Tuesday, August 26, 2014

BAB 17: TEBAS

BAB 17


Sudin Boria sudah lama dengar. Tapi sengaja dipekakkan telinga. Anggap semuanya sebagai fitnah untuk mengacaubilaukan pakatan dengan Mang Ppale Kerah dan Asing Kuba Pendek.
Namun kali ini dia tidak boleh lagi memekakkan telinga. Kerana yang didengar adalah dari mulut Lebai Mat Jeng sendiri. Seolah-olah pengesahan bahawa apa yang didengar selama ini adalah benar. Tiada yang tidak benar melainkan benar belaka.
Rupa-rupanya Lebai Mat Jeng dan Bedul Jaykaykay sudah lama berbincang. Semak-samun yang memisahkan gelanggang mereka akan ditebas. Walaupun agak luas tapi kerja tebas menebas itu tidaklah sesukar mana. Yang banyak meliar di situ hanyalah pokok sukai, nnapir, mempelas, senduduk, ekor tupai, dan paku pakis. Yang mungkin agak menyukarkan sedikit hanyalah beberapa batang pokok kekabu, jering, buluh, kelubi, nibung, pinang dan jambu keling. Itupun tak perlu ditebang semua. Yang rendang di sebelah tepi boleh di tinggalkan untuk dibuat tempat berteduh.
Sudin Boria mendengus. Matanya tajam ke arah golok pusaka yang terselit di dinding.
"Golok... gunamu bukan hanya untuk tebas semak-samun. Untuk tebas tengkok orang pun boleh..." bisik Sudin Boria sambil mengumpul aura. Dan dengan satu gerak yang luar biasa, tubuhnya sudah melekat di dinding seperti Spiderman.

Saturday, August 23, 2014

BAB 16: ONAR


Sang Nila Setitik yang sepatutnya berkecuali dilihat lebih akrab dengan puak Bedul Jaykaykay. Inilah yang merunsingkan Mang Ppale Kerah. Kalau tak kena gaya, benang akan putus dan tepung akan berterabur.
Perkara tersebut sudah acap kali dibincang dengan Asing Kuba Pendek dan Lebai Mat Jeng. Seperti biasa Asing Kuba Pendek tak berani buat banyak ulasan. Imejnya yang sering dilabel sebagai anti Sang Nila Setitik menyebabkan dia terpaksa banyak berhati-hati.
Lebai Mat Jeng pula susah hendak dipegang buku. Pendiriannya sering berubah-ubah. Namun Mang Ppale Kerah cukup yakin bahawa Lebai Mat Jeng tidak akan terbabas jauh. Permusuhan turun temurun dengan Bedul Jaykaykay menjadi kubu yang cukup utuh.
Bagaimana kalau Sang Nila Setitik kali ini benar-benar membuat onar?
Mang Ppale Kerah memicit-micit dahinya. Merebahkan belakang ke kerusi malas dan merenung siling. Belakangnya yang sakit rasa sedikit lega.
"Aku bukan lagi muda. Dah tua.." Bisik Mang Ppale Kerah. Berbalah dengan Sang Nila Setitik tidak membawa apa-apa keuntungan. Kedudukan Sang Nila Setitik yang dipercayai berketurunan alien boleh mengundang pelbagai masalah.
Satu dentuman yang kuat mengejutkan Mang Ppale Keras. Siling rumahnya kelihatan pecah berkecai. Dengan sekelip mata rumahnya tidak lagi mempunyai bumbung. Langit gelap tanpa bintang.
Blackout. Mang Ppale Kerah yang sedang panik dikejutkan dengan kemunculan setompok cahaya di tengah ruang tamu rumahnya.
Bedebuk! Seorang lelaki jatuh di atas tompokan cahaya tersebut. Lelaki tersebut bangun terhegeh-hegeh dan berjalan ke arah Mang Ppale Kerah dengan gaya seperti hendak tersembam.
Mr Bean!
Mang Ppale Kerah ketawa terbahak-bahak. Namun tawanya tidak lama. Sepasang tangan yang gagah terasa mencekik lehernya. Mr Bean sudah bertukar menjadi Sang Nila Setitik. Kini sedang mencekik Mang Ppale Keras sekuat hati.
"Mati aku..."Tempik Mang Ppale Kerah.

Friday, August 22, 2014

BAB 15: BERCANGGAH

Lebai Wae Asse membuka jendela. Udara segar yang nyaman menyerbu masuk.

"Aman... tenang..." bisik Lebai Wae Asse sambil menarik nafas dalam-dalam. Kemudian menghembusnya perlahan-lahan. "Alangkah baiknya jika keadaan mereka sedamai ini..." bisiknya lagi.

Lebai Wae Asse tahu. Tak banyak sangat beza cara berfikir Lebai Mat Jeng dengan Sudin Boria. Mereka berdua sering berbincang dan biasanya berjaya mencapai kata sepakat. Masalah hanya timbul bila mereka balik bertemu anak buah. Ada saja akal anak buah yang berjaya menggongcang pendirian mereka. Terutama Lebai Mat Jeng.

Sebab itulah sejak akhir-akhir ini Lebai Wae Asse lebih banyak mengambil sikap tutup mulut. Bak kata perpatah 'ditelan mati emak diluah mati bapak'.

"Macam mana nampak selalu sangat  bercanggah dua orang ni. Nampak rajin sangat berbincang. Bincang apa tah. Ke berbincang nak tambah bini..."

"Kiok.. kok.. kok.."

Mata Lebai Wae Asse segera melilau ke halaman rumah. Seekor bapak ayam kelihatan sedang mengejar seekor ayam betina.

Thursday, August 21, 2014

BAB 14: SESAMA SENDIRI

BAB 14


"Musuh aku ialah puak-puak Bedul Jaykaykay. Bergaduh sesama sendiri aku tak reti..." Kata Sudin Boria agak kuat. Tiga orang anak buah Lebai Abu Bakaq yang sedang mengeteh di meja sebelah menjeling serentak. Kemudian kembali mengadap smartphone masing-masing. Buat-buat tak dengar.
"Tapi depa duk jaja yang hang sekarang jadi barua Mang Ppale Kerah!" Jahar Kkorok Kering cuba masuk jarum. Asap rokok yang bergumpalan dalam mulutnya dihembus ke muka Sudin Boria.
Binawe, bisik Sudin Boria. Kalau ikutkan perasaan, rasa mahu ditamparnya muka Jahar Kkorok Kering. Biar terpelanting rokok yang yang tercepit di birai bibirnya itu.
Jahar Kkorok Kering ternyata masih Jahar Kkorok Kering. Dari zaman 'angry young man' di ipt hinggalah dah berjanggut atas bawah, begitulah perangainya. Tapi Sudin Boria cukup sedar bahawa lelaki yang tercokoh di depannya itu bukan sebarang manusia. Di dalam kepalanya ada setongkol otak yang sangat genius dan di dalam dadanya terselirat cita rasa seni yang amat halus.
"Tak apa. Mereka orang baru. Baru kenal gelanggang perjuangan. Masih bertatih. Kita jangan mudah melatah dengan kerenah mereka..." Jelas Sudin Boria lembut.
Jahar Kkorok Kering tersengih. Kemudian tunduk dan menaip sesuatu pada smartphone.
"Pep... pepek.. pep.." Notifikasi wassap Sudin Boria berbunyi. Segera Sudin Boria menantap smartphone.
'take care.. anak buah lebai abu terbakaq di meja sebelah sedang rakam perbualan kita.. kah kah kah'
Spontan Sudin Boria menjeling meja sebelah dan kemudian mencerlung muka Jahar Kkorok Kering. Jahar Kkorok Kering tersengih dan kemudian ketawanya bergegar hingga membuatkan semua yang ada di situ berpaling.
"Hoi... gila ke..." Tempik Saleh Ddekor yang sedang asyik bermain dam dengan Ali Silau di penjuru kedai.
Tawa Jahar Kkorok Kering makin bergegar. Dan Sudin Boria hanya mampu mengeleng-ngeleng kepala.

Wednesday, August 20, 2014

BAB 13: TERPELANTING

BAB 13


Runsing. Kalau diikutkan hati mahu Lebai Mat Jeng terus sahaja berada di tengah laut ini tak balik-balik. Biar semua kecoh tentang kehilangannya. Hilang secara misteri sebagaimana misterinya MH370.
Apa tidaknya. Sangkaannya bahawa semua akan kembali tenang ternyata meleset. Sindir-menyindir dan perli-memperli malah semakin rancak. Tanda-tanda untuk reda langsung tidak kelihatan.
Di langit kedengaran guruh. Lebai Mat Jeng mencabut terendak dari kepalanya dan mendongak ke langit. Hatinya cemas. Ada tanda-tanda cuaca buruk akan bertandang.
Sesudah mengemas segala kelengkapan memancing, Lebai Mat Jeng segera memecut bot menghala ke daratan. Tapi sudah terlambat. Satu gelombang besar tiba-tiba menghempas bot. Lebai Mat Jeng terpelanting ke laut.
Mujurlah keadaan laut segera kembali tenang. Lebai Mat Jeng yang terkapai-kapai hanya mampu berdoa. Mustahil baginya untuk berenang ke daratan yang sayup mata memandang.
Doa Lebai Mat Jeng dimakbul. Tiga buah bot kelihatan sedang meluncur laju menuju ke arahnya.
Ketiga-tiga bot tiba serentak. Amat mengejutkan. Rupa-rupanya bot milik Bedul Jaykaykay, Mang Ppale Kerah dan Asing Kuba Pendek.
Bila melihat Lebai Mat Jeng yang terkapai-kapai, ketiga-tiga mereka ketawa berdekah-dekah, membuat u-turn dan memecut laju meninggalkan Lebai Mat Jeng.
"Tunggu... hoi tunggu... tunggu... " tempik Lebai Mat Jeng sekuat hati.
Bahunya terasa digoncang. Dan seperti cerita-cerita yang biasa ditulis oleh ramai orang sebelum ini. Mimpi... hehehe

Tuesday, August 19, 2014

BAB 12: SKODENG

BAB 12


Tiada gema gong dan gendang silat. Yang kedengaran hanyalah nyanyian cengkerik dari belukar yang diserkup kegelapan. Sesekali kedengaran bunyi lotong bertingkah-tingkah.
Lebai Mat Jeng berdiri betul-betul di tengah gelanggang. Memasang kuda-kuda dan kemudian membuat beberapa langkah pendekar.
Zup! Satu tendangan dilepaskan oleh Lebai Mat Jeng ke udara.
Lebai Mat Jeng mengeleng-ngeleng kepala. Mengesat peluh yang merenik di leher sambil menahan mengah. Ternyata tendangannya tidak lagi semantap dulu. Terasa ringan dan tidak padu.
"Mungkin betul kata mereka. Sudah sampai masanya aku berundur..." Keluh Lebai Mat Jeng. Ingatannya segera terimbas kepada Sudin Boria.
Mengingatkan Sudin Boria, hati Lebai Mat Jeng bertambah runsing. Kalau dia berundur maka Sudin Borialah yang akan ambil tapaknya.
Perkara utama yang dirunsingkan ialah kerana Sudin Boria bukan dari suku sakat lebai. Walaupun sangat tangkas dalam bong tapi kemungkinan untuk tergelincir dan tertonggeng amat besar. Lagipun, sejak akhir-akhir ini terasa sangat seolah-olah Sudin Boria telah membina puaknya tersendiri.
Peristiwa baru-baru ini memberi petunjuk yang jelas. Sudin Boria tidak lagi menjadi tulang belakangnya. Walaupun tidak menunjukkan penentangan secara terang-terang tetapi tindakan anak buahnya banyak mengguris hati Lebai Mat Jeng.
Itu belum lagi diambil kira pelbagai hinaan yang dilempar oleh anak buah Mang Ppale Kerah yang kian hari kian akrab dengan Sudin Boria. Pelbagai gelaran yang jelek-jelek singgah di cuping telinganya. Mat Lembab, Mat Slow, Mat Kkure. Yang paling tak tahan bila ada juga yang menggelarnya Mat Jeng Kreng.
"Pop... pooop..." bunyi kentut dari dalam semak membuatkan lamunan Lebai Mat Jeng terganggu. Dengan langkah pendekar, Lebai Mat Jeng terus menghambur ke arah semak. Sesosok lembaga kelihatan susup-sasap melarikan diri.
"Cis.. Bedul Jaykaykay..." Seranah Lebai Mat Jeng. Walaupun pandangannya diganggu oleh kegelapan malam, tetapi gaya larian Bedul Jaykaykay yang terkangkang-kangkang itu tidak mampu diselindung.
Betullah telahannya selama ini. Bedul Jaykaykay memang sentiasa menskodeng segala gerak-gerinya.

Monday, August 18, 2014

BAB 11: HANCUR

BAB 11


"Hancur! Musnah!"Tempik Lebai Abu Bakaq. Isterinya yang sedang menggosok jubah tersentak. Batik kembannya yang terlucut segera disambar sebelum melurut melepasi pusat.
Hancur. Tindakan dua orang anak buah Sudin Boria meludah tunggul yang menjadi punca kekecohan benar-benar telah menamatkan segala pertarungan. Lebai Mat Jeng sudah tidak mampu lagi main tarik tali dengan Mang Ppale Kerah.
Blink!
Imej maya tiga dimensi ala Star War muncul di dinding. Bukan imej Darth Vader atau Luke Skywalker. Tapi gemulah Lebai Jusoh Lekor.
"Kau lemah Abu... lemah... Kes yang sekoman ini pun tak boleh settle.. dok rok ccetong! Hahaha..." Ketawa gemulah Lebai Jusoh Lekor tenggelam timbul bersama tenggelam timbulnya imej.
Blink!
"Maafkan aku Jusoh.. aku... aku... huhuhu... " Sedu sedannya sudah tidak dapat ditahan. Isterinya terkejut dan segera datang memeluknya era-erat. Membelai-belai janggutnya yang lejuh dibasahi air mata.
"Kenapa bi.. apa yang bi sedihkan?"
"Tidak... huhuhu...aku bukan sedih... huhuhu.. aku gembira... huhuhu... aku amat gembira... huhuhu... segalanya dah selesai... huhuhu... kita boleh kembali bekerja seperti biasa... huhuhu... kita tak payah lagi fikir pasal tunggul tu... huhuhu... biar Ppale Kerah dengan Kuba Pendek sahaja yang memikirkannya... huhuhu..."

Sunday, August 17, 2014

BAB 10: LANGKAH

BAB 10


Malam sepi.
"Ini malam. Barang baik. Fresh"
Memo yang diterima dari Tokey Soh itu dibaca berulang kali. Mencari kalau-kalau ada yang tersirat. Maklumlah. Tokey Soh ni bukannya boleh dipercaya sangat. Dah beberapa kali dia terkena. Kadang-kadang dia merasakan Tokey Soh lebih berbelit daripada Garukutu.
Bedul Jaykaykay melepaskan satu keluhan panjang. Gandingannya dengan Tokey Soh dan Garukutu tidak lagi semantap dulu. Malah mereka berdua lebih banyak membebankan. Mujurlah kelemahan tersebut dapat ditampung oleh Wasin Nyambuk dan Mamut Balak dari kampung seberang yang punya anak buah yang ramai.
Sebab itulah strategi utama Bedul Jaykaykay sekarang ialah meruntuhkan gandingan Mang Ppale Kerah, Asing Kuba Pendek dan Lebai Mat Jeng. Yang paling utama untuk direbahkan ialah Mang Ppale Kerah. Asing Kuba Pendek dan Lebai Mat Jeng tidaklah merunsingkan sangat kerana Bedul Jaykaykay cukup arif takat mana mereka boleh berpencak. Dengan jurus yang biasa-biasa pun mereka boleh tertonggeng.
Bedul Jaykaykay tersenyum. Memo Tokey Soh digumpal dan dicampak ke dalam bakul sampah. Perlahan-lahan dia bangun dan menapak ke arah pintu tanpa bunyi. Baru beberapa langkah...
"Aaa... nak ke mana tu aaa..." Bunyi dari dalam gebar di atas katil.
Bedul Jaykaykay terkedu.

Saturday, August 16, 2014

BAB 9: DILLEMA

BAB 9


Lebai Abu Bakaq dalam dilema. Yang paling dibimbangi ialah kalau-kalau Lebai Mat Jeng membuat u-turn dan menyokong tindak tanduk Mang Ppale Kerah.
Tanda-tanda ke arah itu nampaknya semakin ketara. Perang saraf yang dilancarkan oleh puak Sudin Boria nampaknya cukup berkesan. Yang agak mengejutkan ialah bila tersebarnya puisi panjang karya Weil Kapak Api yang bertajuk 'Tunggul Oh Tunggul'. Puisi yang cukup kaya dengan pelbagai perlambangan dan metafora itu dikatakan telah berjaya membuatkan ramai puak Lebai Abu Bakaq berpaling tadah.
'"Mangkuq hayun!" Lebai Abu Bakaq menyumpah. Kesal dengan kerapuhan iman pengikut-pengikutnya. Sudahlah dua orang sahabatnya Dolah Motibasi dan Lebai Mat Khiaq dah tersingkir gara-gara Sudin Boria, kini kedudukannya sendiri pun mungkin akan jadi seperti telur di hujung tanduk.
Tiba-tiba Lebai Abu Bakaq terkenangkan gemulah Lebai Jusoh Lekor. Air matanya berlinang.
"Jusuh... perjuangan kita semakin sukar difahami oleh budak-budak sekarang..." Rintih Lebai Abu Bakaq.

BAB 8: PELARIAN

BAB 8


Jahar Kkorok Kering menyedut baki rokok yang sudah rapat ke puting itu dalam-dalam. Memejam mata rapat-rapat menikmati sedutan akhir sebelum menenyeh puting ke dalam ashtray.
"Hidup bagai pentas sandiwara..." Jahar Kkorok Kering mula mendeklimasi. Dibayangkan di depannya ribuan audien sedang terkinja-kinja ghairah menikmati persembahannya.
"Kitalah pelakon-pelakonnya..." Jaal Kkorok Kering melantun suara. Masih mantap. Kesan latihan vokal yang pernah diikutinya ketika menjadi pelarian di luar negara ternyata masih tidak luntur.
Pep.. pep.. pep.. bunyi notifikasi wassap mengganggu konsentrasi Jahar Kkorok Kering. Ah, personal wasssap dari Sudin Boria.
Gambar superimpose yang entah kutu mana punya kerja. Mang Ppale Kerah dan Lebai Mat Jeng sedang bergusti. Mang Ppale Kerah yang kurus kering sedang dikepit dan ditindih oleh Lebai Mat Jeng yang bodinya berkatang-katang. Di luar gelanggang kelihatan Bedul Jaykaykay yang berkostum ala Undertaker sedang memegang kerusi lipat. Ghairah mencerlung isteri Mang Ppale Kerah yang terlentang bergelumang darah.
"Bahlul punya kerja.." Rungut Jahar Kkorok Kering. Dia tahu ini semua kerja budak-budak beringus dari puak Lebai Abu Bakaq.

Friday, August 15, 2014

BAB 7: RADIASI

BAB 7


Sudin Boria tercokoh di depan halaman rumah. Mencakar-cakar tanah dengan hujung ranting kayu. Membina peta minda.
Sebenarnya orang yang mula-mula bawa cerita bahawa tunggul itu berpuaka ialah Bedul Jaykaykay. Tapi tak ramai yang ambil kisah kerana imej Bedul Jaykaykay yang amat dikenali sebagai kaki putar alam.
Malah ada yang menerima cerita yang dijaja oleh Bedul Jaykaykay itu sebagai sendaloka. Bila Bedul Jaykaykay bercerita ada orang yang anunya jadi besar bila kencing tak jauh dari tunggul itu, Pokngoh Deramang yang kahwin 3 itu dengan selamba membuat ulasan: "Apa salahnya besar... lagi besar lagi bagus... hahaha".
Sebagai orang yang bertanggungjawab memacak tunggul itu, sudah tentulah Mang Ppale Kerah menafikan sekeras-kerasnya cerita yang dibawa oleh Bedul Jaykaykay.
Keadaan menjadi hingar bingar hanyalah bila Mang Ppale Kerah sendiri yang tiba-tiba minta tunggul itu dicabut. Kononnya tunggul itu sudah terkena radiasi ketika sebuah piring terbang UFO mendarat di baruh yang berhampiran. Menurut Mang Ppale Kerah, kesan radiasi itu boleh menyebabkan orang yang melalui lorong itu ditimpa penyakit yang aneh. Belum ditemui sebarang vaksin yang boleh digunakan untuk merawat penyakit tersebut.
Orang yang paling pantas bertindak bila tersebar cerita tersebut ialah Lebai Abu Bakaq. Beliau dan kuncu-kuncunya segera mengepung Lebai Mat Jeng. Mempastikan Lebai Mat Jeng tidak mudah dipengaruhi oleh Mang Ppale Kerah yang memang tersohor dalam ilmu pujuk memujuk.
Sudin Boria mengeleng-ngeleng kepala. Ranting kayu yang masih ditangannya dipatah-patah. Rasanya begitulah yang ingin dikerjakan terhadap puak Lebai Abu Bakaq. Biar patah-patah tengkok mereka semua.
Bedebuk! Bunyi dari belakangnya seperti ada orang terjun dari pokok. Sudin Boria pantas melompat, menangkis dan memasang kuda-kuda.
"Haiya.. bagus aji punya kungfu.. hahaha" Asing Kuba Pendek ketawa berdekah-dekah. "Hahaha.. jangan marahlah bro.. kita kawan... hahaha"

Thursday, August 14, 2014

BAB 6: BALIK AWAL

BAB 6


Harapan Sudin Boria sekarang hanyalah kepada Lebai Wae Asse. Walaupun Lebai Wae Asse baru-baru ini hampir terperangkap dengan permainan kumpulan Lebai Abu Bakaq tapi dia cepat-cepat sedar. Bahawa cara permainan kumpulan Lebai Abu Bakaq bakal menyebabkan mereka gostan 30 tahun ke belakang.
Sudin Boria mengetap-ngetap bibir. Rasa geramnya tiba-tiba meningkat ke paras kritikal. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia membuat pengistiharan bahawa Lebai Abu Bakaq sudah tidak relevan lagi untuk diajak masuk bong.
Bong sekarang bukan lagi macam bong zaman dulu. Para pendekar yang bertarung bukan lagi calang-calang. Datang dari pelbagai perguruan dengan pelbagai jurus yang pelik-pelik. Pendekar macam Lebai Abu Bakaq akan balik awal.
Terfikir tentang perguruan, Sudin Boria segera teringatkan Mang Ppale Kerah. Juga kepada bini Mang Ppale Kerah. Tiba-tiba Sudin Boria termenyanyi:
"cantik rupamu
cantik rupamu
dipandang mataaa
bagai biduan
bagai biduan
dariii syuruugaaa..."

BAB 5: TERLINGKUP

BAB 5


Sudin Boria serba salah. Walaupun tidak bersetuju dengan cara Lebai Mat Jeng mengendali kes ini tapi dia rasa belum sanggup menyatakan tentangan secara terang-terang. Sebab dia tahu. Mastermind segala tindak tanduk Lebai Mat Jeng ialah Lebai Abu Bakaq.
Lebai Abu Bakaq dah cukup lama berdendam akan Mang Ppale Kerah. Iaitu sejak sahabat karibnya Dolah Motibasi dinafikan daripada menjawat tugas sebagai penjaga selekoh. Bagi Mang Ppale Kerah, cukuplah kalau selekoh itu dipacak seketul tunggul sahaja.
Inilah problemnya bila tinggi ilmu tapi pendek akal, sungut Sudin Boria sambil bangun membetulkan urat pinggangnya yang terasa sakit. Setelah terasa sedikit lega, dia mencapai tongkat warrant yang terselit di celah dinding. Mula berlenggang-lenggok dengan gaya Pak Daud Sungai Pinang.
"nafsu ammarah jangan diikut
nanti semua akan terlingkup
sebelum berak biar terkentut
boria sungai pinang empunya tajuk...
eewah.. "

Wednesday, August 13, 2014

BAB 4: TENDANG

BAB 4


Asing Kuba Pendek melompat-lompat dan berpusing-pusing. Membuat aksi dan langkah kungfu. Sekali-sekala penumbuk dan penendangnya singgah pada punchbag yang tergantung.
"Amacam bro... ada gaya Bruce Lee tak gua punya kick.." Laung Asing Kuba Pendek kepada Mang Ppale Kerah yang sedang tercokoh di tepi dinding. Asyik berbalas wassap dengan bininya.
"Hahaha.. Kalu itu gaya punya kick, Bedul Jaykaykay tak heran. Macam bapuk... hahaha..." Mang Ppale Keras sengaja bikin provokasi. Kasi Asing Kuba Pendek naik sheh.
"Cilaka..." Asing Kuba Pendek menahan nafas. Kaki kirinyanya dijulurkan ke depan dan dikejapkan ke lantai. Kaki kanan dijulur kebelakang dan diringankan. Memasang kuda-kuda.
Punchbag direnung tajam. Dibayangkan punchbag itu bagaikan Bedul Jaykaykay yang sedang mentertawakannya. Namun ternyata bayangan Bedul Jaykaykay itu muncul silih berganti dengan bayangan Lebai Mat Jeng.
"Cis, cilaka!!!" Asing Kuba Pendek bertempik. Punchbag ditendang sekuat hati.
Prak!
Dua biji kerandut jelas kelihatan terhayun-hayun.
"Hahaha..." Mang Ppale Kerah terguling-guling ketawa.

Tuesday, August 12, 2014

BAB 3: TUNGGUL

BAB 3


Tak ramai yang tahu. Bahawa sejak akhir-akhir ini, tunggul yang dipacak oleh Mang Ppale Kerah itu lebih banyak menimbulkan masalah. Orang yang pernah melalui lorong itu sahaja yang tahu.
Mangsa terbaru khabarnya ialah Kiah Murai. Selepas ambil konar, tak sempat nak balas. Kainnya tersangkut kat tunggul itu. Kiah Murai dan basikalnya meluncur masuk ke dalam parit dan kain tertinggal kat tunggul. Kebetulan pula hari tu Kiah Murai tak pakai seluar dalam. Nasib baik saksi kejadian hanyalah cucu-cucu Pokngoh Deramang yang sedang berkubang dalam parit. Gelak sakan Pokngoh Deramang bila cucu-cucunya balik bercerita.
Cabut! Itulah keputusan yang telah dibuat oleh Mang Ppale Kerah. Dan sebagaimana yang dijangkakan, Bedul Jaykaykay segera membantah walaupun selama ini dialah yang beria-beria minta tunggul itu dicabut. Sebagai penangguk profesional, Bedul Jaykaykay tentu sekali tidak akan melepaskan peluang bila bertemu air keruh.
Yang sedikit mengejutkan ialah bantahan dari Lebai Mat Jeng. Namun setelah diteropong dengan teropong buluh, Mang Ppale Kerah segera faham. Bantahan Lebai Mat Jeng tidak ada kaitan sangat dengan tunggul. Ia lebih kepada 'retak menanti belah'.
Mang Ppale Kerah tersenyum. Dia dah jangkakan plan A dan plan B akan hadapi sedikit kesukaran. Tak apa, dia masih ada beberapa plan alternatif.

Monday, August 11, 2014

BAB 2: KEPUNG

BAB 2


Lebai Mat Jeng termenung panjang. Sekejap-sekejap garu kepala sekejap-sekejap menggosok perut gendutnya.
Baru disedari bahawa Bedul Jaykaykay bukan sebarangan musuh. Liciknya bukan alang kepalang. Seperti seorang pemain catur yang amat genius.
Ptui! Lebai Mat Jeng melepaskan seketul kahak. Kahak yang hijau, likat dan berlendir itu tersangkut di dahan axiora.
Direnungnya. Terasa kahak itu lebih baik dari otaknya. Yang tidak mampu membaca permainan Bedul Jaykaykay. Mengatur segala bidak, castle, knight mengepung permaisuri pihak lawan.
Diinsafinya kini bahawa rakan kongsinya Mang Ppale Kerah merupakan permaisuri yang sedang dikepung dalam permainan kali ini. Rebah Man Ppale Kerah maka rebah jualah impian mereka bersama.
Checkmate!
Tak apa, bisik Lebai Mat Jeng memujuk hati. Baru pusingan awal...

BAB 1: HATI PUAS

BAB 1


Lebai Mat Jeng tersenyum puas. Pendirian terbarunya ternyata berjaya menutup mulut celupar Bedul Jaykaykay. Bahawa dia bukanlan semudah itu untuk dijengkal muka oleh Mang Ppale Kerah. Apa lagi untuk ditunjal-tunjal dahi oleh Asing Kuba Pendek.
Pecah pun pecahlah. Yang penting hati puas.
Senyum Lebai Mat Jeng kian melebar.

GOSTAN KATA

Gostan kata adalah kerja yang sangat sukar. Sebab ia kadang2 melibatkan wibawa. Jangankan orang jahil tukir, orang yang bertitle ulamak atau tuan guru pun belum tentu mampu malakukannya. Seperti lain2 defenden, mereka juga akan 'mengaku tidak bersalah'.

Saturday, August 09, 2014

NAMEWEE, SAYUTI DAN KU LI

Di ambang PRU 13, geng Namewee menerbitkan sebuah klip video 'Undilah' dan Mohd Sayuti Omar menerbitkan sebuah buku 'Nyawa BN di Hujung Pedang (NBNdHP)'.

'Undilah' menampilkan Ku Li sebagai narrator yang sungguh berwibawa. Tahu apa masalah yang sedang di alami oleh Malaya dan tahu pula cara menyelesaikannya.  NBNdHP pula menamakan Ku Li sebagai tokoh yang paling layak menjadi PM jika BN berjaya ditumbangkan.

Klip video tersebut gagal mendapat kelulusan untuk siaran TV di Malaya. Tak ada siapa yang kisah kerana kebanyakannya hanya sekadar tertarik kepada unsur lawak yang ada di dalamnya. Malah, pandangan Sayuti tentang Ku Li sebagai calon PM Malaya pasca-PRU 13 juga dianggap sebagai satu lawak jenaka.

Friday, August 08, 2014

MENUNGGU WAHYU

Beberapa tahun yang lalu saya berkesempatan menonton 'Menunggu Kata Dari Tuhan' di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. Naskah Dinsman itu telah diberi nyawa oleh Sabri Yunus dengan begitu cemerlang.

Diangkat dari sebuah hadis panjang riwayat Kaab bin Malik. Darihal pengalaman Kaab bila Rasullullah SAW memutuskan agar beliau dihukum boikot oleh penduduk Madinah kerana tidak menyertai perang Tabuk.

Mencerita gelora jiwa seorang Kaab. Bukan sahaja salamnya dijawab tanpa suara, segala pertanyaan akan hanya menerima jawapan: "Hanya Allah dan Rasulnya lebih mengetahui"

Kisahnya berakhir dengan 'happy ending'. Kota Madinah bagaikan berpesta bila turun wahyu yang menamatkan tempoh boikot. Cucuran air mata kegembiraan membasahi hampir setiap pipi para sahabat.

BOOLAYANG

'Boikot' merupakan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris. Istilah yang lebih asli ialah 'pulau'. Orang Terengganu pernah guna istilah 'boolayang untuk boikot.

Dalam masyarakat kampung tradisi Melayu, boikot pernah digunakan sebagai sejenis hukuman kepada individu atau keluarga tertentu. Pihak yang diboikot akan merasa tertekan yang teramat sangat kerana tidak dipedulikan lagi oleh orang kampung. Apa lagi untuk dibantu dan seumpamanya.

Setakat itu sahajalah boikot mereka. Tak adalah pulak orang kampung berhimpun di depan rumah mereka bawa sepanduk dan berteriak-teriak.

Thursday, August 07, 2014

MENTALITI BANDAR

Kerusi parlimen Kuala Terengganu dimenangi oleh UMNO dan PAS silih berganti.  Kerana majoriti warga Kuala Terengganu ialah 'orang atas pagar'.  Mereka bukan penyokong tegar mana-mana parti politik. Ini merupakan scenario biasa bagi warga yang 'bermentaliti bandar'.  Tidak seperti warga Besut atau Marang.

SMS

Sistem Pesanan Ringkas atau sms diperkenalkan pada tahun 1990-an. Dengan teknologi telefon selular yang berskrin kecil dan sukar dikendali, peranannya ketika itu agak terhad tidak sepertimana pelbagai media sosial yang ada pada hari ini. Namun begitu, pengaruh budayanya kepada pengguna telefon pintar hari ini masih ketara. Sebahagian pengguna media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan seumpamanya masih terbawa-bawa dengan gaya penulisan sms. Dengan simbol-simbol dan ayat-ayat kontot.

PEKUNG

Dulu. Di kampung saya ada seorang lelaki mengidap sejenis penyakit. Bahagian hadapan salah satu betisnya membengkak dan berair. Mengeluarkan bau yang busuk dan hanyir. Emak kata lelaki itu mengidap penyakit pekung.

Itulah satu-satunya pengalaman saya melihat dan menghidu pekung. Rupanya menjijikkan dan baunya meloyakan.

Saya tak tahu sama ada memang wujud orang yang mengidap penyakit pekung pada bahagian dada. Sehingga timbul peribahasa 'membuka pekung di dada'.

BENANG BASAH

Walaupun terlalu sukar, usaha untuk menegakkan benang basah terpaksa juga diteruskan. Kerana ia berkait pula dengan nila dan susu. Supaya nantinya tidak ada arang yang patah dan tidak ada rotan yang dikerat.

TERLAJAK PERAHU

Peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.

Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang wujud sebelum tarikh kemerdekaan Malaya. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut.  Ada mazhab yang tidak bersetuju menerima peribahasa moden sebagai sebahagian peribahasa.

Walau bagaimanapun, semua mazhab sepakat bersetuju bahawa peribahasa moden tidak seharusnya terhasil daripada pengubahsuaian peribahasa tradisi. Seperti:

terlajak perahu boleh ditarik, terlajak whatsApp tak boleh delete.

atau

terlajak perahu boleh ditarik, terlajak jentik buruk padahnya.

ZIARAH KUBUR

Disunatkan menziarahi kubur. Bukan sahaja pada pagi raya sesudah solat sunat Aidilfitri tetapi bila2 masa shj yg berkesempatan.

Dulu. Masa kecik2.  Saya sangkakan ziarah kubur pada pagi raya lebih afdhal daripada waktu2 lain. Malah merasakan seolah2 sambutan 1 Syawal tidak lengkap tanpa menziarahi kubur. Mungkin kerana terpengaruh oleh pesanan Sanisah Huri yg sentiasa ditubi sebelum berakhir setiap Ramadan:

"sesudah bersembahyang di pagi hari
menziarah pusara kaum keluarga
bunga ditabur doa pun dibaca
mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat.."

ORANG ATAS PAGAR

Orang atas pagar biasanya orang yang sangat sabar. Mereka tidak peduli dengan pelbagai label yang dihempuk ke atas kepala mereka. Kerana mereka tahu mereka adalah golongan majoriti.

Mereka tidak peduli dilabelkan munafik, hipokrit dan seumpamanya. Kerana mereka tahu yang melabel mereka itu adalah golongan syok sendiri. Merasa diri hebat hanya semata2 berdasarkan keputusan undi. Tanpa mereka sedar siapakan golongan majoriti yang memberi undi itu.

Ya. Golongan atas pagar biasanya golongan yang amat sabar. Bersabar berdepan dengan golongan minoriti yang merasa diri sebagai pahlawan jihad hanya semata2 galak setiap musim pilihan raya.

Orang atas pagar akan terus  membisu. Kalau mereka bersuara, mereka akan diherdik; "Ini hal dalaman parti. Orang luar jangan masuk campur".

Ya. Orang atas pagar akan terus bersabar. Kerana mereka tahu, sebagai golongsn majoriti, mereka mampu membuatkan golongan syok sendiri itu tersentak dan terlopong.  Ya, bila tiba ketikanya.

Thursday, July 24, 2014

PALESTIN DAN SKRIP CIA

Di Palestin, pertubuhan Ikhwanul Muslimin dikenali sebagai Hamas. Briged Izzuddin al-Qassam merupakan unit asykari Hamas sebagai  penerusan dari 10 ribu orang mujahidin yang dihantar oleh al-Imam as-syahid Hassan al-Banna dalam perang Arab-Israel pada tahun 1948.

Para mujahidin tersebut memang tidak banyak mendapat liputan media massa. Sementelah pula selepas itu briged al-Fatah begitu menonjol sesudah dikaitkan dengan peristiwa pembunuhan terhadap 11 atlet Israel dalam sukan Olimpik Munich 1972.

Anehnya tidak lama selepas itu al-Fatah dilihat terlalu mesra Amerika. Hubungan rapat kumpulan tersebut dengan pemimpin Mesir Anwar Sadat dikatakan menjadi asbab kepada scenario tersebut. Malah ada pandangan yang lebih ekstrim mengatakan bahawa al-Fatah dan pemimpinnya Yasir Arafat terhasil dari skrip CIA.

Malah pembunuhan Hassan al-Banna ketika usia 42 tahun pada 1949 juga dikatakan ada kaitan dengan perancangan jangka panjang CIA.  Hassan al-Banna dilihat berpotensi untuk muncul sebagai tokoh penting dalam perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa.

Wednesday, July 23, 2014

BRIGED AL-QASAM DAN BRIGED AL-FATAH

23 Julai 2014. Perang antara briged al-Qassam Hamas dan angkatan tentera Israel.  Statistik menunjukkan al-Qassam telah berjaya membunuh puluhan askar Israel dan menawan beberapa orang. Ini diakui oleh media Israel dan media pro-Israel. Manakala tentera Israel masih gagal untuk membunuh anggota al-Qassam apalagi untuk menawan mereka.  Berdasarkan statistik ini, pihak al-Qassam masih berada di pihak yang menang.

Seperti dalam peperangan yang lalu, tentera Israel akan menggunakan belanja yang besar untuk memusnahkan Gaza dan membunuh penduduknya. Supaya penduduk Gaza menyalahkan al-Qassam. Agar penduduuk Gaza menolak Hamas  pimpinan Ismail Haniyeh dan  mengalih sokongan mereka kepada al-Fatah pimpinan Mahmoud Abbas.

Kemana perginya briged al-Fatah yang amat ditakuti oleh tentera Israel suatu ketika dahulu? Mungkin kini mereka hanya bertugas menjaga parking bila ada majlis ceramah dan seumpamanya.

Tuesday, July 22, 2014

TATA NEGARA

Kursus Tata Negara Zon Timur untuk Pelajar Tingkatan 6 1980 diadakan di SM Teknik, Teluk Sisik, Kuantan. Saya mewakili sebuah sekolah di Pahang.

Nisbah peserta lebih kurang begini: Melayu 60%, Cina 30% dan India 10%.

Sepanjang kursus kami dibenarkan berbahas sebebas-bebasnya. Maka peserta Cina dan India tak habis-habis membangkitkan rasa tidak puas hati akan DEB, hak istimewa orang Melayu dan tentang raja2 Melayu.

Oleh kerana kami adalah majoriti maka segala hujah mereka dapat kami tangkis dengan berkesan. Di kalangan kami ada beberapa peserta yang yang agak petah berhujah. Antara yang paling menonjol ialah seorang peserta dari Kelantan. Saya dah lupa nama sebenarnya. Yang saya ingat beliau digelar Hail Amir.  Antara kata2 Hail Amir yang saya masih ingat ialah: "Apo kato kalu kito ttepoh beberapo utir kapal ye besar. Kito buboh semo ore Cino dale tu. Kito atar balik ko negeri Cino..."

Pada malam majlis penutup, Hail Amir berduet dengan seorang peserta perempuan dari Pahang yang tinggi lampai yang kami gelar Uji Rashid. Menyampaikan lagu 'Nasi Minyak'. Nyanyian Hail Amir agak sumbang manakala Uji Rashid pula ternyata punya bakat besar dalam bidang nyanyian.

Semasa nyanyian beramai2 lagu 'Bertemu dan Berpisah', kami agak emosional. Sepanjang 10 hari bersama telah berjaya menimbulkan rasa keakraban. Buat seketika, kami berjaya mengikis sedikit sifat perkauman yang sedia menebal dalam sanubari.

Friday, July 18, 2014

MOHON MAAF DAN SELEBRITI

Masa tu manalah ada smartphone. Pentagon pula belum lagi mengkomersilkan teknologi internet yang mereka guna sebagai alat komunikasi dalam perang dunia kedua.

Oleh hal yg demikian, kisah Uncle Tim dan Titi tidak diketahui ramai. Tidak ada siapa yang mengutuk Titi. Oleh sebab tidak dikutuk maka tiadalah keperluan bagi Titi untuk minta maaf. Dan sudah tentulah tidak ada stesen radio yang berusaha untuk mengangkat Titi  menjadi seorang selebriti.

HUKUM KARMA 2

Ketentuan Allah. Bila kereta saya bermasalah di perjalanan seperti pancit tayar dan seumpamanya dan terpaksa bersidai di tepi jalan, yang awal berhenti bertanya khabar biasanya berbangsa Cina.

Saya pernah kemukakan scenario tersebut sebagai modal sembang dengan rakan-rakan. Ada yang mengatakan bahawa mungkin orang-orang Cina berkenaan merupakan mereka yang amat yakin kepada prinsip hukum karma atau dalam istilah kesusasteraan dipanggil 'poetic justice'. Buat baik dibalas baik.

TARBIYAH DI JALANAN

Abg Li tidak mendapat pendidikan formal yang tinggi. Tapi kisah beliau mentarbiyah seorang guru tidak akan saya lupa sampai bila-bila.

Dalam perjalanan bermotosikal ke pasar Kedai Buluh, Abg Li telah terlanggar belakang sebuah kereta yang dipandu oleh seorang guru bersama isterinya yang juga seorang guru. Sang isteri pantas keluar dan marah-marah. Tanpa mempedulikan Abg Li yang sedang dalam kesakitan. Tangan dan lengan berdarah.

Sesudah membiarkan wanita tersebut meluahkan segala kemarahan, Abg Li dengan lembut berkata: "Awak patut bersyukur sebab hari ini saya bawa moto. Kalau saya bawa lori mungkin awak yang comel ni dah mampus..."

BASI

Sesudah mati, manusia akan basi.

Malam tadi. Usai solat Isyak di sebuah masjid. Saya menapak keluar dalam situasi perut berirama keroncong.


Di tangga masjid ada beberapa kotak yg agak besar. Di dalam kotak2 tersebut ada supik2 plastik. Dalam setiap supik itu ada 3 rajut plastik berlainan saiz. Serajut nasi, serajut gulai daging lembu, serajut sambal belacan. Pada penutup kotak yang terbuka itu ada tulisan besar: "Ambik sesupik sorang"

Saya pun ambil sesupik. Anak saya ambil sesupik.

Sampai di rumah, kami dengan penuh bersemangat memindahkan makanan tersebut ke dalam bekas yang lebih elegan. Gulai kami letak dalam mangkuk. Oh, mengejutkan! Serta merta gulai yang masih panas itu menghasilkan buih2 halus. Buih2 itu makin membesar sehingga hampir menyerupai buih teh tarik.

Basi. Tak ada rezeki.

Mujurlah selepas itu berlaku satu surprise yg berjaya menukar irama keroncong di perut saya menjadi irama rock. Alhamdulillah.

Pagi ini saya google tentang 'basi'. Ini yang saya temui:

"Basi” merupakan fenomena semulajadi yang hadir apabila sesuatu benda hidup itu sudah dimatikan. Ia adalah disebabkan oleh kehadiran mikrob seperti bakteria dan fungi. Sayur yang sudah dipetik, daging haiwan yang disembelih untuk dijadikan makanan (mengandungi sel-sel yang mula mati), semua ini sudah tidak lagi hidup, akan menjadi sasaran bakteria dan fungi untuk dijadikan sebagai bahan makanan mereka andaikata tidak disimpan dengan cermat, atau dikonsumsikan dengan segera oleh si pemakan. Manusia juga tidak terkecuali kerana apabila mati kelak, manusia akan “basi” (mereput dengan bantuan mikrob) di dalam tanah.

LEBIH MULIA

Mula2 saya bercadang menulis status begini: "Pemimpin yg terlibat dgn rasuah lebih hina daripada babi"

Tetapi terasa pula terlalu kasar. Maka, saya edit dan jadi begini: "Babi lebih mulia daripada pemimpin yg terlibat dgn rasuah".

BERDIRI TEGUH

Pada mulanya saya sangka yang saya sedang bermimpi. Takkanlah Presiden sebuah parti siasah tersohor sanggup menjenguk saya di sore itu semata-mata untuk berkata: "Kita rela UMNO terus berkuasa sehingga PRU14. Walau apapun krisis yang melanda mereka, kita tidak akan ambil alih pemerintahan ini negeri. Sebab kita tidak yakin yang rakyat sedang berdiri teguh di belakang kita. Malah, jika dalam PRU14 nanti kita menang di ini negeri dengan kelebihan kurang dari 10 kerusi, kita tidak akan ambil alih kuasa ini negeri. Kita merelakan UMNO terus memerintah. Kerana kita hanya akan memerintah bila kita benar-benar yakin yang kita mendapat sokongan padu dari rakyat. Lagipun kita..."
Ting! Ting! Bunyi alarm dari gajet selfie yang menunjukkan 10 minit lagi azan Subuh akan berkumandang.
Oh, saya benar-benar bermimpi!

Saturday, July 12, 2014

PARANG TERBANG DAN JUBAH PUTIH

Semasa tragedi 13 Mei melanda Malaya, heboh kisah parang terbang menebas kepala musuh-musuh orang Melayu. Parang-parang tersebut kononnya terbang sendiri seolah-olah dikawal secara 'remote control'.

Orang Melayu yang baru pulang dari Gaza kerana 'misi kemanusiaan' juga membawa pulang cerita yang hampir sama. Senjata-senjata mujahidin menembak sasaran musuh tanpa perlu dikendali dan pelurunya tidak luak, tentera beruniform putih yang tidak dikenali ikut serta dalam pertempuran, roket tentera Israel berpatah balik menghentam tuannya dan pelbagai lagi peristiwa keanehan.

Sebagai muslim, kita wajib meyakini bahawa Allah maha kuasa untuk mencipta segala keanehan. Tapi tidaklah pula segala keanehan yang diceritakan oleh manusia wajib dipercayai.

Cerita keanehan akan sentiasa muncul. Meski ditolak oleh ahli sejarah, ia akan tetap subur sebagai anekdot yang menghiburkan. Sesungguhnya, karya fiksyen fantasi sentiasa punya peminat yang tersendiri.

Wednesday, June 04, 2014

ISMA?

Suatu ketika. Semasa bumi Malaya sedang dihangatkan oleh kempen PRU13, saya bermusafir dengan Tolahah Muda ke daerah-daerah selatan Terengganu. Sampai di suatu tempat di Dungun saya terpandang papan tanda 'Ikatan Muslimin Malaysia' di sebuah premis rumah kedai.

"Oh, di sini ada pejabat ISMA!" spontan saya bersuara.

"ISMA? Apa apekebende tu..." spontan juga Tolahah merespon.

Saya tidak perlu bercerita di sini apa perbualan kami seterusnya. Cuma saya ingin nyatakan bahawa pada ketika itu ISMA amat tidak dikenali oleh masyarakat. Kalau orang yang punya pengetahuan luas seperti Tolahah pun tak kenal ISMA maka bolehlah dibuat kesimpulan bahawa pada ketika itu ISMA hanya dikenali di kalangan golongan tertentu. Pada hal ISMA turut meletakkan calonnya bertanding dalam PRU13 itu.

Semua calon ISMA yang bertanding dalam PRU13 dengan menggunakan tiket BERJASA ditolak oleh rakyat. Hampir semua mereka hilang wang pertaruhan. Namun agenda utama mereka masih tidak berubah. Cuba meyakinkan umat Melayu Malaya bahawa situasi mereka tidak banyak berbeza dengan situasi umat Palestin. Yakni, berdepan dengan pengusiran terancang dari tanah air oleh kafir harbi.

Monday, June 02, 2014

KEJUTAN

Kejutan (surprise) merupakan salah satu teknik plot. Cuba hasilkan sebuah certot (cerita kontot) berdasarkan sinopsis berikut:

Sejak pulang dari mengerjakan haji, Hj Din benar2 berubah. Beliau tidak lagi menghadiri mesyuarat UMNO dan lain2 program anjuran UMNO. Sebaliknya beliau nampak lebih banyak menghadiri ceramah2 ugama terutama ceramah Us Azhar Idrus. Beliau juga pernah dilihat menghadiri ceramah politik. Sebagai kubu kuat PAS sejak dahulu, memang di daerah Marang sering diadakan ceramah politik.

Perubahan Hj Din ternyata tidak disenangi oleh pihak tertentu termasuk ketua jabatannya. Suatu hari, beliau telah diberi nasihat oleh ketua jabatannya agar tidak terlibat dengan parti PAS. Hj Din menafikan sekeras2nya bahawa beliau penyokong PAS. Malah berterus terang mengatakan bahawa beliau sebenarnya penyokong DAP. Katanya, segala idealisme perjuangan yg didokongnya selama ini didapati ada dalam DAP. Di samping itu, beliau juga amat kagum akan peribadi pemimpin2 DAP terutama Karpal Singh.

APA YANG PENTING?

Demokrasi. Parti yg menang pilihanraya perlu mendapat restu kuasa besar. Kalau tidak, kuasa besar akan melakukan pelbagai usaha agar kerajaan baharu itu segera tumbang. Kalau dirasakan terlalu sukar unt ditumbangkan melalui proses demokrasi spt menaja pembangkang dan seumpamanya maka boleh sahaja secara menghasut tentera supaya merampas kuasa. Tentera yg selama ini memang punya hubungan baik dengan tentera kuasa besar tidaklah terlalu cerewet untuk memberi kerjasama.

Spt kata Wonderpet: "Apa yang penting?"

Tuesday, April 08, 2014

BATU-BATU PENUNJUK JALAN


Maalim Fi Taariq merupakan karya terakhir Syed Qutb. Diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Milestone dan tersebar semerata dunia sebelum diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Bertitik tolak daripada falsafah bahawa krisis nilai yang wujud adalah hasil dari pertembungan Islam dengan jahiliah. Menjadi tugas setiap mukmin untuk berjuang meruntuhkan jahiliah dan di atas keruntuhan itu didirikan Islam.

Buku ini ditulis bagi menyambut uslub dakwah yang telah diperinci oleh Hassan alBanna. Uslub paling sistematik yang mengambil kira pelbagai uruf yang sentiasa berubah sepanjang zaman.

Meskipun pendekatan yang dipilih oleh Hassan alBanna adalah paling aman tanpa pertumpahan darah, namun ia tetap dicurigai oleh jahiliah. Malah oleh mereka yang dikalung title ulamak. Sehingga ada yang sanggup berfatwa bahawa setiap orang yang telah diracuni fikrah Hassan alBanna adalah halal darahnya. 






  

Sunday, April 06, 2014

USRAH

Usai berusrah mereka singgah di masjid. Duduk di beranda masjid sambil berbincang apa yg telah diutarakan oleh naqib. Perbincangan berlarutan hingga pukul 1:30 pagi.

Tiba di rumah dia mengetuk pintu perlahan. Memberi salam. Juga perlahan. Dia tahu isterinya mudah terjaga. 

"Oiii.. orang lain usrah juga..Tapi tak lah sampai jam 2 pagi!" Kasar. Tapi di telinganya kedengaran suara isterinya itu sangat merdu. Belum pernah rasanya semerdu itu.

Sebelum melelapkan mata dia berdoa. Dan juga berazam. Esok, Seusai solat Subuh, berus segala pakaian yang terendam di bilik air. Sesudah itu menjemur kain dan mengemas rumah. Kemudian dengan senyuman manis bertanya isteri apa yang dia nak makan hari ini. Pergi ke pasar beli segala bahan untuk memasak. Kemudian tolong isteri memasak. Lepas makan akan kemaskan dapur dan basuh pinggan mangkuk jika perlu.

Senyum. Ya, esok. Dia akan jadi lelaki yang baru. Dia akan buktikan kepada isterinya bahawa usrah telah berjaya merubah sahsiahnya.

Tuesday, March 25, 2014

TRAJIS




Amat tragis bila tentera dikuasai oleh orang zalim. Sebab rakyat selamanya tidak akan mampu berdepan dengan tentera. Tentera punya segala kelengkapan untuk membunuh.

Lebih tragis lagi bila Mufti Besar dan Sheikhul Al-Azhar juga dilantik oleh tentera. Hakikatnya, mereka tidak punya banyak pilihan. Sama ada bersetuju dengan segala tindak tanduk tentera atau mati!

Dalam keadaan sebegini ketua negara juga perlu dilantik oleh tentera. Janganlah rakyat cuba-cuba nak pilih Presiden negara mereka.

Ingat, Mufti Besar, Sheikhul Al-Azhar malah Ketua Hakim Negara tak punya banyak pilihan. Setuju dengan segala tindak tanduk tentera atau mati!



Sunday, March 23, 2014

GAJI



Contoh. Kita bekerja sebagai seorang guru. Pastikan kita punya beberapa motif mengapa kita menjadi guru. Motif utama tentunya untuk mendapat gaji. Adanya motif utama ini menunjukkan kita telah mematuhi fitrah sebagai seorg manusia. Kalau tidak kita akan tergolong sebagai manusia abnormal. Atau manusia yang punya tabiat luar tabi'ie.

Setiap kali hendak memulakan pengajaran kita hendaklah berniat. Jika murid kita adalah muslim, berniatlah supaya pengajaran kita nanti akan menjadikan murid kita lebih bertakwa. Kalau murid kita non-muslim, berniatlah bahawa segala pengajaran kita adalah untuk menjadikan mereka berjinak dengan Islam. Disamping itu berniatlah juga supaya penat jerih kita itu akan membuatkan murid2 kita dpt menguasai segala ilmu dan kemahiran yang kita ajar agar mereka cemerlang dalam peperiksaan. Semoga mereka akan menjadi aset kepada kebangunan Islam.

Itu hanya contoh. Kalau kita bukan guru, fikirkanlah bagaimana untuk adaptasi method di atas. Supaya kita tidak hanya menerima gaji dunia tetapi juga menerima gaji akhirat.

Wallahhu'allam.

Monday, March 10, 2014

KASSIM, ASTORA, ZAM






Persamaan yang amat ketara antara Kassim Ahmad, Astora Jabat, Zainudin Maidin dan Mahathir ialah rasa tidak senang mereka akan idea2 Islamis yg didokong oleh Anwar. Namun, Mahathir masih tetap memerlukan Anwar untuk mengimbangi pengaruh Tengku Razaleigh.


  Sesudah Tengku Razaleigh berjaya dilumpuhkan, golongan korupsi dan anti-Islamis akhirnya berjaya meyakinkan Mahathir bahawa Anwar amat merbahaya. Maka terjadilah tragedi yang kemudiannya telah merubah lanskap politik negara.

Friday, February 14, 2014

ALI AHMAD

Dalam dunia persuratan Melayu Malaya, ada 3 orang Ali Ahmad yg agak terkenal. Yang paling tersohor ialah Dato'Ali Hj Ahmad Menteri Kebudayaan dan Sukan yang terkorban dalam tragedi Tanjung Kupang. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum bergerak cergas dalam politik. Dalam dunia penulisan kreatif, beliau pernah menggunakan nama pena Aha. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dalam bidang kajian sastera. Banyak menyusun dan menyunting buku kajian kesusasteraan Melayu. Antaranya ialah Puisi Baharu Melayu , Rintisan (antologi cerpen sebelum Perang Dunia Kedua) dan Disekitar Pemikiran Kesusasteraan Melayu (kumpulan esei).
Aha
Ali Ahmad yang kedua ialah Ali Ahmad 'al-Arqam'. Menggunakan nama pena Nora, beliau lebih dikenali dalam menghasilkan karya kreatif novel, cerpen dan sajak. Novelnya yang terkenal ialah Gelandangan. Penyertaan Pak Nora dalam jemaah al-Arqam dikatakan banyak menyumbang kepada jemaah tersebut untuk meluaskan skop dakwah terutama melalui media sastera. Hari2 akhir hidup beliau agak mencabar bila diisytiharkan muflis dan bungalownya disita kerana dijadikan cagaran untuk jemaah al-Arqam membuat pinjaman bank dan jemaah tersebut tidak mampu melunasi pinjaman. Ia berlaku sesudah jemaah al-Arqam diharamkan dan Pak Nora sudahpun mengisytiharkan diri keluar dari jemaah al-Arqam.

Nora
Ali Ahmad yg ketiga ialah penulis yang menggunakan nama pena Alis Murni. Profesor di USM ini banyak memberi tumpuan dalam kajian puisi. Selain menulis puisi, beliau juga menghasilkan novel dan cerpen. Antara karya Dr Ali Ahmad ialah Letusan (novel), Kuala Lumpur (sajak - antologi bersama),  Hikayat Inderaputera (penyunting), dan  Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu  (Esei kritikan).
Alis Murni

Thursday, February 13, 2014

REKOK WOK



Lafaz sumpah pada zaman kami kanak-kanak kebanyakannya diringkaskan. Tapi kami cukup faham maksudnya. Lafaz 'kapir ah' atau 'kapir serani ah' bermaksud jika benar-benar kami melakukan kesalahan sebagaimana yang dituduh, kami rela menjadi kafir. Lafaz 'rekok ah' atau 'rekok wok ah' pula bemaksud kami rela cacat seumur hidup dengan tangan menjadi 'rekok' iaitu terpulas ke belakang dalam keadaan kejang dan tidak dapat digerak atau diluruskan.

Kami tidak pasti asal usul lafaz-lafaz sumpah tersebut. Namun ia tetap menjadi senjata ampuh untuk kami meyakinkan pihak pendakwa bahawa kami di pihak yang benar.

Zaman berubah. Kanak-kanak zaman sekarang tak lagi main dengan sumpah-sumpah sedemikian. Itu semua cerita kebodohan kami di zaman kanak-kanak. Namun kami rasa tahap kebodohan kami itu tidaklah seteruk kebodohan orang dewasa zaman sekarang bermain dgn sumpah.

Friday, February 07, 2014

POK MUD KAMPUNG LAUT


Pok Mud Kampung Laut kembali ke rahmatullah sesudah berkelana di muka dunia selama lebih 70 tahun.  Saya rapat dengan Pok Mud atas dua faktor. Pertama, sebab saya suka roti canai yang ditebarnya. Kedua, kami pernah berkongsi hobi yang sama iaitu merakam video menggunakan handycam. Kami sama-sama memiliki Sony Handycam Digital 8.

Pok Mud pernah bercerita kepada saya kegetiran hidup zaman remajanya. Pernah berkelana ke benua Siam mencari ayahnya yang menghilang di sana. Misi yg hampir mustahil itu ditakdirkan menemui kejayaan. Pok Mud tinggal bersama ayahnya di Siam dan bertemu jodoh di sana sehinggalah kemudiannya meringkuk di dalam penjara sesudah menjadi mangsa kepada satu konspirasi. Beliau berjaya lolos dari penjara dan pulang ke Malaya setelah pihak tertentu berjaya merasuah pihak berkuasa di Siam.

Sejak kematian Pok Mud saya belum lagi pekena roti canai di kedai makan yang kini diwarisi oleh anaknya. Saya percaya kualiti roti canai di kedai tersebut masih setaraf dengan roti canai tebaran almarhum Pok Mud Kampung Laut.

Tuesday, February 04, 2014

KAJANG BERLIPAT


Kajang berlipat hanya mampu dimiliki oleh golongan elit. Dipasang bila diperlukan dan bisa dilipat bila perahu mahu diluncurkan lebih laju. Berbeza dengan perahu yang dipasang dengan kajang tetap (fix) yang keadaan kekalnya menyukarkan kerja mendayung.

Antara material yg digunakan untuk menghasilkan kajang berlipat ialah anyaman mengkuang terpilih. Mengkuang yang telah layu tidak akan digunakan...


kajang tuan kajang berlipat
kajang saya mengkuang layu...

Baris-baris pembayang di atas ialah versi asal. Namun begitu, versi yang lebih tersohor ialah versi yang diungkapkan oleh Damak kepada bapa Sri Mersing.

kajang Pak Malau kajang berlipat
kajang hamba mengkuang layu...