencari siapa lagi yang boleh menguatkannya untuk berhadapan dengan Razaleigh. Dia nampak Musa. Dia nampak Ghafar. Dia nampak Junid. Dia nampak Sanusi. Dia nampak Anwar!

Sunday, March 02, 2008

siasi vi

Ibrahim adalah tokoh yang paling lantang menuntut pembebasan Anwar. Di samping Fadhil dan orang-orang kuatnya dalam belia Islam seperti Sidek, Fuad, Kamaruddin dan Kamarudin. Namun dikatakan bahawa selagi Ghazali ada, jangan harap pembebasan itu berlaku.

Ghazali juga mengurung Kassim. Juga Samad Patah Sayap Terbang Jua. Juga dua orang Abdullah dari partinya sendiri. Ghazali juga berhasrat menahan Mahathir. Sebagai intro, SU ditahan dahulu. Melalui risikan, Ghazali mendapat tahu demontrasi besar-besaran akan berlaku seluruh negara jika Mahathir ditahan. Ghazali tak berani.

Sedikit cahaya harapan berkelip-kelip bila Musa menggantikan Ghazali. Husein mungkin ada strategi tertentu yang agak sukar dibaca.

Tuesday, February 26, 2008

siasi iv

Sebelum kemunculan protagonis Hadi, Asri terlebih dahulu berkonflik dengan watak sampingan Nasir. Suasana ini telah diambil kesempatan oleh perlente Ibrahim untuk menonjolkan dirinya. Sebenarnya tika itu Ibrahim masih lagi dalam pembebasan bersyarat. Sahabatnya Anwar masih di Kemunting kerana tak mau main syarat-syarat.

Ibrahim memang pakar dalam kerja-kerja mempanikkan orang ramai. Dengan pihak berkuasa berdiri di belakang, kerja-kerja Ibrahim menjadi lebih enteng.

Tayar-tayar buruk dikumpul dan dibakar. Orang surat khabar ambil gambar. Siar dalam surat khabar. Orang angkasapuri ambil gambar. Siar dalam tivi. Orang radio bercerita macam-macam dalam radio.

Ibrahim kumpul orang entah dari mana. Angkat pelbagai sepanduk. Orang surat khabar ambil gambar. Siar dalam surat khabar. Orang angkasapuri ambil gambar. Siar dalm tivi. Orang radio bercerita macam-macam dalam radio.

Serambi Mekah sedang huru-hara. Darurat diistiharkan.

"Darurak tahik kucing. Hok demo racce blako!" rungut Pok Teh Mat dari Kedai Lalat.

Dun dibubar. Nasir tubuh berjasa yang tak berjasa. Ibrahim jadi orang kuat.

Husein berjaya memikat Nasir bergabung dalam barisan . Matlamat mereka hanya satu. Bercumbu dengan Cik Siti Wan Kembang.

Thursday, February 21, 2008

siasi iii

Tak pasti. Sama ada Asri pernah menulis sajak atau tidak. Tapi Asri memang seorang deklamator yang hebat. Lantunan suaranya cukup power dan mampu menyerap ke kalbu audien.

Namun dia lebih dikenali sebagai pemimpin politik. Kerana peminat politik lebih ramai dari peminat puisi.

"Ni zaman orang dah naik ke bulan. Sajak sajak ni orang tak mainlah!" Kata Lias Jerong. Masa tu kebanyakan budak-budak pakai t-shirt dicop dengan Apollo 11. Kebanyakan bermutu rendah kerana lepas sekali basuh bahu dah terlondeh.

Asri bertahan menjadi kepala sesudah diceraikan oleh Husein. Sehinggalah muncul Hadi. Pendekatan Hadi membuat Asri makin tersingkir di kalangan akar umbi.

"Aku nak minta cerai" Bisik Asri kepada isterinya. Sambil menghembus asap More saiz panjang. Dia memang penagih tembakau yang tegar. Sama seperti timbalannya, Yusof.

Friday, February 15, 2008

siasi ii

Di tiang-tiang api. Di tiang-tiang telefon. Di peleh wakaf. Di dinding-dinding kedai. Di batang-batang nyiur. Di batang-batang sementa. Ada gambar Kassim. Ada gambar Cikgu Pa.

Kata emak, kita kena pangkah Cikgu Pa. Sebab Cikgu Pa orang Teganu. Kassim orang Penang.

Cikgu Mat Jeng kata kita kena pangkah Cikgu Pa. Sebab Kassim komunis!

"Kena kena pangkah Kassim!" ujar Pak Su. Seperti biasa Pak Su bercakap dengan tenang. Senyuman tak lekang dari bibirnya. "Kepala Lembu memperjuangkan nasib rakyat. Supaya semua rakyat dapat sama rata menikmati hasil bumi kita. Pemimpin kepala lembu berjuang bukan untuk tembolok sendiri. Bukan macam pemimpin dacing!"

"Kita nak pangkoh apa mak?" Aku.

"Wuih..mu dok leh ngundi. Mu budok-budok. Hahaha"

Masa tu Kak Long bekerja dengan Ku Mat. Calon kepala lembu DUN Batu Buruk. Menurut Kak Long, Ku Mat bukan komunis. Dia sembahyang macam kita juga, kata Kak Long.

Beberapa tahun lepas itu. Di asrama. Lias Jerong dye t-shirt fruit dengan lambang tukul dan sabit. Aku dye t-shirt pagoda dengan gambar tangan menjulang genggaman. Di bawah tangan menjulang penumbuk ada kata-kata 'das ende'.

Beberapa tahun lepas itu. Tika t-shirt 'das ende' aku dah lusuh. Husein menceraikan Asri. Cikgu Pa tetap setia bersama Asri. Walaupun masa itu dia dah jadi Timbalan Menteri.

Tuesday, February 12, 2008

siasi i

Sepanjang perlawanan Bugner asyik menutup muka dengan dua glovenya. Ali pula asyik mengacah-ngacah. Tak berani menyerang. Segala strategi Ali untuk mengulangi apa yang dilakukan terhadap Foreman hancur lebur.

"Maing macang natang berok..." Sumpah Mamat Kawah yang berasal dari kampung Butut Ulu Terengganu.

Tak lama selepas itu Harun pun tumbang. Segala strategi Husein menjadi. Ternyata Harun cuma petah berpidato tapi bebal dalam berstrategi.

"Maing macang natang berok..."Sumpah lagi Mamat Kawah yang berasal dari kampung Butut Ulu Terengganu.

Sunday, February 03, 2008

pemantapan

Berdepan dengan Mat Nong kami akan menjadi pendengar yang sabar. Mendengar lepas satu cerita, satu cerita. Lepas satu isu, satu isu. Tak putus-putus modal Mat Nong.

Kadang-kadang cerita Mat Nong amat menghiburkan. Kadang-kadang-kadang menyakitkan hati. Kadang-kadang membuat kita berfikir dan kadang-kadang membuat kita rasa dibodohkan.

Kalau kami nak bercakap juga terpaksalah kami memotong percakapan Mat Nong. Kalau tidak memang tak ada peluang nak bercakap. Ayat-ayatnya seolah tak ada tanda baca 'noktah' apa lagi 'koma'.

"Dari daerah kita ni aku sorang saja wakil kursus tu. Haha..tapi seronok juga. Penceramahnya best-best. Ada yang..."

"Kursus apa tu Nong?" Aku memotong.

"Kursus pemantapan akidah. Tapi aku heran juga pasal apa aku dipilih. Kebanyakan peserta lain adalah pengikut ajaran sesat. Macam pengikut Ayoh Ping, Hasang Anok Rima, Stopa Talapia, Arqam......"

"Hahahaha..."

Saturday, January 19, 2008

mabuk

Pagi datang lagi. Dan dia bertelanjang lagi. Cermin dua kali lima kaki itu dihadap lagi. Macam pagi kelmarin. Macam pagi kelmarin dulu.

Akukah itu? Ya, nampak macam aku.

Lalu ditampar-tampar pipinya. Dijegil-jegil matanya.

Ya, memang nampak macam aku.

Ditepuk-tepuk pula perut gendutnya. Dijegil lagi matanya.

Ya, ya..memang nampak macam aku. Nampak macam aku.

Dilurut-lurut pula anunya. Diredupkan matanya. Dia senyum. Anunya nampak baik. Melentok dan tidak membahayakan sesiapa.

Ya, ya, ya itu muka aku. Itu perut aku. Itu...itu (berfikir mencari istilah yang sopan) burung aku. Memang nampak macam aku. Nampak macam akuuuuuuuuuuuu.

Dia semakin yakin. Imej itu memang dirinya. Dan dia tidak mabuk.

Kau yang mabuk. Bukan akuuuuuuuuuuu.

Tuesday, January 15, 2008

sayang...

Dia menculik bukan untuk suka-suka. Juga bukan untuk mengalih tumpuan masyarakat dari isu-isu besar. Yang melanda Malaya sejak akhir-akhir ini.
Bergembiralah. Kerana kita adalah masyarakat yang penyayang. Dan pemimpin kita adalah pemimpin-pemimpin yang penyayang.

Wednesday, January 02, 2008

ayer manchur


Masa muda Rahim agak handsome juga. Ada iras-iras Rajesh Khana. Tapi Rahim tidak begitu gembira bila dibandingkan dengan aktor Bollywood itu. Kerana Rahim hanya meminati Charles Bronson dan Clint Eastwood.

Sementara menunggu bas balik ke asrama masa outing aku selalu lepak di kedai Rahim. Bukan untuk membeli jamu atau pelbagai ubat tradisional yang dijual di situ tetapi membelek buku-buku agama. Di samping ubat, kedai Rahim juga ada menjual buku-buku agama termasuklah kitab kuning. Antara buku yang aku beli di kedai Rahim ialah AlUbudiyah karya Ibn Taimiyah. Buku itu masih ada dalam koleksiku hingga hari ini.

Peniagaan Rahim bertambah maju. Jika ketika aku masih di alam persekolahan premis perniagaan Rahim hanya merupakan sebuah gerai yang amat sederhana, tika aku sudah mula bekerja Rahim sudah memiliki kedai yang agak besar di bandar itu. Sebut apa sahaja jenis ubat tradisional Melayu, pasti ada di kedai Rahim. Termasuk yang diimport dari negara jiran.

Nasib Rahim agak malang bila Chua Soi Lek menjadi Menteri Kesihatan. Dalam satu pemeriksaan oleh penguatkuasa, ubatan yang nilainya tidak kurang RM100 ribu dirampas dari kedai Rahim. Kerana kononnya ubat-ubat tersebut tidak mendapat kelulusan kkm.

Sejak kejadian itu, Rahim tidak lagi ghairah berniaga. Walaupun kedainya masih wujud, tapi tidaklah semeriah dahulu. Kata Rahim, yang menjadi mangsa adalah peniaga sepertinya. Sedangkan kedai-kedai singseh yang menjual cicak kering, biawak kering dan entah apa-apa jenis ubat tidakpun diambil peduli oleh pihak penguatkuasa.

Akhirnya perniagaan ubat tradisional Rahim gulung tikar.  Untuk menampung hidup, Rahim dan isteri cuba menceburi bidang katering.  Namun bukanlah mudah untuk beliau survive dalam bidang yang baru itu.

Tuesday, January 01, 2008

jahat

Ab. Rashid, 65, yang baru sahaja dilanjutkan perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR selama setahun pada 27 Disember lalu – selepas Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan beliau meneruskan tugasnya – berkata, BN tidak memerlukan pertolongan SPR untuk memenangi pilihan raya umum kerana parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.


‘‘Janganlah disebabkan pembangkang kalah dalam pilihan raya, SPR pula menjadi mangsa. Kita tidak pernah bantu BN untuk capai kemenangan dan sememangnya parti itu kuat dan ia mempunyai calon di semua kawasan pilihan raya. Sekiranya pembangkang mahu bersaing, mereka perlu letakkan calon seperti yang dilakukan oleh pihak BN,’’ katanya.


Ab. Rashid berkata, beliau terdorong untuk membuat cabaran seumpama itu kepada pihak pembangkang kerana mereka tidak pernah positif terhadap apa yang cuba dilakukan oleh SPR.


‘‘Mereka hanya tahu memperlekehkan usaha SPR dan mereka langsung tidak pernah menghargai apa yang kita lakukan. Sekiranya SPR tidak adil, tidak mungkin Kelantan kini diperintah oleh Pas.


‘‘Begitu juga dengan pilihan raya umum Sarawak tahun lalu yang mana kebanyakan kawasan bandar dimenangi oleh calon parti pembangkang.


“Adakah ini tidak cukup adil lagi bagi mereka?’’ tambahnya.

Monday, December 24, 2007

main air

Balik dari misi. Belek-belek mov dan jpeg. Pagi tadi sempat siapkan klip sepanjang 8 minit. Mov diimport ke dalam Video Studio 8. Susun ala kadar. Masukkan title ala kadar. Masukkan runut bunyi ala kadar. Save dalam format wmv. Supaya pengguna amatur tidak merungut. Masih ramai yang tidak ada codec yang sepatutnya dalam komputer masing-masing untuk memainkan avi.

Namun hasilnya tidaklah mengecewakan. Lagu Antara Dua Cinta sebagai muzik intro rasanya amat sesuai.

apa yang ada jarang disyukuri

apa yang tiada sering dirisaukan

nikmat yang dikejar baru kan terasa

bila hilang...

apa yang diburu timbul rasa jemu

bila sudah di dalam genggaman..

Jpeg tak berapa banyak. Cuma 65 keping. 112 MB. Dan ada banyak juga yang perlu direject dari projek. Antaranya adalah yang berikut:





Satu keluarga terkandas di gigi air Kampung Penor. Katanya nak balik ke Pekan. Akhirnya dapat menumpang bot tentera. Kami merelakan mereka pergi dahulu. Kami lambat sikit tak apa.


Abang RAMD yang super ramah. Bot laju mereka dengan muatan 13 orang

mengambil masa 40 minit dari gigi air kampung Penor ke gigi air Kampung Ubai.











Gigi air kampung Ubai.












Trak Armour membawa kami dari Kampung Ubai ke Pusat bandar Pekan mengambil masa satu jam setengah. Telah meredah air dengan jayanya.




Thursday, November 29, 2007

unit

Selain memiliki penembak tepat, unit ini juga punya beberapa cara lain untuk mencabut nyawa musuh. Termasuk merancang kemalangan.
Sasaran adalah manusia yang mereka istilahkan sebagai penjenayah yang sukar ditangani dengan menggunakan tatacara biasa. Termasuk pemerasugut yang memerasugut sangat sangat penting orang (sspo).
Sesudah unit melaksanakan pembunuhan, pihak penguatkuasa yang biasa akan menyiasat kasus tersebut. Yang biasanya akan ditutupkasus sesudah gagal mengesan pembunuh. Dalam banayak kasus, pihak tinggi penguatkuasa yang biasa sudah dimaklumi siapa punya kerja.
Cuma kasus akan menjadi sukar bila penyiasat persendirian masuk campur. Apalagi jika penjenayah awal-awal lagi sudah mengupah penyiasat persendirian untuk menjaga keselamatannya. Segala bukti sudah ada di tangan penyiasat persendirian yang sudahpun menyediakan rangkaian keselamatannya termasuk hubungan dengan pihak media.
Unit bakal menghadapi kesukaran bila berdepan dengan penjenayah tipa ini. Yang nampaknya tidak peduli risiko sindiket mereka diberi liputan. Lantaran tiada ayahtuhan yang perlu mereka lindungkan.

berkhidmat untuk negara




Wednesday, November 14, 2007

menyayat jiwa

Dulu Kamaruddin Mohd Noor adalah orang cerdik. Kemudian dia berkawan dengan orang-orang yang tak berapa cerdik. Sebab itulah Abe Loh yang hanya merupakan seorang penjaja kecil Wakaf Che Yeh boleh dikatakan jauh lebih cerdik dari beliau.

Sebagai bukti kita lihat komen yang diberikan oleh Abe Loh terhadap kenyataan Kamaruddin.

Kamaruddin: Kerajaan Pas tidak mungkin boleh memerintah begitu lama di Kelantan sekiranya benar dakwaan para pemimpin parti itu bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Abe Loh: Sekiranya SPR adil, PAS akan sapu bersih kerusi di Kelantan. Tak ada can UMNO menang satu kerusipun.

Tuesday, November 13, 2007

menyayat hati

Nasib Haji Abu Bakar bin Mohd Radzi dan Arni Nazira binti Deraman agak berbeza. Meskipun kedua-duanya menyertai perhimpunan.

Abu Bakar menyertai perhimpunan yang agak jauh dari rumah. Beliau terpaksa berkereta lebih lapan jam. Terpaksa pula melalui banyak tol. Terpaksa melalui banyak sekatan jalan raya. Dan kemudian terpaksa pula mandi air kimia Angkara budak-budak nakal yang nampaknya seronok betul dapat main meriam air.

Malangnya perhimpunan tersebut tidak diiktiraf oleh Malayan Book of Record. Perhimpunan anjuran NGO yang paling ramai disertai oleh rakyat Malaya. Sebaliknya Malayan Book of Record mengiktiraf perhimpunan yang dihadiri oleh Arni Nazira yang baru berumur 6 tahun. Sebagai perhimpunan para pengkhatam al-Qur'an prasekolah.

"Apa nama adik?"

"Arni Nazira"

"Adik ngaji sampai iqra' berapa?"

"Baru nak masuk iqra' tiga"

"Jadi adik belum khatamlah ye?"

"Khatam tu ape?"

"Ha ha ha.."

Sunday, October 28, 2007

satu nafas

Sila baca ayat berikut dalam satu nafas:

Ajal dan maut adalah di tangan Tuhan tetapi tidur di atas landasan keretapi ketika masih siuman tanpa niat membunuh diri adalah salah satu perbuatan yang sangat bodoh.

Wednesday, September 26, 2007

kenangan mengusik jiwa v

Lewat 70-an...

Rumah ustaz M merupakan tingkat atas sebuah deret kedai. Aku tiba agak lambat. Sebaik saja aku mengemaskan sila, majlis pun dimulakan. Ustaz M bercerita tentang solat dari segi tasawwur, kaifiat dan fadhilat. Peserta pada hari itu lebih kurang 15 orang. Bersila membentuk satu bulatan.

Aku agak terkejut juga bila ku dapati hanya aku dan temanku sahaja merupakan pelajar, sedangkan yang lain agak dewasa termasuklah tiga orang guru dari sekolahku(termasuk Ustaz M). Oleh kerana aku tidak membawa sebarang buku catatan, aku hanya menadah telinga sahaja sambil memerhati dari wajah ke wajah. Temanku nampaknya tekun mencatat.

Setelah majlis ditutup (rasanya bukan dengan tasbih kifarah dan surah Al 'Ashr, tetapi dengan doa olehUstaz M), hidangan ringan pun diedar. Isteri Ustaz M keluar menghidang makanan dan minuman dan dengan ramah bertegur sapa dengan para tetamu. Penampilan isteri ustaz M agak memeranjatkanku. Berambut pendek mencecah bahu, berbaju kurung kedah (lengan kontot) dan berkain batik yang agak sendat….

Thursday, September 20, 2007

batu buruk

Ada cadangan supaya nama 'Batu Buruk' ditukar. Alasannya nama tu 'buruk' benar bunyinya. Betul ke tu...

Dalam konteks Terengganu asli, 'buruk' tidak membawa konotasi 'tidak cantik' atau 'tidak baik' atau 'jahat'. Pengertiannya hanya satu iaitu 'tua dan rosak'. Barang yang 'buruk' adalah barang yang tidak lagi kelihatan seperti asalnya. Ia juga tidak lagi dapat berfungsi sebagaimana ketika ia 'baru'.

Namun kita harus berhati-hati dengan 'batu'. Kerana batu bukan sahaja dimengerikan sebagai 'sejenis galian bukan logam yang berat (tidak boleh ditempa dan tidak larut dalam air)' tetapi ia membawa pengertian yang pelbagai bergantung kepada konteks penggunaannya. Antaranya:

1. permata (untuk mata cincin dan lain-lain)
2. penjodoh bilangan bagi gigi
3. ukuran jarak
4. keras
5. testis

Oleh yang demikian, 'batu buruk' bolehlah didefinisikan sebagai 'batu yang telah tua dan rosak'. Batu apa yang tua dan batu apa yang rosak itu terserahlah kepada definisi nombor berapa yang kita ambil. Namun seminar tanpa permit yang di adakan di sebuah wakaf baru-baru ini hampir mencapai satu resolusi bagi nama yang lebih sesuai untuk Batu Buruk. Daripada banyak-banyak nama yang dicadangkan, nama 'Teruna Merana' agak menarik perhatian ramai perwakilan. Nama itu sedap disebut dan kedengaran agak puitis.

Wednesday, September 19, 2007

empat istilah

Beberapa tahun lalu, seorang menteri kanan Malaya nak tunjuk pandai. Beliau mencadangkan agar diharamkan penggunaan istilah yang mempunyai unsur kearaban (terutama bagi nama pertubuhan).

Aku pasti dia bukan berkelulusan jurusan bahasa dari mana-mana universiti. Mungkin jurusan ekonomi, mungkin jurusan undang-undang. Kalau tidak tentu dia tahu bahawa lebih 70 peratus kosa kata bahasa melayu adalah berasal dari bahasa arab. Selebihnya adalah kata pinjaman dari bahasa sangskrit, parsi, cina, jawa, bugis, thai, portugis, belanda, inggeris, dan lain-lain. Hanya ada empat istilah sahaja dalam bahasa Melayu yang tidak dapat dikesan bahasa asalnya. Iaitu paku, besi, padi, babi.

Malah, majoriti orang Melayu Malaya mempunyai nama yang kearaban. Termasuklah 'Aziz ' dan 'Rafidah'.

Wednesday, August 29, 2007

rombongan



Ketibaan kami di pekan Dungun disambut oleh azan Magrib yang baru berkumandang. Rombongan kami seramai sebuah bas berhenti di Masjid Tengku Intan Zaharah. Sesudah solat, Cikgu Alias selaku ketua rombongan berbincang dengan imam masjid dan kami dibenarkan bermalam di situ.

Pekan Dungun bukanlah asing bagiku. Ayahku pernah bertugas di sini dengan syarikat EMMCO yang mengusahakan bijih besi di Bukit Besi. Ketika umurku 6 tahun, kami menyewa rumah di kawasan setinggan Kampung Bijangga. Kemudian berpindah di Nibong Stesen, tidak jauh dari 'Bukit Tebuk'. Untuk ke pekan Dungun, kami akan naik kereta api kargo yang membawa bijih besi dari Bukit Besi ke jeti Sura. Tidak banyak yang aku ingat mengenai kehidupan di Dungun kerana kami balik kampung sebaik aku memasuki alam persekolahan. Tetapi ayah tetap tinggal di Dungun sehinggalah lombong bijih besi Bukit besi berhenti beroperasi pada tahun 1970.

Esoknya, awal-awal lagi kami mendapat maklumat bahawa penceramah utama tidak dibenarkan masuk ke kampus ITM atas arahan pihak atasan. Pihak penganjur akhirnya berjaya mendapatkan alternatif - sebuah bilik darjah di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail.

Imam Masjid telah bermurah hati menaja sarapan pagi kami. Beehon goreng dan teh 0. Sesudah bersarapan, kami bertolak ke Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail. Tiba di destinasi, hadirin belum ramai yang tiba tetapi 3 orang penceramah telah berada di atas pentas yang dibina menggunakan meja murid. Jadi rombongan kami memenuhkan ruang hadapan. Sebuah bilik darjah yang hanya mampu menampung muatan lebih kurang 60 orang.

Aku duduk betul-betul di hadapan rostrum. Bersebelahan Mohd Apni Hassan yang merupakan juara talentime sekolah kami tiga tahun berturut-turut dan Che Razali Senik yang merupakan juara larian jarak jauh sekolah kami.

Majlis dimulakan sesudah orang ramai bersesak-sesak. Yang lewat terpaksa pasang telinga di luar kelas. Kedua-dua pintu sudah tersumbat dengan manusia. Pengerusi majlis, seorang pemimpin pelajar agak sedikit emosional. Beliau sungguh kesal dengan tindakan pihak tententu yang cuba menghalang majlis yang cuba mereka anjurkan. Menurutnya, pihak berkuasa kampus yang menjadi 'barua' pemerintah adalah dalangnya.

Penceramah pertama sungguh segak. Berbaju melayu,berseluar dan bersongkok hitam. Walaupun agak serius, beliau kelihatan sungguh tenang dan olahan bahasa yang beliau gunakan amat memikat. Penceramah kedua agak menghiburkan. Analogi yang dibawa meskipun kadang-kadang melucukan tetapi amat sinis. Beliau kadang-kadang lantang dan bersemangat. Penceramah terakhirlah yang kami tunggu-tunggu. Memang beliau sungguh berkarisma. Sebagai mukaddimah, beliau menegur sikap pengerusi majlis yang nampaknya agak emosional: "Jangan kita marah-marah. Musuh akan guna kemarahan itu untuk menewaskan kita.." Kemudian beliau berbicara tentang penjajahan pemikiran dan era kebangunan Islam. Menyeru kepada Islam yang syumul. Antara ungkapannya yang masih aku ingat ialah: "Barisan pemimpin negara kita adalah hulubalang-hulubalang penjajah…"

Di dalam bas, sepanjang perjalanan pulang ke asrama, kami dengar berulang kali ucapan yang telah dirakam. Penceramah pertama dikenali sebagai Ustaz Abdul Hadi bin Awang (Pengerusi ABIM Terengganu), penceramah kedua Ustaz Fadhil Mohd. Noor(Timbalan Yang diPertua ABIM Pusat) dan penceramah terakhir ialah Saudara Anwar Ibrahim (Yang di Pertua ABIM Pusat) yang baru di bebaskan dari Penjara Taiping kerana terlibat dengan demontrasi membela petani-petani di Baling.

Tuesday, August 28, 2007

pembangunan

Dengan sistem pemerintahan yang teratur itu, negara kita mula menikmati pembangunan. Jalan raya dan jalan kereta api banyak di bina. Bangunan-bangunan pentadbiran di bina di bandar-bandar. Pelbagai jabatan diwujudkan bagi kemudahan rakyat. Sebagai rakyat kita patut banyak-banyak rasa berterima kasih.

Kata Abang Leh, kedatangan British ke Tanah Melayu benar-benar satu rahmat. Merekalah yang mengajar kita erti pembangunan.

Pembangunan!

Saturday, August 25, 2007

kereta, dulu orang panggil motokar

Dulu. Lama dulu. Kalau kau memandu di kampung aku. Dau kau terlanggar penunggang basikal atau orang melintas jalan, jangan sekali-kali kau berhenti. Kerana Mamat Cekkong, Dollah Sipit, Mat Butir Nangka, Embong Budu, dan beberapa orang lagi yang sedang hurung papan dam atas wakaf akan sentiasa bermurah hati untuk mewujudkan beberapa biji telur atas kepala kau. Kerana mereka berpegang kepada falsafah: "Adapun peluang untuk memukul manusia tiadalah mudah untuk ditemui. Lantaran itu gunakan peluang yang ada sebaik-baiknya".

Nasib kau agak baik jika tika itu ada Ayah Wan Tok Ddekor yang akan menenangkan keadaan. Kalau tidak kau mungkin akan terpaksa di usung balik ke rumah.

Masa itu Mamat Cekkong, Dollah sipit, Mat Butir Nangka, Embong Budu belum memiliki kereta. Kenderaan utama mereka ialah basikal. Memang penunggang basikal tidak dapat memahami pemandu kereta.

Sekarang. Hampir semua keluarga di kampung aku sudah memiliki kereta. Sekurang-kurangnya Datsun 120y. Jadi mereka lebih memahami pemandu kereta. Oleh itu kau usah terlalu gabra bila tersilap langgar budak melintas jalan di kampung aku. Malah, Suku sakat Mamat Chekkong atau Dollah Sipit atau Mat Butir Nangka atau Embong Budu mungkin akan berkata:" His..budak ni lintas jalan memang tak pandang kiri kanan..."

Monday, June 11, 2007

taman selera

Ada banyak pilihan di taman selera. Kalau nak makan nasi ala kampung singgahlah di gerai Pak Sanong. Ada segala ulam untuk menambah selera. Jering, petai, kerdas. Juga celur jantung pisang, celur petola ular, celur kacang panjang. Pucuk pegaga, pucuk putat, pucuk ulam raja, pucuk serai kayu pun ada. Pucuk pauh? Pucuk pauh kadang-kadang ada kadang-kadang tak ada. Buat pasangan yang ingin menjarangkan kelahiran, eloklah makan pucuk pauh. Sambil makan bacalah mentera Melayu (bukan mentera Malaysia) ini:

hei...makanlah pucuk pauh
jangan makan pucuk putat
hei...tidurlah jauh-jauh
jangan tidur dekat-dekat...

Kalau nak rasa nasi padang, singgahlah di gerai Wak Biang. Sebenarnya Wak Biang bukan orang Jawa. Tapi orang Makasar. Memang tabiat orang kita ni, asal datang dari seberang dan agak tua sedikit terus bagi title Wak. Tapi, tak apa. Sebab Wak Biang memang suka dipanggail sedemikian.

Di gerai Wak Biang ni seronok jugak. Kalau tak sibuk, Wak Biang akan bercerita pengalaman pertualangannya ketika menjadi kelasi. Termasuk pengalaman penyeludup senjata untuk pejuang-pejuang Indonesia menghalau Belanda. Sebenarnya Wak juga ingin menyeludup senjata ke Tanah Melayu. Tetapi tidak ada pelanggan. Kerana orang Melayu tak mahu halau Inggeris. Orang Melayu anggap Inggeris kawan mereka. Yang memberi kemakmuran kepada mereka. Orang Inggeris hanya beri balik Tanah Melayu kepada orang Melayu sesudah mereka tidak lagi mampu menghadapi gerila komunis. Menurut congak mereka, sokongan rakyat terhadap gerila akan terhapus bila Tanah Melayu diberi kemerdekaan.

Kalau nak makan nasi budu singgahlah di gerai Pok Seman. Sambil makan kita boleh lihat video dikir barat. Walaupun dikir barat tu bukan lagi dikir barat kerana apa yang dihidangkan sebenarnya adalah lagu-lagu saduran dengan lirik loghat Kelantan. Antara yang agak menarik ialah lagu katak gila. Antara liriknya:

..ogre panggil kkatok
..kalu di amreka...its crazy frog!

Sebenarnya banyak lagi gerai nasi yang ada di taman selera ini. Termasuk gerai penjual-penjual muda seperti Ustaz Yazid dan Mek Nisah.

Kalau tak mahu makan nasi berlauk, boleh saja singgah gerai-gerai yang menyediakan masakan panas ala Thai. Ada tomyam, ada mi sup, ada nasi goreng pattaya dan banyak lagi.

Sambil-sambil tu kalau ada duit lebih bolehlah membeli di gerai-gerai makanan ringan yang banyak terdapat di situ. Kerepek pisang, keropok 'makan selalu', sagong, bepang, kerepek ninja, sleman, apik-apik, kutukua, rokok arab, biskut sagu, asam gelugor manis dan banyak lagi. Biasanya makanan ringan ini amat laris. Berfalsafah Awang Romli, salah seorang penjual makanan ringan di situ: "Makanan berat dan makanan ringan adalah makanan. Janganlah kerana ringannya sesuatu makanan itu maka kita menidakkan statusnya sebagai sejenis makanan..."

Wednesday, May 30, 2007

uji iman

Dikatakan bahawa beruntunglah seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita cantik yang amat disukainya. Ketika itu keadaan amat 'selamat'. Langsung tidak ada kemungkinan adegan yang panas itu akan tersebar. Bilik itu sudah disahkan betul-betul tidak ada kamera litar yang diselitkan di mana-mana celah. Tetapi lelaki itu menolak dan berkata: "Aku takut kepada Allah".

Kenapa? Kerana dia telah membuktikan keimanannya. Bukan iman dalam bentuk dakwaan. Tetapi telah teruji.

Cerita lelaki menguji iman ini mungkin sudah popular di wakaf-wakaf atau di kedai-kedai kopi di daerah tertentu. Untuk yang tidak suka duduk di wakaf dan yang ke kedai kopi hanya sekadar untuk makan roti canai atau nasi lemak bersama teh tarik atau koko sejuk, padahal mereka perlu tahu bahawa kedai kopi adalah media maklumat yang agak efektif, maka dihidangkan cerita ini. Mudah-mudahan ada iktibarnya.

Ustaz Abdul Hamid Deraman (bukan nama sebenar) ke Bangkok bersama rombongan jabatannya. Segala perbelanjaan ditaja oleh seorang kontaraktor yang banyak dapat projek di jabatan itu.

Untuk meluaskan pengetahuan tentang rencah hidup manusia di samping menguji iman sendiri, maka pada satu malam Ustaz Abdul Hamid mengunjungi sebuah kelab tarian bogel.

Ustaz Abdul Hamid agak terkejut. Bukan penari-penarinya sahaja yang bogel, malah pelayan-pelayan dan petugas kaunter pun bertugas dalam keadaan bogel.

"Subhanallah..." Ustaz Abdul Hamid bertasbih tak putus-putus.

Dipendekkan cerita, Ustaz Abdul Hamid didatangi oleh seorang pelayan yang sungguh cantik. Umur belasan tahun. Menggoyang-goyang badan yang tanpa seurat benang itu di depan Ustaz Abdul Hamid.

"Astarghfirullahalazim..."Ustaz Abdul Hamid beristighfar. Terputus-putus kerana debar di dadanya terasa amat kencang.

Perempuan itu semakin merapatkan badannya. Dan sesekali dada dan punggungnya tersentuh bahu Ustaz Abdul Hamid yang sedang duduk di kerusi.

"Lahaulawalaqutaillah billah..." Ustaz terus bertahan. Imannya masih kebal.

Tiba-tiba perempuan itu duduk atas riba Ustaz Abdul Hamid.

"Alhamdulillah..." Spontan terpacul dari mulut Ustaz Abdul Hamid.

Thursday, April 12, 2007

kemelut emas hitam

Mimpiku malam tadi tidak termasuk dalam kategori seram. Meski yang muncul dalam mimpi itu orang yang telah mati. Digantung dengan mata terjegil keluar dan lidah terjelir panjang.

Simpatiku padanya pun tidak seberapa. Kerana aku tahu dia telah membunuh banyak jiwa. Meskipun dengan alasan menjaga ketenteraman negara. Seperti lain-lain pemimpin negara juga, dia mengetuai satu kerajaan yang mempunyai kaki tangan awam yang setia. Yang sentiasa bersedia melaksanakan perintahnya. Termasuk membunuh.

Bukankan kesetiaan itulah yang selalu kita laung-laungkan?

Kau mungkin mengatakan kematiannya adalah lambang tewasnya seorang lelaki di tangan seorang lelaki lain yang menjadi musuhnya. Lelaki yang kununnya kini paling berkuasa di dunia. Yang telah mengulangtayang adegan Fir'aun yang mendakwa mampu memati dan menghidupkan.

Apa gunanya menjadi lelaki paling berkuasa di dunia jika tidak mampu mencapai apa yang dihajati. Hajat yang mampu dicapai dengan menggunakan segala kekuatan yang ada. Dan apa lagi puncak kekuatan kalau tidak kemampuan membunuh.

Kau belum dianggap kuat jika tiada kemampuan membunuh. Tiada instrumen untuk melaksanakannya dengan berkesan.

Itulah yang berlaku kepada lelaki yang muncul dalam mimpiku itu. Terjegil biji mata dan terjelirnya lidah melambangkan yang dia telah tewas. Dan aku amat tidak gembira dengan cara ketewasannya. Meskipun aku selalu mengharapkan dia tewas. Tewas di tangan para pejuang akidah tauhid.

Tetapi lelaki yang kunun paling berkuasa itu ternyata licik. Sebenarnya dia bukan ingin sangat membunuh lelaki tewas itu. Hanya sekadar untuk mempastikan negara itu tidak jatuh ke tangan para pejuang akidah tauhid. Yang akan memungkinkan pergabungan dua dua negara yang bisa menjadi satu kuasa besar.

Tetapi percayalah. Negara lelaki yang kunun paling berkuasa itu pasti akan tumbang juga. Kerana perjuangannya mereka berpaksikan kepada hasrat yang sangat rapuh. Hanya sekadar ingin mempastikan mereka menjadi kuasa tunggal memiliki sumber emas hitam. Dan mereka semakin yakin bahawa hanya pejuang tauhid yang mampu menghalang cita-cita itu.

Menggantung lelaki yang tewas itu bukanlah 'matlamat'. Hanya 'wasilah'. Sekadar satu 'taktikal' untuk menghalang kemenangan pejuang akidah tauhid.

Dan mimpiku malam tadi tetap sebuah mimpi. Mainan tidur yang tidak mampu merubah kemelut yang entah apa-apa ini. Namun, kalau kau bersetuju kita namakan saja kemelut ini sebagai 'kemelut emas hitam'.

Siapakah kita dalam kemelut ini?

Sunday, April 08, 2007

terubuk masin

Jumaat. 6 April 2007. Jam 10:00 malam. Menjamu selera di restoran seafood paling terkenal di Matang. Di dinding tergantung banyak plat ucapan dan tandatangan personaliti-personaliti dari Malaya yang pernah menjamu selera di sini. Aziz M.Osman, Nora Danish dan ramai lagi. Pada malam itu pemilik restoran tak perasan bahawa seorang blogger terkenal sedang makan di restorannya. Kalau tidak tentu dia dah bagi plak untuk memuji restorannya dan turunkan tanda tangan. Ha ha ha.

Siang tadi sudah beli ole-ole terakhir. Memenuhi pesanan beberapa orang kenalan. Untuk itu terpaksalah sekali lagi ke pasar Satok dan berurusniaga di gerai UiTM (Usahawan ikan Terubuk Masin). Tak boleh beli awal kerana terubuk itu perlu dimasak selewat-lewatnya 3 hari. Kalau tidak, rasanya tidak lagi sebagaimana sepatutnya. Wow, ada beberapa orang Malaya yang sedang menunggu terubuk dibungkus kemas sesuai untuk menaiki pesawat. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa terubuk-terubuk tersebut sebenarnya diimpot dari India atau Myanmar atau Thailand. Hanya dimasinkan oleh pakar-pakar pemasin Serawak. Terubuk Serawak terlalu mahal dan jumlahnya amat terhad.

Wednesday, April 04, 2007

water front

Pabila mentari terbenam, suasana di Water Front bertambah meriah. kau boleh lihat pelbagai ragam manusia. Pelbagai 'jual-beli' juga berlaku di sini. Berhati-hati. Jangan tersalah jual dan jangan tersalah beli. Maklumlah, kau jauh dari kampung halaman. Kau jauh dari yang tersayang.

Dari Water Front kau boleh lihat permandangan yang amat indah di seberang. Istana King Brooke dan Kota Magherita penuh bercahaya. Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dalam pembinaan juga disinari cahaya. Kerja-kerja pembinaan berjalan 24 jam. Perlu disiapkan sebelum Ketua Menteri yang ada kini bersara.

Untuk ke seberang kau boleh naik sampan dengan tambang 30 sen. Masa yang diambil untuk bersampan ke seberang cuma 2 minit.

Di seberang, acara yang paling utama ialah mengisi perut. Seekor terubuk bertelur bakar hanya sekitar 40 ringgit. Dan jangan lupa juga mencuba laksa Serawak. Kalau makan nasi, cuba cari kedai yang menyediakan lauk botok, gonjeng, dan umai.

Sesudah kenyang bolehlah kau bersampan lagi. 30 sen 2 minit. Sebelum pulang ke hotel, bolehlah beli gambir Serawak. Sangat mustajab untuk mengurangkan sakit gigi.

Wednesday, March 28, 2007

lembut, keras, ringan, dan berat

Di Wisma Saberkas beli sehelai kemeja yang kunun harga asalnya RM109.00. Ada potongan 70%. Sebelum itu sempat belibelahtingkap hardware dan software di sebuah kedai komputer yang agak besar di situ.

Sambil mengunyah sate di gerai malam Satok, Nicholas Ajan ak Nanggai bercerita. Ketika sesi yang lalu yang mengisi Hiluxnya bukanlah peserta seperti kami. Semuanya peserta wanita. Mereka mahu merasai pengalaman di pub. Lalu beliau membawa mereka masuk dari pub ke pub di sekitar Kuching. Relax-relax. Lihat persembahan. Minum-minum.

"Yang untungnya akulah. Aku seorang sahaja lelaki. Bila order minuman, semua kami order heavydrink. Nak order softdrink mahal sangat. Tapi yang minum aku sorang saja. Mereka order, aku yang minum. Ha ha ha ha"

Saturday, March 17, 2007

buaya di air jernih

Sungai kampung kami tak ada buaya. Seperti kata orang Kelantan "Kleo woto no boyo" (clear water no buaya).

Sebab itulah bila ada buaya yang timbul di sungai kampung kami, ia menjadi sesuatu yang anih. Lalu dikaitkan dengan peristiwa tertentu. Kebetulan pada ketika itu kampung kami baru saja digemparkan dengan peristiwa haruan makan anak. Yang memainkan peranan haruan ialah Pak Itam (bukan nama sebenar). Mangsa adalah anak gadisnya yang lebih dikenali dengan panggilan Semek yang ketika itu berusia 16 tahun. Semek yang berhenti sekolah selepas darjah enam adalah seorang gadis yang menarik (walaupun ketika itu aku baru berumur 9 tahun, aku dah dapat mengukur nilai estetika makhluk yang dinamakan 'wanita').

Walau bagaimanapun, pemimpin-pemimpin kampung kami telah berjaya menyelesaikan kes itu dengan "baik". Anak yang dikandung oleh Semek berjaya dihalang dari mengenal dunia. Khabarnya dengan bantuan kepakaran seorang tok bidan. Tiada bahan peledak C4 diperlukan bagi meletupkan Semek.

Sejak peristiwa itu, Pak Itam membisukan dirinya. Tidak lagi bercakap dengan sesiapa. Dan dia tidak lagi melihat muka sesiapa. Mungkin itulah cara Pak Itam menghukum dirinya sendiri sehinggalah dia dipanggil pulang oleh Allah SWT beberapa tahun yang lalu.

Semek masih hidup sehingga hari ini. Menjual makanan di pasar malam bersama suaminya. Dibantu oleh anak gadis mereka yang comel.

Tiap kali melihat Semek, pasti aku akan terkenangkan Pak Itam. Juga terkenangkan buaya yang timbul di sungai kampung kami.

Wednesday, March 07, 2007

kulit durian

Esok jam 9:00 malam kami akan bertolak. Di jangka solat Subuh di Kuala Perlis. Sahabat akan jemput di jeti jam 8:30 pagi. Semoga misi Langkawi kali ini berjalan lancar.

Langkawi mengingatkan aku kepada Azmi Loyar. Entah di mana dia sekarang.

"Kau orang tahu tak apa yang orang Langkawi buat dengan kulit durian?" Azmi bertanya agak serius.

"Kulit durian..kulit durian..Aaaa...mereka buat handcraft" Arbaiyyah cuba meneka.

"Tak..tak..mana ada buat handcraft dengan kulit durian" Azmi.

"Mereka kisar kulit tu. Campur dengan air gamat buat ubat!" Nurul pula cuba menelah. Campur nak buat lawak.

"Salah..salah..kau orang nak tahu apa orang Langkawi buat dengan kulit durian? Sebenarnya orang Langkawi campak kulit durian dalam tong sampah! Macam kau orang jugalah...Ha ha ha" Azmi gelak sakan.

Arbaiyyah dan Nurul menyumpah-nyumpah Azmi.

Sunday, February 18, 2007

kenangan mengusik jiwa iii

Untuk skodeng Cik Bee, kami terpaksa panjat pagar zing setinggi tujuh kaki. Agak menyukarkan bagi penskodeng amatur seperti kami.

Agak menakjubkan juga. Cik Bee yang berbog*l itu tergedik-gedik. Tidak menghiraukan dirinya yang sedang diskodeng. Wau... warna yang dominan ketika itu adalah merah jambu. Pink!

Tiba-tiba apek muncul dengan senjata terhunus.

"Zappp!" Dan darah menitis dari bont*t Cik Bee.

Di tangan apek ekor itu meliuk-liuk seketika. Kemudian terkulai. Sambil menyanyi-nyanyi, apek membawa ekor itu ke dapur.

Kami tak pasti apakah menu Si Apek untuk tengah hari itu. Cuma sejak akhir-akhir ini aku selalu terfikir-fikir apakah sup ekor cik bee setanding khasiatnya dengan sup ekor cik bu atau cik bau.

Rujukan:
1. cik naga
2. cik young
3. cik tanah

Friday, January 26, 2007

qawwam mayang

Lepas Subuh tadi Ustaz Mat ajak ke Qawwam Mayang.

Pagi terlalu muda. Kami pelanggan paling awal. Wakaf di sebelah masih kosong. Kumpulan yang mendendangkan lagu puisi untuk persembahan pagi Jumaat belum tiba. Jadi, tak dapatlah menjamu telinga. Hanya jamu perut dengan mi jawa dan roti arab.

Mereka. Ahli-ahli Qawwam Mayang yang mengusahakan gerai itu. Tidak lagi bertocang. Dah tukar penampilan dengan berskaf ala Pirates of The Carribean.

Dari dapur terdengar doa Chairil Anwar:

Tuhanku...
aku hilang bentuk
kembara di negeri asing....

Friday, January 05, 2007

mahligai keadilan



Syuhaib: Tu rumah apa?

Izyan: Palace..istana..istana!

Nasuha: Ooo..istana raja Putrajaya ke?

Isteri Labu: Heh..heh..heh..itu bukan istanalah. Itu mahkamah. Nama mahkamah ni Palace of Justice. Tempat bicara orang yang dituduh buat salah.

Syuhaib: Tempat Saddam Husin kena gantung!

Isteri Labu: Bukan, bukan. Ini bukan tempat gantung orang. Ni tempat nak check orang tu salah ke tidak..

Nasuha: Sapa tukang check?

Isteri Labu: Hakim, polis, lawyer..bla..bla..bla..bla..bla..

Labu: :-) 3 $ * @ # % ^ ~

Wednesday, December 27, 2006

ceritera yang entah keberapa

Maka sembah Demang Lebar Daun,"Barang maklum duli tuanku yang Maha Mulia, biarlah urusan sepak bola ini diserahkan ke atas bahu anak cucu patik. Biarlah anak cucu tuanku menjadi tukang tengok sahaja. Kerana jika anak cucu tuanku masuk campur, tiadalah berani anak cucu patik membantah walau bagaimana besarpun silap perhitungan anak cucu tuanku itu. Dari hal demikian maka akan daiflah pasukan sepak bola kita itu"

Maka titah Sri Tri Buana, "Baiklah paman, kabullah beta akan waad itu". Maka baginda pun bersumpah-sumpahlah dengan Demang Lebar Daun. Titah baginda, "Barangsiapa raja Melayu mengubahkan perjanjiannya, akan aib jualah akibatnya. Tiadalah kemenangan malah kekalahan jualah sudahnya."

Friday, December 15, 2006

pendengar

Bila berdepan dengan orang yang rajin bercakap, biarlah kita menjadi pendengar yang setia. Tunjukkan yang kita berminat dengan apa yang dicakapkannya. Apalagi kalau yang disembangkan itu sesuatu yang serius. Kalau dia ada menyelitkan dengan sesuatu yang lucu, ketawalah. Jangan pula kita jadi pendengar yang serius memanjang.

"Kalaulah Anwar itu umpama P.Ramlee, maka dua orang Kamaruddin tu umpama Aziz Satar dan S.Shamsudin. Fuad Hassan tu pula bolehlah kita umpamakan Ibrahim Din. Hanya menumpang hebat orang lain.

Adik dia Jalaluddin Hassan. Alah...pelakon teater yang hebat tu. Kemudian menjadi hampeh bersama dunia glamor. Tak macam Eman Manan yang pandai pilih skrip dan pengarah. Si Jalal ni gomol belaka. Asal dapat duit.

Abang dia Musa Hasan. Yang akhirnya jadi ketua polis kerana kebijaksanaannya merekacipta bukti kes liwat Anwar. Ha ha..yang pikul tilam tu. Aaaa...ada berapa tompok air mani? Empat belas? lima belas? Aku lupa daaa...Ha ha ha.."

Ha ha ha

Friday, November 10, 2006

pemikir dan penganalisis

Pemikir dan penganalisis sukan terkenal, Abdul Rahim Tuanku berpendapat siri kemenangan yang dikecapi oleh pasukan bimbingan jurulatih Wan Mokhtar Mamat bukanlah kayu ukur untuk menilai prestasi Wan Mokhtar. Menurut beliau, kemenangan-kemenangan itu bukan disebabkan oleh kecekapan Wan Mokhtar sebagai seorang jurulatih tetapi lebih disebabkan kelemahan lawan mereka. Lawan-lawan mereka adalah pasukan cap ayam.

Selama tujuh hari tujuh malam Mat Yeh berfikir dan menganalisis apa yang telah difikir dan dianalisis oleh Abdul Rahim. Namun dia gagal menemui suatu formula yang meyakinkan. Akhirnya Mat Yeh memohon bantuan Abdul Rahim.

"Untuk menyingkirkan Wan Mokhtar?. Ah, senang sahaja. Yang penting, kita kena atur strategi agar pasukan bimbingannya tewas." Abdul Rahim penuh optimis. Lalu mengemukakan satu pelan strategik dan modus operandi bagaimana untuk merealisasikan hipotesisnya.

Apa yang difikir dan dianalisis oleh Abdul Rahim memang benar. Sesudah menghabiskan jutaan Dollar Amerika untuk menyogok para pemain, pengadil dan penjaga garisan, akhirnya pasukan bimbingan Wan Mokhtar pun tewas. Wan Mokhtar pun disingkir dari menjadi jurulatih bolasepak. Untuk mengubat hatinya yang duka lara, dia diberi tugas baru iaitu sebagai jurulatih pasukan bola jaring.

Pasukan bola sepak itu kini di bawah bimbingan Mat Yeh. Dan pasukan itu akan terus menang. Bukan kerana Mat Yeh seorang jurulatih berkaliber. Tetapi kerana lawan mereka adalah pasukan cap ayam.

Sunday, November 05, 2006

adegan yang amat tragis

Sultan : Khabarnya datuk tidak suka rakyat memanggil datuk dengan panggilan 'datuk'. Datuk lebih suka rakyat memanggil datuk sebagai Pakcik, Abang, atau Pak M. Benarkah khabar yang beta dengar itu?

Datuk Menara Sura: Ampun tuanku. Amat benarlah apa yang tuanku dengar itu. Patik berjiwa rakyat, tuanku. Ampun tuanku.

Sultan: (murka) Hulubalang! Bawa Datuk Menara Sura ke bilik pasongan. Pancong kepalanya tengah hari esok di depan rakyat jelata. Telangkupkan juga rumahnya biar tiang di atas atap di bawah. Sebagai pengajaran kepada anak cucu kita.Berani dia menghina beta. Menganggap anugerah yang beta berikan tak bermakna apa-apa.

Datuk Menara Sura: (Menangis tersedu-sedu) Tuanku....

Saturday, October 07, 2006

tok guru pisang lembik

Sudahkah anda membuat keputusan tentang jenama kuih yang akan anda hantar ke rumah jiran anda sebelum berbuka puasa petang ini? Atau anda bercadang menghantar buah-buahan saja. Kalau anda tidak ada kebun atau kebun anda tidak berbuah, eloklah anda memetik buah di pasar. Yang penting, berilah yang elok-elok. Yang baik-baik. Bukan yang sudah tidak kita perlukan. Atau lebihan yang kita bersahur pagi tadi. Itulah suruhan agama kita. Yang selalu diperingatkan oleh tok guru-tok guru kita, termasuklah Tok Guru Pisang Lembik.

Alkisah, di sebuah kampung terdapat seorang tok guru yang agak glamer. Ramai orang datang ke suraunya untuk mendengar beliau mengupas kitab kuning. Sama ada ketika kuliah Magrib atau kuliah Subuh. Ilmu agamanya agak tinggi juga. Khabarnya, tika muda beliau pernah belajar di beberapa pondok agama di Kelantan dan Patani.

Konon ceriteranya, beliau banyak menanam pokok pisang di belakang rumahnya. Ada peraih tetap yang datang membeli pisang-pisangnya itu. Oleh kerana peraih itu kadang-kadang datang tidak menentu, maka ada ketikanya pisangnya menjadi terlalu masak dan lembik. Pisang yang sedemikian tidak diterima oleh peraih. Peraih hanya mahu yang masih mekar. Oleh yang demikian, pisang-pisang lembik dan hampir busuk serta tidak lagi enak di makan itu selalunya dibahagi-bahagikan sahaja oleh isteri tok guru tersebut kepada jiran-jirannya.

Suatu hari Tok Guru agak marah akan isterinya. Puncanya ialah kerana beberapa sikat pisang yang mekar dan segar telah dibahagi-bahagikan oleh isterinya kepada jiran-jiran.

"Kan dalam kuliah Subuh pagi tadi Abang Aji ada kata kita kena beri yang elok-elok kepada jiran?" Isteri Tok Guru memberi alasan.

"Mak Aji oooiii...yang aku maksudkan dalam kuliah Subuh tadi,erk....kalau jiran-jiran kita nak bagi apa-apa kat kita, bagilah yang elok-elok...Uh!" Tok Guru merengus agak kasar.

Saturday, September 30, 2006

telur masin

Berbohong atau memberi fakta-fakta palsu adalah berdosa. Tak kira pada bulan puasa atau pada bulan tak puasa. Tak kira kepada orang dewasa atau kepada kanak-kanak. Janganlah kita sangka kita mempunyai lesen besar untuk berbohong kepada kanak-kanak.

Contohnya, kelmarin. Kau dijemput berbuka puasa di rumah kakak kau. Ada tomyam. Ada kerapu masam manis. Ada daging masak merah . Ada kangkong goreng belacan. Ada telur masin (telur asin?).

Anak buah kau yang comel. Baru berumur empat tahun setengah tapi amat keletah. Bertanya kau. Dari mana datangnya telur masin dan mengapa ia menjadi masin. Kau pun dengan penuh berwibawa memberikan jawapan:

"Telur masin ni? Heh heh. Telur masin ni adalah telur itik. Ia datangnya dari Singapura. Heh heh. Erk..Penternak itik tu namanya Lee Kuan Yew atau lebih dikenali dengan nama Tokeh Lee. Tokeh Lee telah dengan secara sistematik memberi itik-itiknya makan garam yang banyak setiap hari. Heh.. heh..Bila itiknya bertelur, telur-telur tu jadi masin. Heh..heh.."

Thursday, September 21, 2006

dingin subuh

Katakanlah, Subuh tadi. Kau dan suami pergi ke masjid berdekatan. Untuk solat Subuh. Menunggang kapcai. Kau memeluk suami kau erat-erat. Maklumlah, dingin Subuh mencengkam ke tulang hitam. Dan kau tidak perlu khuatir. Kerana tiada persentuhan antara kulit lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Kau lengkap dengan sut solat.

Di taman perumahan itu, bukan kau sepasang sahaja yang berkapcai ke masjid Subuh hari. Ada orang lain juga.

Selain menyedari tentang fadhilat berjemaah, kau mungkin disedarkan oleh pendapat Maulana Abul A'la Maududi bahawa Islam akan menang jika bilangan jemaah solat Subuh sama dengan bilangan jemaah solat Jumaat. Kira-kiranya, kau pasangan yang ideal. Memiliki fikrah yang sama.

Seusai solat, kau harus bersegera. Kau dan suami harus awal ke pejabat. Mujurlah kau ada bibik untuk membantu menguruskan anak-anak di awal pagi.

Kau kembali membonceng kapcai. Seperti tadi juga. Kau memeluk erat. Malah, lebih erat dari tadi. Belum cerah tanah dan dingin Subuh masih belum sirna.

Sampai di pintu pagar rumah, kau heran. Nombor rumahmu sepatutnya 785 tetapi nombor rumah yang ini ialah 773. Sebelum kau bersuara, 'suami'mu terlebih dahulu bersuara. Dan kau terkesima.

Kau terkenangkan suamimu yang setia menunggu. Dan jiran kau itu. Amat maklum. Isterinya mungkin sedang menyanyi lagu Penantian.

Apa yang harus kau ucapkan?

Sunday, September 10, 2006

sengat pari

Sesudah 40 tahun membawa diri ke Kuala Kedah, dia akhirnya kembali ke kampung halamannya iaitu kampung Sura, Dungun. Sebagaimana yang dia jangka, kepulangannya tidaklah terlalu menggemparkan. Tidak ramai yang mengenalinya.

Sengaja dia pulang seorang diri. Dia memberitahu isteri dan anak-anak bahawa dia ke Terengganu untuk menemui kawan-kawan lamanya. Dia tidak ada saudara mara di sana. Isteri dan anak-anak tidak menghalang. Yang mereka tahu, dia rindu akan kampung tempat dia dilahirkan. Kampung tempat dia menghabiskan zaman kanak-kanak dan remaja.

Dia selalu menceritakan kepada orang-orang Kuala Kedah bahawa dia merantau ke sana untuk merubah hidupnya. Sesudah ibu bapanya meninggal dunia, dia sebatang kara. Sebagai anak tunggal dari pasangan pendatang dari Kelantan, dia sudah tiada saudara mara lagi di Sura. Dan Kelantan bukanlah tempat menarik baginya untuk berhijrah. Malah pada masa itu, ramai orang Kelantan yang berhijrah ke merata tempat untuk mencari kehidupan.

Kerana hidupnya sebatang karalah, terjadinya peristiwa itu. Dia merasa yakin jika dia dia mempunyai saudara mara yang ramai, dia tidak akan diperlakukan sedemikian.

Peristiwa di depan panggung Fajar itu adalah satu titik hitam dalam sejarah hidupnya. Dipukul beramai-ramai hanya kerana seorang perempuan 'bujang jalang'.

"Awang, masa tu kalau orang nak cari bujang jalang, marilah ke Dungun. Cerita zaman Bukit Besi tengah hebat. Mu faham bujang jalang? Zaman sekarang orang panggil pelacur..he hehh"

"Hehhhehh tahu. Tahu. Err..pakcik ada jumpa orang-orang yang pukul pakcik tu?"Aku.

"Ada sorang. Tangan dia masih dengkar. Dia antara yang paling awal menyerang. Pakcik sempat patahkan tangannya. Kemudian yang lain-lain masuk. Ada yang pakai rantai besi. Yang ramainya pakai kayu. Mana nak lawan"

"Pakcik masih berdendam?" Aku.

"Tak tahu. Tapi pakcik rasa nak cari juga yang tikam dengan sengat pari. Tengok ni.." Dia menunjukkan sebuah parut kecil di pipi kirinya. Tak jauh dari mata. Dan memang mata kirinya nampak lebih sepet dari mata kanan. "Sudah 40 tahun. Tapi bila cuaca sejuk, masih berdenyut-denyut..."

Friday, August 25, 2006

yang kurik itu kundi

Ikan aya kurik lebih murah daripada ikan aya hitam. Sebab itulah jarang benar pengusaha nasi dagang menggunakan ikan aya hitam.

Bila berbeza harga, sudah tentulah berbeza kualiti. Ikan aya hitam lebih lembut dan enak. Rupanya juga berbeza. Ikan aya kurik berkurik-kurik dan ikan aya hitam kehitam-hitaman. Bagi mereka yang jahil tentang ikan aya, tentu bagi mereka sama sahaja.

Kurik membawa maksud berbintik-bintik atau bertomok-tompok kecil. Istilah yang terlalu jarang digunakan. Malah sudah boleh dikategorikan sebagai istilah melayu klasik. Masih terus disebut kerana terdapat dalam pembayang pantun:

yang kurik itu kundi
yang merah itu saga
yang cantik itu budi
yang indah itu bahasa


Kundi? Ia adalah sejenis spesies saga. Bezanya dengan saga yang biasa ialah ia berkurik-kurik atau berbintik-bintik. Tidak merah. Zaman dahulu ia digunakan sebagai pemberat untuk menimbang emas.

Di sesetengah daerah, kurik disebut korek. Ada juga daerah yang menyebut borek Sebab itu timbullah peribahasa: bapak borek anak rintik. Yang borek itu ialah bapak ayam dan yang rintik itu ialah anak ayam. Yang membawa erti sianak biasanya mengikut perangai bapanya. Selalunya merujuk kepada perangai yang tidak baik. Kalau yang baik selalunya diungkap: ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.

Peribahasa dikatakan sebagai hasil pemikiran para intelektual Melayu zaman lampau. Malang, bila ada kutu zaman kini yang pandai-pandai mengubahsuai peribahasa seperti:

bapak borek, menantu rintik.

Wednesday, August 23, 2006

yang merah itu saga

Merah melambangkan keberanian. Kerana merah adalah darah. Hanya orang yang berani sahaja yang sanggup terlibat dalam pertumpahan darah. Orang penakut, tengok darah pun dah pitam.

Itu merupakan perlambangan yang universal. Secara individu, mungkin ada melambangkan merah dengan pelbagai pengertian yang lain. Dalam sastera, kepelbagaian tafsiran ini disebut ambiguiti.

Perlambangan yang bersifat individu seringnya sukar ditafsir. Malah kadang-kadang sukar dilaksanakan oleh orang lain. Contohnya, jika kau ingin angka 22,222 melambangkan sempurnanya senaskah al-Quran diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW selama 22 tahun, dua bulan dan 22 hari dan ingin jadikan RM22,222 sebagai mas kahwin perkahwinan keduamu, tentu sahaja kau tak mampu. Apa lagi dengan wang wang hantaran perkahwinan RM30,000 untuk melambangkan sempurnanya 30 juzuk al-Quran.

Sunday, August 20, 2006

yang cantik itu budi

Aku bertemu lagi dengan Mek Stoking. Kali ini di sebuah pasar pagi. Di tengah laluan masuk ke pasar itu dia meletakkan kotak stokingnya. Oh, jigsaw puzzle pun ada. Bendera Malaya pun ada.

"Bendera...bendera..merdeka..merdeka..". Mek Stoking.

Macam biasa dia berseluar jean luntur dan berbaju T lengan pendek sendat. Di pinggangnya terlilit beg pinggang. Ha..ha ..hari ini Mek Stokng pakai topi sesudu pusing belakang. Macam budak rap. Rambutnya ada warna kuning sikit-sikit.

Aku agak. Umur Mek Stoking belum lagi mencecah 40 tahun. Kulit mukanya masih terik. Belum ada garis-garis halus yang ketara. Ada sedikit bekas jahitan di sebelah bibir atasnya. Namun itu tidaklah banyak menjejas kemanisannya. Sebenarnya aku tak pasti mana yang lebih tepat untuk Mek Stoking: cantik, ayu, comel, lawa, rupawan, atau manis.

Lokasi Mek Stoking membuka kotak stokingnya tidak menentu. Di depan gerai, di depan sekolah, di depan supermarket, di pasar malam, di pasar pagi, di depan pintu pejabat dan lain-lain lagi. Dan dengan budi bahasanya yang amat memikat, jualannya agak laris.

Sehingga kini aku belum tahu status Mek Stoking. Isteri, dara, janda...?

Jones,
Di tiang-tiang pasar itu masih lagi tertampal poster:

Dikir Barat
Juara:
............. (aku tak ingat)
.............
.............
Tukang karut:
Abe Jali (artis Salam Pantai Timur)
.............
............
.............
Penyanyi Jemputan:
Munirah Thailand
Jawani Merpati Kuning
Elyana Permata Biru
Tarikh:
14 Ogos 2006
Masa:
9:00 malam
Tempat:
Kg. Pak Su Man, Mak Kemas.

Thursday, July 27, 2006

mandi minyak

Untuk upacara itu, kami dikehendaki membayar RM 40 seorang. Aku tak pasti berapa biji kelapa yang digunakan. Para jurulatih membawa kelapa yang telah diparut. Kami bergilir-gilir memerah santannya. Santan itu hampir penuh satu kawah. Kemudian dimasak di atas tungku dengan menggunakan kayu getah sebagai bahan api.

Santan itu akhirnya bertukar menjadi minyak. Minyak yang mendidih di atas api yang marak.

Seperti juga hari-hari latihan, semua berdiri tegak dalam barisan dan majlis dimulakan dengan membaca al-Fatihah. Kemudian membaca surah al-Ikhlas, al-Falak dan An-Nas sebanyak tiga kali sebelum lari setempat sebagai memanaskan badan. Kemudian memasang kuda-kuda. Kemudian membuat gerakan jurus secara pantas. Kemudaian membuat gerakan jurus secara perlahan sebagai latihan mengawal pernafasan.

Akhirnya tibalah acaranya. Semua menanggalkan baju dan beratur dalam tiga barisan. Tiga orang demi tiga orang mencangkung mengelilingi kawah. Celup tangan dalam minyak yang sedang mendidih dan sapu ke badan masing-masing.

Tiba giliranku. Sebagai yang dipesan jurulatih, aku bacalah apa yang diajar. Celup tangan dalam minyak. Wow, suam-suam kuku. Aku pun sapulah ke badan.

Sesudah semua selesai mandi minyak, tibalah kepada acara yang lebih mencabar. Bara yang masih memerah diratakan di atas tanah sepanjang lebih kurang 5 meter. Seorang demi seorang berjalan di atas bara tersebut tanpa memakai apa-apa alas kaki.

Tiba giliranku. Ada sedikit debaran di dada.

Mengikut hukum adat, api membakar kulit manusia. Mengikut hukum syariat, sifat membakar itu hanyalah harus. Mengikut hukum hakikat, api tidak boleh membakar tanpa keizinan Allah.

Aku berjalan dengan pantas di atas bara tersebut. Langkah pertama dan kedua terasa panas menyambar tapak kaki, namun langkah seterusnya terasa seperti berjalan di atas arang tanpa api.

Semua berjaya melalui dua acara tersebut tanpa apa-apa kejadian yang tidak diingini. Dan acara seterusnya ialah acara bergambar. Mail Jepun yang dijemput khas dari kelab Fotografi menjadi orang paling sibuk. Masing-masing memperaga tubuh ala pertandingan bina badan. Dan dengan tubuh yang berminyak-minyak itu, aku sempat membuat beberapa posing yang menarik.

Thursday, July 20, 2006

siapa kau

Awal 80-an. Di Ipoh. Menonton teater 'Sinaga-naga' arahan Hashim Muzbidi, seorang pensyarah maktab perguruan. Aku tak tahu kepala ekor. Namun tonton juga sampai habis.

Dilakonkan oleh pelajar-pelajar Hashim. Ada Melayu, ada Cina, ada Benggali. Ada pelakon perempuan pakai t-shirt sendat. Dan mereka. Pelakon-pelakon perempuan itu. Sihat atas bawah. Tak ada yang kurus kering.

Yang aku amat ingat, hampir setiap sepuluh minit akan ada pelakon yang melafazkan dialog ini: "Naga-naga di mana kau..., naga-naga siapa kau.."

Sebelum tirai dilabuh, sebagai epilog, semua pelakon melafazkan beramai-ramai: "Naga-naga di mana kau..., naga-naga siapa kau..."