Sunday, February 07, 2010

dari jendela kamar musafir

.
Suite An-Naim agak selesa. Tiga kamar tidur dan ruang tamu yang luas. Di dapur ada satu set meja makan untuk 6 orang. Dari tingkap dapur boleh lihat ruang parking kereta. Mendaki bukit dari ruang parking kelihatan sebuah banglo. Tentunya bukan milik Hassan Ali. Kediaman Hasan Ali tidak dapat dilihat dari tingkap dapur kerana ia terletak berhadapan Masjid.

Suite An-Naim terletak di tingkat 3 Masjid Alghufran, Taman Tun. Berapa sewanya tak sempat aku bertanya. Siapa yang bayar sewa juga aku tak mahu tahu. Yang aku tahu aku perlu segera beredar dari Masjid Wilayah tadi petang dan menginap di sini. Jam 8:00 pagi esok mesti check-out.

"Khaibar khaibar ya yahud, jaisyu muhammad saufa ya'ud!"

.

Friday, January 15, 2010

sesudah subuh

.
Sebagai selingan, Ustaz Asim sentuh sikit bab poligami. Katanya, masyarakat Arab Jahiliah memang terkenal sebagai pengamal poligami. Ada yang berbini dua, ada yang berbini tiga, ada yang berbini empat, ada yang berbini lima, ada yang berbini enam, ada yang berbini tujuh, ada yang berbini lapan, ada yang berbini sembilan, ada yang berbini sepuluh, ada yang berbini sebelas.....

Rasullullah SAW membawa syariat agar isteri hanya dihadkan seramai empat orang sahaja dalam satu masa. Sebaik-baiknya ikutlah prosedur yang telah dilaksanakan oleh Rasullullah SAW. Iaitu:

1. Rasulullah SAW tidak berpoligami sebelum isteri pertama meninggal dunia.
2. Sepanjang hidupnya hanya seorang sahaja yang berstatus 'gadis' yang dinikahi oleh Rasullullah iaitu 'Aisyah.

"Amacam Jing? Ada apa-apa komen kuliah Ustaz Asim tadi?" Soalan cepumasku untuk Mat Zin semasa minum di kedai Mek Yam.

"No komengggg..." Kata Mat Zin sambil menghirup teh tarik dalam-dalam. Seakan-akan hirupan itu bisa melegakan sedikit sebanyak gelodak jiwanya. Keputusan untuk tidak menjemput balik isteri pertamanya yang membawa diri ke Melaka mungkin perlu ditarik balik.
.

Saturday, January 02, 2010

mana nikon?

.
Kehilangan Nikon tidaklah terlalu menyedihkan. Tempat letak bateri dah terpaksa diikat dengan getah gelang. Kalau tidak Nikon asyik mendakwa bahawa baterinya tidak ada. Hanya SDRam agak sayang. Beberapa imej dari event terkini tidak sempat dimuaturun.

Cara kehilangannya mendedahkan betapa berlaku kepincangan dalam sistem pengurusan pemiliknya. Plan strategik 2010 perlu mengambil kira kes ini agak kejadian serupa tidak berulang. Walaupun kerugian tidaklah setanding ghaibnya enjin pesawat tetapi aku sudah layak untuk meletak jawatan sebagai seorang aku.

Tit. tit. tit. Panggilan dari Angah.

"Sori ayah..baru angah ingat. Nikon tu angah letak dalam poket kusyen Toyota. Ayah checklah. Kalau orang tak ambik adalah tu..."

Adui....

Duhai angah yang disayangi. Tahukah dikau bahawa Toyota Liteace Middleroof kini entah di mana. Sudah seminggu dia pergi bersama surat beranaknya. Bersama tuan baru dia juga diberi tugas baru. Termasuklah mengangkut buruh-buruh Bangla dan Indon.
.

Sunday, December 27, 2009

sate jabi dan roti tempayan pulau musang

.
Sesudah 50 minit menunggu namun sate tidak juga mendarat di atas meja, kamipun bayar harga minuman dengan perasaan yang kuciwa.

Ambil jalan alternatif Jabi-Tembila sebelum menyusuri jalan pantai Kg. Raja-Kuala Terengganu. Sesudah jamak takdim Magrib-Isyak, sempat pula dengar ceramah maal hijrah. Ceramah dari Ustaz Pejabat Agama Besut itu agak menarik juga. Apakan daya kami tak dapat tunggu sampai habis. Agak sedih juga berpisah dengan ustaz dan 6 orang hadirinnya. Ustaz, kami terpaksa bertolak kerana kedai roti tempayan Pulau Musang mungkin tutup sebelum jam 12 malam. Hujan yang mula turun mungkin akan turut melambatkan perjalanan kami.

Abang roti tempayan dan isterinya menyambut kami dengan senyum manis. Kari kambing, kari ayam, daging cincang, daging bertulang masih ada. Minuman air suam sudah memadai kerana kami sudah minum di restoran sate Jabi tadi sore.
.

Friday, December 25, 2009

etok

.
Padang golf itu terletak di Pengkalan Chepa. Tidak jauh dari SMK Pengkalan Chepa, Jabatan Kesihatan, Agensi Dadah Kebangsaan, Institut Latihan Perguruan Kota Bharu, Kolej Teknologi Darulnaim, Institut Latihan Perindustrian, Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Telekom, SM Sains Kelantan, dan MRSM Pengkalan Chepa.

"Undi dari peminum arak dan perempuan yang tak pakai tudung juga penting" kata Syed. Sambil mengopek etok masak stim yang dibeli di sebelah lorong untuk masuk ke parking Parkson. Lorong yang masih dalam pembinaan itu merupakan laluan kami ketika bergerak dari Arkeb MPKB ke Pasar Siti Khadijah.
.

Monday, December 21, 2009

zie

.
Ngak bisa baca imej di bawah? Itu menandakan kau sudah tua. Mata sudah kabur. Lantaran itu, sila klik untuk paparan yang lebih jelas.
.
.
Dalam satu ceramahnya, Buya Hamka bergurindam:

bila mata sudah kabur
uban makin bertabur
gigi pula mula gugur
maka hampirlah dijemput kubur...
...

Tuesday, December 15, 2009

Kursus Tata Negara

.
Zaid merupakan ketua murid sebuah sekolah menengah di Kelantan. Merupakan peserta paling glamer dalam kursus tersebut. Selain wajahnya yang mirip Hail Amir, dia juga merupakan pemidato yang bagus. Dialah yang biasanya akan mematahkan hujah-hujan Chan yang terlalu sering menimbulkan isu-isu panas seperti hak keistimewaan orang-orang Melayu, Raja-raja Melayu dan DEB.

Kursus yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin pelajar sekolah itu diadakan disebuah sekolah berasrama penuh di Kuantan ketika cuti hujung tahun. Disertai oleh pemimpin-pemimpin pelajar dari setiap sekolah di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Aku dan Stopa mewakili sekolah budak-budak cerdik Jalan Gambang. .

Semasa sesi taklimat lagi kami telah dimaklumkan bahawa disepanjang kursus kami diberi kebebasan untuk bercakap dalam sesuatu isu. Sebab itu hampir dalam setiap slot ceramah, akan berlaku pertikaman lidah ketika sesi soal-jawab.

"Tuan penceramah tidak berhak mengingatkan kami tentang soal itu. Ketika taklimat kursus ini kami telah diberi lesen besar. Kami boleh bercakap apa saja. Tidak timbul soal sensitif. Kami umpama YB dalam dewan rakyat...Err..berbalik kepada isu tadi. Hujah wakil Bentong tadi saya tak mahu jawab. Cuma saya ingin mengatakan bahawa bila saya jadi PM nanti saya akan beli sebuah kapal yang besar. Saya akan isi wakil Bentong dan orang-orang yang sependirian dengannya untuk dihantar balik ke negara China.." Tepukan dan sorakan gemuruh mengiringi hujah Zaid. Menenggelamkan suara Chan yang cuba memberi hujah balas.

Di malam penutup kursus, aku mendeklamasikan sebuah sajak yang entah apa-apa. Zaid menyanyi lagu 'Nasi Minyak' berduet dengan salah seorang peserta Terengganu yang wajahnya mirip Uji Rashid. Aduhai...nyanyian Zaid amat teruk tetapi pasangan duetnya cukup bagus. Chan pula menyanyikan lagu Kris Kristofeson 'Help Me Make It Through The Night'. Suara Chan ada mirip Elvis Presley.

......i don't care what's right or wrong
i won't try to understand
let the devil take tomorrow
lord, tonight i need a friend

yesterday is dead and gone
and tomorrow's out of sight
and it's sad to be alone
help me make it through the night.....

.

Monday, November 30, 2009

gambir dan ayam mata dener


.
Ke pangkuan sahabatku Ismail yang kini berada di Kuching, Serawak semoga dalam keadaan sihat walafiat.

Wel,
Gambir yang kau kirim sudah selamat aku terima. Terima kasih banyak. Kaulah sahabatku yang sejati. Haha.

Kami di sini dalam kesejahteraan adanya. . Cuma sejak semalam hujan kembali mencurah-curah di kampung kita. Hujan yang berhenti sekejap baru-baru ini seolah-olah untuk memberi peluang orang beraidiladha. Supaya acara sembelih korban dapat berjalan lancar. Alhamdulillah.

Wel,
Jiran aku Haji Manan bekas Yang Berhormat kembali ke rahmatullah pada hari raya kedua. Ramai betul orang sembahyang jenazah. Duit yang diberi kepada orang sembahyang jenazah pun sakan. Dua puluh ringgit sorang. Aku macam biasalah, mengharamkan diri dari mengambil duit sagu hati solat jenazah.

Hingga akhir hayatnya Haji Manan tetap setia bersama Barisan. Walaupun di tahun-tahun kebelakangan beliau amat aktif dalam Jamaah Tabligh yang membawanya keluar sampai ke India namun bila tiba musim pilihanraya, keumnoannya akan kembali terserlah. Kini semangat UMNOnya itu disambung oleh anak-anaknya terutama Mat Rani yang menjadi Pengerusi JKKK kampung kita. Mat Rani sekelas dengan kita masa sekolah rendah. Tentu kau masih ingat kita selalu makan nasi tengah hari di rumah Mat Rani. Agak bangga juga kita pada masa tu kerana berkawan rapat dengan anak YB.

Wel,
Aku rasa pilihanraya akan datang Barisan masih lagi menang di negeri kita walaupun mungkin ada beberapa negeri lain jatuh ke tangan Pakatan. Kalau kau tanya mengapa, aku tak reti nak ulas. Cuma aku rasa jurang kesedaran politik antara orang cerdik dengan orang tidak cerdik agak lebar di negeri kita. Dan majoriti orang di negeri kita adalah tidak cerdik.

Negeri kita tidak dapat mengecapi nikmat kemakmuran yang sepatutnya kerana pemimpin-pemimpin UMNO negeri kita dok rok ccetong. Yang hebat-hebat kebanyakannya lebih suka join PAS atau aktif dalam NGO yang tidak mesra Barisan. Tinggal jenis ayam mata dener sahaja yang join UMNO. Sebab itulah bila di peringkat pusat, pemimpin UMNO negeri kita amat lekeh. Tak ada orang nak respek.

Aku rasa yang boleh bawa masuk bong sikit hanyalah Saberi Chik. Walaupun peristiwa debat kenaikan harga minyaknya dengan Anwar telah menyebabkan sokongan terhadap PKR begitu melonjak, sekurang-kurangnya Saberi telah menunjukkan bahawa dia jenis ada taji yang boleh digilap pada masa akan datang. Bukan jenis ayam mata dener.

glosari:
dener = sentiasa berair, becak
mata dener = mata yang sentiasa berair dan ada tahi mata; sakit mata.

bong = gelanggang sabung ayam
.

Saturday, November 21, 2009

Kuala Rompin

.
Dari perbualan emak dan ayah, aku dapat tahu bahawa kakak-kakak comel yang berkongsi dinding dengan kami bekerja sebagai "bujang jalang'. Sebagai kanak-kanak yang baru berusia 6 tahun, tentu sahaja aku tidak tahu apa itu 'bujang jalang'. Yang aku tahu mereka selalu beri aku gula-gula atau coklat atau buah prune. Dan mereka juga selalu gosok kepala aku bila berpapasan.

Kami tidak lama berjiran dengan mereka kerana tidak lama selepas itu ayah berjaya menyewa sebuah rumah yang lebih selesa. Berjiran dengan seorang pegawai tinggi Rompin Company yang mempunyai seorang anak perempuan tunggal sebaya aku yang kupanggil Ani.

Oleh sebab tidak ada kawan-kawan lelaki, terpaksalah aku berkawan dengan Ani. Antara permainan yang menjadi fovourite kami ialah memburu 'cikru' (kutu pasir). Kami akan mencari pusaran kecil di atas pasir dan meniupnya sehingga bertemu kutu pasir. Kadang-kadang kami serentak meniup pusaran yang sama hingga hidung kami bersentuhan.

Mungkin kerana kasihankan aku yang tidak punya kawan lelaki, ayah akhirnya berjaya memasukkan aku ke sekolah. Entah kabel apa yang ayah pakai kerana sepatutnya aku belum layak masuk darjah 1 kerana belum berumur 7 tahun. Bagaimanapun, selepas 2 minggu aku tidak mahu lagi ke sekolah. Gara-gara seorang cikgu cina cubit perut aku kerana lambat masuk ke kelas selepas waktu rehat.

Kehidupan di Kuala Rompin semakin tidak menyeronokkan bila keluarga Ani berpindah. Bila ayah pergi kerja tinggallah aku terkotang-kating dengan ibu dan adik yang baru berumur dua tahun. Kakakku yang ketika itu baru darjah 3 tinggal bersama nenek di kampung.

Ayah dipindahkan dari Kuala Dungun ke Kuala Rompin atas keperluan perkhidmatan. Mungkin kepakaran ayah di perlukan oleh Rompin Company yang mengusahakan perlombongan besi di Bukit Ibam. Atau mungkin juga kerana ayah terlibat dengan Kesatuan Sekerja Lombong Bukit Besi. Isu tuntutan kenaikan gaji oleh pekerja-pekerja lombong Bukit Besi dikatakan mencapai tahap kritikal yang jika tidak diurus dengan baik boleh membawa kepada penutupan lombong.

Akhir tahun sebelum masuk darjah 1, aku, ibu dan adik dihantar balik kampung oleh ayah. Tinggal bersama nenek dan kakak. Dua tiga bulan sekali ayah akan pulang. Membawa pelbagai hadiah termasuklah buah prune.

gambar di atas dirembat dari:
http://zaharfotovideo.blogspot.com
thanks.

Saturday, November 07, 2009

gulai tupai


.
"Tupai masak apa?"

"Gulai rebah bangun"

"Rasa?"

"Sedap...lebih sedap dari ayam" Jelas Noridah sambil menjilat bibir atasnya. Menggambarkan gulai tupai yang dimasak oleh emaknya memang dinikmatinya sungguh-sungguh.

Noridah ialah anak kepada Pak Su Hasang. Tokoh yang banyak menimbulkan kotroversi di kampung kami. Antara kontroversi tersebut ialah ketika kematian emaknya. Dia tidak setuju dibacakan talkin ketika majlis pengkebumian. Beliau juga tidak setuju mengadakan kenduri arwah. Namun tetap juga diadakan kerana abang-abang dan kakak-kakaknya memang tidak pernah bersetuju dengan pendirian Pak Su Hasang dalam hal-hal tersebut. Oleh itu masa baca talkin, Pak Su Hasang terus beredar dari perkuburan dan dia juga tidak pernah hadir ketika kenduri arwah. Keadaan ini menyebabkan hubungannya dengan adik beradiknya yang lain tidak berapa baik.

Lain-lain pegangan Pak Su Hasang yang agak berbeza dengan amalan konvensional ialah tiada bacaan qunub sembahyang subuh, tak wirid lepas solat, dan menganggap amalan membaca Yasin secara konsistan pada malam Jumaat sebagai bidaah. Kalau baca sekali-sekala tak apa.

Sebenarnya Pak Su Hasang tidak keseorangan. Ada beberapa orang lagi yang sekepala dengannya. Diketuai oleh Ustaz Rosit Janggut. Ustaz Rosit bukan orang kampung kami. Cuma sekali seminggu beri ceramah kat surau. Pernah suatu ketika di surau kampung kami berlaku acara perbahasan antara orang-orang pejabat ugama dengan Ustaz Rosit dan pengikut-pengikutnya. Menurut orang kampung yang hadir, hujah Ustaz Rosit jauh lebih kemas dari hujah orang-orang pejabat agama. Antara kitab yang dibawa oleh Ustaz Rosit ialah kitab-kitab karya Hassan Bandung.

Ustaz Rosit dan pengikt-pengikutnya amat marah jika ada yang melebelkan mereka sebagai Wahhabi. Menurut Ustaz Rosit, gelaran Wahhabi adalah ciptaan penjajah kepada golongan yang cuba membersihkan amalan masyarakat Islam dari unsur khurafat dan bidaah. Bidaah adalah amalan agama yang diamalkan tanpa ada sandaran yang kukuh. Yang tidak ada riwayat bahawa pernah diamalkan oleh Rasullullah SAW dan para sahabat. Contohnya, Rasullullah SAW tidak pernah mengadakan talkin dan kenduri arwah.
.

Sunday, October 18, 2009

kampung bijangga, dungun, terengganu

.
Di kampung Bijangga,kami berjiran dengan Minoh TTolib. Anak kepada Keling Ttolib. Aku agak nama sebenar TTolib adalah Mutallib. Rupa dan laras bahasanya menyebabkan tidak ada orang yang akan percaya kalau dia mengaku Melayu. Yang pasti isterinya memang seorang Melayu. Pada masa itu gadis Melayu yang dapat kahwin dengan pendatang dari India merupakan satu kemegahan.

TTolib menjual rojak keling. Di tepi Padang Kelab Dungun dengan menggunakan kereta sorong. Sehingga hari aku belum lagi menemui rojak keling sesedap rojak keling yang dibuat dan dijual oleh TTolib.

Ketika itu Padang Kelab merupakan tempat yang amat meriah. Terutama pada hari minggu. Di sekeliling padang ada banyak bangku batu tempat melepak. Tidak jauh dari padang itu ada sebuah pawagam yang dikenali sebagai Panggung Happy. Juga ada sebuah bangunan kecil yang dikenali sebagai rumah kelab. Khabarnya suatu masa dahulu di rumah kelab itulah pegawai-pegawai tinggi EMMCO mabuk-mabuk. EMMCO ialah syarikat milik Amerika Syarikat yang mengusahakan perlombongan bijih besi di Bukit Besi.

Pada masa itu pekerja EMMCO tergolong sebagai golongan berpendapatan tinggi. Oleh kerana ayah aku juga merupakan salah seorang pekerja EMMCO, maka aku juga termasuk dalam kategori 'anok orang banyok pitih'.

Ayah bertugas di pelabuhan. Bijih besi yang dibawa dengan kereta api akan dikumpul di pelabuhan sebelum diangkut dengan tongkang ke kapal. Pelabuhan Dungun yang cetek tidak membolehkan kapal-kapal kargo itu berlabuh rapat.

Ayah pergi bekerja dengan menaiki basikal dari rumah sewa kami di kampung Bijangga. Kampung Bijangga merupakan sebuah perkampungan setinggan yang setiap petang dilanda banjir. Banjir yang hanya sedalam paras lutut itu tidak merunsingkan kami kerana ianya akan surut bila pagi menjelang.

Seminggu sekali kami sekeluarga keluar menonton wayang di Panggung Happy. Biasanya cerita Hindustan. Bila keluar pawagam kami akan pekena rojak keling Ttolib. Sebelum mengharung banjir untuk pulang ke rumah.

Kini kampung Bijangga tidak lagi banjir. Longkang-longkang besar dibina merentasi kampung tersebut. Sebuah jambatan melengkung menelan belanja jutaan ringggit merentasi sungai Dungun menghubungkan Kampung Bijangga dengan Seberang Pintasan. Tidak jauh dari Seberang pintasan ada sebuah resort ala Club Med. Dan jambatan tersebut dibina atas daya usaha anak seorang perdana menteri yang ada saham dalam resort tersebut.

..

Friday, October 02, 2009

suatu hari di hari raya

.
Ustaz Khairul Amilin, 24 tahun meminta pandangan aku tentang hasratnya untuk mendenda pelajar-pelajar perempuan Melayu di sekolahnya yang pakai tudung kecil ala artis. Sesudah berkali-kali nasihatnya tidak diendahkan. Aku tidak terus memberi jawapan tetapi bercerita kepadanya tentang seorang kawanku yang bernama Salim.

Ketika Salim Tingkatan Tiga, aku sudahpun Tingkatan Empat. Salim adalah adik kepada Jamilah.

Jamilah adalah perempuan pertama sekolah kami yang memakai 'tudung dakwah' . Terpengaruh dengan hasutan kakaknya yang belajar di UK. Tindakan Jamilah yang dipertahankan oleh Cikgu Alias mempengaruhi beberapa orang pelajar Tingkatan Lima yang lain. Ini merupakan fenomena baru sekolah kami yang merunsingkan pengetua dan guru-guru sekolah kami. Termasuk ustaz dan ustazah juga. Ketika itu ustazah-ustazah sekolah kami cuma memakai skaf/selendang kecil dengan jambul tersembul keluar ala budak-budak perempuan sekolah agama dan muslimat PAS. Masa tu PAS masih dalam BN dan dipimpin oleh Asri Muda.

Rupa-rupanya fenomena 'tudung dakwah' itu bukan sahaja melanda sekolah kami. Tetapi seluruh Malaya. Trend yang dibawa oleh sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai ABIM. Dipimpin oleh serang pemuda Melayu radikal bernama Anwar Ibrahim. Bersamanya ada beberapa orang tokoh seperti Fadhil Noor, Sidik Fadhil, Kamaruddin Md. Noor, Fuad Hassan, Dahlan Md. Zain, Sidek Baba, Zalikhah Md. Nor, Uthman ElMuhammady, Harun Din, Kamarudin Jaafar, Ashaari Muhammad, Hadi Awang dan ramai lagi. Ashaari Muhammad merupakan Pengerusi Biro Dakwah ABIM Wilayah Persekutuan dan Hadi Awang adalah Yang Dipertua ABIM Terengganu.

Pelbagai bentuk tindakan dilaksanakan oleh pihak sekolah kepada pelajar-pelajar perempuan berkenaan. Di sekolah kami, ada cikgu yang tidak membenarkan pelajar-pelajar tersebut masuk ke makmal. Kalau nak masuk kena tanggal tudung dulu.

Cikgu-cikgu termasuk ustaz dan ustazah meleteri mereka supaya tidak ekstrim dalam berpakaian. Hanya agak kecoh bila ada sekolah yang mengambil tindakan merotan pelajar yang bertudung. Di negeri kami, beberapa orang ABIM iaitu Cikgu Sahak, Bakar Chik, Ustaz Rashid mengadap Wan Mokhtar membantah tindakan tersebut. Khabarnya Bakar Chik tumbuk meja kerana Wan Mokhtar gagal memberi penjelasan yang memuaskan. Mujurlah kes ini tidak berlarutan kerana tidak lama selepas itu Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling membenarkan pelajar-pelajar perempuan memakai tudung.

"Ingat ustaz, pekeliling sebut dibenarkan, bukan digalakkan atau dimestikan..."

Mulut Ustaz Amilin sedikit ternganga. Debu batang buruk hampir membuatkannya terbelahak.



nota: gambar-gambar di atas hampir tiada kaitan lansung dengan entri ini.
.

Monday, September 07, 2009

kepala

.

Don Vito Corleone tidaklah kisah sangat pengarah filim terkenal,Jack Woltz enggan mengambil anaknya untuk memegang salah satu watak penting dalam filimnya. Tetapi bila pengarah tersebut menghina keluarganya, dia menjadi amat murka. Maka pada suatu pagi, pengarah filim itu terkejut sakan bila menyedari bahawa sepanjang malam tadi dia tidur bersama seketul kepala lembu yang masih hangat darahnya.

Siapa Vito Corleone? Oh, beliau cuma watak ketua mafia dalam novel karya Mario Puzo. Protagonis Vito digambarkan oleh Puzo sebagai seorang yang bersifat lemah lembut dan penuh budi bahasa. Vito jarang meninggikan suara, apa lagi menengking atau meng'boo' seseorang.

Opp..saya tersilap. Sebagai seorang yang sangat berbudi bahasa tentu sekali bukan kepala lembu yang dihantar oleh Vito ke kamar tidur musuhnya. Tetapi kepala kuda! Yang dipenggal dari kandang kuda milik Woltz.
.
.

.

Wednesday, August 26, 2009

sebatan

.
Ketika itu aku belum jadi model sambilan. Baru berusia 14 tahun. Janggut belum tumbuh dan rambut teramatlah lebat.

Ketika itu iklan arak masih bebas. Dalam tivi rangkaian satu pun ada iklan arak. Dengan suara latar Ramli Abu Bakar.

Pada masa itu rata-rata rakyat dan pemerintah Malaya tidak faham bahawa hukman bagi pesalah minum arak bukanlah 6 sebatan. Tetapi 80 sebatan. Sebatan pula tidak boleh dibantai di punggung yang terdedah. Mesti dalam keadaan menutup aurat dan disaksikan oleh orang banyak. Di penjara Malaya, pesalah yang akan disebat dipakaikan dengan sejenis pakaian yang membolehkan tukang rotan menilai tahap kegebuan punggung pesalah sebelum dirotan.

Sebatan! Itulah hukuman dijatuhkan kepada aku dan Hasang. Aku 1 sebatan dan Hasang 3 sebatan. Oleh tukang sebat yang amat mahir. Selain menjawat jawatan tukang sebat beliau juga merupakan pengetua sekolah kami.

Rayuanku untuk diringankan sebatan ditolak. Hasang langsung tak merayu. Malah dialah sebenarnya yang menyelamatkan aku. Mengaku sebagai penyeludup dan aku hanyalah pengguna. Kalau tidak kerana pengakuan Hasang, aku juga kena 3 sebatan.

Hasang dengan berani menjelaskan kepada mahkamah bahawa dia tidak pernah memaklumkan kepada aku bahawa "P.Ramli - Kisah Hidup Seniman Agung" diseludupnya keluar dari perpustakaan tanpa melalui prosedur pinjam meminjam. Namun mahkamah disiplin sekolah memutuskan aku bersubahat kerana ketika spotcheck buku terdapat dalam loker aku. Aku sepatutnya tahu buku itu dicuri dari perpustakaan kerana tidak ada cop pinjaman.

Ya, ketika aku kena 1 sebatan, aku belum jadi model sambilan. Dan sehingga kinipun aku belum pernah jadi model. Sama ada tetap atau sambilan.

Hasang? Hasang dibuang sekolah ketika Tingkatan 4. Setelah melakukan pelbagai salah laku. Termasuk mengunci diri dalam loker ketika waktu solat Jumaat. Dan hingga kini aku masih terhutang budi kepada Hasang kerana tidak memberitahu warden siapa yang jadi 'tukang kunci'.
.
.
glosari:
tukang kunci: Setelah masuk ke dalam loker, Hasang akan minta seseorang menguncinya dari luar. Hasang berjaya mengelirukan warden dengan cara ini selama 1 tahun.

.

Tuesday, July 28, 2009

september five

.
Selain sebagai jurulatih brassband sekolah kami, Cikgu Murad Hamid juga merupakan penasihat kugiran sekolah. Beliau baru sahaja membubarkan The Vibration yang dua tiga tahun sebelumnya berentap dengan Quinary M dalam pertandingan akhir Bakat TV kategori kugiran. Dalam pertandingan akhir yang disiarkan secara langsung oleh TV Rangkaian Pertama itu The Vibration membawa lagu Untung dan instumental Macinda. Mazlan Hamzah bersama kakak dan adik-adiknya dalam Quinary M membawa lagu Anggerik Merah. Suara mersik Mazuin Hamzah ternyata banyak memberi kelebihan kepada Quinary M.

Sebelum itu Cikgu Murad pernah memimpin pelbagai kumpulan kugiran. Selain memimpin, Cikgu Murad juga berperanan sebagai penyanyi utama. Kebolehannya menyanyi sambil memetik gitar amat dikagumi. Antara kugiran awal yang ditubuh oleh Cikgu Murad ialah The Breeze. Yang berjaya melangkah ke pertandingan akhir pertandingan Juara kugiran anjuran Radio Malaysia pada akhir tahun 60-an.

Walaupun pernah memimpin pelbagai kugiran, namun Cikgu Murad lebih dikenang sebagai ketua kumpulan nyanyian padu suara September Five yang menjuarai pertandingan Bintang RTM edisi 1974. Naib juara ialah Zulkiflee Ahmad. Ketika itu penyanyi berkumpulan dan penyanyi solo dipertandingkan bersama.
.
.
Sebenarnya ramai peminat ketika itu meramalkan Zulkiflee Ahmad akan muncul sebagai juara. Tetapi ternyata September Five berjaya memukau para juri dengan paduan harmoni mereka ketika menyampaikan Ketipang Payung. Ketika itu belum wujud lagi undi SMS.

Suara Zulkiflee Ahmad memang ada umpp. Tapi bagi peminat yang gemarkan penyanyi 'bersuara jantan', Zulkiflee Ahmad bukanlah pilihan mereka.

Walaupun cuma menjadi naib juara, Zulkiflee Ahmad berjaya merakamkan dua EP sesudah itu. Diterbitkan oleh Ooi Eow Jin. Habsah Hassan terlibat sebagai penulis lirik. Dikatakan bahawa ketika itu Habsah Hassan baru berjinak-jinak sebagai penulis lirik.

Lagu duet bersama Rubiah Lubis iaitu Tunggulah begitu hit ketika itu. Sebelum Zulkiflee Ahmad tiba-tiba menghilangkan diri dari hiruk pikuk dunia pop Malaya. Kemunculan nama-nama seperti D.J Dave, Hail Amir, Latif Ibrahim, Black Dog Bone, Dhalan Zainudin, Sudirman, Aman Shah, Othman Hamzah, Halil Chik dan lain-lain kemudiannya melenyapkan ingatan masyarakat Malaya kepada Zulkiflee Ahmad.

Media massa juga tidak lagi bercerita tentang Zulkiflee Ahmad. Bekas naib juara Bintang RTM edisi 1974 itu. Yang hanya tewas tipis kepada September Five!
.
?



Thursday, May 28, 2009

bengkel penulisan puisi siri 32: simile dan perumpamaan

.
Selain metafora, simile merupakah salah satu gaya bahasa perbandingan. Dan perumpamaan merupakan salah satu simile. Jadi, semua perumpamaan adalah simile tetapi bukan semua simile adalah perumpamaan.

"Jahat macam hantu" adalah perumpamaan. Jadi "Jahat macam hantu" juga adalah simile. Tetapi "Jahat seperti komunis" bukan perumpamaan. Ia hanya sekadar satu simile yang dicipta oleh orang atau golongan tertentu yang bukanlah warisan yang panjang dalam sesuatu budaya. Simile itu mungkin berjaya tertanam dalam benak sesuatu komuniti dalam satu tempoh masa. Nilai yang berubah akan turut melupuskan sesuatu simile.
.


.

Saturday, May 16, 2009

ustaz, ummi, tazkirah dan puisi

.
.
.
Sepanjang perjalanan. Kalau Ustaz tak baca al-Qur'an, Ustaz akan berbual. Bual Ustaz bagi kami adalah tazkirah. Ada sekali Ustaz ulas sajak. Yang di tulis oleh Ummi sepanjang perjalanan.

"Sajak macam ni, sapa-sapa pun boleh tulis..."

Kritikan yang bernada kutukan itu sebenarnya gurauan. Dan rajuk Ummi juga adalah gurauan.

Semalam aku adalah salah seorang makmum solat jenazah Ummi. Aku berdiri selang tiga saf dari Ustaz. Ustaz mampu solat berdiri kerana solat jenazah tidak memerlukan rukuk dan sujud. Gout Ustaz memang sudah di tahap kronik. Ketika menerima ucapan-ucapan takziah, Ustaz hanya mampu duduk di kerusi.

Al-Fatihah. Moga Ummi di tempatkan di jannah. Bersama abrar.

Tuesday, April 21, 2009

Bistro Nasi Kandar bersebelahan dengan Kayu Nasi Kandar


.
Sesudah pekena capati, roti tisu dan teh tarik di Bistro Nasi Kandar, segera ke Masjid Zubair ibn Awwam. Sheikh Abu Bakr yang cacat penglihatan sedang di hujung bicara. Terjemahan Arab ke Indonesia dilaksanakan dengan cemerlang oleh akhi K. Sempat tersentuh dengan perancangan HAMAS merekrut kader beriman.

Menyusul Ustaz Ferry Nur dengan pengalaman di Gaza. Aduh... mengalir juga air mata ini!

Sekali lagi air mata mengalir bila brother Azman yang terkandas di sempadan Mesir-Gaza menayang slaid kekejaman Zionis.

Hari itu tidak bawa Nikon. Hanya sekadar SonyEricsson k530i. Hasilnya tentulah amat sederhana.
.




Wednesday, March 25, 2009

Ukhti Asilah

.
Pusat Kesihatan Sisya , Mekah diuruskan oleh Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan. Cik Hajah Wan Asilah yang dimasukkan semula ke pusat kesihatan tersebut sesudah misi menghantar beliau pulang awal ke tanah air dibatalkan. Hikmahnya, beliau berkesempatan menghirup udara Madinah.

Sempat menziarahi beliau dua kali dan membantu sedikit sebanyak terutama berkaitan urusan memindahkan beliau ke Pusat Kesihatan Madinah. Kebetulan saya bersahabat dengan adiknya Ahmad Johari yang juga ikut sama mengerjakan fardhu haji pada tahun 2008 itu.

Ukhti Asilah mengidap kanser. Berita kematiannya saya terima sesudah beberapa hari saya pulang ke tanah air.

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

اللهم اغفرلها وارحمها وعافها واعف عنها

Moga Allah ampuni mereka, rahmati mereka, maafkan mereka, muliakan kematian mereka, lapangkan kubur mereka, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal mereka dan berilah kesabaran kepada ahli keluarga mereka, semoga mereka di tempatkan di kalangan  orang yang beriman.
.

Sunday, March 08, 2009

escalator

.

"Tadi nampak macam Samad Said berlepas bersama rombongan KT 26" Kata Na. Ketika itu kami masih di Kelana Jaya.
KOMA

"Tak perasan ke Samad Said lalu belakang abang tadi? " kata Na juga. Tika itu aku sedang bersantai-santai di samping dua wanita Nigeria sambil menunggu Na keluar dari tandas. Sementara menunggu azan magrib berkumandang dari menara Masjidil Haram.
KOMA


Na dah mengatasiku 2-0 dalam pertandingan melihat Samad Said. Sehinggalah aku berjaya merapatkan jurang gol pada satu pagi sesudah bersarapan di restoran De Saji Felda yang terletak di jalan Ijyad tidak jauh dari penginapan kami.

"Apa khabar? " Basa basi Pak Samad sesudah menyambut salamku.

"Alhamdulillah.." jawabku sambil mata melilau mencari Na yang sudah hilang dari pandangan.

Escalator terus membawa aku lari dari Pak Samad. Memancung peluang untuk bercakap sepatah dua dengan manusia unik ini. Bercakap tentang haji mabrur dan malboro. Tentang Raudhah. Tentang air zamzam. Tentang Pusara Baqi'. Tentang Tetamu Senja. Tentang Abdul Fakar. Tentang Zakiah. Tentang Kurupaya Samy. Tentang Bulat. Tentang Siti Salina. Tentang Salmi Manja. Tentang Shahnon. Tentang Athantuya. Tentang Balasundram. Tentang Linggam. Tentang Saiful. Tentang Hishamuddin. Dan tentang PPSMI juga.
NOKTAH
.

Friday, February 27, 2009

logik 1

.
"Seorang wartawan boleh jadi seorang blogger. Tapi seorang blogger belum tentu boleh jadi seorang wartawan..." kata Abd. Kadir dari Jasin, Melaka, Malaysia.

"Seorang sasterawan boleh jadi seorang blogger. Tapi seorang blogger belum tentu boleh jadi seorang sasterawan... " kata Faisal dari Tehran, Republik Islam Iran.

"Seorang pelacur boleh jadi seorang blogger. Tapi seorang blogger belum tentu boleh jadi seorang pelacur..." kata Mek Hayati alias Betty dari Golok, Thailand.
.

Saturday, February 14, 2009

sheikh

.
Sesudah sesi taaruf yang agak lama, bicara Fezal makin telus. Tidak lagi berselindung-selindung seperti awal tadi.

"Natijah yang berbeda hasil dari proses yang berbeda. Sejarah dan waki'e juga berbeda. Noktah bidayah juga berbeda. " Jelas Fezal bila aku bangkitkan tentang masih ramai orang PAS yang mencintai Winston dan Marlboro.

Fezal yang berasal dari Bandung adalah aktivis PKS. Sudah 7 tahun di Madinah. Kini dalam usaha menyiapkan Phdnya. Kami bertaaruf sesudah beliau usai mengendali halakah untuk 8 orang pekerja Masjid Nabawi. Semuanya pendatang Indon. Sebenarnya sengaja aku membaca al-Quran tidak jauh dari halakoh mereka agar mereka datang bertaaruf denganku. Strategiku berjaya. Tapi cuma Fezal sahaja yang datang bersalam. Yang lain-lain segera beredar. Seolah-olah sudah dirancang.

"Ayuh ikut saya bertaaruf dengan syeikh..."

Sheikh yang dimaksudkan ialah seorang tua Arab. Santai bersandar di salah satu tiang tidak jauh dari ruang Raudhah. Beraut tenang dengan wajah dihiasi janggut putih yang ditrim rapi. Kami disambut dengan senyum ceria.

"Sheikh Zizie Malazia.." Aku diperkenalkan oleh Fezal.

Aik? Aku pun sheikh jugak..
.

Saturday, January 17, 2009

oh razali

.
Malam kelmarin dengar hiruk pikuk pelajar-pelajar UIA Nilai unjukrasa anti-Israel. Lewat pakej Family 1+5, Angah call dan perdengarkan hiruk pikuk itu. Tanpa caj.

Sebelum itu Angah minta izin untuk ikut berdemo. Aku izinkan malah minta dia berteriak kuat-kuat. Tunjukkan kemarahan betul-betul terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza.

Kali pertama Angah berteriak kuat-kuat ialah ketika ia menyertai majlis motivasi calon-calon elit UPSR Kuala Terengganu. Dikendalikan oleh Datuk Razali Ismail. Ibu bapa juga diminta hadir di samping anak masing-masing.

"Yakin boleh!" tempik Datuk Razali.

"Yakin boleh!" tempik budak-budak.

"Yakin boleh 5A!!" tempik Datuk Razali.

"Yakin boleh 5A!!" tempik budak-budak. Ibu bapa pun ada juga yang bertempik sama.

Dengan izin Allah, Angah kemudian memang dapat 5A dalam UPSR. Aku sekali lagi menemani Angah. Kali ini dalam majlis anugerah pelajar-pelajar cemerlang UPSR. Anugerah disampaikan oleh ahli parlimen Kuala Terengganu pada ketika itu iaitu YB Syed Azman bin Syed Ahmad Nawawi mewakili Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketika itu Datuk Razali merupakan Pengarah Pelajaran Terengganu. Minatnya dalam bidang motivasi diekploitasi sepenuhnya dengan turun padang bertemu para pelajar.

Penglibatan secara langsung Datuk Razali dalam politik dikatakan bermula bila menerima tawaran PM untuk bertanding di parlimen Kuala Terengganu dalam PRU 11 dengan dijanjikan jawatan menteri. Beliau berjaya melakukan kejutan dengan menewaskan Syed Azman namun ternyata kemudian beliau cuma sangkut jawatan Pengerusi PTPTN. Kemudian dalam PRU 12 beliau menewaskan Mat Sabu dan Makcik Maimun dan diberikan jawatan Timbalan Menteri Pelajaran.

Penglibatannya dalam UMNO dikatakan tidak begitu disenangi oleh otai-otai UMNO Kuala Terengganu...
.

Sunday, January 04, 2009

sistem komunikasi yang cekap amat penting dalam menjayakan sesuatu operasi

.
Haji Ibrahim dari kampung Undang terkejut sakan bila anaknya menelefon bahawa mereka baru menerima bil telefon RM800. Cuma hatinya sedikit terhibur bila mendapat tahu bahawa bil yang diterima oleh Haji Aripin dari kampung Bukit Payong berjumlah RM2000 lebih. Ternyata nasibnya tidaklah semalang nasib Haji Aripin.

Ketika itu Haji Ibrahim dan Haji Aripin masih berada di Mekah. Baru saja bertahallul haji. Jadi, untuk mengelakkan nasib mereka terus dirundung malang, mereka membeli kad sim prabayar Arab. Campur tolak campur tolak, dengan menggunakan kad sim prabayar Arab kita mampu berjimat lebih 50 peratus.

Dalam bab ini aku merasa amat bersyukur kerana tidak mudah terpengaruh dengan senyum manis para promoter pelbagai syarikat komunikasi Malaya yang membuka gerai ketika Kursus Haji Perdana. Sebenarnya aku bukanlah cerdik sangat tetapi kerana aku percaya dengan maklumat tentang ini yang diberi oleh seorang sahabatku yang telah mengerjakan haji setahun lebih awal dariku.

Berikut adalah urusniagaku dengan Mamat Arab yang menjual pelbagai jenama kad sim dan kad topup di gerai cangkungnya yang terletak di tempat yang amat strategik. Di laluan antara pintu pagar nombor 13 Masjid Nabawi dengan Hotel Movenpick tempat aku mengungsi. Dialog ini berlaku pada pagi hari pertama aku tiba di Madinah al-Munawwarah.

"Tujo pulo lima rial" katanya.

"Seventy rial" kataku.

"Tujo pulo lima rial" katanya.

Dengan kad sim berharga SR75 kita boleh membuat panggilan selama 75 minit. Lepas tu bolehlah kita reload. Macam tempat kita juga, ada SR10, ada SR30 dan ada SR50 sekeping.

Kepada bakal haji tahun ini diucapkan selamat menghadiri Kursus Haji 14 siri. Kemuncaknya ialah Kursus haji perdana. Kalau membeli belah ketika Kursus haji perdana jangan lupa beli losyen muka untuk digunakan sepanjang berada di bumi Arab. InsyaAllah, wajah anda akan menjadi lebih gebu.

Wednesday, September 24, 2008

kelana

.
.
Dulu. Lamaa dulu. Dalam Berita Minggu ada siri komik 'Kelana'. Dihasilkan oleh R.Hamzah. Mengisahkan seorang pemuda zaman dulu yang merantau dari satu desa ke satu desa. Di setiap desa yang disinggahinya, dia akan membantu penduduk desa menyelesaikan masalah mereka. Biasanya menghapuskan crook yang mengganggu ketenteraman desa. Lebih kurang masa itu juga, TV Satu ada menyiarkan satu siri cerita koboi. Konsepnya hampir sama dengan komik 'Kelana'. Lupa. Apa tajuknya. Heronya siapa entah.

Bukan apa. Aku sebenarnya tiba-tiba teringatkan Kelana Jaya. Macam mana tempat tu mendapat nama. Siapa yang memberinya nama begitu. Walau macam manapun, antara banyak-banyak 'jaya', antara yang paling awal ialah Petaling Jaya. Jauh lebih dulu dari Kelana Jaya, Putra Jaya, Cyber Jaya.

Oh, dah 24 hari kita berpuasa. Aku percaya hampir semua blogger-blogger yang beragama Islam berpuasa. Kepada seorang blogger Melayu yang sanggup menyamar jadi Cina di bulan puasa ini, aku harap dia akan segera bertaubat. Sedarlah bahawa Allah tidak menilai rupa paras kita. Apa yang akan kita bawa bila mengadapNya di padang Mahsyar nanti ialah jiwa yang sejahtera.

Hari ini aku akan berbuka puasa dengan sebiji kurma dan segelas air mineral.

Terima kasih.
.
.

Saturday, September 13, 2008

seperti melawan arus

Kali terakhir berjumpa Mak Ngah ialah dua bulan yang lalu. Pada malam pengkebumian jenazah Megat. Jenazah Megat diuruskan di rumah adiknya. Keempat-empat isteri dan bekas isteri arwah Megat hadir pada malam itu.

Dalam majlis pada malam itu kewibawaan Mak Ngah agak terserlah. Sebagai satu-satunya emak saudara simati yang masih ada, Mak Ngah banyak membuat keputusan. Boleh dikatakan tiada siapa yang nampaknya membantah apa yang diputuskan oleh Mak Ngah.

Bagi para pengunjung yang bukan saudara mara. Yang belum pernah bertemu Mak Ngah. Malam itu bolehlah mereka mengenali orang tua yang agak glamour tidak berapa lama dahulu itu. Namun tiada siapapun nampaknya meminta Mak Ngah sign autograf.

Kemampuan Mak Ngah meraih lebih 600 undi agak mengkagumkan banyak pihak. Namun rata-rata berpendapat itu bukanlah faktor yang menyebabkan tewasnya Mat Sabu. Ramai orang berpendapat, tanpa penyertaan Mak Ngah, Mat Sabu tetap tewas. Sebab Mat Sabu bukan orang tempatan. Dikatakan bahawa jika Cikgu Pa diletakkan di situ, ada kemungkinan boleh menang. Sebab Cikgu Pa orang lama di situ. Cikgu Pa pernah jadi MP di situ dalam tahun 70-an. Menewaskan Presiden Parti Kepala lembu iaitu Kassim Ahmad. Cikgu Pa kemudian dilantik jadi Timbalan Menteri. Masa itu parti bulan bintang merupakan salah satu komponen parti dacing yang baru baru menukar lambangnya dari kapal layar.

Kini Cikgu Pa bukan lagi wakil rakyat. Beliau tewas di DUN Alur Limbat. Seperti Mat Sabu juga, beliau dilihat makin tenggelam dari hiruk pikuk politik semasa. Mereka berdua seolah-olah dilupakan dalam merancang halatuju organisasi. Jadi tidak hairanlah bila berbicara tentang 16 September, mereka berdua amat pesimis. Seperti melawan arus. Bagi mereka aktiviti 'melompat' adalah satu aktiviti yang jijik. Mereka masih belum mampu mensinonimkan melompat itu dengah berhijrah atau keinsafan.

Friday, September 12, 2008

landasannya sudah siap dipanjangkan

.
Kalau kau punya masa terluang datanglah berkunjung ke Kompleks Sukan Gong Badak mulai 13 November ini. Acara akan diadakan di Stadium Tertutup. Bukan Di Stadium Sultan Mizan.

Kontijen pantai timur tidak lagi perlu ke Kelana Jaya. Dari Kompleks Sukan Gong Badak mereka akan menaiki bas ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang landasannya sudahpun siap dipanjangkan. Rupa lapangan terbang ini pun sudah berubah. Nampak macam airport.

Pada ketika itu besar kemungkinan aku sudah tidak ada di Malaya. Kerana aku dijangka akan memulakan acara pada 6 November.

"Kena ke Kelana Jaya jugaklah kita?" Kak Nah. Via Motorola.

"Tak kisah"

"Kita tak naik MAS. Kita naik SAUDIA. Boleh ke?"

"Tak kisah. Ha ha. Molek kata Kak Nah, moleklah..."
.

Monday, July 21, 2008

plot 1

.
Menyusun peristiwa-peristiwa dalam plot sebuah cereka tidak semudah yang dijangka. Dalam mematuhi hukum sebab dan akibat, kita sebenarnya memiliki banyak pilihan dalam mencipta peristiwa. Contohnya, peristiwa Wan Azizah diberkas polis bertopeng. Kita mungkin lebih cenderung untuk mengajak pembaca membuat andaian bahawa peristiwa tersebut adalah rentetan dari akuan bersumpah watak sampingan si Linggam. Dalam akuan bersumpahnya, Linggam mendakwa dia mempunyai bukti bahawa Wan Azizah terlibat dalam meletup wanita asing itu. Dan sang polisi cepat-cepat bertindak terhadap Wan Azizah kerana pihak berkuasa memang telah lama bengang. Inilah masa terbaik untuk mempastikan watak protagonis itu dijatuhi hukuman mati mandatori. Atau merengkok dalam penjara sepanjang hayat. Jadi, peristiwa bersegeranya pihak berkuasa mengambil tindakan dapat diterima oleh pembaca sebagai sangat logik. Namun sayugia diingatkan bahawa unsur logik sebenarnya tidaklah terlalu penting dalam cereka moden. Kadang-kadang pembaca lebih gembira dengan unsur kejutan (surprise).
.

Monday, July 07, 2008

awie dan ori

.
Namanya Zawawi. Kami memanggilnya Awie. Sejak dulu lagi. Sebelum rakyat Malaya mengenali penyanyi Awie.

Awie tak pandai menyanyi. Suaranya juga tak sedap. Serak-serak kering. Walaubagaimanapun dia amat gemar mendengar lagu. Terutama lagu-lagu Melayu lama. Dan dia amat tidak suka lagu-lagu lama itu dirakam semula oleh penyanyi-penyanyi baru. Tak tahu sebab apa. Mungkin bagi Awie mereka yang merakamkan kembali lagu-lagu lama sebagai ketandusan kreativiti.

Itu cerita lama. Sekarang Awie dah menceburkan diri dalam gerakan dakwah. Dia tak lagi suka mendengar lagu. Sebagai alternatif, dia banyak mendengar ceramah. Termasuk ceramah politik yang memang mudah diperolehi dipasaran samada dalam bentuk kaset atau cd.

Dalam mendengar ceramah, Awie punya cita rasa tersendiri. Dia bukan jenis ikut-ikutan. Contohnya, ketika ramai orang mengkagumi Ezam, dia berpendapat sebaliknya. Baginya, Ezam tidak autentik. Ketidakoriginalannya terserlah dalam banyak aspek. Terlalu dipengaruhi oleh gaya Anwar.

Untuk itu, Awie pernah berteori pada suatu ketika dahulu:

"Bila Anwar bebas nanti, Ezam pasti kehilangan peminat. Ramai orang lebih suka yang ori..."
.

Wednesday, May 28, 2008

konotasi & perlambangan

.
Perlambangan berkait rapat dengan konotasi. Sesuatu perlambangan yang diaplikasikan bakal membawa konotasi yang pelbagai. Terutama kalau perlambangan itu tidak bersifat universal. Bisa saja mengundang kontroversi. Apalagi jika penggunaannya bukan dalam laras puisi totok. Diselit dalam artikel, ceramah atau ucapan misalnya. Kerana audiennya terlalu terbuka. Terdiri darpada perbagai golongan termasuk mereka yang sentiasa mentafsir berdasarkan lapis pertama. Tanpa rela merenung sejenak ke lapis kedua, ketiga, ...

Ada faktor tertentu yang mendorong seseorang menyelitkan gaya bahasa puisi ke dalam prosa. Mungkin untuk memberi kesan yang lebih mendalam. Contohnya ungkapan: "ku nantimu di pintu syurga". "Syurga'" di sini hanyalah sekadar perlambangan. Yang membawa konotasi 'puncak kebahagian'. Akibat dari hubungan kasih sayang yang amat hebat. Atau ungkapan 'akan ku hantar kau ke lubang neraka'. Membawa konotasi yang sebaliknya. Iaitu pembalasan paling hebat yang mampu dibayangkan oleh seseorang terhadap sesuatu yang amat dibencinya. Tentu sekali pengucapnya tidak berniat untuk menjadi Tuhan. Yang punya kuasa menentukan seseorang itu ke syurga atau ke neraka.

Sebagai audien yang tidak bodoh kita tentu sekali mampu mentafsir ungkapan-ungkapan sedemikian pada lapis yang sesuai. Dan cuba menikmati gaya bahasa yang digunakan.

Saturday, May 10, 2008

kursus haji bersiri: bab tawaf

.
Seperti biasa aku datang awal untuk mempastikan berjaya merebut lokasi dinding. Untuk menyokong tulang belakang. Bukan lokasi yang baik untuk mendapat input yang optima kerana pandangan ke layar putih dihalang oleh sebatang tiang yang besar. Jadi pembelajaran lebih bergantung kepada deria dengar.

Betul-betul santai. Bersandar. Tanpa pena tanpa buku nota. Ada ketikanya mata menjadi amat berat. Ada ketikanya terasa segar. Banyak bergantung kepada apa mauduk yang sedang diperkatakan.

"...untuk mengatasi masalah ini kita tidak perlu bertukar mazhab. Kita masih lagi beramal secara mazhab Syafie. Kerana salah seorang Imam dalam mazahab Syafie iaitu Ibn Syuraih berpendapat tidak batal air sembahyang bila bersentuhan lelaki dan perempuan bukan mahram jika persentuhan itu tidak mendatangkan err..apa yang orang teganu kata 'dok mari ghaa'. Heh.heh. Tapi ada orang kata. Ustaz, saya dok bulih. Kalu ssetuh mesti ghaa. Jenis nafsu kuatlah ni. Kalau orang jenis ni, dia bulih pakai pandangan Imam Nawawi. Imam Nawawi ni imam mazhab Syafie juga. Apa kata Imam Nawawi? Tidak batal air sembahyang jika persentuhan itu berlaku tanpa niat. Maksudnya bersentuh secara tak sengaja..."

Saturday, April 05, 2008

3D - matrix

Nasib baik ada Ustaz K. Jadi aku hanya berperanan cover Ustaz K. Takut kena flying kick. Salah seorang menunjuk aksi melawan. Menentang mata Ustaz K dan seolah-olah mengaum. Bimbang juga. Dalam keadaan sedemikian, tenaga mereka mungkin sudah diupgrade.

Syukur. Mereka akhirnya dapat ditenangkan.

Menurut boss mereka, bilik tempat bermulanya kejadian telah diperiksa. Ada tanda-tanda bilik tersebut baru digunakan untuk upacara pemujaan. Penyewa checkout awal pagi.

Ini bukan kali pertama budak-budak house keeping di sini kena histeria. Tapi sudah agak lama tidak berlaku.

"Nasib baik Ustaz ada. Terima kasih banyak-banyaklah..."

"Sama-sama. Tak apa-apa. Bagi mereka rehat. Kalau boleh esok bagi mereka cuti. Errr..kalau kita tengok ya..semua yang kena tu tak pakai tudung...harap-harap mereka tidak meninggalkan sembahyang" Ustaz K sempat berdakwah.

Menurut cerita, Brisdale memang menyimpan banyak sejarah misteri. Bilik-biliknya yang usang mungkin telah menjadi saksi pelbagai tragedi.

Nasib baik peristiwa tersebut berlaku tengah hari. Jadi tidaklah menggugat perancangan malam kami. Sesudah menekuni Solid Edge hingga jam 7 petang, kami terus menunggang monorel ke LowYatt. Sempat sambar Aspire 4715Z, Aztech ADSL2+, Aztech 802.11b/g USB 2.0 Adapter dan Kingston DataTraver 2G. Hangus RM2 ribu lebih.

Mendarat di Chow Kit hampir tengah malam. Sudi Mampir terletak di bawah monorel. Pekena nasi padang untuk menambahkan kandungan kolesterol.

Jamak taakhir Magrib Isya' di awal pagi. Ada rasa meremang bulu roma masa angkat takbir

Tuesday, March 25, 2008

nnatang

Di suatu petang, di sebuah wakaf berlaku dialog antara Bidin Nasi Dingin dengan Embong Budu.

"Teka teki. Ada 23 ekor lembu. Salah seekor mengangkat dirinya sebagai ketua. Ketua lembu tersebut mengeluarkan perintah supaya anak buahnya lintas jalan. Dia pun lintas jugak. Sampai ke seberang ketua bilang. 1, 2, 3 sampai 22. Dia heran. Cuma ada 22 ekor. Ha ha apasal?"

"Wuih..teka teki kkorok kering. Tak apa, aku jawab jugak la. Sebab salah seekor adalah BKU. Binatang kurang upaya. Hahaha ekor dia kudung. Jadi tinggal 22 ekor. Hahaha.."

"Salah. Lantaran mu ni jahil tukir, biar aku bagi jawapan. Jawapannya..jeng..jeng...sebab dia lembu. Lembu memang tak pandai mengira. Tak pernah belajar Matematik. Hahaha.."

"Nnatang..."

Wednesday, March 19, 2008

penasihat

"Siapa awek yang kau bawak malam tadi?"

"Pstt..kawan bertaraf isteri"

"Hahaha..badawi betul kau ni!"

Wednesday, March 12, 2008

khurafat

Kami ke Pulau Manis naik lori yang dipandu oleh Ayah Teh. Cadangan untuk sewa kereta dibatalkan untuk menjimatkan kos.

Aku dan Seli ditugaskan pegang periuk gulai kambing takut tumpah masa ambil selekoh. Dan tugas itu telah kami laksanakan dengan cemerlang.

Di wakaf berhampiran pusara Tok Ku Pulau Manis sudah ramai kanak-kanak setempat yang menunggu. Seolah sudah tahu rombongan kami akan tiba petang itu.

Sebelum berjamu gulai kambing dengan pulut kuning, Ustaz X yang menjadi 'penjaga' pusara mengadakan sedikit upacara ritual. Telor ayam yang kami bawa diletaknya dalam serepung yang tingginya lebih kurang 7 kaki. Ustaz X menjulang serepung dan tawaf pusara Tok Ku Pulau Manis sebanyak tujuh keliling sambil berselawat. Bertih dan tepung tawar yang kami bawa kemudian ditabur keliling kandang pusara.

Semasa pulang, aku dan Seli tak lagi duduk belakang lori. Tapi duduk di sebelah Ayah Teh. Ayah Teh nampak cukup ceria. Nazarnya untuk sembelih kambing jika sembuh dan dapat memandu lori semula sudah ditunaikan.

Dari cartridge Ayah Teh, terdengar pesanan Rafeah Buang:" Kata rangtua..anak dara menyanyi di dapur...kalau dapat suami.. boleh dipanggil ayah...". Dan ternyata kaedah yang digunakan oleh Rafeah untuk berpesan sangat berkesan. Buktinya, pesanan itu masih aku hafal hingga kini.

Selain pesanan Rafeah, aku juga masih hafal pesanan Ustaz Fadhil:" Khurafat yang paling besar yang melanda umat ketika ini adalah mempercayai bahwa hanya Barisan Nasional yang mampu memerintah..."

glosari:
serepung : tempat ayam mengeram. Dibuat dari buluh. Hujung buluh dibuat bilah-bilah dan dijalin/dianyam hingga membentuk seolah-oleh corong.

Monday, March 03, 2008

siasi vii

Ghazali bukan saingan sebenar Mahathir. Tetapi Razaleigh. Anak raja yang sering mendapat undi tertinggi dalam pertandingan naib presiden. Petanda bahawa dia merupakan orang nombor tiga di zaman Razak. Yang sepatutnya jadi nombor dua di zaman Husein.

Kununnya ada kompromi. Mahathir bersetuju akan lantik Razaleigh jadi nombor dua bila Husein berundur nanti.

Tapi Mahathir adalah Mahathir. Di belakangnya ialah Ananda dan Vincent. Di belakangnya ada Daim dan Adnan. Dan dia ingin mencari siapa lagi yang boleh menguatkannya untuk berhadapan dengan Razaleigh. Dia nampak Musa. Dia nampak Ghafar. Dia nampak Junid. Dia nampak Sanusi. Dia nampak Anwar!

Sunday, March 02, 2008

siasi vi

Ibrahim adalah tokoh yang paling lantang menuntut pembebasan Anwar. Di samping Fadhil dan orang-orang kuatnya dalam belia Islam seperti Sidek, Fuad, Kamaruddin dan Kamarudin. Namun dikatakan bahawa selagi Ghazali ada, jangan harap pembebasan itu berlaku.

Ghazali juga mengurung Kassim. Juga Samad Patah Sayap Terbang Jua. Juga dua orang Abdullah dari partinya sendiri. Ghazali juga berhasrat menahan Mahathir. Sebagai intro, SU ditahan dahulu. Melalui risikan, Ghazali mendapat tahu demontrasi besar-besaran akan berlaku seluruh negara jika Mahathir ditahan. Ghazali tak berani.

Sedikit cahaya harapan berkelip-kelip bila Musa menggantikan Ghazali. Husein mungkin ada strategi tertentu yang agak sukar dibaca.

Tuesday, February 26, 2008

siasi iv

Sebelum kemunculan protagonis Hadi, Asri terlebih dahulu berkonflik dengan watak sampingan Nasir. Suasana ini telah diambil kesempatan oleh perlente Ibrahim untuk menonjolkan dirinya. Sebenarnya tika itu Ibrahim masih lagi dalam pembebasan bersyarat. Sahabatnya Anwar masih di Kemunting kerana tak mau main syarat-syarat.

Ibrahim memang pakar dalam kerja-kerja mempanikkan orang ramai. Dengan pihak berkuasa berdiri di belakang, kerja-kerja Ibrahim menjadi lebih enteng.

Tayar-tayar buruk dikumpul dan dibakar. Orang surat khabar ambil gambar. Siar dalam surat khabar. Orang angkasapuri ambil gambar. Siar dalam tivi. Orang radio bercerita macam-macam dalam radio.

Ibrahim kumpul orang entah dari mana. Angkat pelbagai sepanduk. Orang surat khabar ambil gambar. Siar dalam surat khabar. Orang angkasapuri ambil gambar. Siar dalm tivi. Orang radio bercerita macam-macam dalam radio.

Serambi Mekah sedang huru-hara. Darurat diistiharkan.

"Darurak tahik kucing. Hok demo racce blako!" rungut Pok Teh Mat dari Kedai Lalat.

Dun dibubar. Nasir tubuh berjasa yang tak berjasa. Ibrahim jadi orang kuat.

Husein berjaya memikat Nasir bergabung dalam barisan . Matlamat mereka hanya satu. Bercumbu dengan Cik Siti Wan Kembang.

Thursday, February 21, 2008

siasi iii

Tak pasti. Sama ada Asri pernah menulis sajak atau tidak. Tapi Asri memang seorang deklamator yang hebat. Lantunan suaranya cukup power dan mampu menyerap ke kalbu audien.

Namun dia lebih dikenali sebagai pemimpin politik. Kerana peminat politik lebih ramai dari peminat puisi.

"Ni zaman orang dah naik ke bulan. Sajak sajak ni orang tak mainlah!" Kata Lias Jerong. Masa tu kebanyakan budak-budak pakai t-shirt dicop dengan Apollo 11. Kebanyakan bermutu rendah kerana lepas sekali basuh bahu dah terlondeh.

Asri bertahan menjadi kepala sesudah diceraikan oleh Husein. Sehinggalah muncul Hadi. Pendekatan Hadi membuat Asri makin tersingkir di kalangan akar umbi.

"Aku nak minta cerai" Bisik Asri kepada isterinya. Sambil menghembus asap More saiz panjang. Dia memang penagih tembakau yang tegar. Sama seperti timbalannya, Yusof.

Friday, February 15, 2008

siasi ii

Di tiang-tiang api. Di tiang-tiang telefon. Di peleh wakaf. Di dinding-dinding kedai. Di batang-batang nyiur. Di batang-batang sementa. Ada gambar Kassim. Ada gambar Cikgu Pa.

Kata emak, kita kena pangkah Cikgu Pa. Sebab Cikgu Pa orang Teganu. Kassim orang Penang.

Cikgu Mat Jeng kata kita kena pangkah Cikgu Pa. Sebab Kassim komunis!

"Kena kena pangkah Kassim!" ujar Pak Su. Seperti biasa Pak Su bercakap dengan tenang. Senyuman tak lekang dari bibirnya. "Kepala Lembu memperjuangkan nasib rakyat. Supaya semua rakyat dapat sama rata menikmati hasil bumi kita. Pemimpin kepala lembu berjuang bukan untuk tembolok sendiri. Bukan macam pemimpin dacing!"

"Kita nak pangkoh apa mak?" Aku.

"Wuih..mu dok leh ngundi. Mu budok-budok. Hahaha"

Masa tu Kak Long bekerja dengan Ku Mat. Calon kepala lembu DUN Batu Buruk. Menurut Kak Long, Ku Mat bukan komunis. Dia sembahyang macam kita juga, kata Kak Long.

Beberapa tahun lepas itu. Di asrama. Lias Jerong dye t-shirt fruit dengan lambang tukul dan sabit. Aku dye t-shirt pagoda dengan gambar tangan menjulang genggaman. Di bawah tangan menjulang penumbuk ada kata-kata 'das ende'.

Beberapa tahun lepas itu. Tika t-shirt 'das ende' aku dah lusuh. Husein menceraikan Asri. Cikgu Pa tetap setia bersama Asri. Walaupun masa itu dia dah jadi Timbalan Menteri.

Tuesday, February 12, 2008

siasi i

Sepanjang perlawanan Bugner asyik menutup muka dengan dua glovenya. Ali pula asyik mengacah-ngacah. Tak berani menyerang. Segala strategi Ali untuk mengulangi apa yang dilakukan terhadap Foreman hancur lebur.

"Maing macang natang berok..." Sumpah Mamat Kawah yang berasal dari kampung Butut Ulu Terengganu.

Tak lama selepas itu Harun pun tumbang. Segala strategi Husein menjadi. Ternyata Harun cuma petah berpidato tapi bebal dalam berstrategi.

"Maing macang natang berok..."Sumpah lagi Mamat Kawah yang berasal dari kampung Butut Ulu Terengganu.

Sunday, February 03, 2008

pemantapan

Berdepan dengan Mat Nong kami akan menjadi pendengar yang sabar. Mendengar lepas satu cerita, satu cerita. Lepas satu isu, satu isu. Tak putus-putus modal Mat Nong.

Kadang-kadang cerita Mat Nong amat menghiburkan. Kadang-kadang-kadang menyakitkan hati. Kadang-kadang membuat kita berfikir dan kadang-kadang membuat kita rasa dibodohkan.

Kalau kami nak bercakap juga terpaksalah kami memotong percakapan Mat Nong. Kalau tidak memang tak ada peluang nak bercakap. Ayat-ayatnya seolah tak ada tanda baca 'noktah' apa lagi 'koma'.

"Dari daerah kita ni aku sorang saja wakil kursus tu. Haha..tapi seronok juga. Penceramahnya best-best. Ada yang..."

"Kursus apa tu Nong?" Aku memotong.

"Kursus pemantapan akidah. Tapi aku heran juga pasal apa aku dipilih. Kebanyakan peserta lain adalah pengikut ajaran sesat. Macam pengikut Ayoh Ping, Hasang Anok Rima, Stopa Talapia, Arqam......"

"Hahahaha..."

Saturday, January 19, 2008

mabuk

Pagi datang lagi. Dan dia bertelanjang lagi. Cermin dua kali lima kaki itu dihadap lagi. Macam pagi kelmarin. Macam pagi kelmarin dulu.

Akukah itu? Ya, nampak macam aku.

Lalu ditampar-tampar pipinya. Dijegil-jegil matanya.

Ya, memang nampak macam aku.

Ditepuk-tepuk pula perut gendutnya. Dijegil lagi matanya.

Ya, ya..memang nampak macam aku. Nampak macam aku.

Dilurut-lurut pula anunya. Diredupkan matanya. Dia senyum. Anunya nampak baik. Melentok dan tidak membahayakan sesiapa.

Ya, ya, ya itu muka aku. Itu perut aku. Itu...itu (berfikir mencari istilah yang sopan) burung aku. Memang nampak macam aku. Nampak macam akuuuuuuuuuuuu.

Dia semakin yakin. Imej itu memang dirinya. Dan dia tidak mabuk.

Kau yang mabuk. Bukan akuuuuuuuuuuu.

Tuesday, January 15, 2008

sayang...

Dia menculik bukan untuk suka-suka. Juga bukan untuk mengalih tumpuan masyarakat dari isu-isu besar. Yang melanda Malaya sejak akhir-akhir ini.
Bergembiralah. Kerana kita adalah masyarakat yang penyayang. Dan pemimpin kita adalah pemimpin-pemimpin yang penyayang.

Wednesday, January 02, 2008

ayer manchur


Masa muda Rahim agak handsome juga. Ada iras-iras Rajesh Khana. Tapi Rahim tidak begitu gembira bila dibandingkan dengan aktor Bollywood itu. Kerana Rahim hanya meminati Charles Bronson dan Clint Eastwood.

Sementara menunggu bas balik ke asrama masa outing aku selalu lepak di kedai Rahim. Bukan untuk membeli jamu atau pelbagai ubat tradisional yang dijual di situ tetapi membelek buku-buku agama. Di samping ubat, kedai Rahim juga ada menjual buku-buku agama termasuklah kitab kuning. Antara buku yang aku beli di kedai Rahim ialah AlUbudiyah karya Ibn Taimiyah. Buku itu masih ada dalam koleksiku hingga hari ini.

Peniagaan Rahim bertambah maju. Jika ketika aku masih di alam persekolahan premis perniagaan Rahim hanya merupakan sebuah gerai yang amat sederhana, tika aku sudah mula bekerja Rahim sudah memiliki kedai yang agak besar di bandar itu. Sebut apa sahaja jenis ubat tradisional Melayu, pasti ada di kedai Rahim. Termasuk yang diimport dari negara jiran.

Nasib Rahim agak malang bila Chua Soi Lek menjadi Menteri Kesihatan. Dalam satu pemeriksaan oleh penguatkuasa, ubatan yang nilainya tidak kurang RM100 ribu dirampas dari kedai Rahim. Kerana kononnya ubat-ubat tersebut tidak mendapat kelulusan kkm.

Sejak kejadian itu, Rahim tidak lagi ghairah berniaga. Walaupun kedainya masih wujud, tapi tidaklah semeriah dahulu. Kata Rahim, yang menjadi mangsa adalah peniaga sepertinya. Sedangkan kedai-kedai singseh yang menjual cicak kering, biawak kering dan entah apa-apa jenis ubat tidakpun diambil peduli oleh pihak penguatkuasa.

Akhirnya perniagaan ubat tradisional Rahim gulung tikar.  Untuk menampung hidup, Rahim dan isteri cuba menceburi bidang katering.  Namun bukanlah mudah untuk beliau survive dalam bidang yang baru itu.

Tuesday, January 01, 2008

jahat

Ab. Rashid, 65, yang baru sahaja dilanjutkan perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR selama setahun pada 27 Disember lalu – selepas Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan beliau meneruskan tugasnya – berkata, BN tidak memerlukan pertolongan SPR untuk memenangi pilihan raya umum kerana parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.


‘‘Janganlah disebabkan pembangkang kalah dalam pilihan raya, SPR pula menjadi mangsa. Kita tidak pernah bantu BN untuk capai kemenangan dan sememangnya parti itu kuat dan ia mempunyai calon di semua kawasan pilihan raya. Sekiranya pembangkang mahu bersaing, mereka perlu letakkan calon seperti yang dilakukan oleh pihak BN,’’ katanya.


Ab. Rashid berkata, beliau terdorong untuk membuat cabaran seumpama itu kepada pihak pembangkang kerana mereka tidak pernah positif terhadap apa yang cuba dilakukan oleh SPR.


‘‘Mereka hanya tahu memperlekehkan usaha SPR dan mereka langsung tidak pernah menghargai apa yang kita lakukan. Sekiranya SPR tidak adil, tidak mungkin Kelantan kini diperintah oleh Pas.


‘‘Begitu juga dengan pilihan raya umum Sarawak tahun lalu yang mana kebanyakan kawasan bandar dimenangi oleh calon parti pembangkang.


“Adakah ini tidak cukup adil lagi bagi mereka?’’ tambahnya.

Monday, December 24, 2007

main air

Balik dari misi. Belek-belek mov dan jpeg. Pagi tadi sempat siapkan klip sepanjang 8 minit. Mov diimport ke dalam Video Studio 8. Susun ala kadar. Masukkan title ala kadar. Masukkan runut bunyi ala kadar. Save dalam format wmv. Supaya pengguna amatur tidak merungut. Masih ramai yang tidak ada codec yang sepatutnya dalam komputer masing-masing untuk memainkan avi.

Namun hasilnya tidaklah mengecewakan. Lagu Antara Dua Cinta sebagai muzik intro rasanya amat sesuai.

apa yang ada jarang disyukuri

apa yang tiada sering dirisaukan

nikmat yang dikejar baru kan terasa

bila hilang...

apa yang diburu timbul rasa jemu

bila sudah di dalam genggaman..

Jpeg tak berapa banyak. Cuma 65 keping. 112 MB. Dan ada banyak juga yang perlu direject dari projek. Antaranya adalah yang berikut:





Satu keluarga terkandas di gigi air Kampung Penor. Katanya nak balik ke Pekan. Akhirnya dapat menumpang bot tentera. Kami merelakan mereka pergi dahulu. Kami lambat sikit tak apa.


Abang RAMD yang super ramah. Bot laju mereka dengan muatan 13 orang

mengambil masa 40 minit dari gigi air kampung Penor ke gigi air Kampung Ubai.











Gigi air kampung Ubai.












Trak Armour membawa kami dari Kampung Ubai ke Pusat bandar Pekan mengambil masa satu jam setengah. Telah meredah air dengan jayanya.




Thursday, November 29, 2007

unit

Selain memiliki penembak tepat, unit ini juga punya beberapa cara lain untuk mencabut nyawa musuh. Termasuk merancang kemalangan.
Sasaran adalah manusia yang mereka istilahkan sebagai penjenayah yang sukar ditangani dengan menggunakan tatacara biasa. Termasuk pemerasugut yang memerasugut sangat sangat penting orang (sspo).
Sesudah unit melaksanakan pembunuhan, pihak penguatkuasa yang biasa akan menyiasat kasus tersebut. Yang biasanya akan ditutupkasus sesudah gagal mengesan pembunuh. Dalam banayak kasus, pihak tinggi penguatkuasa yang biasa sudah dimaklumi siapa punya kerja.
Cuma kasus akan menjadi sukar bila penyiasat persendirian masuk campur. Apalagi jika penjenayah awal-awal lagi sudah mengupah penyiasat persendirian untuk menjaga keselamatannya. Segala bukti sudah ada di tangan penyiasat persendirian yang sudahpun menyediakan rangkaian keselamatannya termasuk hubungan dengan pihak media.
Unit bakal menghadapi kesukaran bila berdepan dengan penjenayah tipa ini. Yang nampaknya tidak peduli risiko sindiket mereka diberi liputan. Lantaran tiada ayahtuhan yang perlu mereka lindungkan.

berkhidmat untuk negara




Wednesday, November 14, 2007

menyayat jiwa

Dulu Kamaruddin Mohd Noor adalah orang cerdik. Kemudian dia berkawan dengan orang-orang yang tak berapa cerdik. Sebab itulah Abe Loh yang hanya merupakan seorang penjaja kecil Wakaf Che Yeh boleh dikatakan jauh lebih cerdik dari beliau.

Sebagai bukti kita lihat komen yang diberikan oleh Abe Loh terhadap kenyataan Kamaruddin.

Kamaruddin: Kerajaan Pas tidak mungkin boleh memerintah begitu lama di Kelantan sekiranya benar dakwaan para pemimpin parti itu bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Abe Loh: Sekiranya SPR adil, PAS akan sapu bersih kerusi di Kelantan. Tak ada can UMNO menang satu kerusipun.

Tuesday, November 13, 2007

menyayat hati

Nasib Haji Abu Bakar bin Mohd Radzi dan Arni Nazira binti Deraman agak berbeza. Meskipun kedua-duanya menyertai perhimpunan.

Abu Bakar menyertai perhimpunan yang agak jauh dari rumah. Beliau terpaksa berkereta lebih lapan jam. Terpaksa pula melalui banyak tol. Terpaksa melalui banyak sekatan jalan raya. Dan kemudian terpaksa pula mandi air kimia Angkara budak-budak nakal yang nampaknya seronok betul dapat main meriam air.

Malangnya perhimpunan tersebut tidak diiktiraf oleh Malayan Book of Record. Perhimpunan anjuran NGO yang paling ramai disertai oleh rakyat Malaya. Sebaliknya Malayan Book of Record mengiktiraf perhimpunan yang dihadiri oleh Arni Nazira yang baru berumur 6 tahun. Sebagai perhimpunan para pengkhatam al-Qur'an prasekolah.

"Apa nama adik?"

"Arni Nazira"

"Adik ngaji sampai iqra' berapa?"

"Baru nak masuk iqra' tiga"

"Jadi adik belum khatamlah ye?"

"Khatam tu ape?"

"Ha ha ha.."

Sunday, October 28, 2007

satu nafas

Sila baca ayat berikut dalam satu nafas:

Ajal dan maut adalah di tangan Tuhan tetapi tidur di atas landasan keretapi ketika masih siuman tanpa niat membunuh diri adalah salah satu perbuatan yang sangat bodoh.

Wednesday, September 26, 2007

kenangan mengusik jiwa v

Lewat 70-an...

Rumah ustaz M merupakan tingkat atas sebuah deret kedai. Aku tiba agak lambat. Sebaik saja aku mengemaskan sila, majlis pun dimulakan. Ustaz M bercerita tentang solat dari segi tasawwur, kaifiat dan fadhilat. Peserta pada hari itu lebih kurang 15 orang. Bersila membentuk satu bulatan.

Aku agak terkejut juga bila ku dapati hanya aku dan temanku sahaja merupakan pelajar, sedangkan yang lain agak dewasa termasuklah tiga orang guru dari sekolahku(termasuk Ustaz M). Oleh kerana aku tidak membawa sebarang buku catatan, aku hanya menadah telinga sahaja sambil memerhati dari wajah ke wajah. Temanku nampaknya tekun mencatat.

Setelah majlis ditutup (rasanya bukan dengan tasbih kifarah dan surah Al 'Ashr, tetapi dengan doa olehUstaz M), hidangan ringan pun diedar. Isteri Ustaz M keluar menghidang makanan dan minuman dan dengan ramah bertegur sapa dengan para tetamu. Penampilan isteri ustaz M agak memeranjatkanku. Berambut pendek mencecah bahu, berbaju kurung kedah (lengan kontot) dan berkain batik yang agak sendat….

Thursday, September 20, 2007

batu buruk

Ada cadangan supaya nama 'Batu Buruk' ditukar. Alasannya nama tu 'buruk' benar bunyinya. Betul ke tu...

Dalam konteks Terengganu asli, 'buruk' tidak membawa konotasi 'tidak cantik' atau 'tidak baik' atau 'jahat'. Pengertiannya hanya satu iaitu 'tua dan rosak'. Barang yang 'buruk' adalah barang yang tidak lagi kelihatan seperti asalnya. Ia juga tidak lagi dapat berfungsi sebagaimana ketika ia 'baru'.

Namun kita harus berhati-hati dengan 'batu'. Kerana batu bukan sahaja dimengerikan sebagai 'sejenis galian bukan logam yang berat (tidak boleh ditempa dan tidak larut dalam air)' tetapi ia membawa pengertian yang pelbagai bergantung kepada konteks penggunaannya. Antaranya:

1. permata (untuk mata cincin dan lain-lain)
2. penjodoh bilangan bagi gigi
3. ukuran jarak
4. keras
5. testis

Oleh yang demikian, 'batu buruk' bolehlah didefinisikan sebagai 'batu yang telah tua dan rosak'. Batu apa yang tua dan batu apa yang rosak itu terserahlah kepada definisi nombor berapa yang kita ambil. Namun seminar tanpa permit yang di adakan di sebuah wakaf baru-baru ini hampir mencapai satu resolusi bagi nama yang lebih sesuai untuk Batu Buruk. Daripada banyak-banyak nama yang dicadangkan, nama 'Teruna Merana' agak menarik perhatian ramai perwakilan. Nama itu sedap disebut dan kedengaran agak puitis.

Wednesday, September 19, 2007

empat istilah

Beberapa tahun lalu, seorang menteri kanan Malaya nak tunjuk pandai. Beliau mencadangkan agar diharamkan penggunaan istilah yang mempunyai unsur kearaban (terutama bagi nama pertubuhan).

Aku pasti dia bukan berkelulusan jurusan bahasa dari mana-mana universiti. Mungkin jurusan ekonomi, mungkin jurusan undang-undang. Kalau tidak tentu dia tahu bahawa lebih 70 peratus kosa kata bahasa melayu adalah berasal dari bahasa arab. Selebihnya adalah kata pinjaman dari bahasa sangskrit, parsi, cina, jawa, bugis, thai, portugis, belanda, inggeris, dan lain-lain. Hanya ada empat istilah sahaja dalam bahasa Melayu yang tidak dapat dikesan bahasa asalnya. Iaitu paku, besi, padi, babi.

Malah, majoriti orang Melayu Malaya mempunyai nama yang kearaban. Termasuklah 'Aziz ' dan 'Rafidah'.